Jarang-jarang dalam industri filem tempatan, nama seorang pengarah filem jauh lebih diangkat dan diikuti sebagai “bintang tumpuan” berbanding barisan bintang filemnya. Hal ini hanya berlaku pada sesetengah nama, seperti Rahim Razali untuk era 80-an, U-Wei HajiSaari dan Shuhaimi Baba era 90-an dan Yasmin Ahmad era 2000-an.
Syafiq dan Syamsul, adik-beradik anak Yusof Haslam di bawah Skop Productions kiranya bertuah kerana orang lebih mengenali nama mereka sebagai teraju utama filem-filem mereka (dengan Syamsul turut berlakon di dalamnya). Malah, dinamisme pengarahan adik-beradik ini amat hangat diikuti dalam bual bicara peminat filem Melayu. Ada peminat Syamsul dan ada peminat Syafiq yang (kononnya) dikatakan lebih edgy pilihan krafnya, dan memberi harapan baharu daripada abangnya, sejak S.A.M. (2012) menemui layar putih.
Namun setelah sedekad berlalu, Syafiq yang kita harap-harapkan itu sudah boleh diagak rentaknya, menurut permintaan trend dan segala yang nampak vogue dengan pasaran penonton Melayu. Ada tiga rentak yang dibawanya; pertama, genre ngeri (thriller) campur saspens yang menjadi ulamnya; kedua, genre seramnya (kadangkala campuran ngeri dan seram); dan ketiga, komedinya. Semuanya dalam padang genre dan susunan kaedah atau trope yang sedia tahu. Dalam beberapa filem itu, seperti francais Abang Long Fadil (sempalan atau spin-off filem abangnya, KL Gangster), kita dapat melihat sikap Syafiq menjadi peminjam dan pengatur filem-filem yang dikenalnya (diminati) dicampur aduk dalam satu laksa filem. Dalam bahasa pascamoden, Syafiq Yusof ialah seorang king of pastiches atau raja pastis.
Dalam Blood Brothers: Bara Naga (2025), filem terbaharu Syafiq bersama-sama karyawan muda Abhilash Chandra (penulis skrip Polis EVO 3 dan The Experts), tempelan pastisnya jelas, malah, kali ini, gandingan Syafiq-Abhilash (yang sebelum ini pernah berganding dalam Polis EVO 3) menyahut campur aduk ngeri-aksi-komedi-melodrama, suatu rencah yang biasa kita tonton dalam filem-filem Tamil.
Ambil sahaja pembukaan filem selepas pra-kredit: Syafiq Kyle (sebagai Ariff) sang pencerita ala-ala Henry Hill Goodfellas dengan Sharnaaz Ahmad (sebagai Ghaz) dan orang-orang Dato’ Zul (Wan Hanafi Su) sedang membawa Bos Sam (Ray Dapdap) ke sebuah lokasi. Babaknya malam, dan jalan sedang sesak dengan kereta. Kejap? Bukankah ini babak daripada filem Sicario (2015) apabila Josh Brolin, Benicio del Toro dan Emily Blunt juga terperangkap dalam sesak jalan di sempadan Mexico-AS, dan terasa seperti ada kereta dan pengguna jalan raya yang mengintip untuk menyerang mereka?
Begitulah pastichenya Blood Brothers. Hal ini sangat-sangat diagak. Apatah lagi dalam sebuah sidang media, Syafiq dan Abhilash mengaku bahawa rujukan filem ini ialah John Wick (kononnya sebab itu penggambaran aksi filem ini semuanya dalam kegelapan malam), juga sebuah filem pastis (meminjam pelbagai babak dan adegan lalu disusun dalam satu filem). Jadi, ini pastis atas pastis, pastiche upon pastiche. Memang, tak salah meminjam, malah dalam era kononnya semua cerita dan filem sudah habis dibikin, pastis melalui pengarah yang pakar, seperti Quentin Tarantino dan Wes Anderson, akan terlihat seperti sebuah filem yang bulat dan bernafas.
