Saya ingin menumpukan perhatian pada soal bercerita di dalam seni visual dan seni sastera, merujuk kepada sebuah cerpen, sebuah novel, dan sebilangan catan, termasuk karya saya sendiri.
Saya kebetulan menulis dan melukis, bidang visual dan bidang verbal bergabung demi membekalkan makna untuk menelusuri hidup, memikirkan betapa warna-warna itu bergetar, kata-kata itu menyeru.
Saya mengupas cerpen dan catan orang lain. Saya mengagak niat asal seniman-seniman tersebut. Kadang-kadang apa yang mereka rencanakan itu dan apa yang saya baca, selari. Kadang-kadang pula, tidak.
Ini semacam satu latihan terkena dan terlepas, yang lebih elok daripada diabaikan. Penulis dan pelukis berbesar hati sebab kita berjaya menyampaikan isi yang tersirat, dan yang tersurat, yang mereka tidak sangka ada.
Bila orang lain baca apa yang ada dalam karya maka saya redha tapi merasa agak serba salah juga. Mereka menyatakan benda yang saya tidak niatkan pun.
Mereka mengatakan hal-hal yang saya sendiri tidak terfikir mahu menyebutnya. Betapa benar rintihan T. S. Eliot: “That is not what I meant, at all. That is not it at all.” [1]
Kerap juga sebuah cerita itu berpunca dari satu nama, satu wajah, satu kehadiran.
Mungkin muka itu yang terpenyut oleh kedutan kesusahan yang dialami oleh jiran saya; tangan Federico yang menggerutu yang menunjukkan lorong yang berdebu ke arah halaman tengah sebuah biara Franciscan di penggurunan Mexico dalam usaha penyelidikan lukisan mural abad ke 16 yang menjadi tema penulisan tesis MA saya; hadirnya wajah teman yang pucat gelisah kerisauan bila enjin kereta WV saya itu terlalu panas sehingga saya pun ke tepi untuk menyejukkannya di tanah belukar di Texas barat; sosok anak saya yang nangis melihat 30 ekor anak itik angsanya dalam kandang belakang rumah dibunuh oleh gerembolan tikus longkang.
Idea-idea ini sudah saya terokai dan kini tersangkut takat helaian draf tanpa penyudah.
Kita boleh panjangkan sesuatu idea itu takat itu saja. Lepas itu, kita mengulang, kemudian kita padam. Ruang yang ditinggalkan oleh pemadaman itu mengamit satu lagi jalur fikiran, mungkin ada kaitan dengan idea pertama tadi tetapi dengan rentaknya yang tersendiri pula. Kita pun melencong entah ke mana. Saya selalu biarkan saja ayat-ayat itu menjela, melilit, menambah, ikut suka hati, sehingga menjadi satu himpunan shitty first drafts.[2]
Saya melukis pelahan, menulis apatah lagi. Saya perlukan dateline. Saya belajar menghargai kesaktian sesuatu dateline semasa mengajar berpuluh tahun di universiti. Setiap akhir semester, markah pelajar mesti diserahkan. Laporan penilaian tesis MA atau disertasi PhD jawatankuasa mahu tengok sebelum mesyuarat fakulti. Jadi tekanan untuk menyerahkan tugas itu adalah hal biasa dalam penghidupan akademia sehingga peralihan ke penghidupan menulis sepenuh masa itu agak senang.
Dalam genre melukis potret itu kita tahu bahawa jarang dapat melukis keserupaan sesuatu model itu pada cubaan kali pertama. Selepas beberapa percubaan itu maka boleh juga memudarkan semangat. Imej pertama di atas kertas itu sentiasalah dipadam-padam, dilukis semula, dipadam lagi, berulang kali. Hal yang sama berlaku bila imej itu sudah dipindahkan ke atas kanvas. Malah, bila potret itu siap dan ditandatangani, maka kita pun merasa bahawa karya itu bagus tapi boleh dibaguskan lagi.
Amalan ini pun sudah menunjang dalam bidang penulisan. Saya letak lima draf, paling minima. Jika kurang, maka saya tidak berani lepaskan karangan itu. Malah selepas lima draf sekali pun masih juga ada kesilapan, ibarat paku bengkok terpacak di atas muka kertas.
Dalam bidang catan pula, dua hari sebelum garis tarikh itu maka kita pun tergesa-gesa memberi sentuhan berus penamat. Ada-ada saja suatu tepian, atau lengkungan, atau warna yang perlu dicat semula supaya jelas. Tapi bila tidak ada tekanan untuk dipamerkan atau dijual, maka kita pun sangka, beban berat di atas bahu itu sudah pun terlucut.
Malangnya bukan macam itu. Kita letakkan satu dateline kita sendiri yang jangan diingkari sebab hukumannya ialah rasa kelesuan, yang pasti memamah hati nurani.
Saya bolehlah mengaku bahawa cat yang saya guna untuk melukis, dan kata-kata yang saya pilih untuk menulis cerita, ada perkaitan. Poin kaitan itu ialah keinginan mahu bercerita yang bahagian permulaannya jelas dan senang tapi bahagian hujungnya pula bertanda tanya.
Dalam seni visual dan seni sastera bila akhirnya siap, maka katarsis yang dirasai itu sepatutnya memuaskan tapi seringkali tidak.
Karya seni memperkuat pemahaman kita terhadap jatidiri. Kita mesti akui bahawa ruang yang kita pakai dalam hidup ini sifatnya sementara. Inilah isi yang saya rasa ada dalam cerpen “Apsara” oleh M. Navin.[3]
Beliau menggabungkan rasa bimbang kaum modenis terhadap terputus-putusnya jalinan manusia, dan rasa betapa perlunya menegaskan bahawa di dalam ruang yang kita pakai ini juga ada kehadiran yang fungsinya adalah untuk menghembus semangat keamanan.
Watak utama Shama seorang jurugambar membimbing sekumpulan pelancong melawat tapak arkiologi Angkor Watt berjumpa dengan seorang lagi pemandu pelancong bernama Maria yang menyakinkan Shama bahawa Angkor Watt itu bukan satu kuil tapi suatu ruang untuk Apsara, penari cakrawal.
Digesa oleh alunan muzik malam maka Apsara yang terukir di tembok batu berhala itu, terus berubah sifat dan bentuk menjadi manusia dan terus menari. Ini berlaku dalam ruang sempit di belakang empat arca kepala bodhisattva yang bernama Avalokitesvara yang wajahnya menghala ke empat penjuru bumi yang melambangkan alam semesta yang tiada batas hujungnya.
Mesej M. Navin ialah apa saja halangan yang dihadapi dalam perjalanan hidup ini bukannya penyekat untuk mengetahui bahawa masa kita di muka bumi ini adalah ringkas, seringkas jari-jemari penari itu berubah mudranya.
Namun, masa itu agak berlarutan dalam novel oleh Nisah Haron, Lentera Mustika.[4] Ini adalah kerana watak-watak berinteraksi sesama sendiri dalam jangka masa yang lama. Adegan bermula dengan protagonis Ainur Mustika mengelak lamaran cinta dari dua pemuda cukup layak sehinggalah dia akhirnya membuat keputusan mahu berkahwin. Ainur Mustika itu amat cekap, berpendapatan bulanan sebagai pensyarah, dan memilih untuk menumpukan penyelidikannya pada bidang pantun Melayu.
Feminisme Ainur Mustika bukanlah tanda dia memberontak terjadap kaum lelaki yang menakluki masyarakat tetapi adalah satu penegasan hasil pendidikannya sebagai wanita keturunan Minang. Ainur Mustika dibesarkan dalam kalangan wanita-wanita yang kuat azamnya, merentasi kesulitan dalam hal ehwal keluarga.
Mereka berunding untuk mendapatkan muafakat dalam di kalangan suku yang bertelagah. Budaya Minang di Negeri Sembilan yang matriaki itu menuntut peranan wanita dalam hal harta pusaka, dan juga dalam hal keturuan demi mengelak terjadinya inbreeding.
Ainur Mustika berkahwin dengan peguam Emir Johan yang terlatih dalam bidang perundangan sivil dan adat, seorang pencinta kesusasteraan Melayu klasikal. Strategi Ainur Mustika ialah dengan perkahwinan ini dia ada seorang lelaki yang melindunginya dari kedegilan Syed Amirul Hakim yang mulanya berjaya melamar tetapi, paradoksnya, ialah dibatalkan oleh keluarganya sendiri, mungkin disebabkan Ainur Mustika itu tidak berdarah Arab.
Ainur Mustika mengira bahawa perkahwinan dengan Emir Johan sebagai satu pelaburan masa depan. Kepadanya perkahwinan itu bukan tanda semangatnya sudah menjadi lemah tapi sebaliknya adalah satu penegaskan identitinya sebagai wanita yang boleh berfikir. Pelamar sebelum itu, Dr. Rozario dan Zul Farhan, kedua-duanya bekas pelajarnya, akhirnya menerima perkahwinan Ainur Mustika, mengagumi ketajaman fikirannya yang terbukti secara selamba.
Jom kita tenggok karya catan bagi saya peluang bercerita lagi.

