“Ayang bila nak balik? Ayang tak rindu ke?” kata perempuan yang duduk di bangku paling depan.
Sebelum kami ceritakan apa yang berlaku seterusnya, izinkan kami memberi sedikit penerangan. Artikel ini akan mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama kami akan menceritakan pengalaman kami menaiki bas ekspres dan bahagian kedua pula kami akan menceritakan sedikit mengenai BMS29.
Bahagian pertama dibayar oleh portal ini manakala bahagian kedua pula dibayar oleh Balai Seni Negara. Itulah untungnya bila kamu rajin menulis. Dan ini adalah juga teknik untuk mendapat dua bayaran oleh satu artikel.
Beberapa bulan lalu, kami telah berangan-angan untuk berjalan-jalan menengok negara sendiri. Mahu memandu, kami malas dan sememangnya itu adalah perbuatan yang paling tidak kami senangi, memandu maksudnya.
Lalu kami membuat keputusan untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres. Idea ini datang lama setelah kami melihat sebuah buku di mana penulisnya bercerita mengenai pengalamannya menjelajah seluruh negeri kita ini dengan bas. Kami kata melihat kerana sehingga hari ini kami masih belum memiliki buku tersebut.

Idea kami pula ialah untuk pergi ke stesen bas dan melihat tiket lalu mengambil siapa saja perjalanan tanpa ada rancangan yang betul. Kami tidak pula menetapkan bila perjalanan pertama yang akan kami tempuhi. Rancangan tersebut kekal jadi rancangan sehingga kami pergi ke Pulau Perhentian. Perjalanan dari Bangi menuju Kuala Besut mengambil masa tujuh jam. Ini adalah pengalaman pertama kami menaiki bas ekspres setelah hampir 30 tahun. Kemudian kami mengambil pula bas dari Nilai ke Kuantan. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang empat jam. Dan yang terkini adalah perjalanan dari Nilai menuju Kuala Perlis dan seterusnya ke Pulau Langkawi untuk rancangan BMS29.
Semua perjalanan ini berlaku dalam masa kurang dari satu bulan.
Kami mendengar perbualan di atas, perbualan yang kamu semua suka yakni cerita dalam kain orang lain sewaktu dalam bas. Perempuan tersebut berbual dengan suaminya agak kami. Bukan maksudnya kami mencuri dengar bahkan seluruh penumpang bas mendengarnya. Tambahan pula dia berbuat dengan suara yang kuat dan kami juga mendengar suara balasan dari suaminya kerana dia tidak menutup pembesar suara di telefonnya.

Kami hanya akan bercerita mengenai perempuan itu hingga di sini dan pembukaan tadi itu hanya sebagai penangkap supaya kamu terus membaca.
Bas ekspres hari ini bukan seperti bas ekspres masa lalu. Hari ini semua bas yang kami naiki adalah selesa. Tambahan jika kamu memilih untuk membeli tiket tempat duduk perseorangan. Namun begitu, kerusi untuk dua orang juga adalah amat selesa. Perjalanan tujuh jam ke Kuala Besut, empat jam ke Kuantan dan juga lapan jam untuk ke Kuala Perlis tidak meletihkan.
Bas juga datang tepat pada masanya. Cuma, kamu perlu merancang waktu sembahyang. Untuk ke Kuala Perlis, kami mengambil bas jam 11 malam dan dijangka tiba pada pukul 7:30 pagi. Bermakna ada sembahyang subuh di situ. Bas tidak berhenti hanya kerana kamu mahu sembahyang. Kendati, sembahyang hanya perintah Tuhan dan bukannya perintah majikan. Lalu semasa bas berhenti di Alor Setar sekitar jam 6:00 pagi, kami telah meminta izin pemandunya untuk pergi sembahyang dan dibenarkan.

Perjalanan pulang dari Kuala Perlis pula mengambil masa yang agak lama yakni 12 jam. Kami mengambil bas 10 pagi dan disana ada dua atau lebih waktu sembahyang. Bas hanya akan berhenti di Simpang Pulai dan waktu itu jam menunjukkan pukul 7 petang. Bergegas kami mengumpul zohor dan asar. Sementara maghrib yang masuknya pada pukul 7:22 waktu Simpang Pulai hanya dapat kami laksanakan setelah sampai di Kajang.
Bas yang menuju Kuala Besut adalah bas cator, maka tidak ada masalah bersembahyang di situ manakala perjalanan ke Kuantan juga tidak mengambil masa yang lama.
Mungkin pihak pengurusan bas perjalanan jauh perlu lebih sensitif dalam perkara ini. Kata Madani.
Melihat negeri sendiri melalui jendela bas sebenarnya satu pengalaman yang menyaksikan. Kami cadangkan pengalaman ini kepada semua orang.
“Betul gamaknya orang kata Perlis ni ada 8 orang je,” kata kami di dalam hati. Sewaktu tiba di Kuala Perlis jam menunjukkan pukul 8:30 pagi. Selain dua orang pemandu teksi sapu di stesen bas, kami tidak tahu satu orang pun di kawasan berkenaan. Setelah berjalan lebih kurang 5 minit, kami sampai ke pengkalan feri dan di sana juga tidak terlihat kelibat manusia. Waktu subuh sudah lama habis, nak kata orang Perlis masih sibuk berzikir, mereka wahabi, lalu kami pun duduk termenung menunggu feri jam 11:00 pagi menuju Pulau Langkawi.

Namun belum sempat berangan untuk menjadi kaya, kami di lambai oleh pekerja dua buah restoran berhampiran dan kami yang memang agak lapar itu pun sudi menerima lamaran salah sebuah restoran di sana.
Kami mencari makanan asal Perlis namun yang ada cuma makanan Kelantan. Kami ambil mee goreng dan campur sedikit mihun serta sambal nasi lemak. Ditambah pula dengan telur mata kerbau. Oh! Untuk pengetahuan kamu, mee goreng akan bertambah sedap jika digaul dengan mihun. Cubalah.
Sepatutnya kami akan di sambut oleh Faez dari Balai Seni Negara apabila tiba di jeti namun kerana tidak mahu menyusahkan, kami pilih untuk mengambil teksi ke hotel. Perjalanan lebih kurang 10 minit dan kami dikenakan caj sebanyak RM15. Patut atau tidak kami tidak peduli.

Ok, tamat bahagian pertama.
Abdullahjones merupakan seorang pelukis, penulis, penyajak, kurator dan juga penggemar sambal nasi lemak yang belum pernah mencuba sambal nasi lemak Tanglin yang diuarkan itu.
Nota Editorial:
Pihak Senimalaya masih belum mempertimbangkan sebarang pemberian honorarium untuk artikel ini.
