“Lembu saya tidak cantik, tetapi ia cantik bagi saya.” Kata David Lynch (1946–2025) sewaktu menggunakan seekor lembu hidup untuk mempromosikan persembahan Laura Dern dalam filem Inland Empire pada tahun 2006.
Dari perkataan Perancis, mélange (may·lawnzh) bermaksud campuran, rampaian atau kata mudahnya ‘rojak’. Namun istilah rojak amat cemerkap untuk dikaitkan dengan seni rupa walaupun dari sudut gastronomi hidangan rojak (contohnya rojak pasembor, rojak mi, rojak buah) adalah antara menu yang digemari oleh pelbagai kaum di Malaysia.
Dalam industri fabrik kita ditemukan juga dengan istilah ‘melange’ iaitu satu proses campuran dua gentian kain mentah (raw) dan berwarna (dye) menghasilkan kesan abstrak dua tona yang menarik.
Pada Januari lalu, saya sempat berbual sekejap dengan CEO Capital Fine Art Auction, Sharon Lok tentang pameran seni yang diadakan di premis beliau. Perjumpaan yang tak dirancang, kebetulan sebelum itu Sharon sedang berbincang dengan seorang seniman untuk projek pameran akan datang.
Setelah saya selesai menghayati karya-karya seni di ruang pameran, Sharon menjemput saya duduk di meja tamu. “Asalnya Capital sebuah art auction house,” ujar Sharon membuka bicara. Kemudian Capital membuka ruang galeri untuk artis mengadakan pameran.
Beautiful Mélange merupakan pameran berkumpulan yang terbaru dianjurkan oleh Capital Fine Art Auction. Pameran ini melibatkan karya-karya dari sebuah grup seniman yang dikenali sebagai Satu Kolektif terdiri daripada Ady Ezwan Nordin, Azaikmal Ahmad Rashid, Burhanuddin Bakri, Dr. Elias Yamani Ismail, Muhammad Nasrullah Rokes dan Mat Ramli Mansor.
Setelah saya memperkenalkan diri, Sharon mengakui, “ya, penulisan (seni) amat penting untuk pameran sebab ia menghubungkan antara karya dengan bakal pembeli (kolektor) yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional; doktor, peguam, arkitek dan sebagainya. Dunia seni (tempatan) ini tidaklah besar mana.”
Jujur jika ditanya, saya pun sebenarnya tidak tahu bagaimana penulisan tentang seni harus dikarang. Ini kerana biasanya saya menulis apa yang saya tahu dan rasa apabila selesai menjamu mata melihat karya-karya yang dipamerkan. Mungkin antara ‘modal’ yang perlu penulis ada ialah bahan bacaan, pengalaman dan lingkungan sosial. Setelah terbit, pasti tulisan itu akan mendapat respons pembaca. Daripada kritikan pembaca, penulis itu akan menimba pelajaran. Proses ini berulang dan berkembang.
Dalam satu ekosistem seni, peranan galeri amat besar. Sebagai platform yang mengangkat seniman, galeri juga merupakan satu titik rendezvous (ron·day·voo) untuk karya seni akhirnya bertukar tangan dan seniman mendapat habuan. Namun ini tidak bermakna seniman hanya menyerah bulat-bulat kepada galeri untuk menjual karya mereka. Samalah juga dalam dunia penerbitan contohnya sebuah projek antologi. Selain penerbit yang bertungkus lumus mengedar buku ke kedai-kedai buku, para penulis juga perlu memberanikan diri mempromosi karya mereka.
Pada zaman Kecerdasan Buatan (AI), ilmu dan maklumat dapat di’prompt’ hanya dalam beberapa milisaat. Sahih atau palsu sahaja yang memerlukan kebijaksanaan manusia untuk memilih. Kita semakin mudah menyarung pelbagai jubah kerjaya – menjadi serba boleh, polymath. Diharap dalam masa sama kesihatan mental perlu dijaga akibat terkejar-kejar membuat semua perkara.
Beautiful Mélange adalah campuran pelbagai idea, bahan, juga budaya bagi mereka bentuk sesuatu yang unik. Seumpama kolaj, ia mengadun elemen yang berlawanan – tradisional dengan moden, pengaruh antarabangsa dengan tempatan, juga pelbagai bentuk kesenian seperti catan, muzik dan arca.
