Pameran edisi kedua di Galeri Ruang Teduh, Exchange 106, TRX Kuala Lumpur kali ini menghimpunkan seramai 16 seniman muda dari China dalam usaha memperluas jaringan pameran, pertukaran budaya dan peluang profesional di rantau ini.
Namun, sejauh manakah pertukaran tersebut mampu berkembang menjadi dialog seni yang benar-benar timbal balik?
Di tengah-tengah kepesatan Kuala Lumpur sebagai salah sebuah hab kewangan dan komersial serantau yang sedang berkembang, Art Without Boundaries – A New Chapter in Nanyang (Southeast Asia) yang sedang berpameran pula membawa persoalan dengan menguji pergerakan seni visual yang merentasi sempadan budaya, penerimaan dan juga pasaran.

Berlangsung di Galeri Ruang Teduh, Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX) Kuala Lumpur, pameran edisi kedua ini mempersembahkan karya 16 seniman muda dari China dan Taiwan, merangkumi lukisan, arca, seramik, instalasi, seni digital serta amalan berasaskan kecerdasan buatan.
Majlis pembukaan pameran pada 10 Oktober yang lalu telah disempurnakan oleh pengarah filem prolifik Malaysia, Dato’ (Dr.) Uwei bin HajiSaari, yang turut dikenali dalam dunia seni visual tempatan sebagai seorang pengumpul, kurator serta tokoh intelektual dalam pelbagai cabang seni kreatif, beliau turut diiringi oleh Encik Faris Najhan Hashim, CEO Exchange 106 sebagai tetamu kehormat.

Turut serta, pengurus besar Autum Mosaic Art Centre, Mr. Lee dan juga Profesor Victoria Lu sebagai Pengarah Akademik pameran. Delegasi kali ini turut disertai oleh beberapa artis yang mengambil bahagian seperti Shu Yuqian, Bridge Liang, Liao Liao dan Ding Qirourou.

Dianjurkan oleh Autumn Mosaic Art Center dengan kerjasama Viki Lulu House dan Galeri Ruang Teduh, pameran yang sedang berlangsung dari 11 Oktober hingga 10 November 2026 ini meneruskan inisiatif pertukaran seni ke Asia Tenggara yang dimulakan melalui edisi terdahulu pada 2025.

Profesor Victoria Lu, seniman dan tokoh seni kontemporari dari Taiwan yang berpengkalan di Xiamen China, bertindak sebagai Pengarah Akademik bagi pameran ini melalui program inkubasi yang diasaskannya; Viki Lulu House sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada sokongan dan pembangunan bakat seniman muda membina laluan profesional untuk memasuki rangkaian pameran dan pameran seni antarabangsa.
Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang seni kontemporari antarabangsa dan pernah berkhidmat sebagai Kurator Asia untuk California International Arts Foundation dan kini memegang jawatan Pengarah Kreatif dan Ketua Kurator Autumn Mosaic Art Center.

Akan tetapi, kepentingan pameran ini tidak terletak semata-mata pada bilangan seniman atau kepelbagaian medium yang dipersembahkan.
Persoalan yang lebih mendasar adalah bagaimana karya-karya tersebut dapat berinteraksi dengan kerangka tempatan, dan sama ada pertemuan ini mampu menghasilkan pertukaran yang melangkaui sekadar pengenalan seni China kepada khalayak Malaysia.


Antara tradisi, teknologi dan budaya popular
Pameran ini meletakan keluasan pendekatan artistik yang dihimpunkan. Tradisi seni dakwat dan ikonografi klasik China muncul bersebelahan budaya popular, estetika digital, reka bentuk kontemporari serta eksperimen bahan.
Kepelbagaian ini mencabar tanggapan bahawa seni kontemporari China boleh diringkaskan melalui satu identiti visual atau kerangka budaya yang seragam.
Dalam karya Future Shanhai: City of Xuanwu, Chen Xiaodong menggabungkan mitologi Timur dengan imaginasi fiksyen sains.

