Selepas peluncuran Sayembara Penulisan Kreatif DBP bertemakan Malaysia Madani berhasil menjemput 419 manuskrip masuk ke gelanggang, institusi sepatutnya berani menjulang karya-karya yang layak ke puncak, atau sekurang-kurangnya berani menerangkan secara terang lagi bersuluh mengapa puncak itu retak.
Namun yang diumumkan, berulang kali merentas kategori, ialah satu keputusan yang lebih mirip pintu agung yang terpaksa ditutup rapat lantaran kendati pokok bergoyang, tetapi tidak terang dari manakah arah tiupan angin yang benar-benar menerjang.
Tempat pertama Kumpulan Puisi tiada pemenang. Tempat pertama Kumpulan Cerpen tiada pemenang. Drama Pentas lebih ekstrem apabila tempat pertama hingga ketiga semuanya tiada pemenang, dan Novel pula dikosongkan tempat pertama serta kedua. Maka, tidak hairanlah muncul suara sinis, “naib juara kalah kepada yang tiada,” “sayembara apa jika tiada pemenang utama,” atau gurau pahit bahawa lebih baik bertungkus-lumus menjadi penyanyi ketimbang penyair jika karya-karya mereka tidak dirai.
Gurau itu memang gurau, tetapi gurau yang lahir adalah daripada luka tatakelola, kerana apabila puncak dikosongkan, institusi bukan sahaja menilai karya, bahkan sedang menilai martabat penulis di mata awam, seolah-olah seluruh generasi penulis yang wujud di muka bumi Malaysia marcapada rata-rata hanya layak menempa hadiah sagu hati, sedangkan tujuan sayembara adalah untuk mengiktiraf bakat dan menggalakkan penghasilan karya bermutu.
Panel juri memberi hujah bahawa penilaian dibuat menyeluruh dan berperingkat, serta kriteria setianya merangkumi bahasa, keilmuan, gaya persembahan, kekuatan idea, ketepatan pengolahan, keutuhan struktur dan keberkesanan penyampaian. Turut disenaraikan kelemahan rentas kategori seperti bahasa tidak konsisten atau kurang lunak, hala tuju naratif kabur, plot dan perwatakan rapuh, idea besar belum dimantapkan secara teknikal dan struktural dan kecenderungan kepada klise. Kemudian panel mengunci kesimpulan paling berat, iaitu bilangan karya yang benar-benar mencapai mutu tinggi adalah terhad sehingga kedudukan hadiah tertinggi tidak dapat dipertandingkan.
Masalahnya, ayat-ayat laporan ini walaupun kedengaran tegas, masih terlalu selamat untuk sebuah keputusan yang begitu keras dan tajam. Sekali institusi memilih untuk mengosongkan puncak, institusi wajib menanggung beban penjelasan yang setara dengan besarnya kekosongan itu. Jika benar mutu tinggi terhad, persoalan pertama yang waras ialah mutu tinggi versi apa dan siapa, dan bagaimana mutu itu jelas ditunjukkan kepada khalayak penulis tanahair? Paling minimum adalah hasil kepengkaryaan yang akan menghasilkan kesan yang bagaimanakah yang begitu ditagih-tagihkan oleh barisan juri?

Ketika hal-hal sebegini tidak pun dijelaskan dengan terperinci ketimbang yang klise adalah ayat-ayat laporan yang miskin perubahan sejak zaman puntung berasap, demikian adakah penulis sastera Malaysia hari ini diminta meneka-neka “standard” kepengkaryaan yang benar-benar memikat seperti meneka cuaca; kadang-kadang mendung dijulur sebagai puitis, dan kadang-kadang mendung pula diukur sebagai kabur?
Ironinya, dalam laporan yang sama, panel juga mengakui wujud karya yang menonjol, berani menggarap subjek yang relatif langka, memanfaatkan simbolisme secara berkesan, serta mengangkat nilai kemanusiaan, keagamaan dan kebangsaan secara bernuansa. Jadi, kalau karya menonjol itu wujud, mengapa puncak tetap mahu dikosongkan? Adakah kerana karya itu belum matang, atau kerana tangga penjurian itu sendiri disusun terlalu sempit sampai mendaki naik pun sakit-sakit lalu karya yang dikatakan “menonjol” pun tidak sesekali layak ditabalkan sebagai “pemenang utama”?
