Johann Wolfgang von Goethe (1749–1832) sering dijulang sebagai sasterawan agung Jerman, terutamanya apabila kita berkenalan serta membaca karya ‘Faust’ dan ‘The Sorrows of Young Werther’ yang masyhur itu. Namun, ramai juga terlepas pandang terhadap inspirasi pemikiran beliau berkaitan warna. Melalui karya ‘Zur Farbenlehre’ (1810), yang bermaksud ‘Teori Warna’, Goethe membahaskan tentang sifat-sifat warna, persepsi manusia terhadap warna, dan kaitan warna dengan emosi serta fenomena optik.
Menelusuri naskah ini, Goethe menolak pendekatan saintifik dalam membicarakan warna, sebagaimana yang pernah diutarakan oleh Isaac Newton. Newton di dalam ‘Opticks’ (1704), ada menerangkan secara teoritis bahawasanya cahaya putih boleh diurai menjadi spektrum melalui prisma, lalu membina tafsiran matematik-eksperimental tentang sifat-sifat cahaya.
Ya, Goethe mengakui data optik Newton itu, namun menyinggung rumusan metafiziknya, dengan mendatangkan hujah bahawa warna asas sememangnya berada di dalam cahaya secara objektif, tetapi ia ‘terlupa’ untuk mengambil kira daya pengamatan manusia. Kritikan Goethe ini pada dasarnya bersifat epistemologis, yakni sains warna tidak lengkap tanpa subjek yang melihatnya. Gagasan fikir Goethe adalah untuk memberi tumpuan kepada aspek fenomenologi dan psikologi warna.
Hal ini sebenarnya membuka satu jalur fikir yang sedikit unik, ekspresif, bahkan bernuansa estetik. Warna bukan sekadar ditanggapi sebagai hasil daripada cerapan optik yang objektif, tetapi menawarkan sebuah pengalaman fenomenologis yang bertahap, serta diulit oleh lapisan-lapisan makna. Ertinya, warna sedang berinteraksi dengan cahaya, menjadi perantara, dan yang paling mustahak, bersentuhan dengan kesedaran manusia itu sendiri.
Bertentangan dengan konsentrasi saintifik dalam acuan Newton, yang memusatkan analisis pembiasan cahaya melalui prisma, Goethe justeru meletakkan keutamaan manusia dalam mengamati serta merasai akan ‘azimat-azimat’ warna. Pendekatan ini selanjutnya menjadi pedoman baharu, malah menyuntik ‘sengatan’ pengetahuan ke dalam wilayah teori dan praktik seni. Dapat kita terokai jua perkembangannya yang dimulai dari era Romantisisme Jerman, berakar secara pedagogi di Bauhaus, hingga ia bersinergi ke dalam eksperimen persepsi kontemporari, melalui pengkaryaan instalasi cahaya.
Jika ditinjau daripada konteks seni, perbezaan pandangan di antara Newton dan Goethe sangat ketara. Dalam tilikan Goethe, para seniman tidak bekerja dengan spektrometer (*alat ilmiah yang digunakan untuk mengukur spektrum cahaya atau gelombang elektromagnet), sebaliknya ia ‘bersentuhan’ dengan jajaran persepsi, yakni yang melibatkan pendekatan kontras, keseimbangan ton, dan rangsangan emosi terhadap kombinasi warna.
Dari sudut inilah, Goethe mengangkat kepentingan wilayah kesenian dan wadah estetik. Beliau menyediakan satu bahasa dan hujah logik, bagi mengabsahkan pengalaman pelukis sebagai salah satu sumber pengetahuan. Jadi, sekiranya diamati secara saksama, Goethe bukan sekadar mendatangkan anti-tesis kepada teori santifik warna Isaac Newton, lebih daripada itu, dia sedang ‘membuka jalan’ untuk ilmu warna itu dirumuskan secara manusiawi, bahkan bergandingan pula dengan pengalaman-pengalaman estetika.
Inspirasi Fenomenologi Persepsi
Goethe membicarakan perihal warna, berlandaskan pengamatannya yang amat sederhana namun radikal. Pada Goethe, warna muncul pada batas di antara terang dan gelap. Oleh yang demikian, ia bukanlah ‘entiti’ sejati dalam juzuk cahaya itu sendiri, tetapi merupakan fenomena yang bertumbuh daripada interaksi cahaya, kegelapan, dan melibatkan penglihatan mata.
Berdasarkan ujikaji menggunakan turas ( yakni dengan memandang objek melalui prisma atau kaca berwarna), dan mengubah suasana terang-gelap, Goethe mendalilkan bahawa, warna harus difahami sebagai peristiwa visual (visual event) yang berpaksikan konteks. Lanjutan itu, maka akan tumbuh konsep polariti (terang dan gelap) dan penyalingan (complementarity), bagi memperlihatkan kecenderungan sistematik warna untuk mencari keseimbangan psiko-visual.
Romantisisme Jerman: Philipp Otto Runge
Teori Goethe tentang warna, sebenarnya banyak dilazimi serta dipengaruhi oleh fikrah Philipp Otto Runge (1777–1810), seorang seniman Jerman yang menggabungkan seni dengan falsafah, muzik, bahkan agama. Sang seniman begitu terpesona dengan teori warna, malah ia menjadi perhatian utama beliau, saat menghasilkan karya. Runge percaya bahawa seni seharusnya menciptakan makna spiritual dan simbolisme yang mendalam.
Walaupun model teori warna Runge mempunyai logik geometri tersendiri, hasrat beliau untuk mengeksplorasi warna sebagai sistem yang beriringan dengan konteksnya, begitu senada dengan gaya pemikiran Goethe. Dalam karya berjudul ‘The Hülsenbeck Children’ (1805–06), Runge bereksperimen melalui hubungan timbal balas di antara warna hangat dan dingin, terang dan gelap, sebagai sebuah citra untuk menampilkan keharmonian secara organik. Teori warna bukan sekadar dirujuk sebagai hal-hal teknikal, sebaliknya mempersembahkan struktur komposisi yang ekspresif.