Aku sendiri tiada masalah dengan pastis, apatah lagi jika pengarahnya, melangkaui maksud “penghibur” semata-mata, dan ingin menyatakan subteks yang lebih mendalam daripada bahan yang dipinjamnya, melangkaui hal sekadar meminjam atas dasar menyusun plot. Jadi, jika kita melihat perbandingan antara babak awal Blood Brothers dengan babak serang hendap Sicario, kita dapat meneliti apa yang diambil dan dibuang oleh Syafiq-Abhilash. Dalam Sicario, rentak, suntingan, dialog, dan gerakan syot menambah debaran, kita terasa seperti ruang pemerhatian kita makin dijerut dan dikecilkan, hingga kita tak sanggup bernafas dan jantung dicengkam, lalu tembak-menembak berlaku, lalu kita dinampakkan dengan rakus-efektif del Toro sebagai penembak tajam dan kita turut sama tercungap dengan Emily Blunt pertama kali menghadapi serangan hendap.
Dalam babak malam pinjaman Blood Brothers, debaran itu dibina, namun kemudian dibuang ke longkang untuk salinan maksud filem ini, digantikan dengan lagak dan dialog komikal, gerak isyarat filem aksi Bollywood atau Kollywood (dengan antihero mendabik dada semasa menembak, telinga bersubang dan rambut potongan kru), gerakan/suntingan laju, letup-letup, dan paling jelas: fun. Inilah Syafiq yang kita kenali. Kau masih seperti yang dulu. Lagipun, filem ni fun-fun sahaja, buat apa nak pening-pening. Cool-lah bro.
Komik ini lebih jelas, apabila dengan segala boom–boom dan bang–bang adrenalina tinggi yang sedang berlaku, lalu Bos Sam dibawa melutut di bontot kereta, dia melaung, “Penyangak mana nak bunuh aku ni?!” Duh! Jadi realness bukanlah makanan Syafiq-Abhilash. Tapi pop corn fun. Inilah semangat yang kita jumpa dalam filem Bad Boys dan francais Fast and Furious. Malah, seperti dialog yang timbul semasa judul filem ini ditayangkan, menyimpulkan segala-galanya: “Kau orang nak cakap apa pun, kami tetap ada gaya!”
Jadi, untuk apakah gaya dan cerita yang biasanya kita temui dalam filem-filem aksi Bollywood-Kollywood dan ulang tayang gaya Skop Productions ini mempunyai perbezaan dengan lambakan filem samseng tempatan, sejak Syamsul mempopularkannya dengan KL Gangster? Dalam fun-fun filem aksi tapi ganas dan carutannya yang melonjak-lonjak ini, bercampur dialog dengan adunan runut bunyi yang menjadi latar (tidak pernah menjadi tema), siapakah watak-watak samseng kumpulan Naga yang dinormalisasikan kemunculan mereka seperti watak model lelaki Dunhill dan Perilly’s 80-an apabila iklan rokok masih cool tertayang di televisyen? Atas sebab Syafiq-Abhilash sudah memaklumkan awal-awal ini filem pop corn (atau seperti yang ditemui Nazirull Safry Paijo, sebuah filem Taman Tema), jadi kita relaks-relaks sahaja untuk memikirkan tentang filem ni, tidak perlu gelabah sangat.
Apa yang jelas, ikut aturan hidup yang serba hilang nilai dan moral, samseng dalam filem ini juga “menjalankan” proses ekonomi negara, dengan Dato’ Zul boleh berfoto-foto manja dengan ahli politik (kira dah ada bisnes yang halal, merataplah Michael Corleone dalam kuburnya) di kulit majalah.
