SELEPAS enam bulan ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian, Balai Seni Negara Langkawi dibuka kembali.
Kerja-kerja menaiktaraf tersebut termasuk pembesaran ruang pameran gabungan daripada tiga lot kepada lima lot yang lengkap dengan fasiliti dan kemudahan.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Shaik Rizal Sulaiman berkata, setelah kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian selesai, beberapa usaha lain dilaksanakan merangkumi penambahan fasiliti dan kemudahan baharu.
Shaik Rizal berkata, dengan adanya pusat rujukan seni, bilik multimedia, auditorium mini dan kemudahan laluan Orang Kurang Upaya (OKU), kini Balai Seni Negara Langkawi sesuai dikunjungi oleh kesemua pencinta seni.
“Bukan sahaja kita ada pameran lukisan, bahkan turut disediakan aktiviti bengkel lukisan.
“Ia merupakan pengalaman yang boleh dirasai sendiri oleh para pengunjung, yang bakal menjadi suatu tarikan berbeza untuk Langkawi,” katanya selepas menyempurnakan pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi pada 8 Jun lalu.
Sementara itu dalam ucapannya, Shaik Rizal berkata salah satu objektif utama penubuhan Balai Seni Negara Langkawi adalah memberi tumpuan kepada usaha-usaha menambah baik (re-skilling) dan menerokai serta meningkatkan kemahiran (up-skilling) kepada pelukis dan kurator.
“Oleh itu, kami melihat fungsi ini boleh diluaskan lagi dengan penambahan ruang-ruang baharu seperti Bilik Multimedia, Studio Seni Cetak, pembesaran ruang pameran, Pusat Sumber dan juga fasiliti OKU,” katanya.
Bersempena pembukaan semula Balai Seni Negara Langkawi, beberapa pameran diadakan untuk pengunjung melihat dan menghayati karya-karya seni.
Pameran utama di Balai Seni Negara Langkawi adalah pameran “Gambar Bergambar Gambaran” yang menghimpunkan foto-foto acara pelbagai program seni serta bengkel seni yang diadakan di Pulau Langkawi.
Pameran “Karya Pendidikan Seni Visual Negara” menampilkan empat buah karya seni cetak daripada buku Pendidikan Seni Visual bagi memberi kefahaman yang mendalam seiring dengan praktis yang boleh dilaksanakan dengan adanya kemudahan studio seni cetak.
Di samping itu, pameran “Community Based Tourism: Arca Dasar Laut Pulau Langkawi” turut dipamerkan di Aras 1. Orang ramai dapat melihat proses yang dilakukan di Pengkalan Jeti Kubang Badak oleh sembilan seniman bagi menghasilkan arca dasar laut yang terletak di Pulau Pasir.
Selain ruangan pameran, ruangan khas iaitu “Curiosity Cabinet” mempamerkan hasil karya pelukis Tajalli Abdullah dan himpunan arca kayu yang dihasilkannya melalui pameran “The Whispers of Wood”.
Sempena pembukaan semula galeri juga, beberapa bengkel seni dianjurkan selama dua hari bermula pada 7 Jun lepas. Antaranya, Bengkel Seni Cetakan Kayu, Kolograf dan Demonstrasi Cat Air Landskap Langkawi yang melibatkan tiga artis tempatan iaitu Long Thien Shih, Helmi Azam Tajul Aris dan Rohizad Shaari.
Selari dengan hasrat menjayakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, Balai Seni Negara Langkawi sentiasa komited dalam mengangkat dan memperkasakan seni agar terus berkembang di pulau lagenda ini.
