Pengenalan
Esei ini membincangkan fenomena arca ikon setempat yang ditempatkan di bulatan jalan raya di negeri Sabah. Ia adalah sebuah bentuk seni awam vernakular yang berfungsi sebagai representasi identiti daerah atau setempat. Perbincangan akan menelusuri konteks sejarah perkembangan seni awam di Malaysia, khususnya peralihan daripada monumen kolonial dan nasional kepada arca kontemporari yang berasaskan ekspresi artistik individu. Fenomena arca bulatan Sabah dianalisis sebagai pendekatan alternatif yang berasaskan lokaliti dan komuniti. Perbandingan turut dibuat dengan pendekatan seni monumen dan arca kontemporari oleh pengkarya seperti Ramlan Abdullah, Raja Shahriman dan Muthalib Musa bagi memperlihatkan perbezaan dari segi kaedah artistik, naratif dan fungsi sosial. Esei ini berhasrat menegaskan bahawa arca bulatan Sabah harus dilihat sebagai sumbangan signifikan dalam wacana seni awam Malaysia yang memperluas pemahaman terhadap konsep nilai artistik dan identiti ruang awam di negara ini.
Identiti dan Fenomena
Seni awam di Malaysia lazimnya difahami melalui dua pandangan utama: Pertama, monumen yang berfungsi sebagai simbol kuasa, sejarah dan naratif kebangsaan. Misalnya patung gangsa Francis Light oleh Frederick John Wilcoxson yang dihasilkan sekitar tahun 1930an. Ia menandakan sejarah silam yang Malaysia pernah menjadi sebahagian koloni British. Akan tetapi arca ini bernasib baik kerana memori gelapnya dikekalkan berbanding arca-arca pemilik hamba yang dimusnahkan atau dirosakan di banyak negara Barat misalnya patung Edward Colston in Bristol, England.
Kedua, arca kontemporari (istilah yang agak longgar merujuk kepada seni berbentuk saduran Barat) yang membawa pendekatan ekspresif dan individualistik oleh pengkarya tempatan yang telah melalui saluran indoktrinasi pendidikan Barat. Karya-karya tersebut dapat dilihat pada ruang awam seperti Ramlan Abdullah, Raja Shahriman dan Muthalib Musa. Namun, di luar arus utama ini wujud satu fenomena yang jarang diberi perhatian dalam penulisan akademik atau kurang diapresiasikan oleh komuniti seni iaitu arca ikon setempat. Penulisan ini akan memberikan fokus kepada arca ikon setempat yang ditempatkan di bulatan jalan raya di hampir setiap daerah terutamanya di Sabah.
Fenomena ini unik kerana ia tidak sepenuhnya bersifat monumental dalam erti nasional, dan tidak juga digerakkan oleh gagasan artistik individu yang dominan oleh seorang artis. Sebaliknya, ia berfungsi sebagai alat representasi identiti mikro menggambarkan ekonomi, budaya, alam dan sejarah setempat. Esei ini bertujuan untuk meletakkan fenomena tersebut dalam konteks sejarah seni awam Malaysia dan membandingkannya dengan tradisi monumen dengan arca kontemporari arus perdana.
Konteks Sejarah Seni Awam di Malaysia
Perkembangan seni awam di Malaysia boleh ditelusuri sejak era kolonial British, di mana monumen didirikan bagi memperingati pegawai kolonial atau peristiwa tertentu. Monumen dalam konteks ini berfungsi sebagai alat legitimasi kuasa dan simbol dominasi politik. Selepas kemerdekaan, fungsi monumental ini diteruskan tetapi dengan naratif yang beralih kepada pembinaan identiti nasional dan memori kolektif negara. Misalnya pembinaan Tugu Negara oleh Felix Weihs pada 1966.
Era pasca 1970an menyaksikan perkembangan seni arca moden dan kontemporari dihasilkan oleh graduan institusi seni tempatan. Kelihatan di ruang bandar utama seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan sebagainya. Ia menjadi tapak penting pemasangan arca awam yang membawa pendekatan formalistik dan simbolik. Dalam konteks ini, seni awam tidak lagi semata-mata memperingati, tetapi menjadi lambang aspirasi pembangunan dan kemodenan.
Namun demikian, perkembangan ini cenderung berpusat di Semenanjung Malaysia dan berorientasikan wacana nasional. Manakala di Sabah, dengan sejarah kolonial tersendiri serta komposisi etnik yang pelbagai, membentuk pendekatan seni awam yang lebih bersifat lokal dan komuniti.

