BERMULA 1 Januari tahun depan, Selangor akan mengecualikan cukai hiburan ke atas program kesenian keagamaan bagi tempoh setahun.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan perkara berkenaan semasa membentangkan belanjawan negeri untuk tahun depan di Dewan Negeri Selangor, pada Jumaat.
Amirudin memaklumkan, pengecualian ini bertujuan untuk menggalakkan kegiatan pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sebelum ini, program sebegini perlu membayar RM205 sehari untuk program kesenian dan pementasan melibatkan nasyid dan RM20 sehari untuk wayang tokong.
“Ini akan dikecualikan sepenuhnya dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026,” katanya seperti dilaporkan Media Selangor.
Beliau berkata, pengecualian penuh cukai hiburan juga diberikan untuk taman tema khusus bagi tiga kategori pengunjung iaitu warga emas, orang kurang upaya, dan kanak-kanak berumur tidak lebih 5 tahun.
Selangor juga mengekalkan untuk setahun lagi pengecualian cukai hiburan ke atas konsert artis tempatan manakala cukai hiburan bagi persembahan artis luar negara diturunkan separuh.
“Kerajaan Negeri akan mengurangkan duti hiburan pada tahun 2026 sebanyak 50 % berbanding tahun ini, iaitu dari 10% kepada 5% bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor dan Malaysia untuk menikmati aktiviti pementasan artis dari luar negara yang beraksi di Selangor,” katanya lagi.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor menurunkan cukai hiburan ke atas konsert artis luar negara daripada 25 menjadi 10 peratus berkuat kuasa pada 1 Januari lepas bersempena Tahun Melawat Selangor 2025, selain mengurangkan cukai hiburan bagi pameran bertiket daripada 25 kepada 15 peratus.
Amirudin berkata, insentif pengecualian dan pengurangan cukai hiburan ini diberikan susulan keupayaan Kerajaan Negeri meningkatkan hasil negeri melalui beberapa langkah baharu.
Dalam ucapannya juga Amirudin memaklumkan, Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk memperkenalkan Gallery Hopping Selangor bagi menghidupkan industri seni di negeri tersebut.
Menurut Amirudin, galeri itu menampilkan pameran seni bertema yang mempunyai koleksi lukisan berkait sejarah ASEAN dan nusantara.
“Kerajaan Negeri akan menggerakkan usaha ‘gallery hopping’ seni serta pameran yang bertema setiap suku sepanjang tahun 2026.
“Antaranya adalah galeri seni moden dan kontemporari, galeri seni yang mempunyai koleksi lukisan berkait sejarah ASEAN dan Nusantara.
“Ia melihat kepada konsep Art Collaboration di Kyoto yang berjaya menghidupkan koleksi peribadi serta galeri kecil,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, pada Jumaat.
Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri turut menekankan kepada pembangunan seni dan budaya generasi muda dengan penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam seni persembahan pentas.
“Malah inisiatif ini akan diperkukuhkan dengan Program Kebudayaan Pelbagai Kaum dan Orang Asli dan acara kebudayaan daerah.
“Kerajaan Negeri yakin bahawa usaha sebegini mampu meningkatkan keterlihatan warisan budaya Selangor dan mengukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa,” katanya.
