PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan suatu inisiatif besar kepada penggiat perfileman negara. Ia bukan tentang untuk membikin filem letup-letup dan perang tak habis-habis. Namun ia dana yang bakal memberikan jawapan kepada permulaan asas program pembangunan ekosistem akar umbi perfileman negara.
Melalui pengumuman berkenaan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I telah menyebut mengenai Program Belia Kreatif MADANI dengan sasaran kasar mengumpulkan kira-kira 16 ribu anak muda untuk menceburi lapangan seni filem negara. Program ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri telah menggariskan tiga perkara pokok iaitu bengkel kemahiran videografi bagi tujuan penyediaan kandungan kreatif, elemen pembangunan komuniti filem dan meluaskan lingkungan pertandingan filem pendek.
Dalam kebanyakan inisiatif pembangunan perfileman negara, tumpuan sering diberikan kepada kelompok pembikin sahaja dan tidak melangkau jauh meneliti kepentingan penonton dalam ekosistem perfileman negara. Maka kita sering mendengar keluhan bagaimana filem-filem dengan nilai kritikal yang baik tidak mendapat sambutan dari sudut kutipan. Ini secara tidak langsung terkait dengan ketidakupayaan kita membangunkan pemikiran penonton dan seterusnya mempunyai kelompok penonton filem berkualiti.
Keadaan ini sebenarnya memiliki perkaitan rapat dan tidak terpisah-pisah. Malah rangkuman lebih besar ini bakal memberikan kesepaduan ekosistem yang kukuh dengan tahap apresiasi sinema bakal menjulang. Ekosistem perfileman bukan semata-mata tentang produk filem dan laba yang dikumpul daripadanya, namun jika diuruskan dengan baik ia mendatangkan kekuatan kepada elemen hiliran lain termasuk penulisan dan kritikan.
Berbalik kepada Program Belia Kreatif MADANI dengan dana besar RM30 juta, inisiatif ini sewajarnya digerakkan dengan keutamaan diberikan kepada aspek pembangunan komuniti filem. Di Malaysia pada ketika ini, telah wujud komuniti filem yang dibina secara kendiri dan berskala kecil serta sederhana. Antara yang terkenal dan dilihat penting ialah Kelab Seni Filem Malaysia dan Wayang Budiman. Namun begitu, kedua-dua komuniti filem ini sering menjalankan kegiatan yang berpusat di sekitar Lembah Kelang.
Bukan kita tidak pernah ada komuniti filem di negeri-negeri lain, namun ia tidak dapat berdiri secara konsisten disebabkan pelbagai kekangan termasuk lokasi, dana, kesediaan waktu dalam kalangan penggerak dan sambutan setempat.
Sehubungan itu, langkah pertama yang perlu diambil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ialah sekurang-kurangnya menempatkan seorang aktivis perfileman yang memiliki reputasi kuat dan sebolehnya dari negeri masing-masing untuk menjadi mentor, kurator dan pengurus kepada komuniti filem berkenaan. Ini sebenarnya merupakan langkah awal bagi memastikan setiap aktiviti apresiasi perfileman yang dilaksanakan memiliki kualiti tinggi dan mempunyai petunjuk prestasi yang boleh dinilai dengan jelas.
Melalui komuniti filem ini, satu lagi elemen yang disentuh oleh Perdana Menteri iaitu bengkel videografi/sinematografi dan pertandingan filem pendek akan dapat dilaksanakan secara teratur dengan skala dan capaian lebih meluas. Ia juga sebagai suatu idea untuk memastikan dana ini dibelanjakan dengan cermat dan tidak bersifat KL Centric.
Malah pelaksanaan dengan model seperti ini akan memberi ruang kepada lebih ramai pencinta filem termasuk pembikin, penulis dan aktivis filem yang baharu, muda dan terpinggir untuk memberikan sumbangan bermakna terhadap ekosistem perfileman tanah air yang lebih segar dan menawan.
Idea ini akan memastikan perbelanjaan dana bagi Program Belia Madani Kreatif mencapai objektif dan sasaran penyertaan lebih tepat. FINAS tidak perlu menggerakkan program ini secara bersendirian, tetapi hanya menjadi ‘penjaga’ kepada semua komuniti filem sedia ada ini. Tidak perlu untuk kerajaan turut ‘bersaing’ dalam lapangan ini, tetapi wajar dengan amat molek memberikan dukungan untuk semua komuniti ini berlumba-lumba menjalankan aktiviti pengembangan audiens.
Malah bagi tujuan pertandingan filem pendek, tidak perlu FINAS menjadi penganjur, tetapi harus memperlihat sokongan besar-besaran terhadap penganjuran acara filem pendek yang telah lama berakar dan bergerak secara besar dengan sambutan hangat. Misalnya seperti BMW Shorties atau Seashorts serta pesta filem pendek baharu seperti Pesta Filem Kota Bharu dan Rain Town Film Festival.
Selain BMW Shorties yang sering dilihat bersifat ‘KL’, tiga lagi pesta lain ini sering meronda di seluruh negara dan mengadaptasi kekuatan tempatan dan di negeri yang asing dengan budaya sinema seperti Kota Bharu dan Taiping.
Malah Komuniti Filem Titiwangsa yang kini beroperasi di Pulau Pinang sudah bergerak lebih pantas menjalinkan kerjasama dengan badan antarabangsa seperti Goethe Institute untuk membawakan filem-filem hebat yang ditayangkan di pentas festival besar seperti di Berlin ke ruang intim tempatan.
Jangan kita menjadi penganjur kepada bengkel dan pertandingan yang hasilnya nanti semata-mata one-off atau digerakkan oleh pelbagai mata yang melihat keuntungan semata-mata di balik jutaan ringgit ini. Malah baik juga jika FINAS beransur-ansur menjalin hubungan rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan melalui Rakan Muda untuk ‘menempah’ kelompok belia baharu yang mungkin akan menjadi pencinta filem paling tegar.
Tidak perlu untuk kita memikirkan perkara-perkara baharu dengan nama-nama yang pelik. Cukup untuk kita berkawan dengan rakan-rakan di peringkat akar umbi untuk kita mengetahui bahawa cahaya terang sedang menanti sinema negara.
Inilah caranya untuk RM30 juta ini dibelanjakan dengan baik dan berkesan.


penulis punya nama tapi tak punya otak. penulisan lebih kepada mengipas Finas dan rakan rakan yang dikenali. Simpan dan duduk diam jelah, tulis lah benda yang kau suka, Itu kebih bermanfaat.
Dana yg ada tu utk orang orang yang disukai dengan program yang tak nilai. Majulah kroni utk negara.
Patutnya bagi kat Neo-South Independent Film Festival dana ni. Kita dah buat Festival 5 tahun tahap internasional hehe