Arca Bulatan Sabah sebagai Seni Awam Vernakular
Arca bulatan di Sabah wujud sebagai penanda visual di pintu masuk atau pusat daerah. Setiap arca merujuk kepada identiti khusus daerah tersebut. Daripada hasil pertanian, kegiatan perikanan, simbol etnik, atau elemen alam semulajadi. Dalam erti kata lain, setiap daerah ‘memperkenalkan diri’ melalui bentuk visual yang kreatif serta mudah dikenali. Misalnya arca ikan todak di Kota Kinabalu, arca kobis hijau di Kundasang, dan alat muzik sompoton di Tambunan.
Berbeza dengan monumen nasional yang membawa naratif besar dan rasmi, arca bulatan Sabah beroperasi dalam skala mikro. Ia tidak mengangkat wira negara atau peristiwa besar, sebaliknya memusatkan perhatian pada kehidupan harian masyarakat. Dari sudut teori seni awam, pendekatan ini boleh dikategorikan sebagai seni awam vernakular atau ‘social sculpture’ iaitu seni yang lahir daripada keperluan komuniti serta semangat lokaliti malah bukan semata-mata gagasan estetik elit yang diagungkan dalam konteks seni kontemporari.
Nilai artistiknya terletak bukan pada inovasi formal, tetapi pada fungsi simbolik dan sosial. Arca-arca ini menjadi titik rujukan geografi, ruang pertemuan, dan lambang kebanggaan setempat. Ia juga berperanan sebagai arkib visual yang mengekalkan memori ekonomi dan budaya tradisional dalam landskap moden yang sedang berubah.
Arca Identiti Lokal
Untuk memahami kedudukan arca bulatan Sabah, perbandingan dengan tradisi monumental adalah penting. Monumen secara sejarahnya bersifat hierarki. Ia dibina oleh pihak berautoriti untuk menyampaikan naratif tertentu kepada masyarakat. Berskala besar, bahan tahan lama dan komposisi dramatik sering menjadi ciri utama. Ini dapat diperhatikan dengan arca burung helang di Dataran Lang, Langkawi siap dibina pada 1996.

Arca bulatan Sabah pula lebih bersifat horizontal dari segi makna. Ia tidak memerintah tafsiran, sebaliknya menawarkan simbol yang telah sedia difahami oleh masyarat setempat. Keterbacaannya segera dan tidak memerlukan penjelasan yang mendalam dan rumit. Dalam hal ini, arca tersebut lebih dekat dengan fungsi tanda budaya berbanding objek monumental yang menuntut rasa kagum serta kehebatan.
Ulasan Arca oleh Ramlan Abdullah, Raja Shahriman dan Muthalib Musa Sebagai Kajian Kes.
Ramlan Abdullah dikenali pengarca graduan seni halus UiTM. Beliau merupakan pensyarah sepenuh masa di UiTM. Beliau banyak meluangkan masa menghasilkan arca berskala besar yang menampilkan kemahiran pertukangan dan pendekatan formalistik. Karya-karya beliau sering mengangkat tema yang bervarisi. Dalam konteks seni awam, arca beliau membawa sifat monumental dan autoritatif yang mengangkat idea individualistik dengan suntikan naratif kebangsaan yang bersifat luaran.

Berbanding dengan arca bulatan Sabah, pendekatan Ramlan menekankan individualiti pengkarya dan berlegar isu teknikal. Pengaruh arca yang dihasilkan tidak dapat diketepikan sangat mesra dengan kerangka dan saduran propaganda idea seni Barat. Maka karya sebegini sering dirangka melalui acuan yang asing dan bersifat myopic. Berbanding dan nilai simbolik yang lebih luas dapat diperkatakan pada pembinaan arca bulatan Sabah yang diraikan oleh orang awam. Ini kerana, ia tidak berpusat pada identiti pengkarya tetapi pada identiti komuniti. Ia lebih bersifat memori kolektif lokaliti daripada ideologi autorial yang sempit yang dipegang oleh seorang artis.
Raja Shahriman Raja Aziddin juga merupakan graduan graduan seni halus UiTM pula terkenal dengan arca besi yang ekspresif, dinamik dan sarat dengan rujukan falsafah dan kraftangan Melayu. Karya-karyanya sering mengangkat tema konflik, tenaga dalaman, simbolisme dan pertukangan Melayu. Dalam ruang awam, arca beliau berfungsi sebagai pengalaman estetik yang menuntut renungan dari sudut estetika dan kemampuan tekninal.

