SETIAP negara mempunyai seni perlambangan masing-masing. Paling utama ialah seni visual reka bentuk bendera kebangsaan. Diikuti dengan seni visual jata negaranya.Ini diikuti dengan lagu kebangsaan yang seninya berbentuk audio. Selepas itu ialah flora dan fauna nasional yang membekalkan reka corak pada tekstil atau latar belakang pada sesuatu paparan.
Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia muncul sebagai sebuah negara baharu. Seharusnya negara ini mengibar sebuah bendera yang mempunyai reka bentuk baharu bagi melambangkan gabungan empat negara iaitu Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah. Mungkin benderanya berbentuk empat jalur dan empat bintang.
Sebelum tarikh itu, semua wilayah berkaitan sudah mempunyai bendera masing-masing. Di antara empat bendera itu ialah, bendera Sarawak adalah yang tertua iaitu ia mula dikibarkan pada tahun 1870. Ini diikuti dengan Tanah Melayu yang mula mengibarkan benderanya pada tahun 1957, bendera Singapura pula adalah pada tahun 1959 dan akhir sekali ialah bendera Sabah pada tahun 1963.
Tetapi Persekutuan Malaysia tidak mereka bentuk bendera baharu. Sebaliknya ia menggunakan reka bentuk bendera Tanah Melayu dengan hanya menambahkan tiga jalur dan tiga bucu pada bintangnya untuk mewakili Singapura, Sabah dan Sarawak.
Ketiga-tiga negara itu telah menjadi tiga daripada 14 negeri Persekutuan Malaysia. Mereka bukan negara lagi jika menurut perlambangan bendera Persekutuan Malaysia.
Singapura, Sabah dan Sarawak mengekalkan bendera masing-masing. Tetapi Tanah Melayu sudah tiada bendera sendiri. Benderanya yang ditambah jalur dan bucu bintangnya telah dijadikan bendera Malaysia yang terus digunakan sekarang. Bukan saja bendera Tanah Melayu sudah tiada tetapi entiti politik Tanah Melayu atau Malaya di persada antarabangsa sudah ditiadakan. Apa yang ada ialah satu ruang geografi yang terdiri daripada 11 negeri dengan secara kolektifnya dipanggil sebagai Semenanjung Malaysia.
Singapura kini sebagai sebuah republik berdaulat dan merdeka masih menggunakan bendera yang sama sejak tahun 1959. Sarawak pula sudah menukar benderanya dua kali iaitu pada tahun 1973 dan 1988. Sabah juga mengubah benderanya pada tahun 1973 dan kemudian pada tahun 1988.
Bendera Malaysia itu dinamakan Jalur Gemilang pada tahun 1997 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Sebelum itu, ia tidak bernama dan hanya disebut sebagai bendera kebangsaan. Setelah dikibarkan pada tahun 1957, ia mengambil masa 40 tahun baru ia nemperoleh nama.
Adalah tidak diketahui apa yang mendorong kerajaan untuk menamakan bendera kebangsaan itu. Nama bendera kebangsaan bukanlah suatu yang wajib. Kebanyakan negara tidak mempunyai nama pada benderanya. Tetapi memberi nama pada bendera kebangsaan mempunyai seninya tersendiri.
Bendera yang terkenal dengan mempunyai nama ialah bendera United Kingdom dengan nama Union Jack. Tetapi itu adalah nama panggilan. Nama rasminya ialah Union Flag. Union itu merujuk pada kesatuan kerajaan (kingdom) Great Britain dan Northern Ireland yang membentuk negara United Kingdom.
Amerika Syarikat tidak menamakan bendera mereka secara rasmi. Tetapi ia memiliki nama tidak rasmi iaitu Stars and Stripes (Bintang dan Jalur), Star Spangled Banner (Panji-panji Dikilaukan Bintang) dan Old Glory (Gemilang Tua). Lagu kebangsaan Amerika adalah Star Spangled Banner.
Adakah nama Jalur Gemilang terinspirasi dari Star Spangled Banner? Kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris, ia menjadi Glory Stripes? Bersempena ada nama pada bendera kebangsaan, maka turut dicipta ialah lagu Jalur Gemilang yang sudah menjadi salah satu lagu patriotik negara.
Ada orang luar negara yang mengaitkan Jalur Gemilang dengan bendera Amerika. Oleh kerana bendera asal Amerika direka bentuk pada tahun 1776. Maka kecenderungannya adalah untuk menyatakan bahawa Malaya meniru bendera Amerika. Atau Jalur Gemilang ini terinspirasi daripada bendera Amerika.
Di dunia, hanya ada dua negara yang seakan-akan dengan Amerika iaitu Liberia dan Malaysia. Liberia dari perkataan liberty yang bermakna kebebasan terletak di Afrika Barat. Ia merupakan negara yang asalnya diwujudkan oleh orang kulit putih untuk hamba-hamba berkulit hitam yang dibebaskan.
Oleh kerana keberkaitannya dengan Amerika Syarikat, maka tidak hairanlah benderanya adalah seperti bendera Amerika iaitu jalur-jalur merah dan putih. Cumanya ia mempunyai satu bintang sedangkan bendera Amerika memiliki 50 bintang.
