SEJENAK, saya berhenti di tengah ruang Permata, menatap zine ARUS yang kini terhampar di tangan pembaca. Hati saya dipenuhi perasaan yang sukar digambarkan–kagum, terharu, dan tidak percaya. Setahun lalu, idea ini hanyalah bisikan spontan di meja makan, antara gelak tawa dan perbualan santai.
Kini percakapan random itu telah menjadi nyata, sebuah arus kreativiti yang mengalir merentasi sempadan, menghubungkan penulis Malaysia dan Singapura dalam satu nadi sastera. Rasanya seperti sedang bermimpi, dan saya tidak pasti sama ada harus tersenyum atau menangis bahagia.
Segalanya bermula sewaktu acara Singapore Writers Festival tahun lalu. Saya bersama Hidayat Nordin, Martini Ali Wafar, Aisyah Lyana dan Fadhli Fadzil duduk berbual santai tentang kemungkinan kolaborasi rentas negara. Dari gurauan itu lahirlah idea untuk sebuah zine.
Martini Ali Wafar yang sering memakai topi penerbit, segera mengambil langkah pertama dengan menulis proposal dan mencari dana.

Setahun kemudian, ARUS terbit sebagai zine bersaiz A5, memuatkan 28 karya daripada 14 penulis muda: dari Singapura, Hidayat Nordin, Ahmad Ubaidillah, Aisyah Lyana, Amirul Hakim, Fadhli Fadzil, Lissa Chan, Mysara Aljaru, dan Nur Hikmah Ali. Malaysia pula dibarisi penulis; Airul Affendi Ali, Ashikin M, Zuhairah Zamri, Ku Syafiq Ku Fozi, Mosyuki Borhan, dan saya sendiri
Projek ini dikendalikan oleh tiga kolektif aktif: Kamelia Co. dan Meja Conteng dari Singapura, serta Kultus Kata dari Malaysia, dengan Martini Ali Wafar sebagai ketua penerbitan. Pengurusan zine ini pula diselia bersama oleh saya dan Hidayat Nordin (Singapura). Kami berdua mewakili barisan penulis terpilih dalam menjayakan projek ini.
Pelancaran Zine Arus, 30 November berlangsung di Permata Singapura, sebuah bangunan ikonik yang dulunya dikenali sebagai Gedung Kuning. Bangunan ini memiliki sejarah panjang sebagai kediaman bangsawan dan pusat kegiatan budaya, kini menjadi simbol kesinambungan warisan Melayu di Singapura. Melancarkan zine dwinegara di ruang bersejarah ini seolah-olah menyambung naratif masa lalu ke dalam karya generasi muda hari ini–membuktikan bahawa kreativiti dan sejarah boleh bersatu dalam harmoni yang indah.
Acara ini diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh sastera ternama, membuktikan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan bahasa Melayu melalui kolaborasi kreatif. Antaranya ialah Jamal Ismail, penerima Anugerah Tun Seri Lanang; Nadiputra, penyair dan pemenang SEA Write Award 2020; Kamaria Buang dan Faridah Taib, anggota ASAS ’50; serta Aidli Mosbit dan Asnida Daud yang dikenali sebagai aktivis seni Singapura. Kehadiran mereka bukan sahaja memberi penghormatan, tetapi juga menyuntik inspirasi dan keyakinan bahawa usaha anak muda tidak bertepuk sebelah tangan.