Berpusat pada figura Kura-kura Hitam yang dikaitkan dengan kosmologi tradisional China, arca ini membina sebuah kota futuristik daripada komponen industri terbuang, termasuk tayar dan paip ekzos.
Mitologi di sini bukan sekadar warisan yang dipelihara, tetapi bahan yang boleh dibentuk semula melalui persoalan tentang kemodenan, teknologi dan penggunaan sumber.
Pendekatan yang berbeza muncul dalam karya Dong Xiaochen. Melalui Street Cracks, kawah hentaman dan rekahan pada permukaan menjadi gambaran tentang kerosakan serta kemungkinan pertumbuhan baharu.

Bahasa visual yang dekat dengan grafiti dan ilustrasi jalanan membawa tenaga budaya bandar ke dalam ruang galeri, sementara bentuk retakan menghubungkan pengalaman kerosakan dengan proses pembentukan semula.
Dalam bidang seni dakwat, Shen Ziyao dan Xiao Bojun memperlihatkan bagaimana tradisi boleh digunakan sebagai struktur untuk membicarakan pengalaman kontemporari.
Love in a Single Thought karya Shen menggabungkan medan warna yang menyebar dengan imej kuda, burung dan kapal terbang kertas, membina suasana antara ingatan, keterikatan dan pelepasan.

Sementara itu, siri Modern Generation karya Xiao Bojun mengambil inspirasi daripada format gulungan landskap tradisional, tetapi memperkenalkan warna mural Dunhuang serta unsur alam dan makhluk simbolik ke dalam komposisi yang lebih kontemporari.

Karya-karya ini tidak semestinya menolak tradisi demi pembaharuan. Sebaliknya, tradisi berfungsi sebagai bahasa yang boleh disesuaikan semula, dengan makna yang berubah apabila berhadapan pengalaman dan kepekaan generasi baharu.
Medium sebagai bahasa artistik
Eksperimen bahan turut menjadi aspek penting dalam pameran ini.
Dalam siri seramik Sea Moment, Shu Yuqian menterjemahkan pemerhatian terhadap hidupan laut di pesisir Bang Saen, Thailand, kepada bentuk seperti obor-obor, karang dan anemon laut.

Permukaan bersadur biru kehijauan mengingatkan kepada pantulan cahaya di permukaan air, sementara pembakaran suhu tinggi memberikan bentuk tersebut ketahanan material dan kehadiran fizikal.
Liao Liao pula menggunakan teknik lukisan seramik tradisional untuk menafsir semula landskap klasik Dwelling in the Fuchun Mountains karya Huang Gongwang melalui perubahan musim dan variasi warna.

Di sini, sejarah seni tidak dipetik semata-mata sebagai rujukan, tetapi diteruskan melalui kemahiran teknikal dan kemungkinan baharu sesuatu medium.
Dalam amalan Ivana Zhou, hubungan antara warisan dan eksperimen bergerak ke arah yang lain.
Siri Nine Nines Return to One mengolah busana tradisional China melalui seramik, termasuk pakaian qipao bercorak biru putih dan instalasi yang dibentuk daripada hampir seribu bulu seramik.

Pertemuan fesyen, kraf dan instalasi (wearable art) memperluas pemahaman tentang seramik daripada objek guna kepada bentuk artistik yang melibatkan tubuh, pergerakan dan identiti budaya.
Sementara itu, Ding Qirourou menggunakan figura kucing dalam siri ‘Art Meow’ untuk menghubungkan motif tradisional dengan pengalaman generasi muda.

Watak-watak yang kelihatan santai tetapi berkarakter itu mencerminkan keinginan untuk menjauhkan diri daripada interaksi sosial yang dianggap tidak bermakna.
Bahasa visual yang mudah didekati ini menunjukkan bagaimana budaya popular boleh menjadi medium untuk membincangkan sikap dan emosi semasa tanpa bergantung pada naratif yang terlalu berat.
Membina laluan untuk seniman muda
Di sebalik kepelbagaian karya, Art Without Boundaries turut membawa agenda institusi yang jelas.
Autumn Mosaic Art Center meletakkan pameran ini sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang merangkumi pameran, perdagangan seni, pengurusan hak cipta dan pembangunan kerjaya seniman.
Melalui VIKI LULU HOUSE, kurator Victoria Lu berusaha menghubungkan seniman muda dengan sumber profesional, rangkaian industri dan peluang untuk memperluas pendedahan antarabangsa.

