SAYA menonton Blood Brothers: Bara Naga di Sunway Pyramid, selepas sepuluh hari ia ditayang di pawagam. Bukan kerana kutipan puluh jutanya, tapi kerana ada keyakinan terhadap Syafiq Yusof, seorang pengarah filem aksi yang kian menyerlah dan bila digandingkan dengan Abhilash Chandra, dan juga barisan kumpulan penulisnya, harapan jadi lebih berat. Ada juga jangkaan tinggi, selepas Sheriff: Narko Integriti yang sempat saya tonton di Netflix. Ulasan ini sebenarnya lanjutan daripada hantaran ringkas saya di Facebook pada 20 April lalu, dan ini juga kali pertama saya menulis panjang lebar tentang filem bergenre gangsterisme. Tapi yang lebih penting, saya mahu berbincang bagaimana Blood Brothers: Bara Naga membaca tradisi genre ini, dan cuba membentuk gayanya sendiri. Gaya filem gangster Malaysia di tahun 2025.
Genre gangster bukan sekadar kisah lelaki berlawan dan tembak menembak di jalan raya dan gudang tinggal. Ia adalah subversive morality tale, sebuah genre yang sejak awal abad ke-20 berfungsi sebagai refleksi sistem sosial yang pincang. Dari The Godfather ke Goodfellas, dan juga filem-filem Korea dari Nameless Gangster ke New World, genre ini melakar code of honor, perebutan kuasa, pengkhianatan yang selalunya berpusing di antara “keluarga” dan “kuasa” dan struktur patriarki dari dalam dunia jenayah.
Blood Brothers: Bara Naga boleh dianggap berdiri sebagai naskhah yang cukup ramuan dalam menepati konvensi filem gangster atau mafia: estetika noir, pemakaian karakter, struktur hirarki kuasa, dan naratif persaudaraan yang selalu menjadi jantung kepada filem-filem gangster sejak The Godfather. Ia menggunakan voice-over watak Ariff (lakonan Syafiq Kyle) sebagai gaya penceritaan yang mengingatkan saya pada Goodfellas, di mana Henry Hill (lakonan Ray Liotta) bukan sekadar alat pemandu cerita, tapi ironi kepada kemusnahan dirinya sendiri. Melalui voice-over, ia memberikan perspektif peribadi tentang dunia mafia yang glamor pada permukaan tetapi sebenarnya korup, ganas dan merosakkan.

Filem gangster bukan sekadar menyalin bentuk, tetapi juga menggali makna. Seperti bagaimana Nameless Gangster memperlihatkan korupsi bukan lagi pilihan moral, tetapi satu-satunya bahasa yang difahami dalam sistem yang gagal. Atau paling tidak sebuah filem yang pernah saya tonton di panggung dulu, 9 Naga dari Indonesia, yang membawa naratif lelaki-lelaki keras yang dikejar dosa sebagai assassin dan sistem yang sentiasa menjatuhkan. Filem-filem sebegini bukan sahaja stylish, tetapi juga mengandungi naskhah sosial yang tajam.
Dari gerak kamera yang agak kemas, dan rekaan produksi yang rapi, Blood Brothers memperlihatkan kesedaran visual yang agak rapat terhadap tradisi genre gangster, khususnya dalam kerangka estetik filem noir beracuan mainstream. Dalam dunia noir, cahaya bukan sekadar sumber pencerahan, tetapi instrumen untuk membingkai kekeliruan moral, mencipta bayang-bayang yang menenggelamkan kebenaran, dan meletakkan watak-watak dalam dilema etika yang sentiasa kelam. Filem ini menggunakan pencahayaan rendah (low-key lighting) untuk membentuk dunia yang sentiasa bersembunyi di ruang ‘bawah tanah’, dan pejabat eksklusif yang hanya diterangi cahaya malap.
Seperti The Godfather atau Nameless Gangster, kekuatan naratif terletak pada ketegangan antara terang dan gelap secara literal dan simbolik. Di sinilah Blood Brothers meletakkan dirinya, dalam dunia yang kelihatan bergaya, tetapi penuh kerosakan. Outfit gangster (atau juga sebagai pengawal peribadi) dalam filem ini juga sengaja ditampilkan bergaya dan maskulin seperti juga filem-filem gangster Hollywood, Korea dan Jepun tetapi dalam kesesuaian yang boleh dipertikaikan. Bukan isu besar, tetapi tidak dalam semua situasi apatah lagi dengan suhu Malaysia ni (berbanding tiga negara yang saya sebut tadi) watak-watak itu sesuai sentiasa dengan suit yang lengkap begitu. Malah sekiranya watak Ariff mengenakan pakaian yang lebih kasual selepas dia dikejar akan nampak lebih logiknya.
