DALAM gelanggang seni visual, penggunaan nama samaran bukan sekadar soal privasi, tetapi juga satu bentuk strategi artistik dan politik. Banksy menjadikan anonimitinya sebagai senjata untuk menentang sistem seni komersial dan menyuarakan kritikan sosial tanpa kompromi. Jean-Michel Basquiat memakai nama SAMO© (disebut: Same-Oh, yang merupakan singkatan kepada Same Old Shit) untuk menyampaikan mesej perlawanan menerusi grafiti jalanan. Bagi mereka–nama samaran bukan hanya pelindung identiti, tetapi sebahagian daripada naratif seni itu sendiri.
Beberapa artis lain seperti Ai Weiwei, Hush dan MR. turut memperlihatkan bagaimana nama samaran atau alter ego memberi ruang untuk bermain dengan makna, simbol dan persona. Ai, misalnya menggunakan simbol dalam karyanya supaya mesej politiknya dapat disampaikan tanpa mudah dikesan atau disekat oleh pihak berkuasa. Manakala Hush dan MR. menggunakannya untuk mencipta jarak antara dunia peribadi dan ekspresi seni. Dalam semua kes ini, nama samaran bukan sekadar ‘nama lain’ tetapi adalah alat kebebasan, perlindungan, dan juga pemberontakan.
Penyamaran identiti dalam dunia seni bukan sekadar gaya–ia adalah bentuk penentangan. Ia menolak definisi, mencabar sistem, dan mengaburkan sempadan antara peribadi dan peranan. Di situlah karyawan memilih untuk tidak tunduk, tapi mencipta cara sendiri untuk dilihat dan dipeduli.
Ketika melawat pameran solo Sesuatu Yang Something oleh Binti di CULT Gallery, saya bukan sahaja tertarik pada cara ia mengekspresikan diri melalui seni, tetapi juga pada pemilihan nama penanya yang unik dan bermakna. Binti–istilah yang lazim digunakan untuk merujuk kepada anak perempuan; membuka ruang tafsiran yang luas terhadap isu identiti, asal-usul, agama, serta persoalan gender yang sering dianggap tetap dan tidak boleh digugat.

Dalam konteks ini, nama tersebut bukan sekadar tanda pengenalan, tetapi turut berfungsi sebagai pernyataan artistik yang mencabar struktur dan makna sosial yang telah lama terbenam. Ia sekaligus memperlihatkan bagaimana Binti tidak hanya menghasilkan seni, tetapi mengolahnya sebagai wacana–sesuatu yang bersifat peribadi namun tetap bersangkut paut dengan isu politik dan budaya.
Binti menolak sebarang bentuk pengkategorian yang kaku dalam dunia seni. Baginya, label seperti pelukis, penyair, atau jurufoto bukanlah satu keperluan, sebaliknya suatu batasan yang mengehadkan kemungkinan. Karyanya merentasi pelbagai medium dan bahasa–visual, teks, fotografi, bunyi–dan bergerak bebas di antara semuanya tanpa perlu mengikat diri kepada satu identiti tetap.
Dalam dunia yang semakin terbuka, beliau percaya bahawa seni tidak lagi memerlukan pengesahan institusi untuk dianggap valid.
“Kita ada keistimewaan untuk mencipta tanpa menunggu lampu hijau daripada sesiapa,” ujarnya dalam satu artikel yang membincangkan perjalanan dan falsafah kesenian.
Kenyataan tersebut menggambarkan pendirian generasi seniman yang lebih selesa berada di luar struktur formal, dan memilih untuk mencipta dari ruang yang lebih bebas, mencair, dan berdaya eksperimen.
Pameran Sesuatu yang Something menampilkan enam siri utama yang memperlihatkan perjalanan kreatif Binti melalui pelbagai bentuk, nada, dan emosi. Pameran ini dimulakan dengan siri Kebenaran (Truth & Permission), sebuah puisi timbul dalam campuran Bahasa Melayu dan Inggeris yang sengaja tidak mengikut aturan tatabahasa biasa. Bahasa “rojak” yang digunakan terasa mesra, lucu dan jujur, seolah-olah mencerminkan suara dalaman Binti yang tidak mahu dilembutkan untuk keselesaan orang lain. Di sebalik gaya yang santai, karya ini mempertikai siapa yang berhak menentukan ‘bahasa yang betul’ dan adakah kebenaran itu memerlukan izin untuk disuarakan.
Main Main adalah siri eksplorasi visual tentang sejarah keturunan melalui medium fotografi dan AI, digarap dalam bingkai UNO–seolah mencipta semula garis keturunan yang hilang dan memberi ruang kepada pemahaman tentang identiti peribadi yang rumit dan tidak sempurna. Binti menggunakan teknologi AI untuk mereka wajah nenek moyangnya, berdasarkan cerita dan ingatan ahli keluarga. Ia berusaha membayangkan semula sejarah yang tak sempat dirakam, dan mengisi ruang kosong dalam ingatan tentang asal-usulnya.

