AYAM banyak disebut dalam pepatah, perumpamaan, bidalan mahu pun dalam peribahasa Melayu. Ayam tambatan, ibu ayam, hangat-hangat tahi ayam, curi ayam dan bermacam-macam lagilah. Anda boleh rujuk lagu Ayam nyanyian Jalil Hamid untuk melihat bagaimana orang dulu-dulu membuat perumpamaan dari anggota badan ayam baik leher, taji, balung, ekor sehinggalah ke tahi.
Apak, komik bersiri karya kartunis tersohor Malaysia, Don atau nama sebenarnya Saadon Ishak yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila lewat tahun 80-an menyingkap ragam kehidupan masyarakat binatang dengan seekor ayam jantan menjadi watak utamanya. Tidak perlu membincangkan tentang ‘stroke’, gaya, lukisan dan garisan Don yang sudah sedia maklum cukup hebat sebelum itu dengan karya-karya seperti Awang Incredible, Pendekar Mato Tige, Joned atau semestinya DanDinDon kerana Don adalah antara kartunis penting dalam sejarah awal penerbitan majalah Gila-Gila. Ayuh kita bincang tentang ketajaman satira Don dalam komik Apak.
Apak adalah simbolik politik manusia yang sengaja dipersembahkan dengan binatang menjadi pelakonnya. Kita pernah dengar ungkapan ‘di dalam dunia binatang tidak ada manusia tetapi dalam dunia manusia memang banyak binatang’, sama ada disengajakan atau mahu mengalih perhatian untuk tidak terlalu dilihat nyata, melalui Apak, Don bereksperimen dengan peranan utama karyanya kali ini seekor ayam jantan yang ‘macho‘ dan bijak. Atau mungkin juga Don sengaja menukar selera mencari kelainan menjadikan ayam sebagai hero tanpa ada apa agenda, itupun boleh belaka.
Kita dibiarkan bebas untuk berimaginasi menukarkan semua watak binatang ini menjadi manusia dan mungkin dari situ kesan komik ini pasti lebih dapat dirasakan. Apak pada episod pertama diperkenalkan dengan sosok jantan yang gagah, kacak dan mempunyai sifat kepimpinan selain bapa yang tegas tetapi penyayang. Seperti manusia biarpun sesekali diserang malas tetapi kewajipan harian untuk berkokok mengejutkan penghuni alam bangkit daripada tidur pada waktu subuh tetap ditunaikan. Don menggambarkan Apak, seekor ayam seperti juga manusia, harus tetap melaksanakan tugasan hakikinya. Berkokok adalah tugas harian Apak. Lepas berkokok, mungkin pergi bekerja atau sambung semula tidur. Kata Apak, ‘aku dah laksanakan tugas. Orang lain nak ikut atau tidak bukan urusan dia.’
Tok Janggut, kawan Apak pula adalah seekor kambing tua, watak sampingan yang bersifat pendamai. Walaupun berbeza keturunan iaitu seekor kambing di tengah masyarakat ayam, Tok Janggutlah juga yang cuba meleraikan perkelahian antara Apak dan Dogol ketika ayam yang lainnya termasuklah kucing kurap menjadi tukang hasut dan batu api. Inilah sikap negatif masyarakat yang cuba dikritik oleh Don betapa kita ini lebih suka melihat orang bersengketa daripada cuba untuk meleraikan. Malah kaki sibuk ini turut menyertai Apak mencederakan Dogol yang sudah lemah ditewaskan seperti kata pepatah ‘pokok tumbang kura-kura pun nak panjat’. Nyaris tuan kepada Dogol, seorang manusia sempat menyelamatkan Dogol daripada mati disembelih oleh Apak dan kawan-kawannya.
Tok Janggut jugalah yang kelam kabut mencari Apak yang sedang berada di sungai membawa anak-anaknya mandi untuk menyampaikan berita duka, isteri Apak hendak disembelih oleh tuannya untuk dibuat lauk raya.
Kata orang sahabat adalah harta yang tak ternilai. Sahabat yang setia akan menolong sahabat lain yang sedang di dalam kesusahan walaupun kadangkala berdepan dengan persoalan antara betul dan salah. Itulah cuba dilakukan oleh Apak sebaik mungkin apabila kawannya Togel telah dituduh melakukan perbuatan tidak senonoh dengan isteri ayam lain. Togel dituduh melakukan perbuatan sumbang berdasarkan bukti telur yang dijumpai di sanggar isteri Jalak. Togel disyaki kerana hanya tiga ekor ayam jantan sahaja yang menghasilkan telur gred C dalam masyarakat mereka. Lucu sungguh idea Don ini.
