Pernahkah anda terfikir, dalam dunia ‘pascamodenisme’ yang penuh dengan gajet, sosial media seni digital dan AI, masih wujud satu bentuk seni lama yang ditulis dengan tangan. Seni ini, diwarnai dengan pewarna asli daripada tumbuhan, dan dihasilkan bukan sekadar untuk dilihat, tapi untuk dihormati. Seni yang dimaksudkan adalah manuskrip al-Quran alam Melayu, sebuah khazanah lama yang mungkin tidak sepopular trend seni kontemporari, tapi sebenarnya menyimpan keindahan yang luar biasa dan pelajaran hidup yang mendalam.
Seni hias dalam manuskrip al-Quran ini bukan sekadar corak atau hiasan. Ia adalah ekspresi spiritual, budaya dan intelektual umat Islam di rantau Nusantara yang membuktikan bahawa masyarakat Melayu dulu sangat kreatif, penuh nilai, dan sangat menghargai ilmu. Penulisan ini mengajak anda, khususnya golongan remaja dan penggemar seni untuk menyelami dunia indah ini. Kita akan lihat bagaimana lembaran-lembaran lama ini boleh memberi inspirasi, memperkukuh identiti diri, dan memberi nilai baru dalam seni dan kehidupan kita hari ini.
Bayangkan pada zaman lampau, sebelum ada mesin cetak atau skrin digital, orang-orang terdahulu menulis seluruh al-Quran dengan tangan. Huruf demi huruf, ayat demi ayat di atas helaian kertas buatan sendiri, atau dari kulit tumbuhan yang diproses dengan teliti. Itulah manuskrip al-Quran Melayu. Naskhah al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan dari Kepulauan Nusantara dan Dunia Melayu, terutamanya di wilayah seperti Terengganu, Patani, Aceh, dan Pulau Jawa pada sekitar abad ke-17 hingga ke-19. Teks disalin dengan dakwat dari bahan natural. Kemudian dihias dengan corak awan larat yang indah. Kertas buatan tangan biasanya diimport dari Eropah. Manakala hiasan pada kulit buku ditekap dengan prada emas. Apa yang menarik, setiap penyalin dan penghias manuskrip mempunyai ciri gaya tersendiri. Dari bentuk huruf, struktur teks hingga kepada susun atur motif hiasan. Ada yang menggunakan motif tumbuhan, geometrikal unit dan, ada juga yang hanya lakaran ringkas tapi sangat teratur dan harmoni.
Estetika yang Membentuk Jiwa
Kalau di sebut perkataan ‘estetika’, orang akan bayangkan seni, warna dan bentuk sehingga membentuk sesuatu rupa yang indah. Pendek kata, apa yang sedap mata memandang. Tapi estetika dalam manuskrip al-Quran Melayu lebih jauh daripada itu. Ia bukan sekadar cantik di mata, tapi menggetarkan jiwa nurani. Dalam setiap tulisan, corak dan warna mempunyai suatu ilham yang luarbiasa, di mana mampu membentuk jiwa remaja hari ini.
Kaligrafi: Tulisan yang Melatih Kesabaran
Kaligrafi dalam manuskrip ini biasanya dalam khat Nasakh atau Thuluth. Ia merupakan antara gaya tulisan Arab kursif yang kemas dan harmoni. Proses menulis mengambil masa yang panjang. Penyalin perlu memastikan setiap baris seimbang, huruf tersusun cantik serta tiada kesilapan. Satu titik yang silap boleh merubah maksud ayat. Di sini, remaja boleh belajar satu perkara besar iaitu kesabaran dan disiplin. Dalam dunia sekarang, seni seperti ini mengajar kita untuk memperlahankan langkah dan fokus akan matlamat yang di inginkan. Kaligrafi bukan sekadar tulis cantik tetapi ianya adalah latihan jiwa agar sentiasa tenang.

Iluminasi: Warna dan Corak yang Menghidupkan Makna
Seni iluminasi. adalah gaya hiasan yang memagari ayat-ayat suci Al Quran di setiap lembaran. Hiasan ini di bentuk dari berwarna emas, kuning, merah, atau dari dakwat hitam. Motif yang digunakan mempunyai falsafah di sebaliknya. Sebagai contoh: Awan larat melambangkan kesinambungan hidup dan wahyu. Bunga dan dedaun menandakan pertumbuhan dan kecantikan ciptaan Tuhan. Manakala, Geometri simetri menunjukkan kesempurnaan dan keseimbangan.

Rekaletak: lembaran sebagai Simbolik Kehidupan
Apabila di teliti pada setiap halaman manuskrip, kita akan dapati bahawa pengalaman membaca al-Qur’an bukan hanya terhad kepada bacaan literal, tetapi turut diperkaya dengan panduan visual yang memberi kesan mendalam kepada jiwa pembaca. Reka bentuknya berperanan sebagai petunjuk untuk membentuk kepekaan terhadap keindahan, ketertiban dan penghormatan terhadap wahyu. Corak hiasan yang di gunakan pula, berbentuk vegetal mahupun geometri, berfungsi sebagai medium didaktik yang menyampaikan mesej secara halus dan tidak langsung. Tiada istilah sekadar memperindahkan naskah manuskrip sahaja.