Juga petanda, samseng ini juga cerminan ahli politik. Mungkin ini jiwa kacau para pengarahnya (dan penulis skripnya) apabila melihat, pasca kejatuhan Najib dan drama demi drama yang dihidangkan oleh ahli politik kita (cukup rencah drama-aksi-ngeri-tangisnya), samseng dan ahli politik, apa bezanya? Dalam segala bunuh-membunuh, kejar-mengejar untuk mendapatkan bukti, dengan kesetiaan, ketaatan dan kepercayaan diuji; dendam berbaur dengan khianat dan “kena-main” (orang putih kata double cross), inilah mainan tipikal dalam genre samseng (orang di The Studio panggil gangster movies: “We don’t make films, we make movies!”) dan ngeri noir. Malah, dalam gerakan plot dan aksi dan pembunuhan, si adik Syafiq Kyle sempat bercakap kepada abangnya dalam satu detik klimaks, “Walau apa pun, brader selalu jaga brader” … ahhh, satu justifikasi asosiasi kukuh yang Zahid akan sentiasa jaga belakang Anwar, walau air tercincang seputus mana pun, Syabbas Bette!
Kalau sudah menyentuh politik, tentu kau kena sentuh juga picit-picit manja filem ni terhadap jelmaan mitos arketaip tradisi kita. Kiranya, memang terwaris, apabila orang bercakap fasal politik (dengarkan, dalam dialog filem ni dan lirik lagu akhir kredit Azlan dan Muzz, diulang-ulang kata ‘kuasa’), orang perlu kembali pada arketaip persaudaraan lawan perlawanan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Mungkin arketaip yang paling ketara diingati dalam sejarah filem kita pasca-Jalan Ampas ialah Matinya Seorang Patriot (1984). Blood Brothers nampaknya menampilkan pengkhianatan ala gelodak masalah dalaman istana, pergaduhan adik-beradik bersaudara (macam Hang Tuah-Jebat bersaudara) dan Hang Tuah disimpan Datuk Bendahara. Sedikit-sebanyak feel ini membawa kembali hikmah yang pernah tertulis dalam sastera lama muncul dalam jelmaan penuh ganas dan carutan abad ke-21. Sejarah kita terus berulang mengikut peredaran masa.
Itulah cautionary tale tentang jejak tempang kita mengurus kuasa, hanya hal politik ini mungkin tidak diambil cakna kerana kebesaran bom dan peluh darah jantan yang tercalit di layarnya. Formulaik dan extravagance blokbuster lebih penting, bukan subtlety.
Blokbuster mainan padang lelaki (sekali lagi, kasihan para wanita kita) ini dibarisi oleh lelaki (anti)hero Malaya yang mengancam, ala himpunan jantan The Expendables. Syafiq Kyle, Shukri Yahya, Zamarul Hisham, dan Syazwan Zulkifly cukup sesuai dengan fungsi-tujuan watak mereka membawa cerita, dengan pengkhususan Sharnaaz Ahmad sebagai the token Tamil-Hero yang menjadi. Sinematografi malam dan gelap (bila yang jahat come out to play) ala John Wick Nicholas Chin slick dan cukup akrobatik syot-syotnya. Suntingan Daniel Mahamad, Abhilash dan Syafiq pula cukup ligat dan cepat, membawa kita menaiki tren laju sambil bertih jagung mengisi mulut kita sampai tidak sedar filem sudah mahu tamat. Pujian harus diberikan atas projek usaha sama Skop-Primeworks dengan Komet Productions, D’Ayu Pictures dan Enotech Pictures. Usaha sama inilah yang patut diusahakan selalu. Semoga ada filem yang betul-betul penting dengan subjek yang perlu dibicarakan mendapat layanan kerjasama seperti ini pada masa hadapan.
– FADLI AL-AKITI merupakan ahli dalam Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur, dan tahun ini, mereka sedang dalam urusan memilih para pemenang bagi Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2024. Fadli masih cuba aktif menulis tentang filem dalam blog peribadinya, tontonfilem3.blogspot.com dan tontonfilem2.blogspot.com.
— Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan pasukan editorial Senimalaya.

Hi Uncle Fad, saya anak Yatt H. Saya suka baca tulisan Uncle Fad. BRAVO!