Dalam usaha mengangkat martabat seni dan budaya, Anugerah Seni Negara (ASN) kekal sebagai pengiktirafan tertinggi negara kepada karyawan tempatan.
Namun dalam landskap seni yang semakin kompleks dan berasaskan teknologi, persoalan yang semakin ketara ialah sama ada ASN masih relevan, atau sekadar mengekalkan paradigma lama yang tidak lagi mencerminkan realiti semasa.
Untuk memahami persoalan ini dengan lebih jelas dan adil, sewajarnya kita ambil perbandingan yang setara. Dalam konteks ASN, kita ambil contoh perbandingan dengan Anugerah Kebudayaan Indonesia (AKI), agar ia dapat memberikan satu gambaran yang lebih jelas: perbezaan antara kedua-duanya bukan sekadar soal kategori atau proses, tetapi perbezaan asas dalam cara negara melihat seni itu sendiri.
Kriteria – pengiktirafan atau penghadang?
ASN menetapkan syarat ketat , calon perlu mempunyai sekurang-kurangnya 25 tahun pengalaman serta rekod kecemerlangan berterusan. Secara prinsip, ini memastikan hanya tokoh mapan diangkat. Kriteria ini pada umumnya bukanlah isu, tetapi dalam konteks budaya dunia yang semakin dinamik, implikasi kriteria ini cukup besar: generasi baharu hampir tidak mempunyai ruang.
Seniman digital, pengkarya eksperimental atau pencipta kandungan yang membentuk dan mempengaruhi nilai budaya hari ini tidak akan berada dalam radar ASN – yakni tidak akan layak untuk dipertimbangkan. Ini menjadikan anugerah tersebut lebih bersifat retrospektif, satu bentuk pengiktirafan penghujung kerjaya. Dengan kata lain, ini anugerah untuk seniman yang hampir atau sudah pencen.
Sebaliknya, AKI tidak bergantung kepada satu laluan kerjaya tunggal. Ia mempunyai kategori seperti “Pelopor” dan “Pembaru” yang secara langsung membuka ruang kepada inovator budaya yang ‘current’.
Dalam konteks ini, boleh dikatakan ia anugerah untuk mereka yang bekerja dalam ‘real time’. Secara tidak langsung, kriteria anugerah ini akan menggalakkan lagi produktiviti dan kualiti karya.
Jika kita lihat dua anugerah ini dalam konteks yang lebih objektif, perbezaan utama:
ASN: meraikan karyawan yang telah lama menabur bakti
AKI: marikan yang lama dan turut mengiktiraf karyawan yang sedang membentuk masa depan.
Individu vs ekosistem
ASN berteraskan model klasik iaitu mengenai tokoh individu sebagai pusat kecemerlangan berkarya. Penilaian ASN tertumpu kepada karya peribadi, pengaruh dan sumbangan individu.
Manakala AKI mengambil pendekatan yang sama sekali berbeza. Ia mengiktiraf, komuniti adat, institusi budaya, kerajaan daerah termasuk aktor antarabangsa.
Ini mencerminkan satu pemahaman bahawa AKI sebagai satu bentuk anugerah budaya yang tidak hidup melalui individu semata-mata, tetapi melalui jaringan sosial dan institusi.
Dalam dunia seni moden hari ini, daripada produksi filem hingga seni digital, kejayaan sering bergantung kepada kolaborasi. ASN, dengan fokusnya kepada individu, dilihat belum sepenuhnya menyesuaikan diri dengan realiti ini.
Tidak ada salahnya fokus ASN ini, namun isunya, adakah ia masih lagi bersesuaian denga realiti semasa?
Kategori – antara bersifat statik vs berkembang
Kategori ASN kekal dalam kerangka tradisional seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual. Kita faham pemakaian segmen sebegini, malah ia sesuai untuk anugerah peringkat lokal atau institusi seperti universiti atau agensi. Namun untuk peringkat ‘negara’, ia sewajarnya difikirkan kembali.
Walaupun penting, kategori ini tidak lagi mencukupi untuk menggambarkan spektrum seni kontemporari yang kini merangkumi, seni digital, seni AI dan realiti maya, serta budaya internet dan pencipta kandungan (Content Creator).
Ya, kita boleh saja tambah semua ini dibawah segmen atau kategori ‘New Media’. Tetapi kita tidak bercakap soal segmen atau kategori semata-mata, sebaliknya kita bercakap mengenai pengaruh dan perubahan budaya yang dibawa oleh medium ini.
AKI pula berbeza, mereka memahami semua ini dalam konteks yang lebih struktural iaitu ‘inovasi’. Aspek ini bertujuan untuk menunjukkan satu evolusi budaya. Selain kategori pelestarian, ia turut memasukkan elemen inovasi dan pembangunan budaya.
Dapat kita fahami dari dua naratif ini. ASN berisiko mewujudkan jurang antara “seni rasmi” dan “seni sebenar” yang hidup dalam masyarakat.
Ketelusan proses penilaian
Secara tradisinya, ASN membuka pencalonan kepada umum, namun proses penilaian akhir kurang didedahkan secara terperinci. Maklumat tentang panel, metodologi dan justifikasi pemilihan jarang diperincikan.
