SETIAP hentakan kaki seorang penari, nada yang mengisi ruang udara, dan babak yang menghidupkan pentas, ada jiwa yang berbicara. Seni bukan sekadar hiburan sebaliknya ia adalah cerminan sebuah masyarakat, suara yang merakam kegelisahan, harapan, dan impian sesuatu bangsa. Namun, dalam dunia yang semakin dipacu oleh digitalisasi dan hiburan segera, apakah seni persembahan masih relevan? Bagaimana kita memastikan ia terus hidup dan dihargai?
Jawapannya terletak pada mereka yang setiap hari berjuang untuk menghidupkan seni. Mereka yang bergelar pelakon, penari, pemuzik, pengarah, pereka pentas, dan ratusan tenaga kreatif lain yang bekerja tanpa lelah di sebalik tabir, saban hari berusaha mengangkat seni. Dan tahun ini, di pentas BOH Cameronian Arts Awards (BCAA) yang memasuki tahun ke-20, ia bukan sahaja meraikan pencapaian pengiat seni tetapi juga mengangkat perbualan tentang masa depan sektor seni persembahan Malaysia.
Dua dekad merayakan legasi seni
Tahun 2025 menandakan dua dekad BCAA, sebuah perjalanan panjang yang menyaksikan perubahan, cabaran, dan inovasi dalam dunia seni persembahan Malaysia. Ditaja oleh BOH Plantations dan dipersembahkan oleh Kakiseni, anugerah ini terus memainkan peranan penting dalam mengangkat bakat seni tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen, adalah penting bagi melihat seni sebagai satu legasi yang harus terus berkembang.
“Apakah erti legasi jika ia tidak terus memberi inspirasi dan membentuk masa depan?
“Kita mesti secara aktif memupuk sentuhan fizikal dalam seni, di luar pendidikan dan penghargaan, ke dalam penglibatan sebenar.
“Ini tentang mendapatkan khalayak memahami seni, menjadi sebahagian daripadanya, untuk menghargainya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo berkata perjalanan selama 20 tahun ini bukan sekadar satu pencapaian, tetapi juga satu amanah untuk memastikan seni terus berkembang.
“Kami masih ingat hari-hari awal kami menyokong usaha Kakiseni untuk menjayakan Anugerah ini, dan 20 tahun kemudian, kami gembira melihat ia meneruskan peranannya untuk membentuk, meraikan, dan memberi inspirasi kepada pengamal industri ke skala yang lebih besar,” katanya.
Saingan sengit dalam setiap kategori
BCAA20 menyenaraikan 77 penyertaan merentas 38 kategori. Dari Pelakon Utama Terbaik hingga ke Rekaan Kostum Terbaik, setiap kategori menampilkan hasil kerja yang bukan sahaja memukau, tetapi juga mencerminkan dedikasi luar biasa dalam memastikan seni terus berkembang.
Sebanyak 41 produksi telah dicalonkan, terdiri daripada, 12 produksi tarian, 7 produksi teater muzikal, 10 produksi muzik dan 12 produksi teater.
Setiap satu daripada produksi ini telah melalui penilaian teliti oleh panel juri profesional dan pakar seni persembahan Malaysia, menjadikan pengiktirafan ini sesuatu yang benar-benar berprestij.

BCAA20 menyaksikan saingan sengit bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Antaranya adalah Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin yang bersaing dalam kategori Pelakon Utama Terbaik bagi kategori teater.
Kedua-dua pelakon tersebut mewakili teater Persiapan Seorang Aktor – sebuah teater kecil yang mendapat sambutan yang menggalakkan.
Aloy dan Fazleena juga bersaing dengan Che Kem, pelakon persembahan Randai MacBeth.
Selain itu, teater Persiapan Seorang Aktor juga turut dicalonkan dalam kategori Pengarah Terbaik menerusi Dr Syahrul Musa, Skrip Asal Terbaik (Saat Omar) dan Reka Bentuk Pencahayaan Terbaik (Walid Ali).
Teater Persiapan Seorang Aktor juga tersenarai dalam Best Of Nomination List BCAA20 bersama Randai MacBeth, The Bee, Spice, Magic and Mystique by The Young KL Singers, East X West: A Musical Journey dan Mortal Man: Two Monologues.
Apa nasib sektor seni 20 tahun akan datang?
Di sebalik kemeriahan BCAA20 yang dijadualkan berlangsung pada 4 Mei 2025, satu persoalan besar terus diangkat: bagaimana seni boleh kekal relevan untuk 20 tahun akan datang? Tema tahun ini, “20 Years of Legacy: Igniting Inspiration for Tomorrow”, tidak hanya memberi penghormatan kepada penerima anugerah terdahulu, tetapi juga menggalakkan inovasi dan kebebasan artistik untuk generasi yang akan datang.
Daripada tarian ke teater, muzik ke muzikal, setiap cabang seni mempunyai peranan dalam membentuk identiti budaya kita. Dan dalam dunia yang sering berubah, seni harus terus menjadi ruang untuk dialog, refleksi, dan ekspresi yang membawa makna lebih besar.
