SETELAH lama sepi, seniman Rafiee Ghani tampil dengan karya yang tidak terduga menerusi arca-arca ukirannya. Terkenal dengan lukisan abstrak yang berwarna-warni, Rafiee kali ini beralih ke arca yang diukir pada kayu-kayu Chengal, Sentang, Asam, Akasia, dan African Mahogany.
Arca-arca ini diukir pada kayu-kayu yang sebahagian besarnya di bawa dari tempat kelahirannya di Machang, Kelantan. Peralihan dari lukisan abstrak kepada arca merupakan tanda evolusi Rafiee dalam seni dan juga memberi isyarat beliau belum mahu berhenti meneroka bidang seni.
Biarpun beralih ke arca, Rafiee masih mengekalkan gaya abstak pada ukiran dan warna-warna yang dihasilkan. Arca Samudera menjadi satu catatan penting dalam perjalanan Rafiee dalam dunia seni tampak.
Arca Samudera berlangsung di Galeri Puteh, KL Eco City bermula 6 hingga 27 Januari ini. Ia bukan sekadar pameran, ia juga memberikan peluang kepada para peminat dan pengumpul seni untuk menyaksikan peralihan seniman ini menjadi seorang pengarca.
Pameran solonya ini membuktikan kemampuannya untuk mengadaptasi gaya khasnya bukan hanya di kanvas tetapi juga media lain.
