BIARPUN ramai mengenalinya sebagai sebuah nadi kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX) tidak pernah melupakan peranan seni dan budaya dalam kesibukkan mengejar angka dan transaksi.
Buktinya, pengurusan TRX kini membuka halaman baharu dengan menjadikan arca sebagai penghubung antara dunia kewangan dengan denyut budaya tempatan.
Buat pertama kalinya, TRX City Sdn Bhd menganjurkan pertandingan reka bentuk arca berskala besar, seolah-olah mahu meletakkan tanda bahawa sebuah pusat kewangan juga boleh menjadi kanvas. Pertandingan ini menawarkan hadiah utama bernilai RM50,000, menyambung langkah awal syarikat yang sebelum ini menganjurkan pertandingan seni kecil untuk memperindah ruang awam di TRX.
Pengarah Pemasaran Strategik dan Komunikasi TRX, Maisara Ismail, menegaskan bahawa pertandingan ini hadir dengan tema “Intersection of Exchanges”, sebuah gagasan yang mencerminkan peranan dwifungsi TRX sebagai hab kewangan antarabangsa dan destinasi budaya.
“Kami sedang mencari arca yang menzahirkan tema ini, karya yang melambangkan kehidupan di persimpangan antara aspirasi global dan semangat tempatan.
Penting juga karya tersebut mengekspresikan identiti Malaysia, sambil berpandangan ke hadapan dan melambangkan pertumbuhan,” katanya ketika pelancaran serta pengumuman barisan juri pertandingan Art@TRX di Ruang Teduh baru-baru ini.

Kategori utama pertandingan dibuka khas untuk warganegara Malaysia, manakala kategori pelajar pula terbuka kepada pelajar Malaysia di luar negara serta pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi tempatan.
Menyentuh soal sama ada rekaan pemenang akan direalisasikan, Maisara menjelaskan bahawa enam finalis akan dipilih terlebih dahulu. TRX kemudian akan bekerjasama rapat dengan para artis bagi merealisasikan karya tersebut.
“Penghasilan sebenar akan dijalankan oleh TRX bersama rakan kerjasama pihak ketiga, dengan rundingan bersama artis untuk memastikan rekaan boleh diskalakan dan sesuai dengan persekitaran,” ujarnya.

Seorang juri, pengarca terkemuka Ramlan Abdullah, menekankan bahawa aspek keselamatan, mesra alam, dan kesesuaian untuk kegunaan awam perlu menjadi pertimbangan utama setiap artis.
Beliau turut membuka ruang idea kepada karya interaktif, mengambil inspirasi daripada contoh luar negara.
“Karya berasaskan air yang berjaya menarik perhatian kanak-kanak, misalnya, sangat berjaya. Namun artis harus ingat untuk mengakar karya mereka pada tradisi dan identiti. Fikirkan tentang latar belakang anda sendiri, falsafah anda, bagaimana semua itu boleh dimanifestasikan dalam bentuk seni kontemporari?” katanya.
Pandangan itu turut dipersetujui oleh seorang lagi juri, artis cahaya dan pemasangan, Jun Ong. Menurutnya, kekuatan seni yang sebenar sering hadir dalam bentuk yang kelihatan ringkas, namun sarat dengan lapisan makna apabila diteliti.
“Sebuah arca tidak seharusnya terlalu membebankan atau terlalu rumit.

Praktis seni saya sendiri kini berkembang ke arah seni instalasi, yang sering melibatkan kolaborasi. Kita tidak mampu lakukan segalanya sendirian, jadi kita bekerjasama dengan pelbagai pasukan seperti teknologis, pereka dan jurutera untuk menghasilkan seni multidimensi,” jelasnya.
Jun menambah bahawa dalam dunia yang dipenuhi gangguan dan kesibukan, karya seni yang berjaya bukan sahaja perlu kuat secara visual, tetapi juga berupaya berinteraksi dengan khalayak dengan cara yang mampu “menembusi kebisingan kehidupan seharian.”
Pertandingan Art@TRX ini bukan sekadar sebuah pertandingan seni arca. Ia adalah wadah untuk menguji sejauh mana identiti Malaysia boleh diangkat ke pentas global, melalui karya yang berdiri di tengah denyut nadi kewangan negara.
