ENTAH apa yang difikirkan pembikin filem yang dahagakan kalungan bunga padi atau anugerah dari festival seni yang kononnya mengiktiraf ketinggian nilai karya. Sedangkan asasnya, nyawa sesuatu karya seni itu tertakluk kepada apresiasi dan sambutan khalayak yang menjadikan karya itu sebahagian daripada perjalanan hidup mereka. Tidak kisahlah ia sekadar berbentuk hiburan, pengembaraan jiwa atau hanyut dalam perdebatan filosofikal. Setelah keluar dari dunia ruang gelap, seseorang penonton itu tidak terputus hubungan dengan cahaya yang terlimpah di layar lebar. Pada ketika itu, filem yang diterbitkan akan segah bernyawa.
Apabila manusia-manusia yang dicerahkan melalui filem itu ditemukan dan berkomuniti, maka terbitlah apresiasi yang lazimnya memberi pengiktirafan terhadap karya-karya dianggap penting untuk diangkat, diingati dan dibicarakan. Seperti mana sawah nan luas dipayungi semangat padi, sebegitu jugalah roh apresiasi yang menaungi komuniti sebegini. Lalu, apabila bunga dikait dan dianyam menjadi kalungan, ia boleh dianggap terisi dengan semangat padi bernas.
Nyawa karya dikalungkan bunga padi akan menginspirasikan gelombang yang akan dirancakkan pembikin-pembikin lain, sama ada gemalai ditarikan bersama-sama atau gagah dicabar eksistensialnya. Dalam jangkauan jauh, boleh dikatakan bahawa pembangunan khalayak penonton itu sama penting dengan usaha membangunkan penerbitan filem. Bahkan, aktiviti merancakkan apresiasi itu sama penting (atau lebih utama, jika ditekuni) dengan kerja mendanai projek perfileman raksasa.
Dalam pada itu, entah macam mana, makin rancak pula kemunculan pengkarya filem yang cemas dan ragu terhadap upaya karya filemnya. Lalu, mereka berpusu-pusu mengunjungi kilang-kilang bunga padi bagi mendapatkan pengiktirafan semacam cop datuk palsu dari anjung istana wilayah antah berantah yang sudah tiada lagi kesultanan.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas)- sebagai penaung terbesar filem di Malaysia – telah menamakan beberapa festival filem yang boleh dijadikan rujukan, tanda aras atau garis hujung lumba filem. Sudah pasti, ia tidak muktamad atau terhad kepada senarai pendek. Apatah lagi, perlu dikemaskini bagi mengukuhkan keabsahan pengiktirafan. Namun, senarai sebegitu sesuai untuk diambil sebagai gambaran jelas kalungan padi yang bagaimana sesuai digantung bersama-sama poster di panggung.
Dalam dunia (yang jika manusia senang tewas kepada propaganda), segala macam festival filem berjenama antarabangsa akan dianggap autentik. Jemputan menghadiri tayangan di luar negara sudah jadi kebiasaan untuk diuar-uarkan sebagai pencapaian tertinggi setaraf adikarya legenda, sedangkan ia tidak sedikitpun menggambarkan hal sebenar. Bahkan, khalayak yang naif, keliru dan melalang akan mudah bertepuk tangan terhadap penampilan bunga padi bersama-sama logo yang mereka sendiri kurang fahami. Mereka terlupa (atau sememangnya tidak tahu) bahawa asas kepada kalungan bunga padi ini adalah apresiasi dalam budaya tontonan yang sihat.
Kini, imej festival filem yang dianjurkan dengan mengambil kira ketekunan juri dalam menilai, bercampur-baur dengan kekacauan aktiviti pelobian, bodek dan tumpahan minyak pelincir. Tambah haru-biru, apabila acara picisan yang tidak ketahuan hujung pangkalnya, makin giat bertenggek di atas nama-nama prestij dengan tujuan mengelirukan. Semacam di Tanah Suci, di mana nama-nama hotel kaki lima bertenggek atas jenama hotel termahal sepanjang lebuh menuju ke rumah Tuhan. Jemaah yang percaya atas jenama itu akhirnya terpedaya apabila tiba di tangga depan pintu hotel yang disangka ada eskalator bertatahkan emas permata.
Bagaimana sesebuah festival filem boleh diangkat tanpa isinya (filem-filem terpilih) ditonton terlebih dahulu? Tidak kisahlah apakah jenama festival itu, soalnya, mengapa filem-filemnya diangkat tanpa ditonton?
Apabila ada festival filem yang dipuji eksklusif terpenting di mimbar acara, tidak ramai yang menyibukkan diri untuk menonton barisan filem tersenarai. Lebih malang, rancak memuji atas sekilas pandang kecantikan poster atau mengulit sinopsis yang dicantikkan untuk dimuatkan ke dalam ucapan. Prestij sesebuah acara tidak lagi bersandarkan gemilang pencapaian, namun asyik terpukau kepada kemilau busana selebriti yang dibayar kehadiran mereka untuk berjalan kekucingan di atas permaidani merah yang disewa khas.
Lalu, apakah kalungan bunga padi yang dibanggakan itu masih terisi dengan semangat padi bernas?
Dalam kebejatan mendahagakan pengiktirafan sebegini, beruntunglah pengkarya yang ikhlas kembali kepada fitrah apresiasi, seperti petani yang tekun mengikuti pertumbuhan tunas dari sebelum musim sehingga selepas berakhir tuaian. Mereka hidup berkelompok, berpakat membajak dan akhirnya berpesta meraikan semangat yang membumi.
Kipidap!
