Pada 5 September 2026, pukul 4 petang, saya menghadiri wacana pameran IlmuAdab di Galeri Sareng.
Sesi itu menghimpunkan seniman yang diraikan Ahmad Shukri Mohamed, penulis katalog pameran Prof. Madya Dr. Saiful Akram Che Cob, serta Azzad Diah sebagai pemudah cara.
Ketika perbincangan bergerak sekitar kerangka IlmuAdab, saya mula tertanya sama ada karya-karya tersebut sedang dibaca melalui struktur interpretif yang telah tersedia terlebih dahulu, atau sama ada adab sedang ditempatkan sebagai konsep yang seharusnya mengarahkan operasi karya itu sendiri.
Bagi saya, kedua-dua kemungkinan ini perlu dibezakan daripada satu kemungkinan ketiga: bahawa adab bukan konsep operasional praktik seni, tetapi kategori yang muncul pada aras pemerhatian terhadap bagaimana karya beroperasi.
Teks pengiring rasmi membingkai sebelas karya yang dipamerkan sebagai perjalanan estetik merentasi sejarah, alam dan wahyu ilahi dalam respons terhadap ancaman pengasingan manusia oleh kecerdasan buatan (AI).
Dari situ timbul satu pertanyaan mendasar: bagaimana jika struktur interpretif tersebut diruntuhkan?
Hakikatnya, pameran seni hampir selalu datang kepada audiens bersama suatu arahan untuk membaca. Arahan itu tidak semestinya berbentuk perintah yang eksplisit.
Ia boleh hadir melalui tajuk pameran, teks dinding, kenyataan seniman, susunan ruang, atau istilah yang dipilih untuk menghimpunkan karya-karya yang dipamerkan.
Semua ini membentuk suatu struktur interpretif yang mendahului pertemuan audiens dengan karya. Kita belum berhadapan sepenuhnya dengan material, tetapi telah diberikan bahasa untuk membayangkan apa yang seharusnya kita lihat.
Wacana pengiring dapat menghasilkan jaringan makna yang kaya dan memperluas kemungkinan interpretasi pameran. Namun, kekayaan interpretif tersebut belum dengan sendirinya membuktikan bahawa setiap karya, atau hubungan antara karya, beroperasi menurut konsep IlmuAdab.
Penamaan dan penghuraian konsep hanya menetapkan horizon pembacaan; ia belum memperlihatkan bagaimana konsep tersebut dihasilkan melalui pemilihan material, penyusunan tanda, pembelahan medan, pertembungan imej atau pengalaman ruang.
Wacana pengiring boleh mengarahkan cara karya dibaca, tetapi kewujudannya tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa operasi karya telah memenuhi tuntutan yang dikemukakan oleh wacana tersebut.
Di sinilah muncul ironi teras IlmuAdab.
Jika IlmuAdab hendak dipertahankan sebagai konsep operasional pameran, hubungan antara konsep dan operasi karya perlu dapat ditunjukkan, sama ada pada aras setiap karya atau melalui hubungan antara karya dalam keseluruhan pameran.
Persoalannya bukan sama ada sesuatu karya boleh dikaitkan dengan adab; hampir setiap karya boleh dikaitkan dengan konsep yang cukup luas. Persoalannya ialah sama ada adab menghasilkan pembacaan yang lebih tepat terhadap operasi karya, atau hanya menambahkan bahasa di sekelilingnya.
Jika hubungan tersebut hanya muncul selepas wacana pengiring menyediakan kosa katanya, maka IlmuAdab masih berfungsi sebagai pembingkaian interpretif dan belum terbukti sebagai prinsip yang mengatur operasi artistik pameran.
Beban pembuktiannya tidak terletak pada keluasan definisi, tetapi pada kemampuan karya atau hubungan antara karya untuk menjadikan konsep itu diperlukan secara artistik.
Konsep pameran memperoleh keperluan artistik apabila penggunaannya menghasilkan perbezaan penjelasan yang nyata terhadap operasi karya, bukan sekadar menambahkan bahasa di sekelilingnya.
Namun, bagaimana jika struktur interpretif ini diruntuhkan?
Secara metodologi, meruntuhkan di sini tidak bermaksud menafikan kesahan IlmuAdab sebagai konsep pameran atau menyerang wacana pengiringnya.
Ia merupakan tindakan penangguhan atau ujian kontrafaktual: kita menggantung sementara autoriti teks pengiring pameran sebagai kunci pembacaan utama.
Penangguhan ini tidak menyingkirkan judul individual karya sebagai sebahagian daripada struktur penandaannya, tetapi menggantung tuntutan menyeluruh teks pengiring sebagai kerangka yang menyatukan pameran.
Kerangka itu diruntuhkan sebagai arahan pembacaan supaya adab dapat dibina semula sebagai kategori pemerhatian.
Apakah yang tinggal daripada Ahmad Shukri Mohamed apabila IlmuAdab tidak lagi diberikan sebagai jawapan sebelum kita berhadapan dengan karya?
Jawapannya bukan kekosongan, melainkan kemunculan sesuatu yang jauh lebih panjang daripada usia sebuah pameran: pengendapan praktik yang telah terbina berpuluh-puluh tahun.
Apabila struktur interpretif digantung, kita kembali berhadapan dengan material, tanda, dan hubungan yang dibentuk di dalam karya.
Praktik Ahmad Shukri selama hampir empat dekad berulang kali berhadapan dengan persoalan tentang bagaimana objek, imej, tekstur, tulisan, dan memori budaya dipertemukan dalam medan yang sama.
Karya membawakan sejarahnya sendiri yang hadir sebagai sedimentasi, pengendapan keputusan, penolakan, pengulangan, pembetulan, dan penemuan yang secara kumulatif mengubah syarat bagi keputusan berikutnya.
Dalam esei Kedaulatan Keputusan (2026), saya membincangkan bagaimana pemilihan, penutupan dan akauntabiliti memberikan pemberat kepada keputusan artistik.
Esei ini menyambung persoalan tersebut melalui karya Ahmad Shukri: apakah hubungan yang dapat diperiksa pada permukaannya apabila kerangka pengiring digantung, dan bagaimana hubungan itu mengatur jarak pengetahuan dengan audiens?
Untuk menguji bagaimana sedimentasi ini beroperasi tanpa bergantung sepenuhnya pada arahan interpretif, kita perlu memeriksa keputusan yang benar-benar dapat dilihat pada permukaan karya.
Dalam Cahaya dari Bukit Tursina (2025–2026), kanvas media campuran berformat diptych dibelah secara tegas kepada dua medan.
Sebelah kiri dipenuhi tulisan timbul berwarna hijau gelap yang hadir di antara bahasa dengan tekstur: ia menjanjikan keterbacaan tetapi tidak menyerahkan maknanya dengan mudah.
Sebelah kanan pula menampilkan hutan tropika yang padat, diselang-seli bunga, kupu-kupu, dan jalur-jalur warna kecil yang menyela kesinambungan imej hutan seperti penanda visual asing.
Kedua-dua medan diletakkan bersebelahan tanpa salah satunya menerangkan yang lain.
Tulisan tidak menjadi kapsyen kepada alam, manakala alam tidak menjadi ilustrasi kepada bahasa. Yang dihasilkan ialah pertembungan antara dua cara mengetahui, membaca dan melihat, yang kekal berhubung tanpa mencapai penyelesaian tunggal.

