Masyarakat Malaysia bukan tidak menghargai seni. Kita memenuhi dewan konsert, mengagumi lukisan yang dipamerkan di galeri, berkongsi puisi di media sosial, dan memuji filem tempatan apabila berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Namun, apabila tiba soal membeli karya, suasananya berubah.
Masih ramai yang menganggap harga buku terlalu mahal, lukisan sekadar hiasan dinding yang tidak mempunyai nilai pelaburan, tiket teater membazir, dan menonton filem di platform cetak rompak bukan satu kesalahan yang besar.
Tidak kurang juga yang meminta salinan PDF percuma, mahukan pas masuk percuma ke konsert, atau mengharapkan karya kreatif diberikan atas nama sokongan kepada seni.
Fenomena ini bukan berlaku secara terpencil. Ia semakin menjadi budaya. Persoalannya, bilakah masyarakat mula percaya bahawa karya kreatif sepatutnya dinikmati secara percuma?
Ini bukan sekadar persoalan tentang kemampuan membeli atau keadaan ekonomi. Jika benar faktor ekonomi menjadi penyebab utama, mengapa masyarakat yang sama sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk telefon pintar, beratur membeli kopi premium, atau membayar langganan pelbagai aplikasi hiburan setiap bulan?
Mengapa apabila tiba kepada buku, lukisan, teater atau karya seni, pertimbangan pertama yang muncul ialah bagaimana untuk mendapatkannya secara percuma?
Pemikiran Industri
Di sinilah letaknya permasalahan yang jarang dibincangkan. Kita sering bercakap tentang usaha membangunkan industri kreatif, memperkasa ekonomi budaya, melahirkan lebih ramai penulis, pelukis, pemuzik dan pembikin filem. Namun, kita jarang bertanya sama ada masyarakat kita sendiri benar-benar mempunyai budaya membeli karya.
Hakikatnya, industri budaya tidak hidup dengan pujian. Ia juga tidak berkembang dengan jumlah tontonan, perkongsian atau tanda suka di media sosial. Industri budaya hanya mampu bertahan apabila masyarakat melihat karya sebagai sesuatu yang mempunyai nilai, lalu sanggup membayar untuk mendapatkannya.
Apabila budaya membeli semakin lemah, yang terancam bukan sekadar pendapatan pengkarya. Lebih besar daripada itu ialah kelangsungan sebuah ekosistem budaya. Tanpa pembeli, penerbit tidak berani mengambil risiko menerbitkan buku baharu.
Tanpa penonton yang sanggup membeli tiket, teater kehilangan pentas. Tanpa pengumpul seni, pelukis kehilangan pasaran. Akhirnya, yang tinggal hanyalah karya-karya yang disokong modal besar atau bergantung kepada tajaan semata-mata.
Persoalannya, dari manakah datangnya budaya mahu percuma ini? Adakah ia lahir bersama internet dan media sosial, atau sebenarnya telah lama terbentuk melalui perubahan cara masyarakat melihat ilmu, hiburan dan seni?
Budaya Dibelakang Industri
Memahami asal-usul budaya ini jauh lebih penting daripada sekadar menyalahkan pengguna. Kerana sesuatu budaya tidak lahir dalam sehari. Ia terbentuk melalui perubahan nilai, teknologi, sistem ekonomi dan cara sesebuah masyarakat mentafsir makna sebuah karya.
Persoalan tentang budaya mahu percuma tidak boleh dijawab hanya dengan menyalahkan teknologi atau media sosial. Internet mungkin mempercepatkan fenomena ini, tetapi ia bukan puncanya. Budaya ini sebenarnya lahir daripada perubahan besar dalam cara manusia mengakses ilmu, hiburan dan karya sepanjang lebih satu abad.
