BELIAU bukan harimau yang mati meninggalkan belang, malah bukan sekadar manusia yang mati meninggalkan nama. Perginyanya Ismail Zain (1930 – 1991) meninggalkan kata-kata, pemikiran, idea dan legasi.
Sumbangan Ismail Zain sepanjang hidupnya mekar dalam lapangan seni Malaysia. Beliau membina nama sebagai seniman, kurator, pendidik dan pemikir seni.
Sumbangan besarnya itu diberi penghargaan dengan penerbitan buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics terbitan FERGANA dan Balai Seni Negara.
Majlis pelancarannya diadakan pada 8 April lalu di Balai Seni Negara, dan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad serta beberapa kenamaan lain.

Buku tersebut menghimpunkan 33 teks tulisan Ismail Zain yang dihasilkan sepanjang 17 tahun, bermula 1972 hingga 1989.
Tenaga kerja editorialnya termasuk T.K. Sabapathy, Eddin Khoo dan Jaafar Ismail sebagai penyunting dan Pauline Fan sebagai penterjemah utama.
Ismail Zain dalam hayatnya dikenali sebagai seniman revolusionari, pelopor seni komputer di Malaysia dengan karya kolaj digital ulung seperti Bintang Pujaan (1988), Selamat Hari Valentine (1988) dan The Marriage of Sultan Mansor Shah (1991). Satu-satunya pameran solo sepanjang hayatnya bertajuk Digital Collage pada 1988.
Beliau turut berperanan besar dalam pembangunan institusi awam seperti Balai Seni Negara (sebagai Pengarah), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (sebagai Ketua Pengarah Kebudayaan) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas, sebagai Ketua Pengarah).

Menurut Balai Seni Negara, buku tersebut menggambarkan bagaimana pemikiran Ismail Zain membentuk pemahaman terhadap perkembangan seni moden dan kontemporari.
Malah, ia turut mengupas peranan penulisan dalam dunia seni serta perbandingan idea yang berlangsung dalam wacana seni.
“Menerusi penerbitan buku ini, diharap ia bakal menjadi sumber rujukan bagi penggiat seni, ahli akademik dan masyarakat umum dalam memahami peranan kritikan seni dalam perkembangan seni visual,” katanya dalam kenyataan media pada 8 April.
Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut di Kedai Galeri, Balai Seni Negara.
