Dalam ucapan perasmian pameran berkumpulan pelukis wanita “Atma Gemalai” di galeri seni Karya Di Janda Baik pada hari Sabtu, 11 Julai 2026 yang baru lalu, pelukis dan sejarawan seni tersohor tanah air Dr. Zakaria Ali mengajukan beberapa persoalan penting lagi menarik mengenai pelukis wanita untuk difikirkan, kalaupun bukan untuk dijawab kesemuanya: pertama, apakah ada ciri-ciri atau sensitiviti keperempuanan dalam karya-karya pelukis wanita?; kedua, apakah tema atau subjek yang disukai oleh pelukis wanita?
Dia selanjutnya menambah, jika tiada ciri-ciri keperempuanan itu, apakah yang menggantikannya? Apakah warna yang dominan dalam karya-karya pelukis wanita? Apakah yang disukai oleh pelukis wanita untuk dilukis, dan apakah yang tidak disukai atau yang dielakkan oleh mereka?
Persoalan bertubi-tubi itu menarik perhatian saya, dan pastinya para pengunjung yang hadir pada majlis perasmian itu juga. Menurut Zakaria Ali lagi, barang kali yang dielakkan oleh pelukis wanita adalah subjek-subjek atau hal-hal keganasan.
Tanpa memberikan apa-apa jawapan lanjut, dia kemudiannya bercerita mengenai Kathe Kollwith (1867-1945), pelukis wanita berbangsa Jerman yang terkenal dengan karya-karya cetak gurisan asid, dikaguminya kerana mengangkat dan merakam orang biasa sebagai subjeknya, terutamanya wanita dari kelas pekerja serta golongan bawahan, mangsa penindasan, kemiskinan, kebuluran dan peperangan yang menderita dalam nada dan gaya yang tenang, redup, sunyi dan memerlukan kontemplasi.
Zakaria Ali kemudiannya mengulas karya-karya dalam pameran “Atma Gemalai” yang memperagakan karya-karya oleh tiga orang pelukis wanita yang menggelarkan diri mereka Kumpulan Kebaya, iaitu Abby Zain, Aida Moha dan Jaja Yusof.
Pada petang itu juga, Dr. Zakaria Ali turut diundang untuk merasmikan pameran “Kita” di Galeri Ruang Teduh, Exchange 106, TRX. Selain daripada Shah Nizam, Ryzalman Misran, Shaarim Sahat dan Mohd Foad Hassan, pameran itu turut memperagakan beberapa karya oleh Dr. Zakaria Ali sendiri.
Justeru itu, tidak hairanlah dalam ucapan perasmian pameran itu, Zakaria Ali berseloroh: “biasanya pelukis yang ikut berpameran dalam sesebuah pameran, tidak akan dijemput untuk merasmikan pameran tersebut, kerana khuatir ada conflict of interest”. Kata-katanya itu disambut dengan senyum dan tawa kecil para pengunjung.
Oleh kerana tahu yang Dr. Zakaria Ali juga akan merasmikan pameran di Ruang Teduh petang itu, saya juga bergegas ke sana usai perasmian di Karya Di Janda Baik. Bertolak sekitar tengah hari dari Janda Baik menuju ke TRX di ibu kota Kuala Lumpur, perjalanan begitu lancar dan tidak terhalang oleh kesesakan jalan raya, meskipun pada hujung minggu. Sepanjang menuruni tanah tinggi Janda Baik, banyak gerai menjual durian dilihat di kiri kanan sepanjang jalan.
Walaupun perjalanan lancar dan tidak sesak, fikiran saya berputar-putar memikirkan persoalan-persoalan yang diajukan oleh Dr. Zakaria Ali dalam ucapan perasmian “Atma Gemalai” sebentar tadi.
Saya cuba merungkaikan persoalan-persoalan itu dengan menghubungkannya dengan karya-karya oleh ketiga-tiga pelukis yang dipamerkan sambil mengimbau semula karya-karya oleh pelukis-pelukis wanita lain di tanah air seperti Sharifah Fatimah Zubir, Ruzaikha Omar Basaree, Fatimah Chik, Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Mastura Abdul Rahman, Noura AR, Umibaizurah Mahir@Ismail, Sharmiza Abu Hassan, Hidawati Amin dan karya-karya dalam pameran pelukis wanita, “Siluet Wanita: Ekspresi dan Emosi” di Galeri Puteh pada tahun 2024 yang lalu.