J.M.W. Turner ‘membiaskan’ aura warna
Di England, seniman Joseph Mallord William Turner (1775–1851), dikenal dengan penghasilan karya landskap yang menjadikan subjek cahaya, pancaran matahari, kabus, dan angin ribut melarut dalam satu kesatuan bentuk. Walaupun beliau turut mempengaruhi Goethe dalam pengamatan beliau tentang warna, Turner seolah-olahnya mencanangkan satu kerangka artistik, apabila hal warna ditanggapi sebagai pengalaman yang mendatangkan ‘aura’. Karya seperti Rain, Steam and Speed (1844) atau The Fighting Temeraire (1839), menjelmakan ‘aura’ warna yang bersentuhan dengan suasana terang dan gelap, lalunya ‘bergabung’ dengan medium udara, kabus, serta desir angin.

Delacroix, menumbuhkan dinamika emosi melalui paduan warna
Eugène Delacroix (1798–1863), masyhur dengan karya seperti ‘The Death of Sardanapalus’ (1827), membugarkan eleman kontras merah-hijau, kuning-ungu, biru-jingga, bagi memercikkan kesan dramatik, yang menerbitkan ekspresi simbolik, baik dalam hasrat-hasrat ‘komedi’ mahupun ‘tragedi’. Di dalam renungan Delacroix, warna menjadi daya gerak terhadap sesuatu komposisi. Perkara ini secara tidak langsung merupakan idea Goethe dalam berbicara tentang warna, khususnya daripada aspek penekanan emosi, mood, perasaan dan gerak hati.

‘Warna’ yang menyemangati aliran Impressionisme dan Neo-Impressionisme
Seniman Perancis, Claude Monet (1840-1926), memerhati bagaimana cahaya berubah mengikut waktu dan suasana. Hal ini dapat dinyatakan sebagai sebuah ‘fenomenologi’ yang melatari sesuatu keadaan atau lingkungan. Fikiran sebegini selari dengan semangat teori warna Goethe. Tatkala mengamati karya Monet, ‘Impression, Sunrise’ (1872), kita akan dapat melihat olahan warna, yang seolah-olah punya ‘getaran’ dalam ruangan catan.
Sementara itu, jika diperhalusi pula lukisan Georges Seurat (1859-1891) yang berjudul ‘A Sunday Afternoon on the Island of La Grande Jatte’ (1884–86), dapat kita perhatikan dengan jelas, titik-titik warna yang dipadankan melalui hubungan kontekstual (bukan sifat terasing). Ini sebenarnya adalah warisan daripada gagasan teori warna Goethe, meskipun Seurat memanfaatkan rujukan yang lebih saintifik di dalam penghasilan karya-karyanya ini (pendekatan teknik pointillism).


