ACARA Malam Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA): Puisi Untuk Pyanhabib menjadi acara ketiga dalam bulan November yang dianjur khusus untuk mengingati Allahyarham.
Betapa dalam dan luas sayang lingkungannya terhadap Pyanhabib.
Lebih istimewa, buku yang mengumpulkan karangan khusus untuk Allahyarham oleh 38 penulis turut dilancarkan. Buku itu datang dengan dua reka sampul berbeza.
Malam 22 November di Rumah Pena serentak sayu dan hangat dengan bacaan puisi serta perkongsian kenangan bersama Allahyarham.
Pyanhabib dikenang sebagai kawan, ayah, suami, datuk dan ikon. Malam itu, semua puisi jadi Puisi Untuk Pyanhabib.
Rumah PENA yang penuh
Acara bermula seawal Maghrib. Yang hadir beramai-ramai solat jemaah kemudian disusuli bacaan tahlil untuk Allahyarham.
Malam itu sangat ramai yang hadir. Meja makan bulat jarang-jarang kosong. Kambing bakar tak sempat sejuk. Ramai juga yang memilih berdiri atau duduk di merata tempat.
Acara utama di atas pentas dikendali Aloy Paradoks. Bermula dengan ucapan tetamu kehormat, ia diikuti persembahan puisi dan muzik bersilih ganti.
Tetamu kehormat yang hadir termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia Madani, Mohd. Khair Ngadiron.

Ketiga-tiga mereka tampil di atas pentas, mengenang memori bersama Pyanhabib sebelum Adam melancarkan buku Pyanhabib Yang Kami Sayangi terbitan PENA.
Buku Pyanhabib Yang Kami Sayangi diterbitkan di bawah Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia Madani. Kerajaan beri RM2.5 juta kepada PENA untuk terbitkan lebih 100 buku dan buku istimewa itu salah satunya.
Di dalamnya ada catatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, ada kartun Seniman Negara, Datuk Lat dan karangan ringkas M. Nasir.
Selepas dikumpul-kumpul semua catatan dan karangan, buku itu hampir menjadi biografi tak rasmi Pyanhabib.
Seperti tajuk artikel Abdullahjones – semua orang pasti ada cerita baik tentang Pyan. Betul, begitu banyak cerita baik tentang Pyanhabib dimuatkan dalam buku itu.
Suara mencari suara
Malam itu, dari yang betul-betul muda sampai betul-betul tua membacakan sajak untuk Pyanhabib.
Cucu Allahyarham dan anak Aloy jadi wakil yang betul-betul muda. Wakil orang lama yang masih bertenaga melontar suara juga ada, seperti Dr. Ibrahim Ghaffar, Sani Sudin dan (tak tua sangat tapi dia naik pentas bertongkat sebab sakit tumit) Sabri Yunus.

Bacaan sajak dan nyanyian lagu diselang-seli dengan cerita kenangan oleh rakan rapat Allahyarham.
Fazleena Hishamuddin mengimbas pesan Allahyarham supaya berpuisi dengan maruah – jangan biar orang pijak, tak bayar. Nasir Jani bercerita kenangan yang dia sendiri terlupakan: janji untuk bawa Pyanhabib berlakon, lama sebelum Kembara Seniman Jalanan memulakan penggambaran.
Ronasina masukkan semua kenangan yang mahu dicerita dalam puisi panjangnya. Sijasad Bersiong memuisikan tajuk puisi Allahyarham.
Malam itu, walaupun meriah dengan kehadiran ramai orang, tetap ada sepi berguling pada tebing bukit-bukit bening. Pedih memilu.
Berpuluh suara gelak dan ketawa tapi tetap ada resah mengerang pada jurang gaung-gaung garang. Pahit mengilu.
Kenangan pahit manis bersama Pyanhabib diacung ke udara malam itu, seperti resah yang dibakar bagai bintang gugur ke bumi. Ke bumi.
Semua yang kenal Pyanhabib akan merindukan suaranya. Dan malam itu suara-suara mengerumun Rumah PENA, mengikrarkan kasih dan rindu pada suara yang sudah tiada.
Menjelang tengah malam, Rumah PENA kembali sunyi dan gelap. Sepi pun menurun. Kita semua menjadi rindu. Suara. Suara. Suara.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