Malah, tema Malaysia Madani sebenarnya tidak ubah seperti boomerang yang cantik tetapi tajam menakik. Sayembara mensyaratkan karya menyerlahkan jati diri dan citra bangsa dalam konteks kesejahteraan dan kenegaraan Malaysia Madani. Tetapi apabila keputusan berakhir dengan tiada pemenang utama, ia memberi isyarat kepada kerajaan perpaduan pimpinan PMX yang begitu meraikan sastera betapa para penulis Malaysia yang kita ada hari ini tidak mampu pun menterjemahkan Madani ke dalam estetika yang wajar.
Bahkan, kemungkinan yang lebih memalukan ialah Madani difahami sebagai slogan pentas, bukan sebagai prinsip penilaian yang jelas. Jika Madani itu gagasan peradaban, ia sepatutnya membuka ratusan pintu tafsir. Namun apa yang terjadi, apabia juri mengunci pintu tertinggi, demikian kunci itu mengangkat mesej moral bahawa para penulis dalam rakyat Madani terbanyak belum pun layak. Di sini, hanya ada dua maksud, sama ada gagasan Madani terlalu sukar, atau adakah cara menilai akan Madani itu yang terlalu malas untuk dijelaskan oleh juri?
Selepas laporan HSPM tahun lepas menyaksikan tiba-tiba ada keciciran senarai panjang atas meja juri kategori puisi, satu-satunya kategori yang senarai itu mungkin dicuri oleh toyol sastera entah siapa tuannya; sindrom yang sama kita saksikan, astaghfirullah dalam sayembara kali ini apabila ketiadaan mekanisme keterlihatan yang biasanya berupaya menahan api sangkaan.

Dalam hadiah sastera besar dunia, senarai panjang dan senarai pendek, atau sekurang-kurangnya senarai finalis, menjadi infrastruktur kepercayaan. Mekanisme itu memberitahu khalayak sastera bahawa keputusan penjurian itu lahir daripada pertimbangan yang boleh dijejaki, bukan daripada kabus rasa itu rasa ini. Dalam The Booker Prize, Women’s Prize for Fiction, National Book Awards, bahkan Prix Goncourt, senarai panjang juga pendek ini bukan hiasan promosi sebaiknya berfungsi sebagai peta kepada khalayak sastera dari sekarang hingga masa akan datang seraya membuktikan penilaian juri mereka itu bergerak melalui tapisan berlapis, lalu setidak-tidaknya mengurangkan persepsi khalayak betapa keputusan penilaian itu turun dari langit.
Apabila sebuah sayembara mengosongkan tempat utama tanpa memperlihatkan senarai saringan, pihak penganjur dan juri seakan-akan berkata, “percayakanlah kami!”. Padahal “percayalah” ialah ayat paling rapuh dalam budaya peradaban sejak berzaman, kerana ia membuka ruang kepada semua sangkaan, daripada sangkaan baik sampai sangkaan liar. Di sinilah orang mula berjenaka bahawa sayembara ini unik kerana juara kalah kepada yang tiada, lalu boleh pula sagu hati itu seperti menang kepada tiga hadiah utama yang ghaib.
Sangkaan liar yang beredar dalam kalangan khalayak sastera memanglah tidak wajar diulang memandangkan cakap-cakap itu boleh jadi tuduhan bahkan boleh menempa wilayah fitnah, tetapi fenomena-fenomena sosial sebegini akan terus muncul seperti cendawan selepas hujan di saat tiada penjelasan cerdas dan jelas baik dari segi cara dan hasil penjurian. Pendek kata, penerangan dan ulasan penjurian mestilah di tahap “wow” bagi mensahihkan kemunasabahan keputusan yang juga “wow”.
Jika proses ini berperingkat, di mana wakil panel saringan bagi setiap kategori ketika panel akhir bermesyuarat? Mengapa tidak diwajibkan satu justifikasi pemilihan daripada panel saringan supaya panel akhir tidak melilau-lilau lagi mengigau-igau dalam kamar gelap yang boleh menenggelamkan bahkan mengkaramkan usaha awal?
Jika hasilnya sampai Drama Pentas tiada pemenang tempat pertama hingga ketiga, adakah itu bermaksud penulis drama benar-benar mundur, atau mungkinkah sebenarnya penulis kita sudah pun bergerak lebih jauh sedangkan panel juri masih mencari pola lama, lalu yang baharu ditafsir sebagai salah sedangkan pembaris si pengukurlah yang sebenarnya patah?