Pada zaman sebelum revolusi media massa, karya mempunyai nilai yang jelas kerana akses terhadapnya sangat terhad. Buku dicetak dalam jumlah kecil, lukisan dihasilkan secara eksklusif, manakala pementasan teater dan persembahan muzik hanya dapat dinikmati pada tempat dan waktu tertentu.
Dalam keadaan sedemikian, masyarakat memahami bahawa setiap karya mempunyai harga kerana di sebaliknya terdapat tenaga, kemahiran, masa dan kos yang perlu dibayar.
Kemunculan radio, televisyen dan kemudiannya internet telah mengubah hubungan tersebut. Teknologi menjadikan karya lebih mudah diakses oleh masyarakat. Perubahan ini sebenarnya membawa banyak manfaat.
Ilmu menjadi lebih demokratik, hiburan dapat dinikmati oleh lebih ramai orang, dan pengkarya mempunyai ruang yang lebih luas untuk memperkenalkan karya mereka kepada khalayak.
Namun, dalam masa yang sama berlaku satu perubahan psikologi yang jarang disedari.
Apabila masyarakat semakin terbiasa menerima kandungan secara percuma, mereka mula menganggap akses percuma itu sebagai satu hak, bukannya satu kemudahan. Sedikit demi sedikit, nilai sesebuah karya mula dinilai berdasarkan sejauh mana ia mudah diperoleh, bukan lagi berdasarkan proses kreatif yang melahirkannya.
Fenomena ini menjadi lebih ketara apabila media sosial mengambil alih sebahagian besar ruang budaya masyarakat. Hampir setiap hari pengguna disajikan ribuan gambar, video, muzik, ilustrasi dan tulisan tanpa perlu mengeluarkan sebarang bayaran. Algoritma pula sentiasa menawarkan kandungan baharu dalam jumlah yang tidak pernah habis.
Akibatnya, masyarakat mula melihat kreativiti sebagai sumber yang tidak terbatas. Apabila sesuatu dianggap sentiasa ada, manusia akan berhenti menghargai nilainya.
Inilah paradoks yang sedang berlaku dalam industri budaya hari ini. Semakin mudah karya diakses, semakin sukar masyarakat menerima hakikat bahawa karya itu sebenarnya mempunyai nilai ekonomi.
Budaya ‘Free Rider’
Fenomena ini turut mengubah makna “percuma” itu sendiri.
Pada asalnya, percuma hanyalah strategi pemasaran. Penulis berkongsi satu bab buku bagi menarik pembaca membeli naskhah penuh. Pemuzik mempersembahkan beberapa lagu secara percuma untuk mempromosikan album atau konsert. Galeri membuka pameran tanpa tiket bagi menarik pembeli karya seni.
Hari ini, strategi tersebut telah bertukar menjadi jangkaan pengguna.
Masyarakat bukan lagi bertanya sama ada mereka patut membayar sesuatu karya. Sebaliknya mereka bertanya mengapa mereka perlu membayarnya.
Perubahan ini akhirnya membentuk satu budaya baharu yang lebih membimbangkan, iaitu budaya mengasingkan karya daripada pengkaryanya.
Sebuah buku hanya dilihat sebagai fail PDF. Sebuah filem hanya dianggap fail video. Sebuah lagu hanya sekadar fail audio. Sebuah lukisan hanya imej yang boleh disalin.
Apabila karya dipisahkan daripada proses penciptaannya, masyarakat tidak lagi melihat penulis yang menghabiskan masa bertahun-tahun menyiapkan manuskrip, pelukis yang membina kemahiran sejak kecil, atau pemuzik yang melaburkan masa dan wang bagi menghasilkan sebuah album. Yang tinggal hanyalah produk akhir yang dianggap boleh disalin, dikongsi dan dimiliki tanpa sebarang tanggungjawab moral.
Lebih membimbangkan, budaya ini tidak lagi terhad kepada pengguna. Ia turut meresap ke dalam cara sebahagian institusi dan organisasi melihat kerja kreatif.