Di sini kita melihat Ahmad Fuad Osman mengambil mitos Yunani tentang watak Narcissus, pemuda kacak yang disumpah oleh Nemesis. Nemesis itu dewi pembalasan yang hatinya, sama seperti hati wanita-wanita lain, telah dipikat kemudian diluka-kecewakan oleh Narcissus.
Apa kaitan catan ini dengan pergolakan politik di Malaysia? Ada kaitan, jika kita fikirkan tentang soal sayang pada wajah sendiri itu, philautia, dalam bahasa Yunani sebagai dorongan. Kita simpulkan bahawa sayang pada wajah sendiri itulah, atau philautia, yang sudah sekian lama mendarah daging dalam batang tubuh batang politik.
Walaupun dia berucap berapi-api mahu mengekalkan pentadbiran yang tulus, yang kemudiannya diwar-warkan lagi oleh kaki bodeknya yang seramai satu bas itu, maka itu tanda dia seronok mendapat perhatian. Mengidam sanjungan itu adalah ibarat dadah, mudah ketagih.
Di dalam catan ini, pelawak yang di belakangnya itu adalah watak tambahan, mencerminkan ego Narcissus, semacam watak kembar yang terus mahu philautia itu kekal. Maka pelawak pun memberi arahan, memujuk, dan mengumpan.
Pelawak ini bertopeng, memakai jubah berwarna warni, merah, biru, hijau, kuning dan putih, mendekati wajah realiti penipuan yang berlaku dalam kancah politik semasa yang busuk menjijikkan itu.
Sebaliknya, jika karya ini digantung terbalik, yakni, dahulu di sebelah atas kini bertukar duduk di sebelah bawah, maka imej ini bercerita lain pula. Pelawak kini memainkan peranan sebagai dalang, yang menguak kedua-dua lengan bonekanya Narcissus.
Narcisus tunduk merenung ke dalam air yang tenang. Wajah Narcissus dalam air itu lebih cerah, cukup ideal, yang amat-amat diidamkan. Maka dalam gambar yang terbalik ini watak pelawak itu tidak ada. Muka Narcissus yang tua itu murung, teringat-ingat zaman mudanya yang telah terbazir.
Manusia yang penuh philautia jarang menyesal maka dia pun menilik-nilik ke dalam air, mencari jembalang untuk dituduh bertanggungjawab ke atas nasibnya yang sial.

