Perbincangan dalam teks ini mengulas dan membawa perhatian pembaca kepada peranan ruang seni awam dalam melestarikan ekosistem seni rupa Malaysia (SERUM).
Pernahkah kita bertanya di manakah ruang khas untuk kegiatan seni yang patut disediakan oleh kerajaan untuk kegunaan orang awam?
Persoalan ini dikemukakan kerana ruang awam seperti rekriasi dan riadah banyak diwujudkan bagi kegunaan masyarakat.
Misalnya seperti kawasan berjoging, padang bola, kolam renang, badminton dan sebagainya mudah ditemui dan diakses masyarakat.
Dimanakah ruang seni bagi kegunaan orang awam untuk mereka berkreativiti? Maksud di sini bukannya ruang untuk orang awam sebagai passive participant.
Umum hanya dapat melihat karya-karya seni yang pengisiannya telah yang ditentukan dalam ruang sesebuah galeri.
Walaupun ruang ini sememangnya terbuka pada masyarakat. Namun ia dirangka sedemikian dengan agenda atau rancangan tertentu.
Pengisian sebegini tentunya terlalu sempit daripada segi pemilihan siapa, jumud idea dan apa boleh dipamerkan di ruang tersebut.
Oleh demikian, teks ini akan mengupaskan isu-isu berbangkit berkenaan topik dan kelemahan ekosistem serum. Ia kenalpasti kerana ketiadaan keperhatinan atau kesedaran pihak atasan berkenaan impak serta sumbangan seni kepada masyarakat.
Besar kemungkinan pihak kementerian melalui pentabir seni kabur berkenaan fungsi seni kepada masyarakat.
Malah hanya menganggap seni sebagai hiburan (filem dan muzik) atau bersifat tourism yang mengutamakan unsur kewangan. Dikenalpasti inilah punca berlakunya kegagalan serta penigkatan buta seni dan budaya di Malaysia.
Ini kerana, pentabir hanya mengukur kejayaan daripada aspek keuntungan dan kewangan semata. Untuk pengetahuan pembaca kewujudan ruang seni awam mampu mengisi jiwa masyarakat dengan memberi ruang untuk mereka berekspresi, bereksplorasi serta berkreativiti.
Sebaliknya kerajaan gemar merendahkan keupayaan rakyat sebagai konsumer pasif yang hanya terbuka menerima pengaruh budaya kuning dari Barat.
Diketahui juga ruang seni bagi pengiat seni tempatan turut kecil jumlahnya.
Di manakah pula ruang untuk mereka berkarya? Sepatutnya kerajaan cakna bahawa para seniman adalah golongan penting dalam sesebuah negara.
Sedangkan di luar negara berbagai ruang sebegini disediakan oleh pihak kerajaan untuk kegunaan seniman.
Hal ini berlaku kerana kewujudan kesedaran serta kepentingan nilai seni dalam sesebuah masyarakat. Sebaliknya di Malaysia golongan hiburan dalam dunia filem dan muzik pula sering diketengahkan.
Malah mereka diberikan anugerah berlebihan oleh pihak kerajaan.
Sepatutnya anugerah negara mestilah terlebih dahulu diberikan pengiktirafannya kepada adiguru, pemikir, budayawan dan seniman.
Jelas merekalah penyambung legasi seni dan budaya warisan di rantau ini bukannya golongan hiburan. Adakah pihak kerajaan lalai, celalu atau buta seni dengan kepenting seni kepada masyarakat!
Maka tafsiran seni itu hanya merujuk kepada bidang-bidang berbentuk hiburan?
Hal ini membingungkan sekali dan amat pelik kerana diketahui bidang hiburan tidak langsung membangunkan pemikiran dan pembudayaan sesebuah masyarakat atau negara.
Dikenalpasti ruang seni awam boleh dikategorikan dalam beberapa segmen. Iaitu ruang seni awam yang didanai oleh kerajaan seperti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (KPSB) seperti Balai Seni Negara (BSN) dan Pusat Pelancongan Malaysia (PPM).