Dalam detik yang sangat peribadi, seorang tokoh budaya veteran menghampiri saya yang kerdil ini dan meminta tandatangan pada zine ARUS miliknya. Saya terkejut, terharu, dan merasa tidak layak. Saat itu saya melihat kehangatan hubungan antara generasi di Singapura, sesuatu yang saya jarang rasai di negara sendiri. Saya menyaksikan suasana perasmian dihadiri pelbagai lapisan usia, dengan latar yang hebat belaka. Saya berdoa agar fenomena serupa juga berlaku di Malaysia, terutama acara yang dibangunkan oleh kolektif muda, agar jurang generasi dapat terhapus dan bakat baru mendapat ruang untuk bersinar.
Zine ini turut diperkaya dengan ilustrasi dan reka letak kreatif oleh artis Singapura, Hafizah Jainal (HAFI), yang menyuntik nafas pop dan kontemporari ke setiap halaman. Visual ini menambah dimensi pada pengalaman membaca, menjadikan setiap karya bukan sekadar puisi, tetapi juga pengalaman artistik yang lengkap.
Bagi saya sendiri, projek ini membawa makna yang sangat besar. Kultus Kata, kolektif kecil yang saya tubuhkan sekitar dua tahun lalu sebagai kelab buku, kini telah berkembang jauh. Dari perbincangan buku sahaja, kami berjaya menembusi sempadan dan menghasilkan karya bersama penulis Singapura. Ini membuktikan bahawa kolektif kecil dengan jiwa besar mampu memberi impak nyata apabila diberi ruang, peluang, dan kepercayaan.
Dengan tema ‘arus’, setiap penulis diberi kebebasan mencipta puisi berdasarkan pandangan dan pengalaman masing-masing tanpa batasan. Hasilnya ialah karya yang pelbagai dan segar–arus yang lembut, deras, bergelora, dan penuh perasaan.
Kepelbagaian latar belakang penulis muda ini memperkaya pengalaman pembaca, membawa mereka menyelami pelbagai perspektif dan cerita tersirat dalam setiap baris puisi. Di sinilah saya rasa kekuatan projek ini: ia bukan sekadar penerbitan, tetapi jambatan budaya yang menghubungkan pengalaman, identiti, dan kreativiti merentas sempadan.
Pelancaran ARUS bukan sekadar majlis biasa; ia merupakan ruang pertemuan penting bagi komuniti kreatif dua negara yang lama mengimpikan kerjasama lebih rapat. Projek ini turut mendapat pengiktirafan dan sokongan dana daripada Majlis Seni Kebangsaan Singapura, menegaskan keyakinan institusi seni terhadap potensi penulis muda dan ekosistem budaya serantau.
Selepas pelancaran di Singapura, ARUS akan diperkenalkan kepada pembaca Malaysia pada 20 Disember nanti melalui sesi perbincangan dan persembahan puisi di Riwayat Bookstore, selain edaran di kedai buku terpilih dan jualan dalam talian.

Melihat kembali kepada detik santai yang memulakan perjalanan ini, saya percaya projek besar sering bermula daripada idea kecil, keberanian untuk mencubanya, dan kesungguhan kolektif untuk menjadikan mimpi itu nyata. ARUS bukan sekadar zine puisi; ia adalah bukti bahawa anak muda hari ini bukan sahaja mencintai bahasa Melayu, tetapi juga mampu memperkasakannya secara kolektif dan merentas sempadan.
Saya berharap kesinambungan projek ini dapat diteruskan di Malaysia. Kami, bersama rakan-rakan Kultus, bercadang untuk menjadi tuan rumah bagi kawan-kawan penulis dari Singapura, seumpama kata ‘berbudi bahasa, beroleh jasa’ – setiap usaha dan kerjasama yang kita jalinkan pasti membuahkan hasil.
Banyak yang boleh dicapai bersama jika usaha ini mendapat sokongan, terutama dari segi kewangan, daripada badan-badan yang bertanggungjawab. Dengan dorongan itu, bukan sahaja kolaborasi dwinegara dapat diperluas, tetapi juga peluang generasi muda untuk berkarya dan mengembangkan persuratan Melayu dapat disemai dengan lebih kukuh.
Ini bukan arus yang tetap, ini baru permulaannya. Ia mengalir dengan penuh harapan, membawa generasi penulis muda ke arah persuratan Melayu yang lebih inklusif, progresif, dan berdaya saing di peringkat serantau.
Projek seperti ARUS membuktikan bahawa anak muda bukan sekadar pewaris bahasa dan budaya, tetapi agen perubahan yang mampu memperkaya dan memperkasa landskap sastera dengan idea, semangat, dan visi baru.
Saya membayangkan masa depan di mana gerakan kreatif ini tidak lagi bergantung pada kebetulan, tetapi diiktiraf, disokong, dan dirangsang oleh institusi yang memahami bahawa bakat muda adalah nadi inovasi budaya. Dengan dorongan itu, setiap halaman zine, setiap suara penulis, dan setiap kolaborasi dwinegara bukan sahaja menyambung arus kreativiti, tetapi menyalakan gelombang baru yang mampu membawa persuratan Melayu ke arah horizon yang lebih luas, berani, dan dinamik.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.
