SAYA melangkah masuk ke Dewan Perhimpunan, Pusat Konvensyen Jakarta (PKJ), dan merasai getar yang hanya wujud di pesta buku besar … lorong-lorong naskhah, langkah manusia yang rapi, dan perbualan tentang buku … buku … dan buku yang tidak pernah berhenti. Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (PBAI) 2025 hadir sebagai ruang temu janji akal budi antara penulis, penerbit, pembaca, dan idea. Pesta ini mengingatkan kita bahawa sebuah acara buku yang baik bukan sekadar menjana jual beli, tetapi menata cara sebuah bangsa berfikir dan memandang ke hadapan.
Di pentas pembukaan, Dr. Fadli Zon, Menteri Kebudayaan Republik Indonesia, mengulang pesan Bung Hatta, “Buku membentuk watak bangsa.” Kata-kata ini bukan sekadar slogan, tetapi menjadi panduan haluan. Pesta buku diberikan mandat untuk menjadi wahana ilmu dan diplomasi budaya. Ia menjadi ruang yang menemukan naskhah dengan pembacanya, dan wacana dengan pentasnya.
Dalam sesi berasingan, Adibah Omar, bos saya di Perbadanan Kota Buku, berkongsi pembentangan “Moving Forward Southeast Asia: Democratizing Knowledge for the Next SEA Generation”. Salah satu perkongsiannya, beliau merujuk data UNESCO 2023 yang menjelaskan bahawa kadar literasi Malaysia berada di kedudukan bawah Brunei, Singapura, Filipina, Indonesia, dan Vietnam.
Tidak langsung mahu memburukkan watan sendiri di negara orang, tetapi data itu menjadi “peringatan” keras, sekiranya buku membentuk watak bangsa, maka literasi adalah nadi yang menghidupkan bacaan itu. Malaysia tidak punya pilihan selain mempercepat langkah dengan memperluas akses buku berkualiti, mengukuhkan literasi asas sejak prasekolah, dan memastikan setiap kanak-kanak mampu membaca dengan kefahaman sebenar, bukan sekadar mengeja huruf.

Implikasinya jelas. Pesta buku bukan wadah komersial semata-mata, tetapi ekosistem pembelajaran yang hidup. Ia perlu bermula dengan buku kanak-kanak yang berilustrasi menarik, siri bacaan bertahap, bahan bacaan remaja yang dekat dengan minat semasa, serta judul yang relevan untuk komuniti bandar dan desa. Semuanya perlu bergerak seiring. Langkah-langkah ini adalah ukuran maruah pendidikan dan penentu masa hadapan tenaga kerja yang berilmu.
Saya teringat hantaran Dr. Surya Suryadi di Facebook yang memaparkan kembali sosok Bung Hatta yang pernah hadir di Pekan Buku Indonesia pada tahun 1954. Ia suatu isyarat kepemimpinan dulu-dulu yang menghormati buku dalam membentuk masa hadapan bangsanya. PBAI hari ini mewarisi roh tersebut. Buku tidak sekadar dilihat sebagai hiburan, tetapi sebagai “infrastruktur lembut” yang membina tabiat membaca, cara menimbang hujah, dan disiplin berfikir.

Di luar dewan PKJ, Jakarta tetap berdenyut dengan realiti. Hari Tani Nasional pada 24 September 2025 diraikan dengan demonstrasi ribuan petani yang menuntut harga adil dan pembaharuan dasar agraria. Riuhnya sehingga Jakarta macet tidak memecah tumpuan, malah menjadi latar yang membuat buku-buku berkenaan tanah dan pangan (bekalan makanan) terasa lebih mendesak. Naskhah berkenaan agraria, statistik beras, dan kisah sawah seolah-olah menyambung suara megafon di jalan raya. Namun, ia dalam bentuk yang lebih tenang, tertib, dan berpandukan fakta di dalam PKJ.
Beberapa hari sebelumnya pula, pengemudi ojek dalam talian (ojol) memenuhi hadapan gedung DPR. Mereka menuntut pembahagian komisen yang lebih adil, membuka perbincangan berkenaan ekonomi gig, agihan nilai, keselamatan sosial, dan maruah kerja.
Di reruai pameran PBAI, seorang editor katanya sedang menyiapkan naskhah baharu berkenaan ekonomi digital. Katanya, “Kita tidak mahu buku yang hanya menuding. Kita perlukan buku yang menerangkan dan membetulkan.” Di sinilah nampak begitu penting peranan penerbitan. Ia membimbing pembaca daripada keriuhan kepada pemahaman, dengan literasi sebagai asasnya.
Jeda
Dalam padatnya acara, jeda sering hadir dalam bentuk sederhana. Di Jakarta, jeda itu bernama “Pagi Sore”, rumah makan legenda dengan ayam pop dan rendang yang kaya bumbu. Sepinggan hidangan itu menjadi metafora kepada sebuah buku berkualiti yang direneh lama, penuh lapisan rasa, dan selepasnya kita mengerti mengapa tradisi bertahan. Seperti makanan, bacaan yang baik bukan picisan yang hanya mengisi perut minda, tetapi renyah dan mencerahkan.

Masuk ke mall pula, aroma parfum tempatan Indonesia sentiasa menggamit daripada cendana, nilam, melati sehingga gaharu. Fenomena ini memperlihatkan keyakinan baharu industri kreatif Indonesia.
Sama seperti buku, wangian menyimpan memori. Setiap nota mengikat tempat, waktu, dan pertemuan. Sekiranya buku menulis dengan huruf, parfum menulis dengan deria. Kedua-duanya, apabila berjaya, meninggalkan bekas yang sukar dipadam.
Kembali ke dewan, reruai termasuk Pavilion Malaysia tersusun rapi. Buku kanak-kanak dengan ilustrasi jujur, novel dengan bahasa yang memujuk, dan monograf budaya yang sabar menyusun rujukan. Pada dinding reruai, peta pembaca menghubungkan Jakarta, Kuala Lumpur, Sumatera, dan Kedah yang menjadi lambang jaringan serantau melalui terjemahan, pelesenan hak cipta, dan janji temu penerbit.

Di sinilah jantung pesta buku. Dimensi “pasar” dan “literasi” berjalan seiringan. Diskaun mengundang langkah, tandatangan penulis mencipta kenangan, dan sesi wacana menambah pengertian. Kita sering cuba memisahkan keduanya, tetapi hakikatnya pasar memberikan dorongan, literasi memberikan makna. Tanpa dorongan, orang sukar datang. Tanpa makna, orang sukar setia.
Saya pulang ke tanah air dengan beg galas yang berat dengan buku, namun hati yang ringan. Berat kerana judul-judul menuntut masa, ringan kerana masih wujud ekosistem yang percaya bahawa buku mampu mengubah isu-isu negara. Seruan di pentas pembukaan, “Kembalikan buku ke pusat peradaban,” adalah tema PBAI 2025 yang tidak lagi abstrak. PBAI 2025 melakar peta itu dengan jelas. Buku sebagai kompas moral dan intelektual, literasi sebagai enjin, pasar sebagai roda, dan pembaca sebagai nadi.
