MANILA menyambut saya dengan debur manusia dan aroma kertas baharu. Saya melangkah masuk ke Pusat Konvensyen SMX dengan dada lapang, tetapi tekad yang sarat mahu meyakinkan dunia bahawa karya Malaysia bukan sahaja layak dibaca, malah wajar diangkat ke pentas antarabangsa.
Lawatan kerja ini ditugaskan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) bersama-sama Hasri Hasan dan Nurin Afiqah Azlan dengan misi jelas, iaitu memacu potensi karya Malaysia menembusi pasaran dunia, memperkenalkan “International Tower” di portal Book Capital, dan mengundang delegasi luar ke Asian Rights Fair (ARF) Kuala Lumpur tahun hadapan.
Seawal sesi pertama ARF–Manila (ARF-MNL), saya melihat sendiri bagaimana sebuah karya yang baik akan menemui sayapnya apabila diberi ekosistem yang betul. ARF-MNL bukanlah muncul secara tiba-tiba, tetapi hasil kesinambungan strategi penjenamaan PKB. Bermula sebagai Kuala Lumpur Trade & Copyright Centre (KLTCC), ia dijenamakan semula sebagai ARF dan kini diperluas ke Manila. Ia menjadi bukti bahawa gagasan yang lahir di Kuala Lumpur mampu berakar di rantau serantau.
Detik paling mengesankan hadir semasa Hasri berkongsi kisah kejayaan Malaysia melaksanakan Baucar Buku MADANI 2024 dan meneruskannya dengan Baucar Buku Guru MADANI 2025. Delegasi luar kelihatan terpempan, sukar percaya bagaimana Kerajaan Malaysia berani memperuntukkan RM100 kepada setiap murid di semua sekolah kerajaan untuk membeli buku. Malah sistem e-baucar yang dikendalikan PKB mencapai sifar ketirisan dan 100 peratus (%) penebusan.

Mikrofon di ruang peserta menjadi rebutan, soalan bertalu-talu berkenaan teknikal, tadbir urus, dan mekanisme pengesahan. Sesudah sesi, beberapa wakil asing datang meluahkan keluhan kerana negara mereka tidak mungkin dapat meniru model Malaysia. Saat itu saya sedar, dasar yang bijaksana dan pelaksanaan telus boleh menjadi modal diplomasi budaya paling ampuh.
ARF-MNL dipasak dengan visi Archipelago of Stories, seruan supaya pulau-pulau naratif Asia saling menyeberang. Di pentas, pemimpin industri dari Filipina, Malaysia, Indonesia, Thailand, Mesir, Kazakhstan, Singapura, dan Perancis membicarakan pasaran akademik, ledakan platform digital, anugerah sastera, dan geran terjemahan.
Mereka menekankan strategi pengedaran yang merentas sempadan. Bagaimana buku dan hak cipta bergerak dari satu negara ke negara lain, menemui pembaca baharu, membina jaringan, dan menekankan hakikat bahawa karya Asia berupaya berdiri di pentas dunia.
Daripada ARF-MNL, saya membawa pulang tiga catatan penting. Pertama, corak pengedaran buku di Asia Tenggara mengingatkan bahawa pengedaran bukan sekadar memindahkan karya dari titik A ke B, tetapi menyampaikan makna melalui saluran yang tepat pada masa yang sesuai. Rangkaian kedai buku besar (seperti Kinokuniya, Popular, MPH, Gramedia, Periplus, Asia Books, National Book Store, dan Fully Booked), perpustakaan, institusi pendidikan, sehingga platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Amazon, dan TikTok Shop memerlukan strategi yang berlapis.
Faktanya, buku bercetak masih menguasai pasaran, manakala model buku hibrid kian berkembang. Namun, cabaran logistik, penapisan, kelestarian, dan cetak rompak masih menghantui yang mengekang potensi yang lebih besar.
Kedua, data pasaran Thailand membuka mata dengan nilai mencecah USD530 juta dan pertumbuhan lebih 6% pada 2024. Rekod menunjukkan segmen e-buku di Thailand sudah mencapai 30%, terdapat lebih 400 penerbit aktif, ISBN sebanyak 21,062, dan 60% judul merupakan terjemahan terutamanya dari Jepun, China, dan Korea.