Malah boleh dikatakan setiap negeri di Malaysia turut memiliki ruang galeri yang ditabir oleh kerajaan negeri. Selain tu, wujud juga organisasi yang menyumbang kepada masyarakat seperti Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Petronas, bertempat di Menara Berkembar Petronas, Pusat Bandar Kuala Lumpur (PBKL) Balai Seni Maybank, dan Galeri Khazanah.
Seterusnya terdapat juga ruang seni awam yang wujud di Insitusi Pengajian Awam (IPTA) antaranya ialah Muzium Seni Asia dan Galeri Seni Universiti Malaya (GSUM) di Universiti Malaya, Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) Universiti Teknologi MARA dan Galeri Serdang di Universiti Putra Malaysia.
Seterusnya ekosistem serum turut disokong oleh penglibatan ruang komersil dan juga ruang alterternatif yang masing-masing mempunyai doktrin serta pendekatan yang berbeza.
Di antara ruang awam bersifat komersil yang dikenalpasti adalah Galeri Ilham, GMBB, RexKL dan UR-MU (Muzium Urban).
Manakala berikut adalah ruang awam yang bersifat ‘people centric’ seperti Wisma Kebudayaan Soka Gakkai, Balai Seni Sasaran dan Satu: Creative Collective.
Perbincangan ini akan menghadkan beberapa sampel ruang awam yang bertapak di Lembah Klang sahaja supaya ia lebih berfokus.
Pengecualian hanya diberikan Balai Seni Sasaran yang terletak di perkampungan nelayan di utara Selangor dan Satu: Creative Collective yang membawa pendekatan yang unik kerana beroperasi tanpa ruang tetap.
Galeri Ilham adalah sebuah galeri seni swasta yang memberi fokus kepada seni tempatan yang mempamerkan karya-karya berserta dengan program awam. Antaranya adalah diskusi seni dan kebudayaan bukan nasionalistik yang tidak sejajar dengan agenda kerajaan.
GMBB (dahulunya GM Bukit Bintang) yang dimiliki oleh Gamuda GM Sdn. Bhd, iaitu sebuah anak syarikat Gamuda Berhad. GMBB adalah entiti hab komersil yang memberi ruang secara sewaan kepada pengiat seni untuk menjalan aktiviti seni mereka.
RexKL adalah ruang rejuvenasi yang dibangunkan menjadi menjadi hub hiburan dan komersil yang menempatkan kedai buku, auditorium sebagai ruang pelbagai fungsi seperti konsert muzik, tayangan filem, tarian dan teater.
Premis ini juga menyediakan ruang berbagai untuk kafe, bar, dan makanan. Selain itu, disediakan kiosk sewaan sementara kepada komuniti kreatif seperti artis, pereka tempatan, usahawan dalam acara bengkel, dialog seni, dan jualan barangan kraf tempatan.
Pendatang baharu dalam ekosistem serum adalah UR-MU (Muzium Urban) adalah sebuah muzium seni lukis persendirian di Kuala Lumpur yang diasaskan oleh arkitek Dr. Tan Loke Mun.
Muzium ini mengenakan bayaran kepada pengunjung bagi melihat koleksi peribadi beliau yang merangkumi karya-karya seni lukis tempatan dan di rantau Asia Tenggara. Ada juga ruang sewaan untuk pengiat seni untuk mengadakan pameran mereka di sini.
Walau bagaimanapun, ruang-ruang yang telah bincangkan di atas adalah tertakluk kepada faktor sewaan, kehendak atau budi bicara premis dalam pemilihan pengkarya yang dibenarkan untuk mengadakan pameran.
Walaupun ia bersifat awam ia hanya membenarkan masyarakat melihat secara pasif karya-karya yang dipamerkan. Orang awam tidak diberikan autonomi serta kebenaran untuk terlibat secara langsung dalam pengisian pameran.
