BUKU Jalan Lapan, Lipis diterbitkan pada Mei tapi tak pernah ada pelancaran. “Penerbit malas,” kata Nazim Masnawi, berseloroh.
Maka, secara tak rasmi, acara Sembang Buku yang dikendali Kultus Kata di Kelah Buku @ Putrajaya jadi pelancaran buku itu, tanpa potongan reben atau ucapan sasterawan.
Acaranya sederhana berlatarbelakangkan Tasik Putrajaya. Di hujung padang, Nazim bersembang dengan Dr. Syafiq Faliq (Sefa). Kandungan Jalan Lapan, Lipis dikupas berhati-hati supaya tak didedah habis.
Acara itu boleh dikatakan yang paling garing dalam Kelah Buku. Ada batas tabu yang diregang; hal-hal agama, contohnya.
Pulihdiri jenis berkongsi
Buku Jalan Lapan, Lipis merakam pengalaman rohani Nazim semasa bekerja di kedai kopi di Kuala Lipis. Dia berhadapan masalah mental. Kerja selesa terpaksa ditinggalkan dan dia memilih bekerja di kedai makan. Di sana rakannya menawarkan untuk bekerja di Lipis, di kedai kopi.
Latar itu saya jelaskan supaya orang faham, Lipis bukan menjadi destinasi merawat diri oleh Nazim. Hanya kebetulan dia ditawar bekerja di sana. Dalam bab “Penyembuhan Geografi”, dia ada jelaskan hal itu. Nak tahu lebih kena beli.
Di Lipis, Nazim memilih meneroka Buddhisme Theravada sebagai alternatif untuk merawat kecelaruan tekanan pascatrauma (PTSD) yang dihadapi. Selain teknik seperti meditasi, dia turut mendalami cara hidup penganut Buddhisme Theravada.
Dalam Jalan Lapan, Lipis, cara hidup Buddhisme Theravada diadun dalam pelbagai cerita, menjadi latar kisah pulihdiri (healing) yang tidak didaktik, tidak bersyarah dan tidak menghukum. Menjadikannya sebuah naskhah pulihdiri yang unik.
Saya ambil peluang bertanya kepada Nazim, adakah dia secara sedar mahu menghasilkan sebuah buku pulihdiri yang berbeza berbanding yang ada di pasaran ketika menulis?
Kata Nazim, dia tak pernah niatkan buku itu sebagai buku pulihdiri. Dia hanya mahu berkongsi pengalaman rohaninya sepanjang berada di Lipis. Sebab itu ia ditulis dengan gaya perkongsian – dia belajar banyak perkara, maka dia mahu kongsikannya; dia tidak mahu mengajar sesiapa tentang apa-apa.
Nazim bayangkan dia sedang berada di kedai kopi, atau warung, atau apa sahaja tempat yang sesuai dijadikan tempat lepak. Pembacanya ialah kawan-kawan yang sama melepak dan dia berkongsi pengalamannya kepada kawan-kawan.
Artikulasi antiringkas
Sefa banyak mengulang perkataan artikulasi. Perkataan itu banyak diguna dalam apa-apa bidang yang melibatkan ucapan. Dalam debat, dalam pidato, artikulasi penting supaya yang mendengar betul-betul faham apa yang ingin disampaikan.
Secara permukaan, artikulasi melibatkan cara kita menyebut sesuatu. Ia perlu jelas dan tepat; fonetiknya teliti. Lebih mendalam, artikulasi melibatkan kejelasan makna. Perkataan tepat yang dipilih untuk menyampaikan sesuatu makna.

Itu kelebihan Jalan Lapan, Lipis kerana dalam menghurai kesakitan, penderitaan dan kaedah menghadapinya, Nazim menggunakan perkataan, susunan ayat dan contoh yang jelas. Ia mudah difahami.
Bahasanya marhaenis dan tidak kedengaran seperti khutbah. Nazim juga, secara sedar, mengelakkan penyelesaian berasaskan kata-kata ringkas yang menjadi formula kebanyakan buku pulihdiri popular. Sebab dia sendiri tak percaya penyelesaian sebegitu.