Gan Chin Lee melukis cerita tentang perbezaan fahaman yang diacu semula dalam satu gambar yang mempunyai empat adegan.
Adegan pertama ialah sekumpulan tiga orang Rohingya bermuka kusut, menandakan mereka enggan menjadi orang-orang pelarian. Negara asal mereka Myanmar telah menyingkir mereka secara kekerasan yang ditaja kerajaan.
Watak Rohingya yang duduk di atas bangku sedang menelifon entah siapa di hujung sana. Gan Chin Lee menegaskan keresahan mereka dengan menampal bedak putih pada muka mereka. Mereka berpura-pura tidak merasa cemas dengan memandang ke arah lain, berlagak selamba.
Kumpulan kedua menunjukkan budak-budak tempatan yang memakai T-shirt, sibuk mengambil selfie, langsung tidak peduli pendatang asing di hadapan mereka, tertanya-tanya macam mana pula boleh tersesat ke kawasan ini, yang dipenuhi oleh warga asing yang busuk baunya.
Kumpulan ketiga ialah pengacau memaki-hamun mereka yang di dalam bas yang disewa khas. Bas itu mengisi hampir setengah kanvas yang besar itu. Ini musim pilihan raya sebab bendera parti berkibar-kibar dan bunting terhayun-hayun ditiup angin ibarat perjanjian, perjanjian yang ditunai, dan perjanjian yang cuai.
Kumpulan keempat terdiri dari lima warga emas yang duduk di serambi, sembang-sembang, tiada kaitan dengan kumpulan perusuh yang kaw-kaw memaki hamun penumpang dalam bas Wawasan Sutera itu.
Sutera itu bunyinya senada dengan mesej yang tersirat bahawa wawasan apa pun yang dibalut dengan sutera, atau kain kapas, atau kain denim adalah tidak kekal. Boleh hilang dalam sekelip mata.
Warga emas yang berhemah itu tahu sangat bahawa politik itu adalah permainan korup dan kotor yang menjijikkan.

Karya ini adalah kritikan terhadap peristiwa yang menyelubungi kematian Altantuya, seorang model berbangsa Mongolia yang dipercayai terlibat dalam salah laku seksual dengan pegawai-pegawai tertinggi di Malaysia.
Banyaknya imej replika bayi itu merujuk kepada kehamilan Altantuya sebelum dia dibunuh. Marvin Chan menggunakan lantai tarian untuk mencadangkan tapak asal sebelum dia diculik. Laporan media mendedahkan bahawa para penculiknya itu telah menggunakan bahan letupan gred tinggi yang diluluskan Kementerian Pertahanan dalam misi penghapusan itu.
Marvin Chan menyediakan suasana pentas untuk melakonkan siri peristiwa ngeri ini. Altantuya diletakkan di tengah, sehingga dia menarik semua perhatian pemerhati; benda-benda lain di sekitarnya adalah props.
Juga digambarkan ialah sepuluh muka bayi yang semuanya sudah pecah patah. Dua daripada bayi itu tergantung secara terbalik, di bahagian atas kanvas. Ini telah berubah pula menjadi anak patung plastik dengan lengannya yang terputus sehingga terteralah mesej betapa pembunuhnya itu langsung tidak menghargai nyawa.
Satu lagi benda yang aneh ialah sepasang balak di bahagian tengah yang menyerupai ulat. Sepasang lagi balak bergantung secara terbalik. Lengan-lengan bayi menggelepar tak berdaya, seperti kaki ulat bulu. Betapa pentingnya ulat bulu itulah yang menjadi pendorong utama karya Marvin Chan ini.
Ulat bulu itu adalah lambang perubahan dari satu bentuk penghidupan kepada yang lain: makhluk berkaki banyak berubah menjadi rama-rama kuning yang cerah, merah, coklat, putih, sehingga melambangkan kebangkitan semula harapan yang asli.
Seorang lagi perempuan mengintai di belakang. Siapakah gerangan? Dia adalah seperti sosok yang kita boleh cam melalui kening mata, hidung, mulut, pipinya. Marvin Chan melukis wajah dua wanita yang saling benci membenci sehingga inilah yang menjadi leitmotif lagaan antara setia dan khianat.

Bayu Utomo Radjikin juga mengolah tema setia dan khianat dalam catan ini.
Bayu Utomo Radjikin bertanya soalan yang jawapannya dia sudah tahu. Tidak, sejarah tetap sejarah, tidak berubah. Yang berubah adalah pelaku-pelakunya.
“Does History Change?” adalah imej berdasarkan foto oleh Eddie Adams yang kebetulan berada di tempat kejadian tepi jalan yang gamat dikepung semasa Tet Offensice. Ini exekusi brutal dalam Peperangan Vietnam yang menggembeling pendapat dunia menentang peperangan tersebut.
Algojo itu bernama Jeneral Nguyen Van Leon, Ketua South Vietnam military Intelligence, memakai pistol .38 Special Smith & Wesson Bodyguard. Yang dibunuhnya ialah ketua skuad Viet Cong bernama Nguyen Van Lem.
Beberapa bulan selepas itu, Jeneral Nguyen Van Leon cedera parah oleh tembakan mesingun. Para doktor terpaksa potong satu kakinya.
Dia cabut ke Amerika Syarikat bila Saigon tumbang pada 30 April 1975 di mana dia mati pada 1998, tanpa menyuarakan sesalan apa-apa.
Bayu Utomo Radjikin terbalikkan foto tersebut sehingga watak Nguyen Van Leon di sebelah kiri itu, mengacu hujung pistolnya ke kepala Nguyen Van Leon di sebelah kanan. Tangan kanan yang memegang pistol adalah sama dengan tangan kiri yang memegang pistol, kedua-duanya mengacu ke kepala yang sama.
Membunuh diri ini merujuk kepada kejatuhan Vietnam Selatan itu akibat percakaran sesama jeneral yang korup di kalangan keluarga yang memerintah. Nguyen Van Lem kini berada di latar belakang, tersengeh, memerhatikan pembunuhan itu, sambil mengangkat kedua-dua tangannya, tanda menang yang berpuaka.

Keganasan diolah juga oleh Zakaria Ali dalam karyanya, ”Halim the Peacemaker”. Puak-puak yang bermusuhan yang diwakili oleh empat ekor kerbau di satu pihak, dan tujuh ekor lembu, di pihak yang lain.
Mereka bergaduh pasal sebatang anak sungai, sumber air yang bukan milik sesiapa tapi semua mahu memilikkinya. Bersama dua ekor anjingnya Jimmy dan Kontot, Halim yang duduk di atas motornya, angkat tangan menandakan suruhan agar mereka yang bertelagah itu berhenti saja. Ambil giliran untuk minum sebab cukup untuk semua.
Pisang masak mendorong mereka datang menghadiri rundingan damai bahawa datang ke sungai ini secara berasingan. Halim hanya melemparkan sebiji atau dua biji pisang kepada setiap haiwan, tanda hadiah tidak tunjuk samseng.
Tahun-tahun ke belakang ini saya mula belajar mengutip halbenda tanpa pergi ke sana sini. Saya pernah membawa pelajar saya berkelah dan melukis nun jauh di dalam belantara Taman Negara, yang pernah saya tulis.[5]
Semakin saya berusia, maka semakin saya mulai nampak di sekitar saya bahawa rupa dan bentuk yang beranika warna boleh saja dicampur aduk, sebilangan garis-garisan yang boleh saja dilakar dan diolah sehingga terekalah satu rangkaian cerita. Apa saja halbenda yang saya pilih untuk mencipta komposisi adalah cabaran yang sama, baik di rumah mahupun di hutan.
Saya pun bertanya diri sendiri: lukis saja orang-orang yang kamu sayangi. Isterimu, anak-anakmu, jiran-jiranmu, kawan-kawan di sekitarmu yang masing-masing mempunyai cerita yang kamu tahu.