Oleh itu, di manakah ruang seni untuk rakyat bebas berkarya? Persoalan ini diangkat kerana hal ini sangat penting untuk mendidik masyarakat terlibat dalam menentukan naratif seni negara. Ia tidak mesti terikat dengan citarasa atau agenda ruang galeri kerajaan mahupun swasta yang telah di bincangkan dalam teks ini.
Bahagian teks ini akan menjuruskan kepada perbincangan berkenaan inisiatif pihak ‘non-profit’ dalam merakyatkan seni.
Dalam membangunkan ruang seni awam pihak Wisma Kebudayaan SGM (WKSGM) telah bergiat aktif mempromosikan seni tempatan.
WKSGM telah ditubuhkan pada 2001 oleh Soka Gakkai Malaysia (SGM), bertempat di Kuala Lumpur. Iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1984 di Pulau Pinang. adalah sebuah pusat seni dan kebudayaan yang diwujudkan khusus bagi mempromosikan keamanan, kebudayaan, dan pendidikan.
Hingga kini, WKSGM telah berjaya menganjurkan lebih daripada 660 program kebudayaan, merangkumi pameran, persembahan, bengkel, dan acara pendidikan. Pihak SGM tidak mengenakan sebarang sewaan ruang jika ada pengkarya seni yang ingin mengadakan di premis.
Malah bantuan teknikal turut diberikan bersama-sama sukarelawan mereka. Pihak SGM turut memiliki beberapa galeri di cawangan misalnya di Klang dan Pulau Pinang untuk mengacarak aktiviti kesenian yang terbuka kepada orang awam, WKSGM berfungsi sebagai akses seni kepada semua lapisan masyarakat tanpa prajudis berbeza dengan galeri naungan kerajaan dan swastan yang berpaksikan kepentingan tertentu.
Satu: Creative Collective pula adalah sebuah ekosistem bersifat ‘inquiry’ yang mengenalpasti kelompongan atau ‘gap’ dalam perkembangan seni tanahair. Satu: Creative Collective yang ditubuhkan oleh Dr. Elias Yamani Ismail bersama Isnian Ibrahim dan Ady Ezwan Nordin pada 2008 yang tidak memiliki ahli yang tetap seperti diketahui amalan kolektif konvensional.
Muktahir ini secara ‘bergotong royong’ telah berjaya mendirikan 25 buah pameran bebas (independent) di ruang-ruang awam.
Berbagai ruang telah diterokai dan dikenalpasti bersesuaian untuk mengadakan pameran.
Usaha ini adalah bagi merapatkan jurang seni dan masyarakat dengan membawa seni ke lokasi strategik dengan akses yang mudah bagi pengunjung melihat pelbagai variasi karya seni.
Satu: Creative Collective telah memplopori kaedah desentralisasi terlebih dahulu serta mereka memainkan peranan penting dalam ekosistem landskap seni Malaysia. Malah berjaya mewujudkan jaringan bersama organisasi dalam dan luar negara dalam usaha berkongsian ilmu. Misalnya di Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Semenyih, Selangor sebagai pendedahan seni kepada masyarakat setempat pada tahun 2023.
Satu: Creative Collective turut bertanggungjawab dalam melestarikan seni kaligrafi Islam dan tulisan jawi dalam siri pameran di bawah jenama ‘Nuqtah’. Pada tahun 2013, sebuah pameran khat pertama di Malaysia telah dijayakan dalam Rumah Limas ruang tradisional Melayu yang berusia hampir satu abad.
Sebagai suara mandiri Satu: Creative Collective bergerak dengan fokus berakar umbi bersama masyarakat dengan prinsip gotong-royong tanpa pergantungan kepada dana tetap.
Sumbangan utama mereka terletak pada keberanian merentas batas institusi melalui pendekatan seni sebagai praktis sosial. Di mana ruang awam dan persekitaran bandar dijadikan lapangan pameran serta dialog.