Siri Entah Apa (Nonsense) menonjolkan kepetahan linguistik Binti melalui padanan kata yang aneh namun menggugah. Naratif visualnya bermain-main dengan makna, sekali gus mempertikai struktur bahasa dan bagaimana kita memberi erti kepada sesuatu yang kelihatan ‘tidak bermakna’.
Finally Portrait membawa kita ke ruang peribadi dan simbolik, di mana potret keluarga disusun sebagai rumah kad–ibu bapa sebagai Raja dan Ratu, ahli keluarga lain sebagai Ace, 10 dan Jack, manakala dirinya sebagai Joker. Ia menjadi penghormatan kepada cintanya pada keluarga, sambil mencerminkan peranannya yang sentiasa berubah dalam struktur tersebut.
Dalam siri Employee of the Month: Funemployed, Binti meneroka realiti kelangsungan hidup sebagai artis muda. Melalui siri fotografi berlatarkan dinding yang sama, tetapi dengan wajah dan peranan yang berubah-ubah–karya ini mencerminkan ketidakstabilan pekerjaan dan usaha berterusan untuk terus berkarya di tengah tuntutan hidup.
Siri terakhir adalah Adult Lovesong menghimpunkan 135 potret dari Instagram–wajah kawan, kenalan dan orang asing, dipotong dari atas hidung ke atas, lalu dikucup dengan gincu oleh Binti. Ia bukan sekadar tentang cinta yang tak tergapai, tetapi juga tentang kemungkinan yang tertinggal di antara ruang dan waktu–keintiman yang wujud tanpa nama, tanpa perlu dijelaskan, namun tetap dirasa.
Binti tidak datang untuk menghulurkan jawapan. Sebaliknya, beliau membuka ruang untuk persoalan: Siapakah aku dalam sistem yang cuba melabel? Bagaimana rupa cinta tanpa kekal? Apakah seni itu jika bukan lanjutan daripada tubuh, suara dan sejarah yang kita warisi? Dalam karyanya, bahasa menjadi permainan; imejan menjadi puisi; dan rumah menjadi ruang yang sentiasa dicari–bukan semestinya tempat, tetapi rasa.
Setiap potret, setiap kolaj dan setiap helaian puisi yang dipamerkan adalah cubaan untuk memetakan bukan hanya dunia luar, tetapi dunia dalam diri–kerana bagi seorang artis seperti Binti, proses berkarya bukanlah tentang mencipta sesuatu yang sempurna, tetapi tentang berani mendengar gema diri sendiri di tengah kebisingan dunia.
Salah satu aspek paling menarik dalam karya Binti adalah keberaniannya untuk bermain-main dengan seni, tidak terikat pada satu medium atau gaya tertentu. Dia bukan sahaja seorang artis visual, tetapi juga seorang pengkarya multidisiplin yang gemar meneroka pelbagai bentuk ekspresi–daripada lukisan, kolaj, fotografi, puisi, hingga penggunaan bahan-bahan harian yang tidak konvensional.

Pendekatan ini mencerminkan keinginan Binti untuk mendobrak batasan tradisional seni dan mencipta ruang kreatif yang lebih bebas dan organik. Melalui eksperimen media, Binti mampu menyampaikan cerita dan emosi dengan cara yang lebih hidup, spontan, dan terbuka untuk didebatkan.
Binti sering kali menjadikan dirinya sendiri sebagai subjek karya, memperlihatkan potret-potret yang bukan sekadar gambaran visual, tetapi juga perenungan mendalam tentang identiti, peranan, dan hubungan peribadi. Dalam eksplorasi dirinya, dia memecahkan dinding jarak antara seniman dan seni–membiarkan karyanya menjadi cermin bagi pengalaman dan keresahannya sendiri.
Ternyata Binti bukan sahaja menyampaikan naratif peribadi, tetapi juga mengajak penonton untuk merenung kembali makna kehidupan, pilihan, dan hubungan dalam konteks budaya dan masyarakat yang lebih luas. Eksplorasi kreatif yang penuh keberanian dan imaginasi ini membuatkan karya Binti bukan sahaja relevan, tetapi juga sangat segar dan berdaya saing dalam dunia seni kontemporari.
Sikap Binti terhadap seni sangat inklusif dan terbuka. Kurator di CULT Gallery berkongsi penegasan Binti tentang kesenian iaitu “Apabila orang melihat karya saya, mereka akan berkata, ‘Oh, aku pun boleh buat ni.’ Aku pun boleh hasilkan seni.”
