SEBUAH pementasan berjudul Langen Mataya Bedhayan Gandrungmanis, iaitu persembahan tari yang berasaskan penghidupan semula warisan naskhah klasik, akan berlangsung pada 26 Oktober ini.
Persembahan dari jam 1.00 tengah hari hingga 4.00 petang akan diadakan di Ruang Serba Guna Aras 4, Perpustakaan Negara Indonesia di Jakarta.
Persembahan ini menampilkan Penata Tari Naufal Anggito Yudhistira bersama pemuzik Unit Kesenian Karawitan Sekar Widya Makara Universiti Indonesia (UI).
Pementasan Langen Mataya Bedhayan Gandrungmanis membawa semangat menghidupkan semula serta menggali kembali seni tari Jawa klasik gaya Surakarta.

Dalam pementasan ini, akan dipersembahkan Tari Bedhaya Gandrungmanis yang dibangunkan semula berdasarkan penyelidikan tesis kedoktoran oleh Naufal Anggito Yudhistira di Universitas Indonesia (UI) terhadap tari Bedhaya Gandrungmanis yang telah lama pupus.
Tarian Bedhaya Gandrungmanis pada asalnya dicipta atas inisiatif Pangeran Adipati Hangabehi, dan kemudiannya dipentaskan semula setelah beliau menaiki takhta sebagai Sunan Pakubuwana VIII di Keraton Surakarta Hadiningrat.
Tarian ini telah hilang dari tradisi pertunjukan dan kali terakhir direkodkan ialah pada tahun 1973 dalam bentuk yang sudah disederhanakan.
Bedhaya Gandrungmanis mengisahkan cerita Panji Jayakusuma, atau lebih dikenali sebagai Panji Mbedhah Bali.
Tarian ini memfokuskan detik ketika Panji Asmarabangun menyamar sebagai kesateria bernama Klana Jayakusuma dan mengabdi di Kerajaan Ngurawan. Klana Jayakusuma kemudiannya diperintah oleh Raja Ngurawan untuk memimpin peperangan menakluk Bali.

Pertempuran tidak dapat dielakkan antara pasukan Ngurawan yang dipimpin Klana Jayakusuma dengan pasukan Bali. Kisah memuncak dengan pertarungan antara Klana Jayakusuma dan raja Bali bernama Prabu Jayalengkara.
Prabu Jayalengkara akhirnya tewas dan berubah rupa menjadi Dewi Sekartaji, kekasih Panji Asmarabangun yang hilang sekian lama. Kedua-dua kekasih itu akhirnya kembali bersatu setelah lama terpisah.
Pembinaan semula tari Bedhaya Gandrungmanis ini berpandukan pelbagai naskhah klasik dari pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20, selain turut merujuk kepada tradisi lisan.
Pementasan ini melibatkan barisan penari dan pemusik muda sebagai usaha memperkenalkan semula khazanah seni tari klasik Jawa kepada generasi baharu.
Inisiatif ini bertujuan menghidupkan kembali kekayaan seni klasik yang hampir lenyap, mengangkat naskhah kuno sebagai sumber penting pemajuan kebudayaan, serta memperkenalkan kisah Panji yang telah diiktiraf sebagai warisan budaya dunia oleh UNESCO.
NOTA: Teks asal berita ini disediakan oleh Lasman Simanjuntak