Pendekatan ini berbeza secara fundamental dengan arca bulatan Sabah. Jika Raja Shahriman mengajak penonton mentafsir dan merenung makna yang berteraskan budaya Melayu. Arca bulatan Sabah menawarkan makna yang langsung dan jelas. Nilai estetika Raja Shahriman terletak pada ekspresi bentuk dan tenaga material, manakala nilai arca Sabah terletak pada hubungan emosional, fungsi identiti setempat dan semangat budaya yang berbagai.
Pendekatan arca Muthalib Musa bergerak dalam ranah seni kontemporari yang merujuk pada kecenderungan gaya. Beliau yang memperolehi sarjana muda dalam jurusan seni bina UiTM. Siri karyanya cenderung kepada bentuk semi-abstrak dan kuat pengaruh dalam kajian asas seni reka. Jika arca bulatan Sabah memaparkan objek yang dikenali secara langsung, arca Muthalib sering menghadirkan bentuk yang membuka ruang pelbagai tafsiran. Penonton tidak semestinya faham atau mengerti makna objek tersebut. Pendekatan dalam penghasilan arca sebegini adalah lebih kepada nilai estetik sahaja. Secara luaran ia lebih bersifat dekoratif yang diletakan pada ruang strategik bagi mengindahkan ruang pada banguan yang mesra bagi pengunjung untuk berswafoto.

Oleh yang demikian, perbezaan ini turut mencerminkan perbezaan fungsi sosial kedua-dua bentuk arca tersebut. Arca bulatan Sabah berada dalam ruang yang sangat praktikal seperti di simpang jalan, pintu masuk bandar dan pusat daerah. Ia dilihat setiap hari oleh penduduk dan pengguna jalan raya, menjadi sebahagian daripada rutin harian. Fungsinya bukan sekadar estetik, tetapi juga orientasi ruang dan pembentukan rasa kepunyaan. Arca tersebut sering menjadi titik pertemuan dan rujukan arah, menjadikannya sebahagian daripada pengalaman hidup masyarakat setempat.
Arca Muthalib Musa pula, walaupun ditempatkan di ruang awam, tidak semestinya berfungsi sebagai penanda geografi atau identiti daerah. Karyanya lebih berperanan sebagai objek yang terpisah daripada pengalaman awam. Hubungannya dengan ruang bersifat dekorasi ruang menjadi latar di ruang bangunan dan bukan memori kolektif setempat. Dalam konteks ini, seni awam sebegini adalah polemik wacana seni kontemporari yang menekankan ekspresi individu dan eksplorasi bentuk. Dalam hal ini, arca kontemporari menegaskan peranan individu sebagai pencipta makna.
Rumusannya, perbandingan antara arca bulatan Sabah dan arca Ramlan Abdullah, Raja Shahriman dan Muthalib Musa sebagai kajian kes. Memperlihatkan dua jalur penting dalam seni awam Malaysia. Satu jalur menekankan identiti lokal dan fungsi sosial yang jelas; satu lagi menekankan autoriti dalam pengkaryaan dan nilai estetika. Kedua-duanya tidak wajar dinilai dalam hierarki yang sama, kerana masing-masing beroperasi dalam kerangka tujuan dan konteks yang berbeza. Sebaliknya, kedua-duanya perlu dilihat sebagai saling melengkapi dalam memperkaya kepelbagaian seni awam Malaysia antara yang berakar pada komuniti dan yang berkembang melalui rencana artistik individu.
Polemik Nilai Artistik dan Sumbangan kepada Wacana Seni Awam
Persoalan utama ialah adakah arca bulatan Sabah kurang bernilai kerana tidak memenuhi piawaian seni kontemporari arus perdana? Jawapannya bergantung pada kerangka penilaian dan siapa yang menilai. Jika nilai seni diukur melalui inovasi formal dan keaslian gaya individu, maka arca tersebut mungkin dilihat sebagai sederhana. Namun, jika dinilai melalui impak sosial, keterikatan komuniti dan peranan sebagai arkib visual, nilainya menjadi signifikan dan berimpak besar buat negara.