Nama-nama ini adalah sebahagian kecil sahaja daripada jumlah pelukis wanita yang ramai di negara ini. Apakah ada atau dapat dikesan ciri-ciri keperempuanan yang dipersoalkan oleh Dr. Zakaria Ali itu dalam karya-karya mereka?
Menurut Dr. Zakaria Ali melalui teks pengantar pameran, “pameran ini digambarkan sebagai satu ruang intim yang mempamerkan kematangan falsafah yang dicapai melalui pengalaman berdekad-dekad lamanya. Ungkapan “Atma Gemalai” itu sendiri membawa makna mendalam, mencerminkan ‘atma’ (jiwa) dan ‘gemalai’ (kelembutan serta kelenturan yang dinamik) yang diterjemahkan secara fizikal di atas kanvas” (kolumpoart, Selasa, 14 Julai 2026).
Dalam pameran ini, Jaja Yusof memperagakan karya-karya berunsur seni naif menerusi subjek subjek alam flora dan fauna. Contohnya, dalam karya berjudul “Ayuh! Kita Main Lambung Bola!”, akrilik atas kanvas, 91.4×91.4 cm, (2026), imejan haiwan seperti kucing dan gajah serta ikan di dalam kolam dipersembahkan berlatarbelakangkan alam tumbuh-tumbuhan dengan pengolahan warna yang meriah dan segar serta komposisi ruang cetek.
Memetik kata-kata Jaja “Well, a naïve artist… I really am a naïve artist […] I paint. I feel. I express. When I love what I enjoy, and enjoy what I love, it delivers beautifully” (Jaja Yusof, 2026).
Bukan sahaja watak-watak haiwan yang dilukis itu kelihatan riang, malahan latarbelakang catan juga kelihatan meriah menerusi pengolahan warna dan rupa bentuk yang didominasi oleh warna-warna panas seperti merah, jingga, kuning dan biru.
Pendekatan ini seolah-olah menggambarkan keterujaan Jaja bermain dengan warna, sebagaimana tercermin juga dalam puisinya “Ayuh Kita Main Warna” yang dimuatkan dalam buku antologi puisi kanak-kanak berjudul Awan Imaginasi yang disuntingnya bersama Mahaya Mohd Yassin (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2026: 49):
“Ayuh Kita Main Warna”
Ayuh kita main warna
celupkan jari-jari kita
merah biru dan kuning
indahnya warna di sekeliling.
Warna panas terang pancarannya
merah, kuning dan jingga yang ceria
warna sejuk nyaman memandang
biru, ungu dan hijau yang tenang.
Ayuh kita main warna
bahagiakan ruang hidup kita
celupkan jari dan menari
dunia tambah berseri lagi.
Mewarisi bakat dan ketrampilan bapanya, pelukis dan ilustrator buku cerita kanak-kanak yang terkenal, Yusof Gajah, adalah sukar untuk tidak menghubungkan atau membandingkan karya-karya Jaja dengan karya-karya ayahnya, seperti kegirangan tiga watak gajah bernama Jojo, Jiji dan Jaja yang bermain dan bereksperimen dengan warna dalam bukunya Tiga Ekor Gajah (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2024).
Di samping menghasilkan catan, pelukis kedua dalam pameran “Atma Gemalai”, Abby Zain juga dikenali menerusi penghasilan buku cerita kanak-kanak, khususnya cereka fiksyen pengembaraan ala sastera lisan dan cerita rakyat “Puteri Pakma” yang sudah terbit dalam beberapa siri, antaranya Puteri Pakma: Pangkor Island Adventure (Shake Book Projects Sdn Bhd, 2022) dan Puteri Pakma and the Queen of Belum (Abby Zain, 2023).
Tema utama siri ini ialah perihal inisiatif memelihara dan memulihara warisan alam semula jadi, bertitik tolak daripada watak utamanya Puteri Pakma yang terbit dari nama bunga rafflesia dengan segala kesaktiannya memastikan alam terpelihara.
Karya-karya catan Abby Zain juga membawa nuansa yang sama, bila mana idea pemeliharaan dan pemuliharaan alam itu ditekankan, di samping mengetengahkan idea seni sebagai terapi. Hal ini dilihat dalam karya berjudul “EMOTION 1 (Neurographic)”, bahan campuran, 76 x 76 cm (2026) dan “EMOTION 2 (Neurographic)”, bahan campuran, 76 x 76 cm (2026) di mana pergerakan eksploratif garis dan warna itu menjadi cerminan eksplorasi yang membebaskan ekspresi dan emosi diri.
