SEJAK zaman berkereta kuda atau lembu, masyarakat manusia telah dipengaruhi oleh golongan tertentu yang menjadi penentu budaya, nilai, dan norma sosial.
Zaman itu, kelompok bangsawan atau dalam istilah sosiologi — feudal, iaitu golongan pemilik tanah dan kuasa — merupakan kumpulan yang menentukan gaya hidup masyarakat.
Mereka bukan sekadar pemegang legitimasi, tetapi pembentuk rasa, bahasa, pakaian, ritual, seni, gastronomi, dan struktur moral. Dalam dunia pra-moden, merekalah pempengaruh pertama: penentu apa yang dianggap bernilai mulia, cantik, sopan atau hina.
Era feudal bukan sekadar mengenai raja atau bangsawan yang terhubung dengan kuasa, tetapi merupakan sistem hegemoni budaya. Tuan tanah, ketua daerah atau ketua adat berperanan sebagai pusat legitimasi sosial. Apa sahaja yang mereka lakukan menjadi model, dan apa yang mereka larang menjadi tabu.
Dalam masyarakat agrarian, pengaruh datang daripada hierarki yang tetap dan tidak boleh dipersoal. Sistem ini menjadikan norma dan tradisi sebagai asas pembentukan pemikiran dan amalan masyarakat; rakyat hidup dalam struktur yang dipandu oleh autoriti yang dipaksakan secara kolektif.
II
Seiring dengan perkembangan literasi pendidikan, migrasi, penjajahan, dan kemunculan media cetak, struktur feudal mula retak. Kuasa pempengaruh beralih kepada agamawan dan ahli politik. Mereka membawa legitimasi kuasa baru yang berasaskan moral, wacana, dan ideologi, bukan lagi dalam bentuk warisan keturunan.
Di era ini, masyarakat mula terbelah mengikut dua jalur legitimasi: seruan agama yang menawarkan makna hidup, identiti, dan keselamatan rohani; dan janji politik yang menawarkan pembangunan, kebajikan, dan status sosial.
Sejak itu, naratif agama dan politik menjadi pempengaruh utama pembentukan budaya dan pemikiran masyarakat, khususnya di dunia pasca-kolonial seperti Malaysia.
Fenomena ini mencerminkan teori Antonio Gramsci mengenai hegemoni budaya, di mana kelas penguasa membentuk pandangan dan nilai masyarakat melalui legitimasi moral dan ideologi, bukan semata-mata kekuasaan politik atau ekonomi.
Walaupun pempengaruh agama dan politik kadang-kala menimbulkan polarisasi, mereka juga berperanan dalam pembentukan identiti nasional dan sosial.
Ceramah, tulisan, dan kempen politik membawa masyarakat memahami isu moral, masalah sosial, dan jurang ekonomi secara lebih kolektif. Dalam konteks ini, pengaruh mereka bukan sekadar dominasi, tetapi juga pendidikan dan pembinaan norma sosial.
III
Dalam konteks Malaysia, ketika memasuki era 1980-1990an, televisyen, radio, dan majalah berkembang menjadi industri besar. Maka muncul kelas pempengaruh yang baharu iaitu – artis sebagai pempengaruh budaya pop.
Pengaruh mereka tidak lagi berasaskan legitimasi spiritual atau kuasa politik, tetapi datang daripada estetika, populariti, dan ekonomi berasaskan seni.
Fenomena ini mengubah gaya hidup anak muda, mempopularkan citrasa fesyen, muzik, filem, dan seni visual. Bahkan ahli politik dan agamawan juga mula meniru linggo bahasa hiburan dalam dakwah dan kempen mereka, ini menunjukkan hagemoni ‘pop culture’ telah merobek pempengaruh dari kalangan agamawan dan ahli politik.
Di sisi positifnya, era ini membuka ruang lebih luas bagi masyarakat untuk mengeskpresi diri menerusi seni dan budaya. Hal-hal dahulunya ‘taboo’, tetapi kini diluah tanpa rasa canggung kerana dibuat atas nama seni.
Artis menjadi penghubung antara karya kreatif dan audien, menjadikan seni lebih inklusif, bukan hanya milik feudal atau elit. Selain hiburan, ini juga memberi impak kepada perkembangan budaya menjadi industri kreatif: teater, muzik pop, fesyen, dan media cetak berkembang lebih pesat kerana masyarakat sudah mula mencari model baru dalam kehidupan seharian.
Namun, pengaruh artis juga membawa cabaran. Populariti sering menutupi kelemahan, dan masyarakat mula menilai seseorang berdasarkan populariti, dan populariti mengambil alih menggantikan integriti sebagai legitimasi baharu.
Fenomena ini menandakan permulaan peralihan kuasa budaya daripada institusi kepada individu.
IV
Kemudian, muncul era internet, telefon pintar, dan media sosial membawa satu revolusi: lahirnya influencer digital.
Berbeza dengan era terdahulu, influencer digital datang dari pelbagai latar: samada artis, agamawan, profesional, ahli politik, ahli sukan, bahkan orang biasa yang mempunyai cerita untuk dikongsi – boleh menjadi pempengaruh (influencer).
Untuk pertama kali, pengaruh tidak lagi dimonopoli oleh institusi atau hierarki sosial. Ia boleh muncul dari bilik tidur, tepi jalan, aksi atau jenaka spontan, tutorial kreatif, atau video rawak yang menjadi viral.
Pengaruh kini dipacu oleh algoritma dan konten ringan yang memberi dopamin dalam budaya mikro-selebriti (micro-celebrity culture).
