“Kau kenal Jai ek?” tanya Hasnee A Rahman dalam slanga Johor walaupun kami yakin dia adalah jawa Banting. Dia orang Kuala Lumpur. Sengaja kami bergurau dengan kamu.
Inilah masalahnya. Bila kamu berjumpa dengan orang yang terkenal seperti kami contohnya, jangan pula ditanya tentang orang popular yang lain. Malu kami jadinya. Macam kita ni artis gred 2 dibuatnya. Kami pasti sesiapa pun yang pergi bertemu dengan Jalaini Abu Hassan tidak pernah pun bertanya sama ada dia mengenali kami atau tidak. Dan lagi, nanti bila si Jai itu membaca tulisan ini, dia akan segera mengatakan yang kami ini sedang menumpang popularitinya. Baser.
Walhal jika kita semua mahu bercakap benar, kami ini tak adalah lekeh sangat jika dibandingkan dengan si Jai itu.
Betul, kami belum diundang oleh persatuan arkitek mana-mana negara untuk membuat lukisan aksi, dan kerja-kerja kami belum lagi menjadi rebutan sepertimana karya-karya dia, namun kamu mesti bersetuju yang kami ini tak adalah rendah sangat jika berdiri di sebelah dia.
Kepada yang belum tahu, Hasnee ialah seorang pelukis terkenal dan juga jaguh lumba basikal negara. Selain memenangi pingat untuk negara, karya-karyanya juga menjadi koleksi Jawatankuasa Olimpik Dunia.

Lama sebelum kamu yang membaca tulisan ini tahu mengenai kewujudan kami, kami telah melihat sebuah lukisan yang dijadikan poster oleh sebuah bank. Poster ini kami lihat di kedai Citra Cita milik sahabat kami almarhum Ahmad Zahidi (Eddie) . Citra Cita adalah sebuah kedai bingkai gambar disamping menyediakan ruang hadapan premis tersebut sebagai galeri seni.
Waktu itu kami belum serius melukis. Walaupun tetap melukis setiap hari terutama lukisan berasaskan batik, kami belum masuk dengan kedua belah kaki ke dalam dunia berpameran seperti sekarang ini. Lukisan kami memang dipamerkan di kedai tersebut dan dijual.
Di hari yang lain, Khairul Kismi atau kami semua gelar sebagai Khairul Kucing telah datang ke kedai tersebut dan memberitahu yang dia kenal baik dengan Hasnee.
Kami pun curiga kerana seperti semua sahabat kami yang telah lebih dulu pergi ke Kuala Lumpur, bila balik ke Kuantan mereka yang membawa banyak cerita-cerita yang mereka reka mengikut sedap mulut mereka.
Ada yang mendakwa telah menghasilkan berpuluh-puluh rekaan kulit kaset untuk rakaman kepada Sheila Majid, Rahmat Ekamatra, Ella, dan sebagainya. Yang lain pula mengaku kenal baik dengan Bandi Amuk, Ramli Sarip bahkan ada yang mengaku pernah bergaduh dengan M.Nasir!
Kita ini kalau dapat bercakap dengan M.Nasir pun dah kira hebat. Dia punyalah rapat hingga boleh sampai kepada bergaduh.
Itu belum lagi dikira yang mengaku belajar di Universiti Malaya walhal SRP dapat Sijil Am Pelajaran, buat drama tv, buat filem, buka syarikat iklan walhal tukang buka tin cow gam di Yellow Pages je, misalnya.
Kerana itu seperti yang kami katakan, bila Khairul Kucing mengaku kenal akan si Hasnee, kami tidak mengambil endah dan kerana keyakinan bahawa hampir semua sahabat kami yang tinggal di Kuala Lumpur adalah kaki lebong, kami pun melupakan cerita tersebut.
Sehinggalah satu hari bila kami dan Eddie datang ke Kuala Lumpur dan teringat akan cerita betapa Khairul mengaku mengenal Hasnee.
Demi untuk membuktikan yang dia tidak bercakap benar, kami telah meminta dia membawa kami ke studio pelukis berkenaan.
Yang mengecewakan kami ialah bila Khairul dengan senang hati telah membawa kami ke Bukit Saga, tempat di mana pelukis tersebut berkubang dalam menghasilkan karya-karyanya.
Maka Hasnee A Rahman secara rasminya menjadi pelukis pertama yang kami lawati. Bukan bermakna sebelum itu kami tidak pernah bertemu dengan pelukis lain tetapi dia adalah pelukis terkenal dan memiliki studio sendiri yang terawal pernah kami lawati.
Kita orang Kuantan, kemudian pergi ke Kuala Lumpur dan bertemu pula dengan selebriti dunia catan yang mana karya-karyanya sudah dipamerkan serata alam dan dijadikan poster untuk sebuah institusi kewangan, maka tentu saja tahap keterujaannya pasti tidak tergambarkan.
Kami duduk dan berbual dengan Hasnee sambil melihat sekeliling studionya yang dengan penuhi dengan tiub-tiub warna serta kanvas dan juga karya-karya yang telah siap.
