“Para seniman adalah mereka yang didorong oleh dua ketegangan rasa; keinginan untuk berbicara dan kehendak untuk menyendiri.”
– Donald Winnicott, ahli psikoanalisis (1896–1971)
Apabila seseorang ‘otai’ (living legend-veteran) dalam dunia seni meninggal dan telah pergi dari dunia yang fana ini, maka berduyun-duyun anekdot intim yang tak terucap perihal beliau diluahkan oleh para sahabat dan kerabat terdekat. Dalam rencana ini saya ingin bercerita tentang seorang seniman yang masih hidup dan lebih kurang sebaya dengan saya. Seniman yang tak rasa dirinya ‘lejen’ tapi tetap rajin berkarya semenjak hari pertama.
KLMJ. Akronim bagi ‘Kenangan Lalu Mengusik Jiwa’. Napie aka Aku Napie sering mencuit hati para penggemar komiknya yang disiarkan di media sosial Instagram dan TikTok melalui lawak sempoi dan bersahaja. Jenaka dalam lingkungan mereka yang sekepala (inside joke), memori kolektif generasi milenial, gebang kelompok ‘frinjan’ dan komuniti subbudaya – naratif budak-budak indie. Ini generasi selepas Gen X dan Boomers. Napie dan kengkawan tak mengalami gelombang semangat anti-perang (hippies) dan unjuk rasa perkauman (pasca 13 Mei) – termasuklah saya.
Semangat anti-establishment yang paling besar dirasa oleh generasi kami mungkin pasca 1998 selepas meledaknya era Reformasi. PRU-14 pada tahun 2018 menyaksikan blok parti pemerintah Barisan Nasional tumbang buat kali pertama dalam sejarah negara. Beberapa tahun kemudian dan hingga kini, situasi dan suhu politik kembali ‘demam’ dan reformasi menjadi satu fatamorgana yang dikejar-kejar oleh rakyat, namun masih tak dapat.
Karya-karya Napie tidaklah terang-terangan politikal seperti Zunar, beliau hanya menyinggung sedikit situ dan sini dalam nada sarkastik berkait isu-isu sensasi terkini – hal yang perlu ada dalam idealisme sesebuah kartun yang merakyat. Bukankah seni kartun (kartun editorial) itu awalnya diguna sebagai alat propaganda jua?
Sekitar 80-an khalayak komik tempatan asyik maksyuk membelek majalah kesukaan sambil terbaring, tersenyum dengan telatah watak-watak utama seperti Wak Dojer, Bujal, Mat Gila dan Lat (Kampung Boy). Akhir 1980-an muncul fenomena Ujang dan Aca (Aku Budak Minang), dua budak kampung bersaudara dalam semi-autobiografi yang agak melankolis karya Ujang, disusuli awal 90-an kita diperkenalkan pula dengan mamat grunge bernama Sahak (Aku Hidup Dalam Blues) hasil karya Aie di mana kedua-duanya digarap dalam bentuk grafik novel.
Menyahut semangat zaman dan zeitgeist tersendiri, Napie mencipta satu karakter yang diberi nama Bujang Kartun. Tetapi Bujang Kartun tidak dibangunkan menjadi satu karya semi-autobiografi seumpama karya-karya perintis sebelumnya. Bujang Kartun adalah nom de guerre Napie, watak selamba dan sempoi yang tidak ada backstory (setakat sekarang). Bujang Kartun bercerita dan berdialog sepertimana Napie akan bertindak balas terhadap sebarang isu, yang kebanyakan cerita adalah perihal gamitan nostalgia dan memori jangka panjang (long-term memory) golongan yang sama generasi (Gen X ke milenial) dan sama lokaliti (Malaysia) dengan Napie.