Selain itu, mereka menyumbang menerusi pemikiran kritis berasaskan penyelidikan ‘socio-spatial’ yang menghubungkan proses kreatif dengan realiti ekonomi masyarakat.
Mereka mengemudi serta menerepkan idea dan realisme seperti penekanan ‘Pengalaman Melayu’, amalan ‘Kearifan Tempatan’ dan kaedah ‘Proses Dekolonialisasi’ dalam pembinaan karya serta projek kuratorial mereka.
Balai Seni Sasaran terletak di kampung nelayan yang terletak di Sasaran, Kuala Selangor, Balai Seni Sasaran bergerak sebagai komuniti seni bersama masyarakat setempat.
Hal ini memperlihatkan bagaimana potensi serum boleh dikembangkan di luar pusat bandar melalui pendekatan berasaskan komuniti. Diasaskan oleh seniman Ng Bee sebagai peneraju dan Persatuan Seni Sasaran, telah membuka akses seni kepada masyarakat setempat serta mempertemukan penduduk dengan seniman dari dalam dan luar negara.
Melalui program seperti simposium seni seramik antarabangsa, festival seni tahunan, projek arca awam dan mural, seni tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang eksklusif untuk galeri komersil dan masyarakat bandar yang terpisah dengan kesenian.
Sebaliknya, berbagai karya menjadi sebahagian daripada persekitaran dan kehidupan harian penduduk sekitar kampung nelayan. Masyarakat setempat bukan sekadar penonton, menjadi celik seni yang turut berperanan sebagai penjaga dan sebahagian daripada ekosistem seni tersebut.
Kekuatan Balai Seni Sasaran terletak pada autonomi dan keterlibatan langsung komuniti.
Perkembangan apresiasi seni secara langsung melalui hubungan sosial, pengalaman bersama dan penglibatan berterusan secara mesra rakyat, keluar dari kongkongan dasar atau institusi rasmi yang tidak lestari.
Dalam konteks ini, Sasaran membuktikan bahawa pembangunan serum tidak semestinya bergantung kepada lokasi metropolitan atau infrastruktur mewah, sebaliknya boleh tumbuh secara organik daripada masyarakat, tempat dan pengalaman setempat.
Analisis Perbandingan Struktur Ruang Seni di Malaysia
Untuk memahami sumbangan tiga entiti ini dalam lanskap serum. Perbandingan berikut memperlihatkan perbezaan dinamik antara model institusi negara galeri, galeri komersial, dan inisiatif ruang seni awam:
Matrik Dimensi | Institusi Tajaan Kerajaan (Cth: Balai Seni Negara) | Galeri Komersial Swasta (Cth: Galeri T20) | Inisiatif Ruang Seni Awam (WKSGM, Balai Seni Sasaran & Satu: Creative Collective |
| Pendorong Utama | Birokrasi, pemeliharaan warisan terpilih & tugsan KPI orentasi aktiviti bukan lestari. (detachment) | Jualan karya menurut kehendak pasaran & nilai komersil Aspek hiasan | Intelektualisme, pendidikan kemanusiaan & komuniti |
| Akses Fizikal | Hanya kepada mereka yang tahu (percuma pada orang awam berada di bandar) | Terhad & tidak mesra awam (Intimidatif) (Sasaran terhad kepada pengumpul seni) | Tinggi & mesra awam (Terbuka/Luar Bandar/Pusat Bandar) |
| Akses Kontekstual | Rendah (Pasif tiada hubungan langsung dengan rakyat, Teks Kuratorial Formal) | Rendah (Berfokuskan Nilai Estetika Komoditi) | Sangat Tinggi (Dokumentasi Inklusif & Interaksi Terus) |
| Hubungan Awam | Penonton Pasif (Spectator) Tidak dibina untuk membantu pengiat (mimbina jurang) | Pembeli / Pengumpul (Consumer) | Rakan Dialog / Kolaborator (Collaborator) Meningkatkan celik seni |
| Risiko Utama | Birokrasi tinggi & program kerajaan | Penguasaan cita rasa rendah & menurut pasaran dan selamat | Kapasiti terhad & seharusnya dipikul oleh pentabir seni kerajaan |
Ke Arah Model Ruang Seni Awam untuk Rakyat
Jelas diketahui bahawa ketiga-tiga model iaitu Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Satu: Creative Collective, Balai Seni Sasaran memperlihatkan bahawa masyarakat Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar untuk terlibat dalam kegiatan seni sekiranya ruang dan peluang diberikan.
