Tidak semua konsert dibuat hanya untuk merayakan diskografi artis semata-mata, bagi penyanyi Raja Putri Atilia Raja Haron atau lebih dikenal dengan ‘Atilia’, persembahan pentas secara langsung menjadi ruang untuk dia menilai semula perjalanan kreatifnya, menghidupkan semula karya-karya lama dengan tafsiran-tafsiran baharu serta berkongsi pengalaman yang lebih intim bersama khalayak yang setia mengikuti perjalanan kariernya, atau mungkin dapat bertemu dengan para pengemar barunya.
Pendekatan itu menjadi asas kepada ATILIA HARON In Concert, yang bakal berlangsung pada 19 September 2026, jam 8 malam di Robert’s Theatre, The Campus Ampang.
Selepas lebih dua dekad membina kerjaya dalam industri muzik, Atilia adalah diantara suara yang masih konsisten meneroka kepelbagaian genre, dari pop dan soul kepada jazz serta muzik alternatif dan yang paling terbaharu, penerokaan beliau pada lagu duet “Ceritera Sang Arjuna & Bunga”, bersama Razak A’ai (Raza A’ai) terbitan Todak Muzik dengan AG Coco sebagai Produser.

Konsert ini juga memperlihatkan kecenderunganya melihat karya-karya terdahulu bukan sekadar koleksi, tetapi sebagai materi yang terus hidup dan boleh ditafsirkan semula mengikut perkembangan pengalaman serta perspektif baharu.
Mengangkat persembahan muzik sebagai sebuah pengalaman yang menghubungkan lebih daripada sebuah pertunjukan yang hanya menghimpunkan lagu-lagu popular, produksi konsert ini juga disusun sebagai sebuah naratif yang mengimbau memori, kematangan artistik serta hubungan emosi antara pengkarya dengan khalayak.
Konsert yang dijangka berlangsung selama 90 minit itu bakal menghimpunkan lebih 40 buah lagu daripada katalog muzik Atilia dalam susunan baharu yang dibentuk berasaskan naratif emosi, sekali gus menawarkan pembacaan semula terhadap karya-karyanya dari sudut yang lebih matang dan reflektif.
Pendekatan sedemikian semakin mendapat perhatian dalam dunia persembahan muzik kontemporari, apabila sesebuah konsert tidak lagi berfungsi sekadar sebagai ruang hiburan, tetapi menjadi medium penceritaan yang menyatukan muzik, visual dan pengalaman peribadi.
Dalam gagasan ini, ATILIA HARON In Concert dilihat sebagai usaha untuk mengubah persembahan pentas menjadi pengalaman yang lebih intim dan bermakna.
Salah satu tarikan utama konsert ini ialah kolaborasi bersama SORE Ze Band, kumpulan muzik dari Indonesia yang mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan muzik indie Nusantara.

Kehadiran mereka bukan sekadar sebagai artis jemputan, malah sebagai rakan kreatif yang turut membentuk identiti muzik keseluruhan produksi.
Kerjasama tersebut turut membawa nilai sentimental kerana terjalin daripada hubungan kreatif Atilia dengan Allahyarham Ade Paloh, figura penting di sebalik perjalanan muzik SORE.
Hubungan itu diterjemahkan melalui susunan muzik eksklusif dan persembahan bersama yang dijangka memberikan dimensi emosi lebih mendalam kepada keseluruhan konsert.
Produksi ini bakal diterajui oleh Fly Halizor, sebagai pengarah muzik yang bertanggungjawab membentuk landskap sonik melalui keseimbangan antara vokal, ensembel muzik serta perjalanan naratif persembahan secara langsung.
Setiap susunan muzik dibangunkan bagi menyokong perjalanan emosi konsert, sekali gus membuka ruang kepada interpretasi baharu terhadap lagu-lagu yang pernah membentuk identiti muzik Atilia.
Pilihan untuk mempersembahkan semula karya-karya lama dalam bentuk yang berbeza turut mencerminkan perubahan yang sedang berlaku dalam industri muzik serantau. Semakin ramai pengkarya memilih untuk menilai semula katalog muzik mereka sebagai karya yang sentiasa berevolusi, berbanding sekadar mengulang formula konvensional persembahan secara langsung.
Pendekatan ini menjadikan sesebuah konsert bukan hanya ruang mengimbau kenangan, tetapi medan memperkenalkan pembacaan baharu terhadap karya yang telah dikenali khalayak.
Konsert ini turut mendapat sokongan Persatuan Karyawan Malaysia, yang melihat produksi berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan Atilia dalam industri muzik tempatan.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, menyifatkan Atilia sebagai seorang pengkarya yang berjaya membina identiti tersendiri menerusi bakat muzik serta pencapaiannya sebagai usahawan kreatif.

Selain itu, jenama minuman kesejahteraan wanita Per’l tampil sebagai pembentang rasmi konsert. Kerjasama ini memperlihatkan bagaimana dunia seni persembahan semakin terbuka kepada kolaborasi strategik antara penggiat budaya dan sektor korporat yang berkongsi nilai seperti kesejahteraan, keyakinan diri dan pembangunan wanita.
Pemilihan Robert’s Theatre sebagai lokasi persembahan juga sejajar dengan konsep yang diketengahkan. Berbanding arena berskala besar, ruang teater tersebut membolehkan hubungan yang lebih dekat antara artis dan penonton, sekali gus menyokong aspirasi konsert yang menekankan kehadiran, komunikasi dan penghayatan emosi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri muzik Malaysia memperlihatkan kecenderungan artis untuk menghasilkan persembahan yang lebih berkonsep dan bersifat artistik.
Daripada bergantung kepada skala produksi semata-mata, perhatian semakin diberikan kepada pembinaan naratif, arah seni dan pengalaman penonton secara menyeluruh. ATILIA HARON In Concert hadir dalam arus perkembangan tersebut dengan menawarkan sebuah persembahan yang memberi penekanan kepada kecenderungan artistik berbanding kemegahan produksi.
Lebih daripada sekadar meraikan perjalanan kerjaya, konsert ini mencerminkan bagaimana seorang pengkarya memilih untuk berdialog semula dengan karya-karyanya sendiri serta berkongsi proses pertumbuhan itu bersama khalayak.
Melalui gabungan susunan muzik yang diperbaharui, kolaborasi rentas negara bersama SORE Ze Band dan pendekatan persembahan yang lebih intim, ATILIA HARON In Concert berpotensi menjadi antara acara muzik yang paling signifikan tahun ini, bukan kerana saiz produksinya, tetapi kerana keberaniannya mengangkat konsert sebagai sebuah pengalaman seni yang lebih reflektif dan bermakna.
ATILIA HARON In Concert
Tarikh/Masa: Sabtu 19 September 2026 – 8 malam
Lokasi: Robert’s Theatre, The Campus Ampang
Tiket tiket boleh didapati di: myticket.asia
