PERANAN seorang pengarah filem ialah merumitkan sesuatu suasana yang kelihatan mudah dan kecil. Misalnya memperbesar-besarkan pengalaman peribadi menjadi suatu cerita yang kompleks dan mendalam, walaupun pada asasnya cerita berkenaan hanya cerita mungkin pernah dilalui oleh seribu orang yang sama. Walaupun dianggap sebagai suatu yang tipikal, namun pada tangan pengarah yang baik pengalaman sebegini akan dapat dikongsi dengan ikatan kuat terhadap penonton. Apabila menyaksikan sebuah pengalaman peribadi yang dikisarkan dengan molek, maka mata dan hati kita akan senang menyaksikannya. Kita tidak perlu berfikir tentang aksi letup-letup, tembak sana sini, suara-suara bingit atau warna terang benderang untuk memperlihat bentuk gah sebuah filem. Kita cukup boleh menjadi manusia dan membawakan sifat-sifat dan kisah-kisah kecil manusia untuk dikongsikan bersama-sama.
Dalam hal ini teringat dengan filem-filem Wim Wenders atau Abbas Kiarostami yang memberikan kita pengertian bagaimana perjalanan hidup seharian orang-orang biasa ialah punca untuk kita mendapatkan hasil tontonan yang lumayan. Ia bukan bertindak mahu mengajar kita, namun membuatkan kita menyelinap segi-segi tertentu lorong kehidupan karakter yang ditonjolkan. Malah dalam banyak keadaan filem-filem dari pengarah-pengarah ini menonjolkan rasa kebersamaan kita dalam bernafas sebagai manusia. Kita dapat meneliti Hirayama dalam Perfect Days adalah kita yang melalui rutin harian atau kita dapat melihat diri yang kita sedang menghadapi persimpangan hidup atau mati dalam diri Badii melalui Taste of Cherry. Malah penamat filem berkenaan juga menyedarkan kita bahawa sejauh mana pun kita pergi ini cuma filem dan kehidupan yang nyata tetap meninggalkan bekas.

Di Malaysia, tidak terkecuali untuk kita menikmati pengalaman biasa sebagai sesuatu yang sinematik. Mamat Khalid misalnya merupakan nama yang sentiasa tidak akan dilupakan apabila memberikan kita pengalamannya ketika membesar untuk dinikmati bersama-sama. Filem-filem (atau telefilem) Mamat tidak besar dan kebanyakannya sering dihabiskan dalam satu hari. Bermula dari pagi dan tamat di waktu malam. Ia kisah perjalanan seharian dan mimpi orang-orang biasa. Misalnya perjalanan orang-orang kampung mahu menikmati kegemilangan Sukan Komanwel 1998 dengan rombongan menaiki bas ke Bukit Jalil, perjalanan rombongan pengantin yang menempuh pelbagai dugaan, kisah warga Kampung Pisang melawan zombi dengan Husin yang mencari seluar berpadanan untuknya sepanjang malam atau melihat seluruh isi Kampung Talang bertemasya dengan kesempatan ruang dan waktu yang padat.
Rentang masanya mudah, tidak perlu dipanjang-panjangkan, secukup rasa untuk ditampilkan dengan ringkas tapi meninggalkan kesan sepanjang waktu. Ini semua ialah pengalaman hidup yang asalnya bersifat biasa, tetapi diperah menjadi kisah kita semua. Ia mengikat kerana sebahagian besar yang menonton dapat melibatkan diri secara terus dengan apa yang ditonton. Pengalaman Mamat turut menjadi pengalaman kita. Ini kerana Mamat bukan sekadar merakam pengalamannya, tetapi mengungkap zaman ke dalamnya. Ia menjadikan rakaman pengalaman tadi bergerak daripada sesuatu yang peribadi kepada memiliki keperibadian nasional.
Mungkin, pengalaman menaiki bas Mogah, melihat budak-budak rock di kampung mengoyak kerusi di dalam bas atau menyaksikan sendiri budaya makan nasi di tepi sungai di siang hari di bulan puasa adalah apa yang dirasai sendiri oleh Mamat. Walaupun asalnya bersifat kecil, namun dengan keupayaan untuk merumitkannya, semua cerita ini membuatkan kita memahami bahawa sinema juga muncul di mata kita melalui pengalaman peribadi kecil yang dibawakan pengarahnya. Tidak perlu untuk berfikir terlalu jauh sampai membawakan kisah-kisah yang sukar dan kita sendiri tidak mengerti. Berikanlah seperti apa diajarkan Mamat kepada kita, bercerita dengan hal-hal yang dekat dengannya, yang dia tahu, lihat dan mungkin alami.