Fenomena ini memperluas definisi seni awam Malaysia. Ia menunjukkan bahawa seni awam tidak semestinya monumental, konseptual atau sarat dengan simbolisme untuk relevan. Dalam konteks kepelbagaian budaya Malaysia, pendekatan lokal di Sabah memperkayakan landskap seni awam. Menerusi suara yang lebih desentralisasi yang lebih akrab dengan nilai kefahaman dalam praktis seni kontemporari yang tulen.
Satu lagi perbezaan ketara terletak pada soal autoriti dan pengkaryaan. Arca bulatan Sabah jarang dikaitkan dengan nama pengkarya tertentu. Identiti artis tidak menjadi fokus utama, yang lebih penting ialah simbol yang diwakili. Ia bersifat kolektif dan sering dianggap milik bersama komuniti. Dari sudut nilai artistik, arca bulatan Sabah mungkin dilihat sederhana jika diukur berdasarkan inovasi formal atau eksperimen bahan. Namun kekuatannya terletak pada fungsi simbolik dan hubungan emosional dengan masyarakat. Ia mengekalkan memori kolektif dan memperlihatkan keberanian untuk memaparkan identiti lokal secara langsung dalam ruang awam. Dalam era globalisasi visual yang cenderung menyeragamkan imej mordenisasi, arca bulatan Sabah bertindak sebagai penegasan identiti wilayah harus diberikan pujian.
Kesimpulan
Arca bulatan di Sabah merupakan manifestasi seni awam yang berakar pada lokaliti, memori dan identiti komuniti. Dalam konteks sejarah seni awam Malaysia, ia berdiri sebagai pendekatan alternatif kepada tradisi monumental dan arca kontemporari yang autorial. Perbandingan dengan karya Ramlan Abdullah, Raja Shahriman dan Muthalib Musa memperlihatkan perbezaan jelas dari segi skala naratif, autoriti artistik dan fungsi sosial.
Namun, perbezaan ini tidak harus difahami sebagai hierarki nilai. Sebaliknya, ia menandakan kepelbagaian bentuk dan fungsi seni awam di Malaysia. Arca bulatan Sabah mungkin tidak monumental dalam erti nasional, tetapi ia monumental dalam konteks komuniti menjadi visual marker, simbol kebanggaan dan arkib visual yang hidup dalam ruang seharian. Dalam erti itu, ia adalah sumbangan penting kepada wacana seni awam Malaysia yang lebih inklusif dan berakar pada realiti setempat.
Dalam landskap seni awam Malaysia, kewujudan arca bulatan yang unik di negeri Sabah memperlihatkan pendekatan yang berbeza daripada tradisi arca arus perdana. Jika seni awam di sekitar bandar utama sering dikaitkan dengan nama pengkarya tersohor, kemahiran teknikal dan estetika. Arca bulatan di Sabah pula berkembang sebagai manifestasi identiti daerah yang bersifat kolektif, organik dan berfungsi sosial. Perbandingan antara fenomena ini dengan koleksi arca oleh Ramlan Abdullah, Raja Shahriman dan Muthalib Musa membuka ruang untuk memahami dua orientasi berbeza dalam seni awam di Malaysia. Iaitu seni sebagai penanda identiti komuniti dalam arca bulatan di negeri Sabah dan seni sebagai bercirikan individualistik, sandaran estetik serta kecenderungan dekoratif yang ditempatkan di bandar-bandar utama di Malaysia.
Arca bulatan di Sabah lahir daripada keperluan untuk memperkenalkan dan menegaskan identiti setempat yang dihakisi dengan arus kemodenan. Hampir setiap daerah mempamerkan simbol yang merujuk secara langsung kepada kegiatan ekonomi, budaya etnik atau kekayaan alam semula jadi. Arca tersebut lazimnya bersifat figuratif dan literal nelayan dengan hasil tangkapan, tanaman utama daerah, alat muzik tradisional atau fauna ikonik. Bahasa visualnya kreatif mudah dibaca serta berfungsi sebagai ‘social scuplture’ yang dinikmati oleh orang awam. Oleh itu, pengunjung dari luar dan dalam negara lebih boleh mengenali serta mengapriasikan maksud keistimewaan dan keunikan lokasi tersebut. Dalam konteks ini, arca bulatan berfungsi sebagai ‘kad pengenalan visual’ sesuatu daerah. Ia menjadi penanda geografi, simbol kebanggaan komuniti dan arkib visual kehidupan setempat.