Eksperimen warna di Bauhaus
Di Bauhaus, Johannes Itten (1888–1967), seorang pelukis, pereka, pengajar seni, dan ahli teori warna moden, telah menginstitusikan pengajaran warna berasaskan kontras (suhu, nilai, komplementari, kuantiti dan kualiti), yang bersamaan pula dengan hasrat-hasrat Goethe. Itten menekankan latihan pengalaman, iaitu bagaimana susunan warna mampu untuk mengubah ‘rasa’ visual. Dalam perspektif yang berlawanan, Josef Albers (1888-1976) melalui karya ‘Interaction of Color’ (1963), cuba untuk menunjukkan betapa warna dapat mengeksploitasi pandangan mata. Satu warna akan diamati secara berbeza, bergantung kepada latar yang ada di sekelilingnya. Eksperimen Albers ini juga terinspirasi daripada hujah Goethe mengenai hakikat warna, yang sifatnya relatif dan kontekstual.

Seni Kontemporari: Instalasi Olafur Eliasson
Menjengah ke zaman kontemporari, karya instalasi Olafur Eliasson seperti ‘Room For One Colour atau Your Uncertain Shadow’, menggunakan cahaya monokrom, kabus, dan perspektif ruang untuk memaksa penonton merasai warna sebagai suatu peristiwa. Hakikatnya, ia terjadi bergantung kepada adaptasi mata dan peralihan sesuatu konteks. Keadaan ini seakan-akan menghidupkan semula tesis Goethe, bahawa warna adalah suatu fenomena yang terjadi di antara sumber cahaya, medium, ruang, dan jasad tubuh yang sedang memerhati.

Idea-idea Goethe dalam persoalan warna, telah menjadi reaksi penting dalam mengimbangi ranah pengetahuan sejarah sains dan seni. Goethe menawarkan sudut pandang berbeza, tatkala kita berbicara tentang cakerawala warna, seterusnya bergandingan dengan gagasan teori yang mendampinginya.
Warna merupakan jujukan ‘peristiwa’, yang secara simbolik mengungkapkan sinar cahaya dan kelam kegelapan, manifestasi objek dan subjek, hakikat, malah perasaan-perasaan manusia. Apabila dikaitkan dengan wilayah seni, warna berbicara melampaui keobjektifan dan rigid saintifik, sebermulanya ia daripada ekspresi sfera warna garapan Runge, biasan ‘aura’ daripada Turner, kontras dramatiknya Delacroix, beradun pula di dalam eksperimentasi Bauhaus, hinggalah merambah ke instalasi cahaya, dalam arena seni kontemporari.
Secara insaf, sekiranya Newton mengajarkan kita tentang apa itu spektrum warna, Goethe pula di sisi lain, dengan bergaya membahaskan bagaimana spektrum itu dapat dihidupkan dalam ‘makrifat’ penglihatan (mata), akal dan kalbu insani.
Rujukan
Albers, J. (2013). Interaction of Color (50th anniversary ed.). Yale University Press. (Karya asal diterbitkan pada tahun 1963)
Delacroix, E. (1980). The Journal of Eugene Delacroix (Terjemahan oleh H. Minogue). Phaidon.
Goethe, J. W. von. (1840). Theory of Colours (Terjemahan oleh C. L. Eastlake). John Murray. (Karya asal Zur Farbenlehre diterbitkan pada tahun 1810)
Itten, J. (1973). The Art of Color (Terjemahan oleh E. Van Haagen). Van Nostrand Reinhold. (Karya asal diterbitkan pada tahun 1961)
Newton, I. (1952). Opticks. Dover Publications. (Karya asal diterbitkan pada tahun 1704)
Runge, P. O. (1974). Color Sphere (facsimile selections). In H. K. Biedermann (Ed.), Philipp Otto
Turner, J. M. W. (Various dates). Selected works (e.g., The Fighting Temeraire, 1839; Rain, Steam and Speed, 1844). Tate Collection catalogues.
Eliasson, O. (2007). Take your time: Olafur Eliasson. San Francisco Museum of Modern Art / Thames & Hudson.
