BAGAIMANA jika seni warisan seperti batik, wayang kulit atau ukiran tradisional dipersembahkan semula melalui kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital? Itulah persoalan yang cuba dijawab melalui pelancaran BudayaVerse 2025, inisiatif baharu yang dirasmikan sempena Hari Malaysia.
Dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan pada 16 September lepas, BudayaVerse 2025 digerakkan oleh Creative and Cultural Strategic Development Organization (CRESDO) bersama rakan strategik teknologi serta industri kreatif. Ia digambarkan sebagai jambatan baharu yang menyatukan budaya dan inovasi.
Naib Pengerusi CRESDO, Farid Zulkepli menegaskan BudayaVerse 2025 bukan sekadar acara seni, tetapi satu usaha meletakkan warisan Malaysia di pentas masa depan.
“BudayaVerse 2025 mewakili kekuatan kolaborasi. Kita membentuk masa depan di mana budaya dan teknologi bergerak seiring, memperkasa ekonomi kreatif serta memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Antara tumpuan utama ialah Pertandingan Rekaan AI x Budaya, yang menjemput pencipta visual dan prompter AI menghasilkan karya baharu berasaskan seni tradisi tempatan dalam konteks digital. Pertandingan ini mendapat sokongan rangkaian kreatif AI seperti NOVA NETWORK, NEURAMERGE dan PROMPTER MALAYA, yang kini mempunyai lebih 500,000 ahli di seluruh negara.
Selain itu, Pameran & Program SinergiBudaya turut diperkenalkan untuk membuka peluang kerjasama antara korporat, NGO dan komuniti kreatif. Melalui pendekatan ini, syarikat digalakkan melibatkan diri dalam inisiatif CSR, tajaan serta program budaya untuk mewujudkan ekosistem seni yang mampan dan memberi impak jangka panjang.
Dengan tema keterangkuman dan inovasi, BudayaVerse 2025 dilihat sebagai pemangkin baharu dalam mengangkat seni budaya Malaysia – bukan hanya sekadar diwarisi, tetapi juga dikomersialkan dan diterjemah semula untuk generasi digital.
Sebanyak RM1,500 disediakan bagi pemenang tempat pertama pertandingan ini manakala bagi pemenang tempat kedua bakal membawa pulang RM700 sementara tempat ketiga RM300.
Untuk maklumat lanjut layari, layari: www.budayaverse.com/ai-competition