Karya-karya media campuran Ady Ezwan menarik diadun dalam warna-warni antara sapuan berus naif dengan potongan kolaj geometrikal. Bersamaan juga dengan Azaikmal yang masih dalam obsesi mencatan objek-objek gelembung dan gelung warna-warni ‘candy’-nya. Saya berseloroh dengan Sharon, karya ini mesti disukai oleh kolektor wanita. “Tidak juga,” jawab beliau pantas. Sharon lebih arif, berpengalaman dalam menguruskan galeri pastinya beliau lebih maklum bagaimana karya yang ‘mesra-kolektor’ dan sebaliknya. Siapalah saya yang sekadar menebak begitu dan begini.
Dalam dunia akademik ada kursus pengurusan seni yang mengajar teori-teori dan aplikasi bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan seni. Bagaimana memasarkan produk seni halus. Seni menjual tidak semua berupaya menguasainya. Hanya segelintir sahaja yang berani terjun ke bidang ini. Apatah lagi dalam lingkaran kecil eksosistem seni lokal, semua saling kenal mengenali, walaupun tak pernah bersua muka.
Burhanuddin Bakri seorang pengarca mempersembahkan arca dan lukisan khatnya dalam pameran ini. Mungkin inilah yang dimaksudkan adunan antara kesenian antarabangsa dengan lokal. Namun, Dr. Elias tampil berbeza. Karyanya Palimpsests (pita ukur di atas struktur, 128 x 96 cm, 2024) membuatkan saya berasa sedikit ‘terancam’ merenung anyaman berselirat pita ukur yang tajam itu. Elias telah menjalin sebuah anyaman ‘keunikan’ dalam pameran berkumpulan ini.
Muhammad Nasrullah berkarya dengan renjisan pasir berwarna ke atas kanvas, membentuk tekstur dalam warna yang harmoni. Melihatnya seumpama kita memandang strata tanah berwarna-warni di pergunungan Zhangye Danxia, China (walaupun saya tak pernah ke sana).
Seniman terakhir, Mat Ramli (Che Mat) menampilkan dua jenis karya iaitu medium catan dan juga arca ukiran kayu. Catan pula dalam dua jenis iaitu catan alam benda dan figura. Mengenali Che Mat secara peribadi sejak 2018 sewaktu beliau menjadi artis residensi Rumah Seni Selangor (RUsSEL) dan kemudian menjadi penghuni tetap di situ sehingga RUsSEL tamat operasi, pasti tinggi keinginan saya untuk melihat karyanya yang terbaru. Ada dua karya yang dihasilkan beliau pada tahun 2024 iaitu The Lost Soldier (cat minyak atas kanvas, 92 x 61 cm) dan Contradiction (media campuran atas kanvas, 92 x 122 cm [diptych]). Jika dibandingkan dengan karya-karya sewaktu pameran residensi AKAR dahulu, saya amati palitan berus dan palet warna beliau sudah berubah. Iyalah, setiap seniman tumbuh berkembang melalui setiap fasa hidup mereka.
Pameran berkumpulan Beautiful Mélange berlangsung pada 3 hingga 25 Januari lepas. Satu Kolektif dan juga galeri Capital Fine Art Auction masing-masing dapat dicapai melalui media sosial Facebook dan Instagram sekiranya anda ingin mengetahui tentang projek dan pameran seni mereka yang akan datang.
Dalam perbualan saya dengan Sharon pada petang itu, beliau menceritakan pengalaman membawa anaknya ke pameran artis Jepun kegemaran beliau, Yayoi Kusama di National Gallery Singapura beberapa tahun dulu. “Anak saya amat takut dengan motif signature Kusama yang berbintik polka itu.”
Sepertimana hendak mengukur nilai cantik dalam karya seni yang dikatakan subjektif, setiap manusia ada selera tersendiri. Dan secara lumrah, manusia sering takut terhadap perkara yang tidak diketahui.
– M. FAREZ KARIM masih menguruskan Studio Kaukab secara mandiri, terlibat sebagai pereka bentuk beberapa projek buku terbitan lokal, dan masih membuka ruang untuk sebarang projek kolaboratif seni bagi sesiapa yang berminat.