Togel telah dibelasah teruk oleh Jalak dan dibawa ke muka pengadilan. Perbicaraan terbuka dijalankan. Tok Ketua masyarakat ayam tiba untuk menyelesaikan kekalutan ini. Apak dengan menggunakan helah taktikal, dengan lagak sebagai peguambela yang memegang sebiji telur gred C, dipercayai milik Togel sebagai barang kes; telah terlepas dan jatuh ke tanah ketika sedang membuat hujah pembelaan. Telur pun pecah maka barang kes sudah rosak. Tiada bukti maka tiada kes. Harus diingat, komik ini dibikin lewat 80-an maka ia tidak terkait langsung dengan hal-hal kegawatan politik yang kita mulai kenal dengan istilah konspirasi, mala fide, pendakwaan terpilih. Kisah Apak adalah kisah biasa yang sudah, sedang dan akan terus berlaku. Tidak kira dalam dunia manusia malah mungkin juga dalam masyarakat haiwan itu sendiri. Tidak mustahil.
Dalam perjalanan pulang dari ‘mahkamah ayam’, atau lebih tepat pada episod terakhir siri tersebut, secara peribadi Apak bertanya kepada Togel yang telah dibebaskan dan dilepaskan (istilah mahkamah ialah DNA – Discharge And Acquittal) apakah telur itu memang milik Togel atau tidak. Togel menjawab, “Kau macamlah baru kenal aku sehari dua.”
Mereka ketawa bersama manakala Tok Janggut yang mengiringi mereka kelihatan sedikit terpinga-pinga. Demikianlah adat bersahabat kadangkala kita bersubahat. Dalam berkawan tak kiralah semasa sama-sama bermasyarakat atau berpolitik jangan dicari rasional, benar atau salah itu bergantung pada kem yang mana. Jika musuh buat ia salah tetapi jika kem kita lakukan perkara yang sama, tak mengapa. Malah adakalanya permusuhan diketepikan seketika dan terpaksa berkawan demi untuk mencapai satu tujuan yang sama.
Turut mencuit hati diselitkan beberapa adegan dan watak sampingan yang mengisi cerita ini memang terang-terang menjadi manusia seperti sekumpulan kerbau yang sedang berkubang berbual tentang arus kemodenan dan ekonomi semasa sebelum Apak melintasi mereka.
Dalam salah satu episod ketika Apak sedang termenung kesedihan mengenangkan isterinya yang sudah mati disembelih untuk dijadikan lauk raya hadirlah Balau, sang kerbau yang cuba menjadi kaunselor memberikan kata-kata nasihat. Kaunselor yang cuba menyampaikan kata-kata motivasi pada waktu yang tidak sesuai, dengan teori yang tidak praktikal diminta diam oleh Apak. Sebuah ‘troll‘ yang tajam lagi sinikal. Pada era media sosial hari ini memang sudah wujud apa yang kita panggil ‘influencer‘ dengan madah-madah ‘healing‘ mereka menjadi penasihat tidak bertauliah. Ada nasihat yang nampak macam baik tapi sebenarnya entah apa-apa dan tidak membantu langsung. Dari situasi ini maka terbitlah istilah ‘toxic positivity‘ , iaitu nasihat positif yang berlebih-lebihan dengan menolak langsung emosi negatif sehingga nasihat positif ini menjadi toksik yang membuatkan kesan psikologi menjadi lebih terganggu.
Seperti saya kata pada awal tadi cuba baca komik Apak buah tangan cemerlang kartunis Don ini dengan cara ‘terbalik’ dengan membayangkan watak-watak semua itu sebagai manusia maka dari situ sifat kehaiwanannya akan lebih dapat dirasa. Komik bersiri Apak ini telah dibukukan dalam bentuk koleksi berwarna dan diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn Bhd dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008. Selepas menghayati ceritanya baharulah anda boleh melihat pula permainan garisan, tona dan ‘stroke‘ hebat Don. Terbaik!

mengenali Animal Farm dahulu sebelum terjebak membaca Apak sewaktu melepak kat kedai buku Pelangi di Komtar JB sebelum bersidai kat B Sound Studio melayan brader rokers jamming….mana nak dapat komik Apak ni ek….