Kami pun memandang Hasnee sebagai seorang superstar dan di dalam hati kami pun memasang cita-cita untuk menjadi seperti dia satu masa nanti.
Sedikit mengenai Khairul sebelum kami sambung cerita mengenai Hasnee.
Khairul digelar sebagai Kucing kerana minatnya terhadap haiwan tersebut. Kamu boleh saja mengaku yang kamu adalah pencinta kucing namun kamu belum apa-apa jika kamu belum mengenali si Khairul. Hidup dan matinya adalah kucing. Dia tahu segala macam jenis kucing dan juga sub-hasil dari mana-mana persenyawaan jenis-jenis haiwan tersebut. Malah jika kamu bertanya berapakah jumlah kucing yang ada di atas dunia hari ini, pasti dan pasti dia tahu jumlahnya. Lama sebelum kamu tahu Covid-19, dia sudah kenal Covid-1 hingga Covid-18 yang menurut dia ialah sejenis penyakit yang dialami juga oleh kucing. Dia tahu apa itu FIP dan juga Sapovirus. Dan jangan bertanya kepada dia apa itu Reovirus jika kamu tidak mahu dimalukan.
Bercakap fasal bertanya, kamu akan menyesal jika bertanya apa-apa fasal kucing kepada dia kerana selepas dari itu dia akan menerangkan dengan sepenuh jiwa akan hal kucing sehingga kamu merasakan diri kamu tidak berharga dan langsung tidak ada nilai jika kamu tidak ada memelihara kucing di rumah kamu. Dan jika tidak dihalang dia akan masuk kepada alam misteri fasal kucing.
Khairul juga katanya sangat terkenal di kalangan peminat kucing di mana-mana dan sentiasa dijemput sebagai pengadil pertandingan atau sekurang-kurangnya itulah yang dia mahu kami percaya.
BACA JUGA: Selayang pandang Badan Budaya DBP
BACA JUGA: Abdullah Ariff: Antara seniman & propagandis
BACA JUGA: Keintiman dan Intimisme dalam Siluet Wanita
Kembali kepada Hasnee.
Baru-baru ini kami diberitahu yang dia seperti sedang sakit lalu kami pun menghubungi Khairul untuk mengajak dia berziarah. Dia bersetuju dan kami pun pergi ke Studio Kandang milik Hasnee. Studio berkenaan dinamakan demikian kerana ia dibina dari bekas kendang kambing yang tidak lagi diusahakan dan terletak di kampung Gaban, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
Pasti ada yang pelik bila membaca ayat ‘kami pun menghubungi Khairul’. Bagaimana kami menghubungi Khairul sedangkan semua orang di negara ini hingga ke Papua New Guinea tahu kami tidak mempunyai handphone. Ya, itu lah kelebihan kami yang tidak ramai tahu. Kami boleh berhubung dengan sesiapa sahaja dengan hanya menepuk tanah.
Balik semula kepada cerita Hasnee.
Buat masa ini Hasnee yang disahkan menghidap kanser prostat tahap 4 sedang menjalani rawatan kimoterapi disamping berusaha juga dengan kaedah perubatan alternatif.

Penyakit tersebut dikesan ketika dia sedang membuat persiapan untuk menyertai acara Powerman Malaysia 2024.
Bersabit dengan kanser tersebut doktor yang merawatnya mendapati terdapat tumor yang menghimpit tulang belakangnya. Tumor tersebut telah mengakibatkan kedua belah kakinya tidak dapat berfungsi.
Atas nasihat doktor, dia telah menjalani satu pembedahan untuk membuang tumor tersebut. Pembedahan tersebut telah berjaya dilakukan dan kini dia sedang menjalani sesi fisioterapi bagi mengembalikan kekuatan kakinya itu.
Disamping itu dia juga mengambil ubat kimoterapi setiap hari dan juga suntikan untuk menyekat pertumbuhan sel kanser setiap tiga bulan sekali.
Ketika bertemu dengan Hasnee, kami dapati dia sangat tabah dan cekal serta berusaha keras untuk kembali sembuh. Dia kelihatan amat ceria dan bersungguh-sungguh mengatakan bahawa apa yang sedang dilaluinya itu hanya sekadar ‘ Allah jentik supaya sedar’.
Dan dia masih meneruskan aktiviti melukis dengan menyertai beberapa bazar jualan bagi menampung perbelanjaan hariannya.
Selain itu, isterinya yang menjaganya sepenuh masa juga menjalankan sedikit perniagaan serta juga khidmat urut tradisional bagi wanita sebagai tambahan kepada pendapatan.
Hasnee berterima kasih kepada sahabat-sahabatnya yang tidak putus-putus datang melawat dan memberikan bantuan kewangan.
Kami sertakan juga nombor akaun Hasnee jika ada sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan.
Maybank Hasnee A Rahman-162209952815
Semoga Hasnee terus tabah dan segera sihat.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang berhasrat untuk mengarahkan sebuah filem yang dibintangi oleh Maria Farida.