Watak-watak dalam Blood Brothers juga lebih manusiawi berbanding filem tempatan seumpamanya. Tiada lagi gangster plastik versi Temu, tiada lawak slapstik yang merosakkan mood. Dialognya ada keberanian dan bersahaja walaupun banyak juga kedengaran ‘sial’. Ya, dalam beberapa babak ia kedengaran cool dalam kekasarannya. Tapi bila kerap dan ramai watak menghamburkannya, ia mula kehilangan makna. Dalam filem Korea, misalnya, ‘shibal’ hanya tertumpu kepada satu dua karakter antagonis, bukan seluruh dunia filem itu. Bila semua orang bercakap dengan register yang sama, tiada lagi dimensi kelas, kedudukan atau sejarah watak tapi yang tinggal hanya ‘bising’ bunyi yang nak nampak macam gangster.
Watak Ghaz dengan motor bobber-nya, seolah-olah keluar dari dunia pos-apokalips, muncul sebagai tontonan penuh gaya. Warna sepia yang mengiringi babaknya menjadikannya seakan panel keluar dari komik grafik noir. Tapi di sinilah juga saya mula bertanya, adakah ini gaya yang datang dari akar watak dan dunia cerita, atau sekadar homage visual yang terlalu mencuba? Ia mencipta identiti visual yang menarik, tetapi terasa tidak berpijak, seperti dunia Blood Brothers itu sendiri belum benar-benar berpijak dan memiliki tanah. Dan inilah cabaran sebenar filem ini. Dalam usahanya mencipta world-building dan style yang setaraf dengan filem antarabangsa, kelihatan Blood Brothers terlalu mahu bersandar pada formula antarabangsa, hingga tersasar dari denyut tanah asal. Letupan berskala besar, senjata automatik, konvoi bersenjata yang kelihatan seperti outtake dari Heat atau John Wick. Ia membina dunia yang sangat cool tapi terasa seperti berlaku di ‘sebuah Malaysia alternatif’ yang begitu tak terkawal kegiatan gangsternya, tidak punya sempadan moral, dan tidak punya tanah untuk berpijak. Bila ia terlalu bombastik, kita mula rasa terputus dari realiti, walaupun dalam dunia underground.
Bukan salah sepenuhnya pun. Genre gangsterisme memang sejak asalnya bermain di antara realiti dan fantasi. Tapi kalau kita lihat Goodfellas, gaya visual yang flamboyan tetap berjalan seiring dengan kedalaman psikologi watak dan keberanian untuk menunjukkan the cost of violence, apa kesan sebenar kepada individu dan komuniti. Di sinilah Blood Brothers masih mencari nadinya. Ia berseni, bergaya, penuh semangat sinema tetapi belum cukup menggigit. Kerana gangsterisme, bila dibaca dengan teliti, bukan soal siapa menembak dan membunuh siapa. Tapi siapa yang sebenarnya sedang kehilangan sesuatu; kuasa, keluarga, cinta, moral dan bagaimana mereka cuba menebusnya. Saya tak boleh nafikan Blood Brothers adalah peningkatan ketara dalam genre gangster tempatan. Ia lebih terurus, matang, dan dari aspek teknikal, sangat meyakinkan. Punya masa depan. Tapi masa depan itu hanya akan lebih mekar kalau kita mula berani bertanya soalan yang lebih besar, bukan hanya bagaimana mahu kelihatan gah, kutipan puluhan juta, tetapi untuk siapa cerita ini ditulis? Dan mengapa ia penting untuk diceritakan sekarang? Tapi seperti biasa, kritikan-kritikan seperti ini boleh sahaja dibakul sampahkan kerana yang menulis ini tak pernah dapat kumpul wang sejuta pun. Apatah lagi hasil dengan membuat filem.
– DR SYAHRUL MUSA merupakan Ketua Hab Media Kreatif dan Teknologi, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA Shah Alam.
— Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian pasukan editorial Senimalaya.