Saya ingin berfikir bahawa saya tetap kekal merasa terenggang apabila mengolah halbenda yang saya pilih. Kurangkan mengidealisasi, fokus pada usaha untuk mendapatkan keserupaan. Itulah tugas utama sang pelukis potret.
Pendek-memendekkan itu terjadi tapi sedikit sahaja. Kaki isteri saya lebih dekat kepada penonton daripada mukanya, yang saiznya itu dikurangkan secara berkadar. Kaki, seperti muka, patut diperlakukan dengan perincian yang sama, bukan untuk kepentingan butiran tetapi untuk menimbulkan perasaan yang hampir serupa dengan rasa bersalah.
Keseronokan yang dirasai secara senyap-senyap pada masa yang bukan sepatutnya, masa yang dipinjam.
Isteri saya adalah peminat filem thriller Korea, cinta segitiga, siasatan pembunuhan, cerita kuno dalam latar moden, di Netflix. Kerusi couch itu adalah pelabuhannya; sekali mendarat, payahlah hendak bangun.
Tekun betul dia menonton, sering bergenang air mata, walaupun tidak faham sepatah pun bahasa Korea. Tapi dengan sarikata Melayu, dia ikut cerita dari awal hingga akhir, kesemua 20 episod dalam tiga hari.
Kaki itu agak jarang ditunjukkan dalam karya potret. Dilihat dari sudut mana pun, kaki itu memaparkan pelbagai satah. Satah hadapan, satah tengah, satah belakang, satah lengkung.
Saya tekankan kaki sebab kaki itu, seperti tangan atau muka, adalah petunjuk kepada peribadinya sebagai suri rumah tangga yang bersyukur menjadi seorang ibu.
Dia memakai baju kelawar yang longgar, digemari oleh isteri-isteri Melayu yang anak-anaknya sudah besar, berkahwin dan berpindah.
Penawarnya mengubat kebosanan ialah dengan menjaga kucing-kucing dan anjing, berkebun, dan bersembang dengan pembantu rumah Kiah supaya dapat mendengar cerita.
Cerita-cerita itu kemudian disampaikan kepada saya, seorang pengumpul penglipur lara yang tekun.

Di Malaysia berbogel-bogelan di depan khalayak itu adalah haram. Jadi para seniman pandai-pandailah ambil iktibar. Namun, catan wanita atau lelaki yang berbogel itu biasanya dipamerkan secara nyorok-nyorok kepada sekumpulan kecil pecinta estetika yang bercakap dengan telonya berbau wang ringgit. Saya memilih untuk menggambarkan lengan isteri saya, yang sedang tidur nyenyak, mulutnya sedikit ternganga, melepaskan dengkur kecil-kecilan.
Lengannya dinaikkan ke atas kepala, satu postur yang dia suka buat. Saya membesar-besarkan saiz lengannya itu demi menyerlahkan lagi tekstur kulitnya yang lembut dan gebu. Memakai gaun malam berwarna biru muda, dia tertidur, tidak sedar suaminya itu sedang melukisnya. Dia sudah biasa dengan perangai saya suka melakarnya pada bila-bila masa yang ganjil, dalam apa jua pose yang saya rasa mencabar.
Dengkurannya itu adalah amat meyakinkan sebab bila kita berada di luar menghadiri mesyuarat, terpaksa tidur bersendirian di atas katil besar di hotel, di dalam bilik yang penuh dengan kenangan, kecurangan, pendustaan pelangan yang terdahulu, dihantui pula oleh bayang-bayang seram dengan niat yang gelap, maka kita pasti merindui dengkurannya yang melindungi itu.
Bantal kepam di rumah itulah yang senantiasa mengamit pulang.

Zulkarnain ialah anak sulung, berempat adik beradik. Semasa melukis potret berganda ini, saya terfikir apakah perkara-perkara yang menonjol tentang dia.
Yang pertama ialah dia gemar keteraturan. Sejak budak-budak lagi, dia suka bajunya kemas, digosok, diselit dengan betul. Dia mematuhi peraturan rumah bukan melanggar. Dia marah bila adik-beradiknya yang nakal melanggar, bersikap acuh tak acuh.
Semasa kecil, mereka sering bergegas ke tandas awal-awal lagi untuk kencing bersama-sama mengelilingi mangkuk. Saya mendengar Zulkarnain menjerit “Abah kote Zain panjang!”
Zulkarnain memastikan setiap hidangan di atas meja itu mesti ada sudunya. Semasa mencedok jangan tumpah. Dia enggan cubit ikan kering yang dikongsi bersama di meja makan. Mereka memanggil satu sama lain dengan nama panggilan yang melekat sehingga dewasa.
Status Zulkarnain diuji dari semasa ke semasa tetapi pangkatnya sebagai abang sulung sentiasa dihormati. Mereka melihat dia itu lurus bendul sehingga mudah diejek-ejek di belakangnya, sindir-sindir sedikit. Mereka tahu dia memang tidak boleh nyalakan ubat nyamuk, kerana ubat nyamuk itu bulat dan tidak pernah terbakar cepat atau lurus.
Dia mengambil peranannya sebagai abang sulung dengan serius; menunjukkan kepada adik-adiknya apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, katakan, semasa di pasca siswazah, atau memberitau adik-adiknya tentang peluang pekerjaan yang baru, sehingga ringanlah kesusahan mereka.
Apabila ada di kalangan kami yang sakit dia segera datang melawat. Bila saya atau isteri masuk wad, dia berada di tepi katil kami sepanjang waktu melawat, dan tidur di lobi untuk menunggu waktu melawat seterusnya.

Anak kedua saya, Zain bertemu isterinya, Reem, seorang warga Thai ketika mereka di universiti. Mereka berkahwin selepas tamat pengajian, mengetahui sepenuhnya bahawa mereka akan menjalani perkahwinan rentas sempadan, dengan bermacam masalah yang dihadapi, terutamanya selepas anak kembar mereka dilahirkan.
Di dalam lukisan ini, kepala Zain condong ke arah isterinya, manakala lengannya pula merangkul bahu, tanda dia menguasai, diperkuat oleh kakinya yang terbuka sedangkan kaki Reem tertutup. Zain memegang sebuah buku bertajuk The Art of Long Distance dash dash dash, sebuah buku tanpa pengarang. Zain tidak perlu baca kerana dia sudah hafal isi kandungannya.
Saya masih ingat bertahun-tahun lalu, kami meninggalkan Zain, baru berusia 5 tahun, untuk menjaga tiga beg barangan runcit di atas salji di hadapan bangunan pangsapuri di kampus tempat kami tinggal di Cambridge, Massachusetts.
Kami terpaksa letakkan kereta di parking bangunan sebelah. Bila kami balik, Zain masih berdiri tegak, berbalut kot tebal musim sejuk, menghembuskan kepulan-kepulan wap. Dalam lif naik ke tingkat 19 ke apartment kami, mengangkut barangan-barang runcit, Zain berkata dia sudah tahu bezakan api dari haba, benda yang nampak, dan benda yang tidak nampak, visual dan konseptual. Dalam kuliah di kampus, dia jarang mencatat; dia ingat apa yang pensyarah syarahkan.
Semasa dia di Penang Free School, Zain minta saya rumus isi novel Chinua Achebe, Things Fall Apart. Saya suka sangatlah sebab sekurang-kurangnya ada salah seorang anak saya yang empat ini berminat dalam kesusasteraan.
Tapi ke lain pula arah minatnya. Dia suka watak-watak kartun yang tangkas dalam cerita-cerita yang pantas bergerak seperti dalam komik Batman dan Spawn, dan mainan video Monster Hunter Wilds PS5 yang penuh bersiri pertarungan dahsyat antara perwira dan dragon yang kalis mati.
Kini sudah dewasa, Zain adalah kolektor buku-buku komik yang tekun, merayau-rayau di kedai buku terpakai mengungkai naskah-naskah yang telah tercicir dari koleksinya.