Isu mental adalah rumit. Ia tak dapat selesai dengan tampalan kata-kata motivasi yang cetek.
Itu beza antara aforisme dengan bromida atau platitud (Hasrizal Abdul Jamil banyak menulis analisis tentang hal ini). Aforisme juga kata-kata ringkas tetapi ia berfungsi menyatakan kebenaran dan prinsip. Sebuah aforisme cukup kuat untuk dihurai dengan sebuah buku.
Bromida dan platitud pula lebih cetek. Maknanya nipis. Mungkin boleh membangkitkan motivasi namun kesannya lebih sementara. Ia berkecai sebaik diuji realiti.
Jalan Lapan, Lipis menolak untuk menggunakan mana-mana jenis kata ringkas di atas. Ada kata ringkas yang digunakan – seperti ucapan ikonik Yoda dalam The Empire Strikes Back, do or do not, there is no try – tetapi ia sebagai panduan kepada penjelasan panjang tentang ucapan tersebut.
Berbanding menunggang kata ringkas, Nazim menjelaskan bahawa kata-kata Yoda bukan sekadar bromida, platitud atau slogan jual kasut.
Buku tanpa tanda seru
Acara Sembang Buku hari itu ditutup dengan perbincangan tentang bab akhir (sebelum Epilog) Jalan Lapan, Lipis yang bertajuk “rawat hati atau mati”. Kata-kata itu dipetik dari drama bersiri Twin Peaks.
Nazim membacakan seperenggan dari bab itu yang mungkin boleh menyimpulkan keseluruhan isi kandung buku tersebut.
“Bagaimana nak merawat hati? Tak ada satu cara yang mutlak. ‘Kebenaran ialah jejak yang tidak bertapak,’ ujar ahli falsafah Jiddu Krishnamurti. Apa yang menjadi untuk aku tidak semestinya menjadi untuk kau, apa yang menjadi untuk kau mungkin melalut untuk aku. Aku cuma boleh menerangkan pemahaman aku, dan diharap ia boleh membantu kau untuk memahami.” (m/s 137)
Perenggan itu pekat relativisme – tiada hal yang mutlak, kau dengan cara kau, aku dengan cara aku. Saya tak suka relativisme sebab ia sering dijadikan alasan untuk tidak berusaha mencari kebenaran. Apabila tewas berhujah, relativisme dicampak menjadi perisai pada ketidakupayaan diri mencari kebenaran.
Tapi Nazim tak menjadikannya alasan, sebaliknya sebab. Realitinya, memang tidak ada satu jalan tunggal untuk merawat hati. Lain orang lain cara dan seseorang tidak perlu dihukum dan dihakimi semata-mata dia tak ikut cara kita dalam merawat hati.
Nazim jelas tentang itu, sebab itu bukunya tidak menjadi himpunan teks khutbah. Berbanding memaksakan cara, ia membantu kita memahami diri dan ujian-ujian yang menimpa diri.
Berbual dengan Sefa selepas habis acara, kami berdua setuju buku itu hadir tepat pada masa. Saya tak pernah kenal nama Nazim Masnawi sebelum membeli buku itu. Entah apa yang menggerakkan hati untuk membeli buku itu, mungkin sebab penerbitnya.
Tapi buku itu menjadi bacaan terbaik saya sepanjang 2024. Saya habis membacanya, menulis tentang isinya beberapa kali betul-betul sebelum ujian terbesar dalam hidup datang menimpa.
Tanpa perkongsian Nazim, mungkin reaksi saya terhadap ujian tersebut lebih dangkal dan buruk.
Nampak macam saya sedang melambung tinggi Nazim dan bukunya tapi anda boleh cuba baca sendiri. Bukunya masih terjual dan saya galakkan anda membacanya. Nikmati pengalaman membaca buku pulih diri tanpa tanda seru ini.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah. Gonzo Tanpa Fiasco merupakan buku yang menghimpunkan tulisannya ketika bertugas di Utusan Malaysia.