Peredaran masa menjadikan komik sebagai pengganti kepada kisah-kisah lipur lara dan jenaka dalam persembahan kesenian kearifan tempatan seperti Awang Batil (seni tradisi rakyat Perlis, negeri kelahiran Napie) dan wayang kulit dalam membentang cerita-cerita rakyat dan kisah golongan marhaen. Kebanyakan penceritaan dalam komik tempatan adalah koleksi mengimbau semula memori hidup survival waktu zaman bujang dan menjadi ‘kutu’ di mana kelak setelah berkahwin, lanjut usia dan dimurahkan rezeki nostalgia terhadap zaman yang dikatakan susah dan perit itu akan dikenang-kenang kembali sebagai satu fasa hidup yang terindah. Tegas M. Nasir dalam nada serius, zaman itu “sekadar yang dilalui saja.” Betul, hanya yang mengalami saja yang tahu. YTJT (Yang Tahu Ja Tahu).
Berbeza dengan lejen-lejen komik yang saya petik namanya di atas, Aku Napie lahir dan berkarya di zaman teknologi digital tengah berselirat, era gajet bercambah di pasaran untuk artis melukis menggunakan tablet dan pensel digital mengadap komputer di rumah sendiri – kemudian dengan sejumlah modal untuk percetakan POD (print on demand) boleh terus menerbit karya secara mandiri, dijilid dalam bentuk majalah (zine) atau buku. Kartunis generasi Napie lebih bernasib baik untuk menerbit dan menjual sendiri karya tanpa kerenah birokrasi dan hukum-hakam editorial sesebuah syarikat penerbitan.
Saya mula kenal rapat dengan Napie sekitar tahun 2013, sewaktu scene buku dan komik indie tengah meriah mengadakan acara perbukuan dan artis komik indie tumbuh bagai cendawan selepas hujan – secara individu dan berkumpulan mereka menempah booth di beberapa acara kesenian untuk menjual komik eksklusif dalam cetakan amat terhad. Apatah lagi selepas kerajaan ketika itu melancarkan skim baucar buku (BB1M) yang tempiasnya turut membantu golongan artrepreneur buku atau komik indie. Ini sejarah yang termaktub dan diakui oleh hampir semua pemuka-pemuka usahawan buku alternatif, baik yang masih aktif maupun yang telah tutup perniagaan mereka.
Sekitar tahun itu juga (atau sebelumnya, saya terlupa) saya pernah diupah untuk mereka bentuk buku oleh Kotabuku, sebuah projek yang diselenggarakan oleh Mie Mambo (Yeop Mie) di mana Napie selaku pelukis buku kanak-kanak berjudul Alhamdulillah! hasil karya sasterawan Mahaya Mohd. Yassin. Pada ketika itu, stroke Napie masih lagi kasar dan mentah, sepertimana saya yang masih baharu dalam dunia penerbitan. Ini juga satu babak memori yang saya kenang membabitkan Napie.
Tahun demi tahun, Napie menganjak lebih tinggi dengan terus berkarya secara digital dalam mereka bentuk produk-produk merchandise baju, beg tote, button badge, cadar dan sebagainya melalui laman Threadless, Redbubble, Society6 termasuk platform seni NFT di exchange.art. Napie seniman mandiri yang sejati. Pun begitu, karya Napie masih lagi terbit secara eceran di kolum akhbar Kosmo! dan beberapa komik atau zine tempatan lain yang diterbit secara berkala.
Selain menjadi editor dan penyelenggara zine Gelabah, Napie juga banyak kali dijemput menjadi juri untuk beberapa pertandingan doodle di Lembah Klang, diupah melukis poster-poster acara kesenian, dan diajak bekerjasama dengan jenama produk atau artis lain contohnya mereka bentuk kulit album muzik band-band punk dan indie baik di peringkat lokal dan antarabangsa.
Secara maya, karya-karya Napie dan produk-produk seninya boleh dilihat di laman akunapie.com. Untuk penggemar komik dan kolektor komik fizikal yang tegar, bolehlah memiliki dan membaca naskhah terbaru beliau Memoriku dan berjalan berlengganglah di lorong kenangan bersama Aku Napie!
– M. FAREZ KARIM seorang artrepreneur yang juga sedang survival. Tapi beliau pun maklum, “ini sekadar yang dilalui saja.” Beliau boleh dicapai di mfarez.com
*Rencana ini diubah suai dan dipanjangkan dari prakata asal komik Memoriku.
