Ya, Ismail.
Aku telah mati pada Mac 2003—21 tahun sebelum giliranmu. Aku disodok jentolak, di bumi yang engkau kasihi: tanah tandus ini. Ketika itu, umurku baru 23 tahun—dan kalau aku masih hidup, ya Ismail, usiaku hari ini adalah 44 tahun. Dan seperti kalian, aku pasti akan punya suami yang tampan, dengan anak-anak kami membesar dengan kasih sayang di kota Olimpia—kota di mana aku berasal.
Pada sabak hitam, bumi Rafah, sebelum nyawaku dijemput sang malaikat bersayap bersih dan wangi, aku menulis di atas tanah-tanah berdebu: rahsia yang engkau tidak tahu. Tulisanku, ya Ismail, walaupun tiada jelas di matamu, tapi terpancar pada langit Palestin yang berkepul asap kelabu. Aku redakan diriku dijadi korban, kerana dengan sebuah kematian, muncul sejuta harapan.
Ya, Ismail.
Bukankah kematian hanya daun-daun kering yang gugur ke sungai keabadian. Mengalir ke laut kecintaan. Di sampingku kini anak-anak yang engkau sebutkan namanya selalu, yang jumlahnya tidak terhitung dengan jemariku—mereka bermain di taman seperti pari-pari yang mengabaikan waktu. Kala malam, ketika kalian memandang ke langit, bintang-bintang yang berkelip-kelipan, disitulah mereka yang memandang engkau, selalu.
Ibu-ibumu, ya Ismail.
Mereka telah menyambutku dengan mesra, sejak kali pertama kami bersua. Seperti anak dari kandungan sang bonda sendiri—tiada ertinya lagi warna kulit, lain bahasa, bahkan apa pun agama kita. Benar aku datang dari seberang sejarah dan tebing laut kuasa, tapi kami telah lama berkenalan di dalam mimpi, di malam hari.
Pada langit yang biru, aku mendengar suara-suara perempuan tua seperti doa yang bergaung, yang bergema; zikir yang berketik-ketik seperti biji saga jatuh di lantai; dan berselang dengan selawat para malaikat mengangkat tubuh-tubuh yang patah-ranah, yang berdarah-merah, yang pecah-punah, yang syahid-syuhada! Mereka boleh merampas nyawa ini, tapi bukan maruah dengan janji yang Maha Setia.
Pembunuhku, ya Ismail.
Pembunuhku—pemandu jentolak dengan muka bengis—dia menyangka, dia telah menumpaskan musuhnya. Sejak para durjana menggilis tubuh, dan kesakitan sampai ke hujung suaraku, “errrr,” dan “demi Tuhan, ya Ismail, demi Tuhan… hidupnya tidak pernah tenang lagi. Dia memakan kitab sucinya sendiri, bahawa setiap saat diseksa, mati mereka adalah mati yang berkali-kali. Penzalim itu, tidak akan pernah lepas dariku, yang berada di dalam igauan ngeri.
Ya, Ismail.
Ketika jasad diusung pulang ke rumah ibu-bapaku, aku tahu, mereka mahu kedua orang-tuaku menjadi hampa—kesal dengan anak gadisnya ini, yang mati bukan untuk tanahairnya, bukan untuk bangsanya, dan bukan juga untuk penganut seagama. Tapi ternyata tidak! Bahkan bagi ibuku, sejuk rahimnya mengandung dan melahirkan; dan bagi bapa, dia kuat apabila melihat aku memilih terselepuk longlai di jejak kemanusiaan—sementara ramai yang seusiaku, mati terselepuk longlai di lorong kehinaan. Tiada lagi gentar di depan halangan besi, atau peluru yang memancarkan percikan api.
Ya, Ismail.
Sebelumnya nafas kita bersatu, kau lihatlah ke sabak hitam di atas bukit arah Selatan; antara pohon-pohon zaitun dan tanda jalan; di sana aku tuliskan catatan diari yang akhir. Ia seperti sebuah puisi, bunyinya begini:
Ketika ibumu nyaris hilang harapan
Ketika usahanya berakhir dengan merebus kerikil
Ketika suara lebah diganti dentum-dentam letupan
Kaki sang Nabi menendang batu kecil
Di sana dilaungkan, “air-air-air!”
Cintaku, Ismail.
Aku datang ke sini
Mencari jejak-jejakmu
Untuk mendakap kisah dahulu
Meski rela, aku rela
Menggantikannya
Dengan usia muda
Bahkan, telah aku buktikan, atas nyawamu.
Ya, Ismail dan Tuhan yang tidak kelihatan di mata kasar ini!
Terimalah cintaku
Tiada nama yang kekal
Kecuali yang abadi
Di sisiMu nanti.
Ya, Ismail!
Aku datang dan aku tak mahu kembali.
Izinkan aku, selama waktu, di sini.
Nota: (Karangan yang ‘entah esei dan entah puisi’ ini dibacakan pertama kalinya pada 20 Ogos dalam acara Malam Sastera Gabungan [MASGAN]: Tribut kepada Ismail Haniyeh anjuran kelompok PERAHU HAMZAH di Toko Buku Riwayat, Kuala Lumpur).