Komposisi pepenjuru ini adalah bertujuan menarik perhatian penonton mengkaji dwipotret ini. Ia diibingkai oleh segi empat yang terapung di latar belakang sehingga terbitlah satu perasaan kesatuan utuh di dalam diri penonton.
Zaki dilahirkan di Boston Children Hospital semasa saya mengikuti pengajian kedoktoran. Ketika itu saya kabur sama ada ibu bapa boleh menuntut uri atau plasenta bayi untuk upacara pembersihan dan kemudian ditanam, seperti yang diamalkan dalam budaya Melayu.
Kami tidak memintanya. Jika kami minta, saya tidak pasti dapat atau tidak. Kalau saya dapat, hendak buat apa. Kami adalah pelajar yang sentiasa kekurangan wang, tanpa akses ke tapak pengebumian Muslim yang berdekatan. Jika saya tertangkap menanam uri di tepi kolam Walden mungkin itu satu jenayah di Amerika, siapa tahu?
Tidak selesa sedikit saja Zaki terus nangis, jadi menjaga dia itu satu cabaran juga. Dia alah kepada sotong, kerang dan telur, makanan kesukaan kami. Disusui badan ibu, Zaki adalah seorang kanak-kanak yang sihat akan tetapi sering mengalami serangan asma dan ruam kulit.
Pernah, di sekolah menengah, dia meminjam sebatang berus saya untuk kelas seninya tetapi lupa pulangkan. Saya tegurlah dia. Sejak itu, dia jarang bertanya tentang lukisan saya, malah masuk studio pun tidak pernah. Potret ini saya hadiahkan untuk majlis perkahwinannya, tetapi tidak lama kemudian dia pulangkan semula, dengan alasan ruang dinding sudah penuh.
Zaki dibesarkan meminati sukan, seperti futsal, skating dan terjun bungee. Dia memang berani semberono. Dia akan kayuh basikalnya turun bukit laju gila di taman. Semasa berbulan madu di New Zealand, dia lompat bungee di Taupo Bungy untuk membuktikan kepada isterinya dia bukan calang-calang orang.

Kedua-dua pasangan muda ini duduk di atas bangku di padang terbuka yang surut ke latar belakang hutan yang semakin pudar, dan gunung berkabus, satu peringatan penting tentang masa depan yang sukar untuk diramalkan.
Zikri adalah anak bongsu, sentiasa disakat oleh abang-abangnya. Dan dia adalah anak yang patuh dan jarang membantah. Apabila Zulkarnain mengarahkan Zain melakukan sesuatu, maka Zain akan memindahkan arahan itu kepada Zaki. Zaki mengarahkan pula Zikri, yang buat saja tanpa soal. Perintah berturut-turut itu biasa dalam keluarga kami.
Zikri juga mewarisi kasut, beg, baju, seluar, buku abang-abangnya. Dia tidak terkilan menerima barang-barang terpakai ini; sebaliknya, dia berasa istimewa, dapat munafaatkan semula barang-barang abangnya itu.
Zikri mempunyai kelebihan deria yang membolehkannya menyentuh, atau memegang, ular, tikus, anjing, kala jengking, lipas, biawak, haiwan, binatang yang abang-abangnya takut, geli, dan jijik.
Dia menangis pada suatu hari melihat anak angsa kegemarannya di halaman rumah dipenggal oleh gerombolan tikus monsun sebagai membalas dendam terhadap pembersihan yang kami lakukan pada awal hari itu.
Untuk memujuknya, kami membeli berpuluh-puluh lagi anak angsa. Lantas kami mengupah pasukan penghalau perosak untuk memusnahkan tikus-tikus itu. Selepas itu kami meminjam kucing jiran untuk menghabisan sisa-sisa yang tertinggal, sehingga serangan berkurangan dan selepas itu berakhir.
Mengikut kesukaan saya, dia juga berminat aktiviti lasak, berkhemah solo, menggunakan peralatan lama saya. Ramai teman wanitanya datang dan pergi, kerana tiada siapa yang boleh bertolak ansur dengan dia yang nekad mahu bermalam di bukit, bukan berbelanja wang di pusat membeli-belah, dan fesyen.
Selepas berkahwin, dia berjaya mengasuh isterinya, dengan sentuhan dagunya, untuk berkongsi keseronokan tidur di luar di bawah bintang yang bertaburan. Isterinya menempis-nepis nyamuk di tapak perkhemahan tetapi berjanji berada di sisinya, hatta diancam lipan, lintah, atau kala jengking sekali pun.

Halim insaf bahawa dirinya itu amat terbatas. Dia pun berurusan dengan keterbatasan dirinya itu sepanjang masa. Sejak kecil, dia telah diberitahu bahawa dia lembab, dan dia percaya.
Semasa dewasa, dia bekerjalah di mana-mana saja untuk terus menyara hidup: di kilang papan, di ladang kelapa sawit atau getah, di tapak pembinaan, di lombong bijih timah, membantu penternak itik dan ayam.
Pada suatu hari yang penuh berkah dia bertemu dengan seorang kawan bernama Osman, di Bidor yang menjemput dia berpindah ke Tg. Malim. Di sinilah dia mendapat kerja di kawasan perumahan mewah, menebang pokok, memotong rumput, membaiki paip, dan pada sebelah malam pula, mengawal pos keselamatan. Buat pertama kalinya dia ada alamat, dan majikan yang mencarum KWSPnya.
Walaupun dia selalu merungut tentang terlalu banyak kerja, namun dia bersyukur sekurang-kurangnya dia ada kerja. Semasa rehat makan tengah hari selama satu jam dia pun duduk di kaki anak tangga menuju ke sungai, dengan mesin pemotongnya. Satu jam rehat itu adalah miliknya; tiada sesiapa pun boleh tipu dia akan nikmat itu.