Apa nilai yang remaja boleh pelajari?
Manuskrip al-Quran Melayu bukan sekadar karya seni yang cantik, tapi sebenarnya penuh dengan nilai hidup yang sangat akrab untuk remaja hari ini. Antara nilai yang gologan remaja boleh belajar daripada keindahan dan proses penghasilan manuskrip ini adalah seperti.
Yang pertama; Kreativiti yang dihalusi akhlak. Jika di lihat, kreativiti seni kaligrafi dan iluminasi dalam manuskrip Al Quran mempunyai aturannya dan adab. Tiada ruang untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan nilai agama. Ini mengajar remaja bahawa kreativiti bukan bermakna kebebasan tanpa batas, tapi berlandaskan kesedaran dan tanggungjawab terhadap pemilikNya. Menghasilkan sesuatu dengan hati yang ikhlas, dan nilai baik, hasilnya bukan saja cantik, malah memberi manfaat kepada diri dan orang lain.
Kedua; Estetika dan identiti budaya. Hari ini, sebahagian besar remaja terdedah kepada budaya luar seperti K-pop, anime dan muzik Barat. Tiada salahnya menghayati seni dunia, tapi kadang-kadang kita lupa untuk kenal dan hargai seni warisan kita sendiri. Manuskrip al-Quran Melayu adalah sebahagian daripada identiti seni dan budaya Islam Melayu yang kaya dan unik. Dengan mempelajari dan memahaminya akan menjadikan golongan ini menghargai, serta berasa bangga menjadi sebahagian daripada warisan besar ini. Lantas, ia membantu membina jati diri yang kuat dan menghormati akar budaya.
Ketiga; Seni dan spritualiti. Satu perkara yang istimewa tentang manuskrip ini ialah seni dan spiritualiti berjalan seiring. Iluminasi dan kaligrafi bukan sekadar untuk menarik perhatian mata, tapi untuk mengangkat hati dan jiwa lebih dekat kepada Allah. Seni bukan sekadar hiasan, tapi juga jalan untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Jika niat dan proses adalah betul, seni juga mampu menjadi amalan rohani yang sangat bermakna.
Keempat; Fokus, sabar dan disiplin. Proses menghasilkan manuskrip memerlukan ketelitian, ketekunan, kesabaran, dan disiplin yang tinggi. Ini sangat berbeza dengan budaya instant gratification yang biasa kita alami sekarang. Belajar daripada seni ini, remaja boleh praktikkan nilai kesabaran dan usaha berterusan dalam apa jua bidang, bukan sahaja seni, malahan perkala lain dalam kehidupan.
Kita hidup dalam era digital, di mana segala-galanya bergerak pantas dan teknologi menguasai hampir semua aspek kehidupan. Jadi, persoalannya: bagaimana manuskrip al-Quran Melayu, warisan tradisi yang ditulis dengan tangan, boleh kekal relevan dan ‘hidup’ dalam dunia moden? Cadangan jawapannya adalah terletak pada aspek inovasi dan kreativiti generasi sekarang. Sebagai contoh, sebuah projek augmented reality (AR) telah dibangunkan oleh Universiti Malaysia Terengganu. Projek ini mempamerkan naskhah Al-Quran Terengganu dengan menggunakan aplikasi AR bagi memaparkan struktur reka bentuk dan reka hias seperti kaligrafi dan hiasan secara interaktif di skrin. Ianya bukan sekadar gambar statik, tapi efek gerakan yang diceritakan sebalik corak.

Ini menjadikan warisan mansukrip Melayu menarik, difahami dan dihargai oleh generasi muda yang sudah terbiasa dengan teknologi. Golongan remaja masa kini, mengunakan teknologi atas talian dan media sosial. Mereka berpotensi menjadi penjaga dan penyambung warisan ini dengan kaedah cara baru sepertimembina aplikasi pendidikan seni kaligrafi dan iluminasi secara digital. atau menghasilkan video pendek dan dokumentari yang menarik tentang sejarah dan keindahan manuskrip. Dengan cara ini, manuskrip al-Quran Melayu bukan hanya menjadi sejarah yang dilupakan, tapi sebuah dunia baru yang boleh diterokai oleh semua.
Kesimpualan
Menyulam Cahaya dari Lembaran Lama ke Dalam Jiwa Muda
Manuskrip al-Quran Melayu adalah cahaya dari lembaran lama yang menerangi perjalanan budaya, seni, dan rohani makhlukNya. Bagi remaja dan komuniti seni hari ini, khazanah ini membuka peluang untuk menerokai bukan hanya tentang keindahan rupa, tetapi tentang kesabaran, disiplin, dan nilai yang menguatkan jati diri. Manuskrip ini mengingatkan kita bahawa nilai-nilai tradisi dan warisan boleh digabungkan dengan inovasi moden untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja menarik, tetapi juga bermakna. Seni bukan sekadar hiasan ia adalah jiwa yang berbicara melalui masa dan ruang, dan manuskrip al-Quran Melayu adalah salah satu suara terindah yang pernah kita miliki.
Dr. Nurul Huda Mohd Din merupakan Ketua Pengajian Pascasiswazah
Pengajian Budaya Visual – Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA
