“Skala itu playful dalam erti kata, kita biasa dengar puisi yang digeneralisasi sebagai bicara hal besar-besar dan ada pula yang berdepan dengan isu eceran yang dipandang remeh. Dominasi ini diklorox dan lalu saya temui rasa playful tadi di perantara besar-kecil, deep-rempit, kosmik-domestik.”
Itu perenggan pertama esei Ridhwan Saidi yang dimuat dalam kumpulan sajak dan pantun Holokos (2016), yang sebenarnya pengantar untuk zine kosmik domestik.
Selepas itu, Ridhwan ada sebut tentang playful atau main-main yang datang dalam bentuk energi.
Tak semua yang Ridhwan tulis tentang playfulness atau kemain-mainan dapat saya faham tapi itulah keindahan kimia otak manusia – saya tiba-tiba melihat kemain-mainan sebagai petanda kematangan manusia.
Kimia-kimia otak saya berinteraksi dan tiba-tiba, saya letakkan sasaran untuk menjadi manusia yang cukup matang untuk melihat segala keseriusan dunia sebagai hal yang main-main. Mahu jadi orang yang tersenyum melihat video Elon Musk angkat salut Nazi tanpa perlu berusaha panjang menganalisis benar-salah tanggapan warganet.
Pastilah main-main dilihat negatif tapi main-main yang saya maksudkan bukan main-main yang berasaskan kejahilan.
Manusia serius ada peranannya dalam dunia. Ada orang akan tweet penjelasan segala hal tular di Twitter setiap hari. Mungkin motivasinya wang Elon tapi dia ada fungsi dalam kosmik Twitter. Begitu juga kawan-kawan yang kerjanya berkongsi reels kelakar setiap masa, dia juga ada fungsi.
Susah nak jelaskan tapi saya cuba dengan bantuan Buddha, Kane dan Triple H.
Ya, aku tahu, Undertaker dan Kane bukan adik-beradik
Satu petikan kata-kata Buddha yang sudah melekat dalam kepala saya hampir sedekad adalah yang diriwayatkan Saharil Hasrin Sanin dalam pascakata buku Cerpen-Cerpen Underground:
“Kanak-kanak melihat gunung dan nampak gunung; seorang dewasa melihat gunung dan nampak bermacam perkara; seorang yang arif melihat gunung dan nampak gunung.”
Saya melihat kata-kata itu sebagai perjalanan fikiran dan rohani seorang manusia. Semasa kecil, kita melihat sesuatu dengan ringkas sebab kita tak tahu. Menjelang dewasa, selepas tahu banyak benda, kita rumitkan banyak hal untuk tahu lebih banyak benda. Namun, mencecah fasa arif, dengan pengetahuan yang lebih mendalam, kita berupaya memilih dan meringkaskan pandangan.

Banyak kandungan WWE dimasukkan dalam Netflix baru-baru ini, termasuk acara berbayar (pay-per-view; PPV) klasik. Selama beberapa minggu, saya tonton acara Royal Rumble dari yang pertama pada 1988 sehingga 2024.
Saya sendiri menonton acara gusti hiburan seperti WWE dalam beberapa fasa.
Ketika kecil, saya dalam fasa kayfabe. Percaya bahawa yang dipertontonkan itu ialah realiti. Saya percaya Triple H jahat. Saya sedih tengok belakang Jim Ross dibakar Kane selepas penggusti itu dipaksa buka topeng.
Umur remaja dan awal dewasa, saya tak tonton gusti lagi sebab percaya, yang menonton gusti itu bodoh. Saya dibayangi delusi pencerahan sebab tahu, yang digaduhkan dalam tivi itu semuanya lakonan.
Tapi sekarang, pada usia 32 tahun, saya kembali seronok menonton gusti.
Menggelakkan botch, menyorak babyface
Tapi keseronokan menonton gusti sekarang tak sama dengan 20 tahun lepas. Bezanya pada pengetahuan dan cara saya mengendali pengetahuan.
Hari ini, saya seronok menonton gusti sebab tahu ia sebuah lakonan. Saya mula melihatnya sebagai sebuah persembahan seni oleh sekumpulan pelakon aksi. Macam teater.
Saya nikmati kemahiran para penggusti yang berlawan, bergaduh dan bertumbuk dengan kesedaran untuk menjaga keselamatan dan mengikut skrip. Saya tahu apabila Undertaker buat Tombstone Piledriver, kepala lawannya tak kena lantai pun. Dan ketelitian untuk tidak mematah tengkuk lawannya itu buat saya kagum.

Begitu juga apabila penggusti tersilap langkah, macam ketika Batista dan John Cena tak sengaja jatuh serentak dalam Royal Rumble 2005, saya nikmatinya dengan ketawa. Saya tahu mereka messed up.
Sebab itu saya fikir, dengan menyadur kata-kata Buddha: kanak-kanak menonton gusti dan suka gusti; seorang dewasa menonton gusti dan tak percaya gusti; seorang yang arif menonton gusti dan suka gusti.
Bukan nak kata semua orang wajib suka gusti untuk jadi arif, bukan juga nak angkuh diri kata saya ini arif, cuma nak beritahu, kalau kita ada pengetahuan dan pandai mengendali pengetahuan, banyak hal dalam dunia ini boleh jadi mudah.
Dengan memandang mudah satu-satu hal berasaskan pengetahuan yang cukup, kita boleh bermain-main dengan banyak perkara, sekali gus meringankan beban otak dan menjaga kesihatan mental.
Sitizoners dalam akuarium
Banyak hal jengkel ada dalam media sosial. Sitizoners yang taasub, mat ilmiah yang nak ilmiahkan semua benda, media indie yang tweet entah apa-apa, media perdana yang kemaruk gosip, walaun yang buta hati, walanon yang lupa diri. Banyak.
Tapi saya cuba latih diri untuk tidak bereaksi (walau masih gagal beberapa kali). Nampak hal-hal jengkel, tatal laju-laju.
Sebab hal-hal begitu melelahkan otak dan pada stamina otak yang ada sekarang, saya tak perlu lelah ekstra.
Ian MacKaye cakap, media sosial macam akuarium. Ikan boleh berbunuhan di dalam tapi di luar akuarium, tidak ada apa-apa yang terjadi.
Tapi tetaplah saya salut pada mereka yang suka berperang dalam media sosial, dengan niat yang baik. Anda ada tenaga, tak apa.
Membaca Ridhwan Saidi buat saya mahu jadi lebih main-main. Mencari humor dalam keseriusan dunia.
Mungkin sebab itu buku Holokos dan Sajak-Sajak Saleh adalah antara bacaan kegemaran saya sepanjang 2024. Humor mereka menangkap, tanpa saya perlu fikir berat-berat tentang isi dan mesej.
Mungkin sebab itu komedi P. Ramlee relevan sepanjang zaman. Mungkin sebab itu orang cuba buat filem macam Mamat Khalid sampai sekarang, walaupun tak menjadi.
Mungkin sebab itu filem Happy Madison selalu laku.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