Dalam potret kumpulan ini, Osman berada di tengah-tengah, kecil, berbanding dengan abang saya Yusof dan isterinya, dan saya, meringis di bawah sinar matahari. Kami berada di belakang rumah abang di Rembau untuk membincang hal-hal keluarga berhubung tanah pusaka. Yusuf, lelaki sulung dalam keluarga kami, mengambil alih peranan arwah ibu yang berperanan dalam masyarakat matrilineal keturunan Minangkabau ini.
Sebaliknya, Osman tidak mempunyai ikatan kekeluargaan, anak yatim piatu, dibesarkan oleh datuknya yang jarang hadir. Entah bagaimana, Osman berjaya melepasi Tingkatan Tiga. Untuk terus hidup, dia melakukan apa sahaja pekerjaan yang ada sebab dia ringan tulang: pemotong pokok, operator kilang papan, pemandu lori, penarik kabel, pemungut buah.
Dia sentiasa berpakaian kemas, berwangi-wangian selepas mandi, memakai kasut kulit terbaik bila pergi kerja sebagai jaga di kilang pembinaan. Dia cerdik dan cekap, senantiasa ingat dialah yang betul.
Dia adalah pembantu saya yang membela taman di bawah kawalannya sepenuhnya, sehingga saya tidak perlu beri arahan apa-apa. Bila bercakap dengannya saya memupuk rasa penghargaan: durian kita, manggis kita, jambu kita, rambutan kita. Bersama kami, dia merasa dirinya dihargai.

Ini isteri Osman, yang masak untuk kami, membersih dan vakumkan rumah, memberi kucing dan anjing makan. Walaupun buta huruf dia mengira dengan mengingati bunyi nombor. Dia berbincang dengan mengingati bunyi perkataan.
Dia masih ingat banyak butiran mengenai berpindah randah dengan ibunya yang sakit, dan bapanya yang panas baran, dari satu tempat ke satu tempat, dari satu hutan teroka ke satu lagi, satu stesen bas ke steten lain, mengangkut pinggan, piring, periuk dalam guni, ibarat penghidupan keluarga nomad mencari tempat berteduh.
Kini dia bersama keluarga kami. Dia memegang kunci rumahnya, yang ada dapur untuk memasak mengasah bakat kulinarinya. Dia bebas sehingga boleh beli barang C.O.D. dalam talian. Dia kini boleh merancang hari esoknya, naik motosikalnya ke bandar untuk mencari barang-barang on sales, ke pasar menawar harga, tiga kilo ikan keli. Isi perut ikat itu dia bagi kucing; dagingnya disalut garam dan kunyit, kemudian digoreng, untuk kami.

Entah kenapa, anjing dan kucing yang saya bela sentiasa serasi, tidak bermusuhan. Mereka hidup aman, seolah-olah mereka sudah menandatangani perjanjian damai. Mereka berjemur bersama, satu amalan biasa di sekitar halaman, selepas mengejar biawak yang menyelinap di tepi sungai, menghalau beruk-beruk samseng yang bergayutan.
Satu perkara yang mereka tidak suka ialah berkongsi semangkok makanan. Kuning licinkan mangkok sendiri; Haq licinkan mangkok dia juga. Ketika inilah naluri bagi kelangsungan hidup itu terdedah. Bunyi geraman Kuning itu memberi amaran kepada Haq: kau jangan dekat.
Saya berhenti; cukup sudah membosankan tuan-tuan dan puan-puan.
Terima kasih.
Dr. Zakaria Ali merupakan tokoh seni, ahli akademik, pelukis dan penulis prolifik yang telah banyak memberikan sumbangan besar dalam dunia kesusasteraan, penulisan kreatif dan seni visual di Malaysia.
Rujukan:
[1] Dari “The Love Song od J. Alred Prufrock” dalam T.S. Eliot, The Wasteland and Other Poems. London: Faber and Faber, 1975, ms.13
[2] Anne Lamott, Bird by Bird: Some Instructions on Writing and Life. New York: Pantheon Books, 1994, ms. 21.
[3] “Apsara” oleh M. Navin, Dewan Sastera, Jun 1922, ms. 84-90.
[4] Nisah Haron, Lentera Mustika. Kuala Lumpur: Biblio Lit, 2022.
[5] “Art Out On the Tembeling River,” dalam Zakaria Ali, Malaysian Art: Selected Essays 1979-2009. Tanjung Malim: Penerbitan Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2019, ms. 469-476