Masih wujud tanggapan bahawa penulis boleh diminta menulis tanpa honorarium kerana “demi memartabatkan ilmu”. Pelukis diminta menyumbang karya atas nama promosi. Pemuzik diminta membuat persembahan kerana penganjur menawarkan “pendedahan”.
Pengarah teater pula diminta menjayakan program komuniti tanpa bayaran yang setimpal kerana dianggap sebagai khidmat kepada masyarakat.
Jarang sekali alasan yang sama digunakan terhadap profesion lain.
Tiada siapa meminta arkitek mereka bentuk bangunan secara percuma kerana projek itu boleh menaikkan nama mereka. Tiada siapa meminta kontraktor menyiapkan bangunan terlebih dahulu dengan janji bahawa keuntungan akan datang kemudian. Malah, tiada siapa menganggap seorang doktor memperoleh penghormatan yang mencukupi hanya dengan ucapan terima kasih.
Mengapa standard yang berbeza dikenakan kepada pengkarya?
Persoalan ini menunjukkan bahawa masalah sebenar bukan terletak pada harga buku, harga tiket atau harga lukisan. Masalahnya ialah masyarakat semakin sukar melihat karya sebagai satu bentuk pekerjaan profesional yang mempunyai nilai ekonomi setara dengan bidang-bidang lain.
Apabila persepsi ini menjadi budaya, maka budaya mahu percuma bukan lagi sekadar tabiat pengguna. Ia berubah menjadi satu sistem pemikiran yang menganggap kreativiti sebagai sesuatu yang sentiasa boleh diperoleh tanpa perlu membayar harga yang sewajarnya.
Atau mungkin sudah tiba masanya masyarakat dan negara sendiri memahami bahawa karya kreatif tidak boleh dinilai dengan logik pengeluaran industri.
Sebuah buku, lukisan, skrip teater atau komposisi muzik tidak dihasilkan seperti sebuah telefon pintar di kilang atau sebuku roti di kilang makanan. Telefon pintar boleh dikeluarkan berjuta-juta unit dengan spesifikasi yang sama. Roti boleh dihasilkan setiap hari melalui sistem pengeluaran yang seragam. Semakin banyak dikeluarkan, semakin rendah kos seunitnya.
Sebaliknya, karya kreatif lahir daripada proses intelektual dan estetik yang tidak boleh digandakan melalui mesin. Sebuah novel mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan. Sebuah lukisan mungkin melalui puluhan lakaran sebelum dianggap sempurna.
Sebuah skrip teater atau filem pula menuntut penyelidikan, pemerhatian dan pengalaman hidup yang tidak mungkin dipercepatkan hanya kerana pasaran memerlukannya.
‘Politik Industri’ Dibelakang Budaya Konsumer Seni
Inilah yang membezakan karya dengan produk industri.
Nilai sesebuah karya bukan terletak pada bahan yang digunakan untuk menghasilkannya, tetapi pada idea, imaginasi, pengalaman dan pemikiran yang terkandung di dalamnya. Kita membeli sebuah buku bukan kerana harga kertasnya.
Kita membeli lukisan bukan kerana nilai kanvasnya. Kita membeli tiket teater atau konsert bukan kerana kerusi yang diduduki, tetapi kerana nilai pengalaman, kreativiti dan makna yang tidak boleh dihasilkan secara besar-besaran.
Malangnya, masyarakat hari ini semakin cenderung menilai karya menggunakan logik pasaran massa. Apabila salinan digital boleh digandakan tanpa had, ramai menganggap nilainya juga menjadi sifar. Sedangkan yang digandakan hanyalah medium, bukannya proses intelektual yang melahirkan karya tersebut.
Di sinilah berlakunya kekeliruan yang paling besar. Kita menganggap kos menghasilkan salinan hampir sifar, lalu menganggap nilai karya juga sifar. Hakikatnya, yang mahal bukan salinannya. Yang mahal ialah idea yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dilahirkan.