Eksplorasi bahantara pula jelas dihayati dalam karya-karya pelukis ketiga “Atma Gemalai”, Aida Moha yang kembali berkarya setelah sekian lama mendiamkan diri. Ini diakui dalam pernyataannya, “Memulai dengan penggunaan akrilik perlahan-lahan meneroka pelbagai bahan untuk dijadikan sebuah karya. Setiap bahan berbeza sikap dan kerenahnya memberi inspirasi dan meyegarkan minda”. Berbanding Abby dan Jaja yang memfokus kepada naratif dan pengolahan figura, Aida Moha pula menumpukan kepada eksplorasi bahan.
Dari sudut yang lain, kepelbagaian bentuk karya Aida Moha ini semacam mencerminkan suatu pencarian diri dalam mengenalpasti bahantara, bentuk, gaya, teknik dan bahasa visual yang paling serasi dengan dirinya, sementelahan dia baru kembali melukis setelah sekian lama mendiamkan diri. Dalam banyak-banyak percubaan atau eksplorasi bahan itu, antara yang paling menonjol dalam pameran ini ialah karya berjudul “BUTTON”, benang atas bod, 106.6×106.6 cm, (2024) yang diolah dengan penuh cermat dan tepat.
Dalam konteks ini, benang menggantikan cat minyak mahupun akrilik, membentuk komposisi yang rapi, menemukan rupa persegi dikelilingi oleh olahan rupa organik. Aida memindahkan sesuatu yang lazimnya bersifat utilitarian atau berfungsi praktikal kepada ungkapan bentuk estetik. Pengolahan karya ini dilihat lebih kemas dan mantap berbanding beberapa karya lain olehnya.
Pada masa yang sama, hal ini memungkinkan khalayak menghubungkan karyanya itu dengan pendekatan beberapa pelukis wanita lain yang menggunakan pendekatan hampir serupa, seperti Kalsom Muda, Zaliha Shaari, dan Hidawati Amin.
Pameran “Atma Gemalai” mencerminkan sebahagian daripada kebiasaan dan kecenderungan pelukis wanita terhadap tema, subjek dan pendekatan yang biasa dikaitkan dengan mereka: alam, objek dan hal-hal yang dekat dan intim dengan sensitiviti, kehidupan, persekitaran dan tanggungjawab mereka. Mereka adalah pemerhati yang tajam terhadap apa-apa yang halus dan tekun lagi teliti dengan apa yang dilakukan dan diungkapkannya. Mereka memberi tumpuan kepada keterperincian, sama ada dari segi rupa mahupun jiwa, serta rasa belas yang mendalam.
Meskipun hal-hal ini bukanlah semestinya menterjemahkan ciri-ciri keperempuanan yang ditanyakan oleh Dr. Zakaria Ali dalam ucapan perasmiannya, setidak-tidaknya ia adalah sebahagian daripada apa yang dapat dicerap setelah meninjau sepintas lalu karya-karya Jaja Yusof, Abby Zain dan Aida Moha yang diperagakan dalam pameran “Atma Gemalai” ini.
Setelah selesai menyampaikan ucapan perasmian pameran “Kita” di Ruang Teduh TRX petang itu, Dr. Zakaria Ali membuka sesi untuk pengunjung pameran bertanyakan apa-apa soalan berkaitan seni kepadanya.
Aida Moha yang turut hadir petang itu membangkitkan semula persoalan ciri-ciri keperempuan dalam seni yang disebutnya pada sebelah pagi. Lalu jawab Zakaria Ali, barang kali adalah tidak sesuai untuk meletakkan ciri-ciri gender dalam seni, tetapi apa yang penting adalah untuk kita bertanya dan mengajukan soalan.
Jika ada soalan, maka adalah penjelasan, yang barang kali tidak semestinya betul, tetapi itulah sebahagian daripada tradisi ilmu dan proses pembelajaran.





Kunjungi Pameran ATMA GEMALAI dari 10 Julai – 9 Ogos 2026 (Jumaat – Ahad)
Karya di Janda Baik Gallery
Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
T: 019-330 6101 IG: karyadijandabaik
