SEJAK usia awal remaja saya sudah kenal nama Pyanhabib walaupun saya jauh di Bentong, bukan di Kuala Lumpur. Selain tahu akan kisah dia baca sajak di pentas dan di bawah tiang lampu jalan, saya baca juga kolum tulisan abang Pyan di majalah Mastika yang saya belek di perpustakaan awam desa daerah kami, tempat yang kerap saya masuki dulu. Sesekali saya tonton dia di kaca televisyen. Ketika itu saya sudah dengar cerita mengapa suaranya dan intonasinya begitu, tak sama dengan kita. Saya sudah tahu kisah pendengarannya hilang selepas demam panas ketika dia berusia 11 tahun.
Masa filem Kembara Seniman Jalanan (Nasir Jani, 1986) main di panggung wayang, watak Osman Tikus menjadi begitu ikonik. Saya dan kawan-kawan lebih mengagumi Osman Tikus yang diperankan oleh Pyanhabib berbanding watak utamanya, Bujang lakonan M.Nasir. mungkin Osman Tikus mewakili semangat anak muda kaki melawan macam kami maka kami rasa lebih dekat. Sejak itu saya dan beberapa kawan kerap bercakap, melaung dan melantunkan sajak dengan mengajuk suara dan gaya Pyanhabib.
“Nama gua Osman. Orang panggil Osman Tikus. Gua tak mendengar!” kami lakonkan dialog tersebut dengan suara ala Pyanhabib. Saya sendiri boleh meniru suara abang Pyan sehingga membuat kawan-kawan ketawa terhibur. Bukan! Bukan untuk dijadikan bahan jenaka tetapi ia seakan sebuah penghargaan terhadap sosok seni yang unik. Sempoi betul Pyanhabib, kata kami. Apatah lagi saat melihat di kaca televisyen, abang Pyanhabib memeningkan kepala orang ramai apabila dia menolak anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia. Saya pun terpinga-pinga.
“Apahal Pyanhabib ni?” tanya saya. Agaknya dia menolak sebab dia menganggap penganugerahan tersebut berdasarkan simpati dengan keadaan dirinya kot, bukan bakatnya, fikir saya yang masih lagi mentah ketika itu. Sehinggalah saya mendengar sendiri penjelasan abang Pyan dan pengarah Nasir Jani apabila sudah mengenali mereka. Itupun setelah 20 tahun peristiwa tersebut berlaku baharulah saya tahu. Wah! Lagilah saya kagum dengan semangat rebel Pyanhabib.
Saya tidaklah selama kawan-kawannya yang lain mengenali Pyanhabib. Kalau ada pertandingan ‘siapa paling lama mengenali Pyanhabib’ awal-awal lagi saya sudah terkeluar dari senarai. Tetapi kerana mengaguminya membuat saya beranikan diri untuk berkenalan dengan abang Pyan. Ternyata pintu persahabatan abang Pyan sentiasa terbuka kerana dia sememangnya seorang yang peramah. Tetapi harus diingat dia juga sensitif orangnya.
Sekitar awal 90-an tahun-tahun awal saya di KL, sesekali saya menonton Pyanhabib baca sajak di pentas belakang Central Market bersama kawan-kawannya. Masa itu sudah tiada lagi acara baca sajak di bawah tiang lampu oleh Pyanhabib dan kawan-kawan seperti yang pernah saya tahu melalui pembacaan saya di majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Suasana Pyanhabib baca sajak di Central Market seperti yang terakam dalam filem Rozana Cinta’87 sudah tidak wujud lagi waktu itu. Barangkali tahun 90-an Pyanhabib dan angkatan mereka sedang sibuk menjadi ‘orang baik’, menumpukan hal keluarga di rumah sebab anak-anak masih kecil.
Saya hanya berkawan ketika zaman menulis blog. Ketika reformasi’98 sedang panas. Sekali lagi saya kagum dengannya seperti saya kagum kepadanya masa remaja dahulu. Pyanhabib ‘sekapal’ dengan kami lantang mengkritik keras dasar-dasar pemerintah dengan sajak dan tulisan. Dari situ kami pun berkawan. Persahabatan menjadi rapat seperti keluarga. Rumah Pyanhabib dan isterinya Zurina Zakariya (kami panggil Kak Erin) akan menjadi rumah wajib untuk kami ziarah pada hari raya. Pernah abang Pyan dan Kak Erin menyusup masuk ke wad kanak-kanak lewat malam untuk melawat saya dan isteri yang menjaga dua anak istimewa kami yang sakit. Pyanhabib meminta Hishamuddin Rais menulis di blog perihal kami dan keperluan membeli mesin penyedut kahak untuk keperluan anak-anak kami di rumah. Dek kerana usaha mereka menulis di blog, sekejap sahaja bantuan sampai. Saya rasa kami sekeluarga terhutang budi sampai mati kepadanya.
Kerana selesa dengan kita, maka Pyanhabib akan memandang ke arah kita untuk meminta kita menerangkan semula apa yang diperkatakan oleh pihak lain. Selalunya orang-orang yang duduk semeja akan berbual dan jika abang Pyan gagal membaca gerak bibir mereka dia akan memandang saya. Maka saya akan bercakap dengan suara tak perlu dikeluarkan tetapi jelas untuk dia menangkap gerak bibir sambil saya membantu dengan isyarat tangan. Ya, seperti dalam filem Kembara Seniman Jalanan, kadang-kadang kita menulis di tapak tangan menggunakan jari telunjuk. Biasanya belum habis mengeja, dia sudah tahu apa yang kita hendak sampaikan.
“Betulkah tak boleh mendengar langsung atau ada beberapa peratusan kecil boleh dengar?” saya tanya. Waktu itu pertama kali saya lepak dengannya. Kami melepak di rumah ibunya di Taiping. Saya tambah lagi, “Sebab gua pernah tengok muka lu berkerut ketika mikrofon berdengung kuat waktu lu nak baca sajak kat pentas CM lama dulu.”
“Itu boleh dengar.” jawabnya selamba. Agaknya gelombang itu mampu dicapai oleh pendengarannya.
Tentang sajak-sajak abang Pyan biarlah orang lain yang menulisnya. Saya hanya berkisah tentang kenangan bersahabat dengannya sahaja. Untuk mengatakan saya akrab sangat dengannya pun payah kerana di facebook, ramai sahaja yang menyiarkan tangkap layar mesej perbualan mereka dengan abang Pyan. Maknanya abang Pyan melayan sesiapa sahaja sehingga ramai yang berasa mereka rapat dengannya. Dari kutu sampailah ke menteri! Itulah keunikan abang Pyan.
Suatu hari selepas beberapa tahun kemudiannya, saya mengajukan soalan yang sama seperti awal-awal perkenalan dahulu, “Boleh dengar ke bunyi mikrofon tu bising?” Abang Pyan menjawab sambil ketawa, “Bak kata Siti Nurhaliza, biarlah rahsia!”.
Pyanhabib oh! Pyanhabib! Sejuta hanya satu. Keunikannya tersendiri. Hanya Kak Erin sahaja yang benar-benar mengenali abang Pyanhabib. Terima kasih brader untuk sebuah persahabatan dan kenangan!
RONASINA adalah seorang pelukis, penulis dan pengendali podcast Selam Lagu di portal arenamuzik.com