Buku bercetak di sana tetap kukuh, pesta buku meriah, dan generasi baharu muncul sebagai khalayak aktif. Cabarannya mirip kita di Malaysia, tetapi peluangnya besar kerana pasaran jiran “lapar” akan karya luar yang siap diterjemahkan. Malaysia perlu tampil bukan sekadar penonton, tetapi penyumbang utama.
Ketiga, arah global kini berpusat di Kuala Lumpur. Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan ASEAN (ABPA), melalui pembentangannya menunjukkan betapa ibu kota kita akan menjadi gelanggang wacana dunia berkenaan Publishing Intelligence, Sustaining Forward. Dengan mandat menganjurkan International Publishers Congress (IPC) 2026, Kuala Lumpur diiktiraf sebagai gelanggang utama wacana global.
Kongres ini akan menghimpunkan penerbit, pemikir industri, dan penggubal dasar antarabangsa bagi membincangkan isu-isu besar daripada etika AI dan hak cipta, kepada kelestarian dan bahasa peribumi. IPC 2026 juga memperkenalkan sesuatu yang baharu dalam sejarah International Publishers Association (IPA), iaitu ruang khas untuk perdagangan hak cipta. Grand Hyatt Kuala Lumpur dengan teknologi skrin LED 360 darjah dipilih bukan sahaja kerana infrastrukturnya, tetapi sebagai simbol bahawa penerbitan mesti kembali dilihat sebagai teknologi akal budi.
Dari ruang wacana, saya menjejak lantai Manila International Book Fair (MIBF). Arus manusia menolak stereotaip “zaman skrin”. Kehadiran mencecah 120,000 orang sehari membuktikan buku bercetak tetap dicintai. Majlis pembukaannya sederhana; upacara doa Katolik, ucapan ringkas, potong riben, tetapi lantai pameran penuh dengan cerita.
National Book Store dan Fully Booked mendominasi reruai gergasi, lengkap dengan kawalan keselamatan seolah-olah buku di situ bernilai seperti permata. Penerbit seperti Phoenix, CentralBooks, REX, Vibal, Adarna, UP Press, dan Black Ink tampil dengan rak yang dihias kreatif.
Saya berhenti sejenak di hadapan Noli Me Tangere, karya agung Jose Rizal yang lahir daripada semangat antipenjajahan, kini hadir dalam versi baharu dengan tafsiran LGBT. Saya mengangkat naskhah itu sambil berbisik kepada Hasri, “Bayangkan kalau Hang Tuah ditafsirkan semula begini, tidak hairan Hang Jebat akan bangkit lebih marah.” Kami ketawa kecil, tetapi di dalam hati saya terfikir, adakah tafsiran ini tanda keberanian membuka wacana, atau sekadar kegelisahan budaya yang mahu merombak warisan tanpa menimbang akar sejarah?

Di situlah saya sedar bahawa pesta buku adalah pentas budaya. Ia tempat nilai dipertaruhkan, arah ditentukan, dan keberanian diuji. Akar tidak boleh dilupakan, tetapi cabang sentiasa digoncang tafsiran baharu.
Namun tafsiran sahaja tidak menentukan nasib buku. Bahasa juga memainkan peranan. Walaupun bahasa kebangsaan mereka adalah Filipino (berasaskan Tagalog), bahasa itu semakin kurang dominan. Bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di ARF-MNL dan MIBF daripada pembentangan, meja rundingan, sehinggakan lebih 80% buku dipamerkan adalah berbahasa Inggeris.
Sejarah pendidikan era Amerika, media arus perdana yang sarat kandungan Inggeris, serta budaya korporat yang mengutamakan bahasa Inggeris menjadikan ekosistem penerbitan Filipina kini mesra global. Dalam negara dengan ratusan bahasa dan dialek, bahasa Inggeris berfungsi sebagai bahasa neutral, memudahkan persefahaman, dan mempercepat segala perundingan.
Akhirnya, semua mozek kecil ini membentuk peta yang besar. Filipina akan menjadi Negara Tamu Kehormat di Pesta Buku Frankfurt 2025 dengan menampilkan pavilion seluas 2,000 meter persegi, lebih 400 delegasi, 500 judul, serta ratusan sesi wacana dan persembahan. Ia pengiktirafan bahawa rantau ini sudah menjadi nadi baharu dalam geopenerbitan.
Saya pulang dari Manila dengan keyakinan yang sederhana, tetapi mendalam, iaitu buku masih hidup, dan ia terus dicari. Dari ARF-MNL yang menyalakan wacana, ke MIBF yang membuktikan minat masyarakat, sehingga Frankfurt dan Kuala Lumpur yang akan membuka pentas global, jelas menunjukkan rantau ini sedang bergerak ke hadapan.
Malaysia sudah membuktikan bahawa dasar yang tepat, seperti Baucar Buku MADANI, boleh mencetuskan inspirasi dan menjadi teladan. Kini tiba masanya kita memastikan cerita-cerita kita tidak sekadar disimpan di rak sendiri, tetapi dibaca dan ditunggu-tunggu oleh dunia.