Penyataan ini sangat menarik kerana ia mencerminkan falsafah Binti yang mahu seni dilihat bukan sebagai sesuatu yang eksklusif atau sukar dicapai oleh golongan tertentu sahaja, tetapi sebagai ruang kreatif yang mampu diakses dan dinikmati oleh semua.
Dalam dunia seni yang kadang-kadang boleh terasa elit dan terhad kepada mereka yang memiliki latar belakang khusus, Binti dengan jelas menolak stereotaip tersebut. Dia membuka pintu kepada siapa saja untuk merasa bahawa seni adalah milik bersama–bukan hanya hak para ‘pakar’ atau golongan tertentu. Melalui karya-karyanya yang mudah didekati dan penuh kejujuran, Binti membuktikan bahawa seni adalah medium ekspresi yang sejagat dan inklusif. Seperti kata seniman dan penulis Amerika, Corita Kent, yang juga memperjuangkan seni sebagai hak semua:
“Art does not come from thinking, but from being.“
Petikan ini mengingatkan kita bahawa seni bukan sesuatu yang eksklusif atau memerlukan kelulusan–ia lahir daripada keberanian untuk hadir sebagai diri sendiri, sesuatu yang Binti lakukan dengan sepenuh hati dalam setiap karyanya.
Binti, dengan karya dan sikapnya, seolah-olah mengajak kita semua untuk kembali kepada naluri asli itu–percaya bahawa setiap orang mempunyai kreativiti dalam diri mereka, dan seni bukanlah sesuatu yang harus ditakutkan atau dianggap jauh daripada jangkauan.

Pameran solo Binti ini bukan sahaja mempersembahkan karya seni, tetapi juga menggalakkan komuniti dan penonton untuk turut serta dalam proses kreatif–mengubah persepsi seni sebagai sesuatu yang boleh menjadi milik bersama.
Sebagai seorang artis self-taught, Binti sentiasa percaya bahawa seni perlu wujud dan berkembang di tengah-tengah komuniti. Keyakinan ini jelas terserlah dalam pameran sulungnya yang menggalakkan keterlibatan orang ramai tanpa mengira latar belakang. Sebagai contoh, sebuah syarikat perabot terkenal, Fella Design, telah menaja sebuah sofa putih bersih yang dijadikan kanvas interaktif kepada para pengunjung pameran. Siapa saja, sama ada artis mahupun pengunjung yang hadir, bebas mencorak dan melukis di atas sofa tersebut–mengekspresikan idea, emosi dan kreativiti mereka secara spontan.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang ekspresi yang inklusif, tetapi juga memperlihatkan bagaimana kolaborasi antara badan korporat dan dunia seni mampu memberi nilai tambah yang besar kepada masyarakat. Melalui penyatuan ini, seni bukan lagi sekadar tontonan pasif, tetapi sebuah pengalaman kolektif yang menyatukan individu dalam dialog kreatif. Turut meneroka batas antara pencipta dan penonton, serta meruntuhkan tembok eksklusiviti seni. Langkah ini mengukuhkan visi Binti bahawa seni harus menjadi medium yang hidup dan bernafas dalam komuniti, menjadi wadah bersama untuk berkongsi cerita, perasaan dan identiti.
Binti adalah manifestasi seni yang muda, menawan, dan penuh semangat melawan. Berani menyanggah norma dan konvensi, dia tidak gentar menelanjangkan pemikiran serta perasaan dengan jujur dan tanpa kompromi. Sebagai wakil generasi seniman muda, Binti layak diberi perhatian serius, inisiatif yang menyokong, dan ruang yang luas untuk meneroka seni visual secara mendalam dan berani.
Bakatnya bukan sekadar keunikan individu, tetapi merupakan suara kolektif yang mewakili keresahan dan kerentanan generasi hari ini. Melalui karya-karyanya, Binti membuka ruang bagi anak-anak muda untuk melihat seni bukan sekadar medium ekspresi, tetapi juga sebagai sebuah rumah–tempat terapi jiwa dan kebebasan yang membebaskan diri dari belenggu sosial dan emosi.
Dalam dunia yang sering menuntut kesempurnaan dan ketegasan, Binti hadir sebagai pengingat bahawa seni sepatutnya menjadi ruang bagi ketidaksempurnaan, kejujuran, dan keberanian untuk menjadi diri sendiri. Melalui karya dan pendiriannya, terserlah harapan baru untuk generasi muda–agar mereka berani berdiri dengan suara, identiti, dan cerita yang mereka miliki sendiri tanpa terlalu peduli dengan pandangan orang sekeliling yang seringkali menghukumi.
Seperti mantera yang dilaungkan Binti:
Sesuatu yang something
Tiada siapa yang nobody
Seseorang yang someone
Tiada apa apa yang nothing
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