Apa yang diperlukan ialah perubahan cara kita memahami fungsi ruang awam.
Takrif ruang awam tidak seharusnya hanya diwujudkan untuk rakyat bersukan dan beriadah, tetapi juga tempat untuk rakyat berfikir, mencipta dan berekspresi. Sehubungan itu, ketiga-tiga model ini berjaya mengangkat literasi seni dan juga menukar persepsi elitis atau jumud seni di negara ini.
Kewujudan ruang seni awam ialah satu bentuk pelaburan sosial dan kebudayaan.
Persoalan utama bukan lagi “adakah rakyat berminat terhadap seni?”, tetapi “adakah rakyat telah diberikan ruang yang mencukupi untuk mengalami, menghasilkan dan mengembangkan seni?”
Oleh kerana mengiktiraf kepentingannya terhadap kesejahteraan rakyat, maka seni rupa juga wajar diberikan kedudukan yang setara dan sewajarnya.
Selain itu, sudah tiba masanya badan-badan berkait dengan kerajaan seperti Mycreative ventures, Yayasan Hasanah, Khazanah Nasional, Think City, Cendana dan sebagainya untuk tidak lagi melibatkan dalam kegiatan seni rupa di negara.
Ini kerana sering berlaku pertindihan bersama pengiat atau pemegang taruh. Malah berlaku banyak pembaziran wang serta aset rakyat dan juga bukan berorentasikan ‘people centric’ yang langsung memanfaatkan kepada kesejahteraan pengiat.
Akhirnya secara tidak sedar merekalah yang memudaratkan dan memupuskan perkembangan seni. Oleh itu, kaedah atau pembacaan orentasi seni Barat sebegini sudah lapuk dan dinyahkan melalui proses dekolonisasi.
Pengalaman Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Satu: Creative Collective dan Balai Seni Sasaran, berjaya membuktikan bahawa apabila ruang dibuka kepada masyarakat, seni mampu berkembang secara organik, inklusif dan berterusan.
Ketiga-tiga inisiatif ini mengisi sebahagian daripada kelompongan yang wujud dalam ekosistem tanahair.
Oleh demikian, Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia, Satu: Creative Collective dan Balai Seni Sasaran harus dinobatkan sebagai institusi seni dan diberikan penghargaan tertinggi di atas sumbang bakti dalam merapatkan jurang ekosistem seni negara.
Hasilnya seni lebih dekat kepada masyarakat dengan membuka peluang kepada interaksi, pendidikan serta penghasilan kreatif.
Maka dengan itu, kejayaan ini hanya akan berhasil apabila kuasa seni tersebut dipulangkan semula kepada rakyat.
Oleh itu, pembangunan ‘Ruang Seni Awam Rakyat’ perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada agenda kebudayaan negara. Seni tidak seharusnya hanya mempunyai ruang untuk dipamerkan. Seni juga memerlukan ruang untuk dihasilkan, dipelajari, diperdebatkan dan dialami bersama.
Hanya melalui pendekatan inilah ekosistem seni rupa Malaysia dapat berkembang daripada ekosistem yang berpusat pada institusi kepada sebuah ekosistem yang benar-benar berakar sebati pada rakyat, lokaliti dan kehidupan seharian masyarakat.
