DALAM dunia yang semakin kompleks, dinamik, dan tidak menentu, keupayaan untuk memimpin dengan kaedah tradisional semakin dipersoalkan. Kepimpinan yang berasaskan hierarki mutlak, kawalan ketat, serta arahan dari atas ke bawah, tidak lagi memadai untuk menangani cabaran pelbagai dimensi yang dihadapi oleh organisasi dan masyarakat. Di sinilah timbulnya keperluan terhadap satu pendekatan baharu — Kepimpinan Kreatif — yang membina kekuatan bukan daripada kekuasaan, tetapi daripada imaginasi, empati dan kejelasan berfikir.
Kepimpinan Kreatif mengajak kita melihat kepimpinan bukan hanya sebagai proses mengurus manusia, tetapi sebagai seni memahami, mencipta dan memberi makna dalam dunia yang berubah dengan pantas. Ia menuntut keupayaan untuk membayangkan kemungkinan baharu, mengolah penyelesaian di luar kerangka konvensional, dan lebih penting lagi, mengakar semua tindakan dalam pemahaman mendalam terhadap manusia dan kemanusiaan. Dalam erti kata lain, Kepimpinan Kreatif adalah tentang membina jalan ke hadapan dengan jiwa terbuka dan minda yang berani.
Dalam era di mana teknologi memajukan segala-galanya, tetapi sering mengasingkan manusia daripada satu sama lain, Kepimpinan Kreatif menjadi lebih penting daripada sebelumnya. Ia menyeru pemimpin untuk tidak hanya melihat angka atau hasil akhir, tetapi memahami bahawa inovasi sejati datang daripada keupayaan untuk mendengar, berhubung dan mencipta bersama. Di sinilah letaknya kekuatan sebenar — mencipta dunia yang bukan sekadar lebih pantas, tetapi juga lebih adil, lebih inklusif dan lebih berperikemanusiaan.
Dengan kesedaran akan kepentingan ini, Yayasan Hasanah telah menganjurkan program Creative Talk: Design Your Way Forward- How Creative Leadership is Changing The World , yang dibawakan oleh Prof. Rama Gheerawo, pengarang buku Creative Leadership serta Pengarah dan Pengasas INSTILL LTD. Dalam sesi yang penuh wacana mendalam ini, Prof Rama berkongsi pandangan dan pengalamannya dalam menggerakkan perubahan melalui pendekatan kreatif dan berasaskan empati, mencabar kita semua untuk berfikir semula tentang erti sebenar menjadi seorang pemimpin dalam dunia moden.

Sebagai tokoh global dalam bidang reka bentuk, inovasi dan kepimpinan, Prof. Rama terkenal dengan pendekatan yang berpusatkan manusia dalam setiap karyanya. Dengan pengalaman lebih dua dekad merentas bidang akademik, industri dan komuniti, Prof Rama membawa perspektif yang segar, menekankan bahawa empati dan kreativiti adalah kekuatan utama dalam membentuk masa depan yang lebih berperikemanusiaan.
Dalam Bicara Kreatif yang disampaikannya, Prof Rama mengangkat konsep Kepimpinan Kreatif dan Empati sebagai Asas Reka Bentuk dan Kepimpinan sebagai wacana utama membina masa depan yang lebih manusiawi.
Menurut beliau, kepimpinan tradisional sering dibentuk melalui kekuatan, kawalan, dan arahan dari atas ke bawah — satu pendekatan yang kian terhakis keberkesanannya dalam dunia yang semakin kompleks dan berlapis hari ini. Di tengah perubahan landskap ini, Prof Rama mengajak kita untuk membayangkan bentuk kepimpinan baru; kepimpinan yang lahir daripada kreativiti, kejelasan, dan yang paling penting, empati.
“Empati bermaksud faham perasaan dan keperluan orang lain, bukan hanya memberi arahan,” tegasnya, mengingatkan bahawa kepimpinan sejati bermula dari kesediaan mendengar dan memahami, bukan dari kedudukan untuk mengawal.
Bagi Prof Rama, kejelasan bukan semata-mata soal penggunaan kata-kata yang mudah, tetapi tentang keberanian untuk berkomunikasi tanpa berselindung di sebalik jargon atau kekaburan. Manakala kreativiti, dalam erti sebenar, adalah keupayaan untuk mencari penyelesaian inovatif yang memikirkan semua, bukan hanya golongan majoriti.

Beliau menolak gagasan bahawa Kepimpinan Kreatif hanya terletak di tangan CEO atau pengarah syarikat. Sebaliknya, ia boleh bersemi di mana-mana: di bilik mesyuarat, di studio reka bentuk, bahkan dalam kehidupan seharian.
“Kepimpinan ini lahir daripada reka bentuk (Born from Design), sebab proses reka bentuk mengajar kita untuk mendengar, memahami masalah sebenar, dan mencipta penyelesaian berasaskan manusia (human-centered solutions),” katanya.
Dalam mengupas makna empati, Prof Rama mengingatkan bahawa ia bukan semata-mata soal emosi. Empati ialah tindakan aktif — mendengar dengan sepenuh hati, merasai pengalaman hidup orang lain, khususnya mereka yang kerap terpinggir, dan membentuk pemahaman itu menjadi reka bentuk atau keputusan yang lebih adil serta bermakna.
Dalam dunia reka bentuk, empati bermakna turun ke lapangan, berbual, bertanya, dan memahami keperluan sebenar pengguna; bukan sekadar bersandar pada data atau teori yang kering. Sementara dalam kepimpinan, empati menuntut kepekaan untuk mempertimbangkan kesan setiap keputusan terhadap semua pihak, bukan semata-mata mengejar keuntungan atau kecekapan.
“Empati juga bererti memimpin dari hati (leading from the heart), bukan dari ego atau keinginan untuk berkuasa,” tambahnya, menggambarkan satu visi kepimpinan yang lebih tulen, lebih inklusif, dan lebih berkemanusiaan.
Dalam dunia yang sering tergesa-gesa mengejar angka dan pencapaian, bicara Prof Rama hadir sebagai peringatan: bahawa reka bentuk dan kepimpinan, apabila digerakkan oleh empati, mampu membentuk dunia yang bukan sahaja lebih indah, tetapi juga lebih adil untuk semua.

Sementara itu, Ketua Seni dan Ruang Awam. Nini Marini Ramlan dalam ucapan ringkasnya memaklumkan, dua dana Yayasan Hasanah, iaitu Hasanah Special Grant dan Arts for All Seasons (ArtsFAS) akan mula dibuka pada 3 dan 5 May nanti.
Nini Marini berkata mereka yang berminat untuk memohon dana tersebut boleh melayari laman sesawang Yayasan Hasanah pada tarikh yang dimaklumkan.