Manakala AKI menggunakan pendekatan lebih berstruktur. Bermula dengan pencalonan melalui sistem nasional (agensi), kemudian penilaian dibuat secara berperingkat dengan penglibatan pelbagai peringkat institusi.
Proses antara kedua ini mempunyai perbezaan yang agak ketara dimana penilaian ASN kelihatan lebih tertutup manakala penilaian AKI melibatkan lebih banyak pihak sebagai pemegang taruh dalam anugerah ini.
Walaupun tidak ada metod yang sempurna, namun struktur ini memberi gambaran bahawa proses yang lebih telus, boleh dijejaki dan dipertanggungjawabkan.
Metod kepada proses ini secara tidak langsung akan membentuk persepsi awam. ASN akan dilihat terputus dari perhatian awam manakala AKI pula boleh dipersoal oleh pihak awam kerana prosesnya yang lebih terbuka.
Fungsi: simbolik vs strategik
Ganjaran ASN sehingga kini difahamkan akan memberi ganjaran sekitar RM60,000 bagi Seniman Negara, disamping elaun bulanan (jika tidak salah). Ini membawa nilai simbolik yang tinggi, tetapi impaknya terhadap kelangsungan industri seni adalah terhad, hanya penerima sahaja menikmati laba tersebut.
AKI pula melangkaui pemberian anugerah. Ia disertai dengan program residensi, pembangunan naratif budaya dan akses kepada jaringan kolaborasi yang lebih besar dan meluas.
Ini menjadikannya sebahagian daripada strategi pembangunan budaya nasional yang berterusan, bukan sekadar acara simbolik penghargaan.
Falsafah yang berbeza
Perbandingan ini akhirnya membawa kepada satu persoalan lebih besar: apakah falsafah di sebalik anugerah seni?
ASN berakar pada idea bahawa seni ialah warisan yang perlu dipelihara dan dihargai melalui tokoh-tokoh besar.
AKI pula menggabungkan tiga dimensi iaitu pelestarian, pembangunan dan daya inovasi.
Ia melihat budaya sebagai sistem hidup yang perlu diurus, bukan sekadar dikenang.
Jika kita nilai berdasarkan kriteria yang ada antara ASN dan AKI, kita mendapati wujud perbezaan dan kelehaman antara keduanya.
– Elitis dan retrospektif, ASN ebih memberi penekanan kepada sumbangan lampau berbanding potensi masa depan.
– Subjektif dan kurang telus, Kriteria umum tanpa indikator jelas membuka ruang tafsiran luas.
– Tidak selari dengan evolusi seni, ASN tidak begitu mengambil berat bentuk seni baharu dan model kolaboratif berbanding AKI.
Sememangnya perbezaan ini menjadi keunikan antara kedua anugerah. Ia muncul dari fokus orientasi dan falsafah yang beza.
Saya tidak berhasrat untuk menyatakan bahawa ASN perlu meniru atau mengikut AKI, sebalinya perbandingan ini dibuat agar kita dapat menilai secara lebih dekat, faktor-faktor yang boleh diambil kira untuk memajukan lagi ASN, sekaligus memajukan industri kebudayaan negara.
Antara warisan dan masa depan
Pada hakikatnya, ASN kekal sebagai anugerah yang penting sebagai simbol penghormatan kepada tokoh seni negara. Namun dalam dunia yang berubah pantas, simbol sahaja tidak mencukupi.
Maka, suka atau tidak, penilaian dan audit seni perlu dilakukan ke atas ASN. Tujuannya jelas, untuk menjadikan ASN sebagai anugerah seni yang benar-benar membawa impak dalam industri kebudayaan negara.
Jika dibandingkan dengan AKI, jelas bahawa anugerah budaya boleh berfungsi sebagai alat dasar iaitu sebagai ‘driver’ untuk membina ekosistem industri budaya yang lebih mapan, dan menghubungkan seni dengan pembangunan sosial sesebuah negara.
Persoalannya kini bukan sama ada ASN perlu dikekalkan, tetapi bagaimana ia perlu berubah.
Tanpa reformasi, sama ada dari segi kategori, kriteria atau ketelusan, ASN berisiko menjadi semakin terpisah daripada realiti seni semasa. Falsafah ASN itu sendiri perlu dinilai kembali agar ia lebih lestari.
Ini bukan sekadar isu anugerah mana lebih berprestij, bukan, tetapi ia adalah suatu kesempatan bagi komuniti budaya, mengenal pasti siapa sebenarnya yang sedang membentuk wajah budaya Malaysia hari ini.
Budaya Malaysia, perlu menjadi cerminan masa depan negara.

Sudah sampai masanya Falsafah Kesenian Malaysia Alaf Baru harus dirangka,diterjemah dan disegerakan demi kelangsungan identiti Budaya Bangsa Malaysia. Para cendikiawan yg Celik Akal, Celik Emosi, Celik Adab dan Sosial dan Celik Spiritual kini mungkin boleh akan lebih baik jika disukat,ditambah dan dijaga dengan yg Celik Digital ai pula. Wallahuaklambissawab.