Konsep ini selari dengan pandangan ahli teori budaya, Byung-Chul Han yang ditulis dalam The Society of Exhibition, di mana beliau mengatakan bahawa kehidupan peribadi dipamerkan sebagai tontonan publik, dan nilai sosial diukur melalui perhatian dan interaksi digital.
Secara objektif, beliau cuba menjelaskan bagaimana masyarakat pada hari ini, dalam segala segi sedang mempamerkan kehidupan peribadi untuk tujuan komoditi.
Kehidupan peribadi menjadi tontonan awam, dan paparan yang keterlaluan ini membawa kepada kekurangan makna dan nuansa, kerana individu tertekan untuk mempersembahkan kehidupan mereka sebagai satu persembahan berterusan untuk konsumsi awam.
Tapi, sisi positif fenomena ini tidak boleh diabaikan. Influencer digital menjadi platform penyebaran seni, budaya, dan pendidikan. Mereka memperkenalkan masyarakat kepada seni visual, muzik, tarian, kebijakkan lokal (local wisdom), dan isu budaya yang mungkin tidak mendapat liputan media konvensional.
Influencer juga dapat mendorong keterlibatan politik, menyebarkan kesedaran tentang isu sosial, demokrasi, dan hak asasi manusia, terutama kepada generasi muda yang lebih sukar dijangkau melalui saluran tradisional.
Selain itu, media sosial memungkinkan kolaborasi global. Seniman tempatan dapat menembus pasaran antarabangsa, memperluas audiens, dan mendapatkan pengiktirafan tanpa melalui institusi yang dikepung dengan ‘red tape’.
Hal ini membuka ruang bagi kreativiti baru dan inovasi budaya yang bersifat lebih demokratik dan interaktif.
V
Menurut kajian Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI (Mac 2023), 34% pelajar yang tidak melanjutkan pelajaran bercita-cita menjadi influencer atau affiliate (rakan sekutu niaga).
Ini menunjukkan perubahan nilai masyarakat: populariti menggantikan kepakaran, konten media sosial menggantikan tabiat membaca, penampilan menggantikan pemikiran, dan reach, viewer dan like menggantikan integriti.
Fenomena ini menimbulkan risiko krisis makna. Kehidupan peribadi menjadi tontonan awam, dengan tekanan untuk mempersembahkan diri sebagai persembahan berterusan untuk konsumsi publik.
Tanpa panduan etika, masyarakat berisiko kehilangan nuansa moral, estetika, dan intelektual dalam kehidupan sehari-hari.
Sekiranya berlaku senario “blackout” media sosial, sebahagian masyarakat mungkin mengalami tekanan mental, kebimbangan, atau reaksi ekstrem. Ini menunjukkan sejauh mana ketergantungan kita terhadap budaya digital.
Namun, di sisi positifnya, apabila applikasi digunakan secara bijak, influencer boleh membentuk kreativiti, jaringan kolaborasi, dan pendidikan. Mereka boleh menjadi pendidik alternatif, mempopularkan seni, budaya, dan isu sosial, serta memperkukuh pemahaman politik generasi muda.
Influencer bukan hanya hiburan; mereka juga boleh menjadi agen transformasi sosial yang mempermudah akses pengetahuan dan budaya, mengurangkan jurang antara elit dan rakyat biasa.
VI
Naratif evolusi pempengaruh ini menunjukkan bahawa pengaruh sosial sentiasa berubah bentuk. Dari bangsawan ke agamawan-politikus, kepada artis atau selebriti, dan kini kepada influencer digital.
Di sini kita sudah dapat melihat dengan terang bahawa setiap era membawa peralihan sumber legitimasi sosial.
Semua orang kini berpotensi menjadi pempengaruh, tetapi tidak semua pengaruh membawa kebijaksanaan. Ini termasuk penyebaran informasi lemah (junk information), berita palsu (fake news), normalisasi narsisisme, dan ketagihan validasi sosial adalah risiko yang sukar dielak.
Namun, sekiranya digunakan secara bertanggungjawab, pengaruh digital juga memperkaya pengalaman seni, memperluas wawasan budaya, dan memupuk kesedaran politik dan paling utama – membungkam hagemoni feudal.
Persoalannya bukan hanya tentang bahaya media sosial, tetapi bagaimana masyarakat mampu menyeimbangkan kreativiti, pendidikan, dan kebijaksanaan dengan keperluan untuk berinteraksi dalam dunia digital.
Dalam konteks ini, influencer boleh menjadi peluang dan cabaran sekaligus: mereka memudahkan akses kepada informasi, budaya dan pendidikan, tetapi juga menuntut masyarakat agar bijak menapis dan menilai makna di sebalik tontonan dan paparan yang berterusan.
Dengan memahami evolusi pempengaruh, masyarakat moden boleh bersikpa lebih kritis terhadap siapa yang mereka ikuti, bagaimana mereka menilai nilai sosial, dan bagaimana pengaruh digital membentuk identiti, nilai, dan budaya generasi akan datang.
Era ini adalah fasa kritikal dalam pembentukan masyarakat moden — sebuah cabaran dan peluang untuk membentuk keseimbangan antara tuntutan realiti dan legitimasi moral.
Samada kita mahu bertindak bijak, atau kita memilih untuk menonton kehidupan kita yang berpura-pura di media sosial.
– Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak sepenuhnya mewakili pandangan pasukan editorial Senimalaya.

Alhamdulillah