Jika hadiah utama bernilai besar, adakah wajar ia terus digantung tanpa pelan pembaikan, sedangkan inflasi meningkat demikian nilai hadiah adalah wajar saat kerja kreatif pun bukanlah murah? Jika wang hadiah utama tidak disalurkan kerana tiada pemenang, apakah mekanisme pelaporan yang mampu menutup mulut orang daripada bertanya ke mana perginya peruntukan itu, dan bagaimana pula dana yang tidak dituntut itu akan diurus dengan telus?
Soalan-soalan ini bukan kerana kita mahu membakar reputasi pihak penganjur mahupun juri, tetapi kerana di saat institusi memilih keputusan yang berani membakar, maka institusi juga wajib terlebih awal menyediakan air, bukan sekadar mengeluh tentang asap yang hadir.
Di tengah asap itu pula, muncul isu yang lebih mendasar, iaitu budaya pelantikan panel yang berputar pada nama-nama yang sama. Rata-rata khalayak sastera menuntut rotasi kerana apabila orang sama menilai terlalu lama, yang tinggal bukan lagi “standard” semata-mata, tetapi selera yang menua tanpa disedari. Ini bukan serangan usia, bahkan inilah logik ilmu.
Penulis berevolusi, medium berubah, wacana global bergerak, tetapi jika penjurian tidak dibaharui, institusi sedang menilai masa depan dengan cermin belakang yang berhabuk. Apabila ada suara yang berkata, “juri-juri yang tua-tua patut dinilai semula” kedengarannya mungkin kasar, tetapi di bawah kekasaran itu ada inti yang cukup halus lagi serius, iaitu tuntutan kepada mekanisme pelantikan juri yang masuk akal, telus, dan bebas kepentingan.

Sudah ramai berbuih menyebut perlunya gabungan akademik dengan industri seni, serta cadangan supaya panel turut datang daripada editor, penterjemah, pengarah teater, kurator penerbitan, atau para pemain industri dan penikmat sastera dalam kalangan pengkritik yang benar-benar mengikuti perkembangan sastera sejagat dalam genre yang dinilai. Bukan lagi memilih para juri yang sekadar memiliki gelaran akademik tetapi kelihatannya miskin pembacaan.
Bahkan ada sebahagian daripada juri, khalayak sastera sendiri pun tidak begitu nampak karya-karya ulasan mereka sehingga melayakkan mereka dikenali sebagai pakar yang benar-benar tahu membingkai lalu menilai dengan baik untuk mengaraskan karya-karya. Demikian, wujud tuntutan audit yang mendesak ke atas penjurian sayembara. Bahkan, dengan longgokan masalah yang dinyatakan sepertinya kewujudan audit berkenaan tidak boleh tidak sudah jatuh hukumnya wajib untuk digerakkan.
Yang paling lucu dalam tragedi ini ialah logik mudah yang dikemukakan orang awam. Jika karya benar-benar teruk, bukankah lebih senang membuat keputusan? Yang jelas, proses penjurian pasca tarikh tutup pertandingan mengambil masa begitu lama tetapi hasilnya pula tiada pemenang utama dan hujah yang keluar masih lagi terlalu rawak lagi generik, awam sembari klise sifatnya.
Maka timbul persoalan demi persoalan. Apakah sebenarnya yang melambatkan? Adakah kualiti yang kompleks, atau proses penjurian yang tempang? Jika sayembara ini mahu menjadi medan pembinaan bakat, mengapa tiada laporan penjurian yang memecahkan kelemahan mengikut genre dengan contoh pola, supaya penulis pulang dengan peta, bukan pulang dengan tamparan citarasa?
Jika panel mahu faktor “wow”, apakah “wow” itu dari segi struktur, bahasa, risiko estetika dan pemikiran, dan mengapa “wow” itu tidak ditakrif, sebaliknya dibiarkan menjadi mistik yang hanya hidup dalam kepala juri? Kalau “wow” menjadi syarat senyap, maka penulis bukan diuji menulis, tetapi penulis diuji untuk terus bermimpi dengan terus berimaginasi dalam menggapai penulisan yang ditangis-tangis sebagai magis.
Atas semua ini, jika hal-hal yang diteriakkan tidak ditebak, menjadilah kami para khalayak sastera persis Biduanita Ziana Zain saat membentak, “Persoalan demi persoalan/Membelenggu akal dan fikiran/Tidak ku temu jawapan.”
Demikian, saya mengusulkan Sayembara mungkin perlu tukar ejaannya ke Sandiwara. Pasti lebih “wow”!
– Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian Senimalaya.