Sebuah lagi negara yang mempunyai bendera jalur-jalur ialah Greece. Tetapi ia tidaklah jalur merah dan putih tetapi jalur biru dan putih.
Malaysia tidak ada kaitan dengan Amerika. Begitu juga Jalur Gemilang tiada kaitan dengan bendera kebangsaan Amerika. Malaysia juga tidak meniru bendera Amerika.
Ini kerana pada reka bentuk awalnya ia berupa bendera yang berupa jalur-jalur biru dan putih, seperti Greece tetapi biru tua dan bukan biru muda. Kesamaan Jalur Gemilang dengan The Star Spangled Banner hanyalah kebetulan.
Pada tahun 1949. Jawatankuasa Bendera Kebangsaan telah mengadakan pertandingan reka bentuk bendera. Keputusannya ialah tiga reka bentuk disenarai pendek. Kesemuanya berlatar biru tua yang sememangnya dikaitkan dengan simbol kekuasaan dan konservatisme yang juga dikaitkan dengan Komanwel British dan Barat. Lawan biru tua dari segi perlambangan dan estetika adalah merah yang melambangkan pemberontakan, pelawanan dan pengorbanan.
Dua cadangan pertama itu hampir serupa. Perbezaannya terletak pada susunan bintang. Kedua-duanya mempunyai keris merah dan 11 bintang berbucu lima berwarna putih mewakil 11 negeri.
Tetapi cadangan ketiga adalah berbeza. Ia berjalur 11 biru tua dan putih dengan di kotak sudut sebelah kanan yang dipanggil canton, diletakkan bulan sabit dan bintang berbucu lima berwarna putih. Latar canton berwarna merah.
Cadangan bendera ini dikemukakan oleh seorang arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Mohamed Hamzah.
Reka bentuk beliau itu sebenarnya adalah berasaskan pada bendera Johor yang berupa warna biru tua dan canton warna merah serta bulan sabit serta bintang berbucu lima warna putih.
Maka apa yang dilakukan oleh beliau ialah memecahkan warna biru itu dengan lima jalur putih. Namun begitu, Dato Onn Jaafar yang ketika itu Menteri Besar Johor mencadangkan tiga perubahan iaitu jalur warna biru ditukar kepada merah dan warna merah pada canton diubah pada biru.
Perubahan kedua ialah memecahkan lima bucu pada bintang itu untuk menjadi 11. Perubahan ketiga ialah bulan sabit dan bintang berwarna putih ditukar kepada warna kuning bagi melambangkan Raja-raja Melayu, suatu ciri penting Persekutuan Tanah Melayu bagi membezakannya dengan Malayan Union.
Dari sejarah ini, ia menunjukkan bahawa Jalur Gemilang tiada kena mengena dengan bendera Amerika. Tujuan Dato Onn menukar warna-warna itu adalah dipercayai atas dua sebab. Pertama, beliau hendak bendera Tanah Melayu itu berbeza daripada bendera Johor. Kedua, jalur-jalur warna merah dan putih itu hendak meraikan warna merah yang pada tahun 1948 sudah diterima bukan saja sebagai warna bendera Indonesia tetapi warna identiti seluruh Nusantara termasuk Tanah Melayu.
Sebab itu bukan saja bendera Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang ditubuhkan pada tahun 1946 berhaluan kiri berlatarkan merah putih tetapi juga UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 juga berbuat demikian. Ditambah pula gabungan parti-parti kiri Putera-AMCJA pada tahun 1948 mencadangkan supaya bendera Malaya hendaklah berwarna merah dan putih dengan 12 bintang putih disusun seperti kotak di penjuru kanan bahagian atas bagi mewakili 12 negeri-negeri Tanah Melayu termasuk Singapura.
Satu lagi perbezaan bendera Tanah Melayu dengan Amerika yang penting ialah bintang berbucu 11 yang merupakan suatu idea reka bentuk asli atau original. Tidak ada bintang di mana-mana bendera di dunia yang mempunyai bucu sebanyak itu.
Hanya tahun-tahun kemudian baru disedari bahawa bintang berbucu banyak adalah seperti reka bentuk bintang atau matahari yang terdapat pada gendang gangsa Dong Son yang dibuat pada tahun 600 sebelum Masihi. Gendang yang ditemui di delta Vietnam pada kurun ke-19 juga terdapat di banyak tempat di Asia Tenggara, dari Vietnam hingga ke Indonesia mencapai jumkah 200 buah.
Maka bintang Dong Son itu boleh mewakili perlambangan penduduk Asia Tenggara. Namun bintang berbucu 11 bukan berasal dari gendang Dong Son. Itu adalah kebetulan. Dato Onn memecahkan bintang lima ke 11 bukanlah meniru gendang Dong Son. Ia hanya untuk membezakannya dengan bendera negeri-negeri yang mempunyai lambang bulan sabit dan bintang berbucu lima. Bendera bulan sabit berbintang bucu lima dikaitkan dengan agama Islam. Ia digunakan pada bendera Johor, Melaka, Selangor, Terengganu dan Kelantan. Asal-usulnya adalah Turkiye dan perkara itu adalah kisah lain.