Menurut Li Yang, pengurus besar Autumn Mosaic Art Center, matlamat organisasi tersebut bukan sekadar menganjurkan pameran, tetapi membantu seniman muda membina kedudukan dalam persekitaran seni antarabangsa.
Victoria Lu turut menekankan bahawa akses kepada pentas antarabangsa tidak berlaku secara automatik; ia memerlukan sokongan, jaringan dan bimbingan yang berterusan.

Kenyataan ini menyentuh realiti penting dalam ekosistem seni kontemporari: bakat artistik sahaja tidak menjamin keterlihatan. Peluang pameran, hubungan kuratorial, akses kepada pengumpul dan kesinambungan sokongan institusi turut mempengaruhi bagaimana seseorang seniman membina kerjaya.
Namun, kejayaan program inkubasi tidak seharusnya diukur melalui jumlah pameran atau keterlibatan pasaran semata-mata.
Persoalan tentang autonomi artistik, kesinambungan sokongan dan keupayaan seniman mengembangkan amalan mereka di luar kerangka promosi institusi juga perlu diberi perhatian.
Inilah cabaran yang perlu dihadapi apabila pembangunan bakat, pengantarabangsaan dan kepentingan komersial bergerak dalam ruang yang sama.
Pertukaran budaya yang perlu bergerak dua hala
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai destinasi pameran ini membuka ruang untuk memikirkan hubungan seni China dengan Asia Tenggara, khususnya Malaysia secara lebih luas.
Dato’ Dr U-Wei Haji Saari, yang hadir sebagai tetamu kehormat, menyatakan potensi pasaran seni Malaysia serta kepentingan program residensi dan pertukaran yang membolehkan seniman kedua-dua negara berinteraksi secara lebih mendalam.

Cadangan tersebut penting kerana pertukaran budaya yang bermakna tidak berhenti pada pemindahan karya dari satu negara ke negara lain.
Ia memerlukan pertemuan dengan amalan tempatan, perbincangan kritikal, kerjasama jangka panjang dan kesediaan untuk saling mempengaruhi.
Tanpa unsur tersebut, pameran antarabangsa berisiko menjadi persembahan budaya sehala, dengan khalayak tempatan berperanan sebagai penerima dan bukannya peserta aktif dalam dialog.
Bagi Ruang Teduh Gallery, penganjuran ini menyediakan ruang untuk mempertemukan seniman muda China dengan khalayak, pengumpul, penggiat dan juga peminat seni visual Malaysia.
Nilai jangka panjangnya bergantung pada apa yang berlaku selepas pameran berakhir: sama ada hubungan profesional diteruskan, peluang kolaborasi berkembang dan pertukaran ini membuka ruang kepada seniman Malaysia untuk turut bergerak ke arah yang bertentangan.
Art Without Boundaries: A New Chapter in Southeast Asia memperlihatkan keluasan pendekatan generasi baharu seniman China, daripada penafsiran semula tradisi hingga eksperimen dengan bahan dan teknologi.
Pada masa yang sama, pameran ini mengemukakan persoalan yang lebih besar tentang infrastruktur yang diperlukan untuk menjadikan seni sebagai jambatan antarabangsa.
Sempadan budaya mungkin boleh dilangkaui melalui sebuah pameran, Namun, untuk menjadikannya ruang pertemuan yang mapan, hubungan itu perlu diteruskan melalui pertukaran pengetahuan, sokongan institusi dan penglibatan yang setara.
Di situlah ukuran sebenar sebuah platform seni antarabangsa bukan sekadar pada sejauh mana ia membawa karya ke tempat baharu, tetapi pada sejauh mana ia membolehkan idea dan hubungan berkembang selepas karya-karya tersebut meninggalkan ruang pameran.
Maklumat pameran:
Art Without Boundaries – A New Chapter in Nanyang (Southeast Asia)
Tarikh: 11 Oktober – 10 November 2026
Lokasi: Ruang Teduh Gallery, Lot UG 31 & 32, Exchange 106, TRX Kuala Lumpur.
Penganjur: Autumn Mosaic Art Center
Rakan Strategik: VIKI LULU HOUSE, FJFTZ XIAMEN & Ruang Teduh Gallery
Waktu operasi: Isnin-Sabtu: 10.30 pagi – 7.00 malam
Kemasukan: Percuma