Tatabahasa hubungan yang sama muncul dalam karya Dari Tanah ke Tanah (2026) berasaskan kulit buku Common Malayan Plants: Selected Drawings.
Format buku botani membawa janji klasifikasi, penamaan, dan ketertiban pengetahuan, tetapi imej durian yang diperbesar menguasai ruang dan mengganggu fungsi atlas sebagai sistem pengelasan yang menampilkan dirinya sebagai neutral.
Objek tidak lagi hadir sebagai spesimen yang patuh kepada pengetahuan; ia memperoleh daya visual yang melampaui kategori yang cuba menamakan dan mengelaskannya.

Tatabahasa pembelahan tersebut menjadi lebih tegang dalam Jangan Diusik Bintang di Langit (2025–2026).
Pada sebelah kiri, aksara Jawi timbul dipadatkan menjadi medan hitam yang berada di antara tulisan dengan tekstur. Keterbacaannya ditahan oleh kepadatan, sementara titik-titik cerah dan bentuk bulan sabit menyebabkan permukaan tulisan itu turut menyerupai ruang langit.
Pada sebelah kanan, imej monokrom sebuah gumpalan vertikal yang menyerupai kesan letupan menguasai lanskap dan seakan-akan menutup ruang di belakangnya.
Namun, tulisan tidak menerangkan imej, dan imej tidak menterjemahkan tulisan. Judul karya mempertemukan kedua-duanya melalui larangan mengusik bintang, tetapi tidak menentukan secara muktamad apa yang mengancam keterlihatannya, kegelapan, peristiwa sejarah, teknologi, bahasa, atau kegagalan manusia membaca tanda.
Karya memberikan hubungan yang cukup untuk mengaktifkan inferens, tetapi menahan konteks yang diperlukan untuk menutup tafsiran.

Pengulangan pembelahan medan visual ini muncul lagi dalam Hidup kamu itu, jangan sampai terlihat adanya DIRI (2020–2025).
Di sebelah kiri, reproduksi kulit buku tentang To’ Kenali menampilkan potret tokoh, tulisan Jawi dan nama penerbit Pustaka Aman Press.
Di sebelah kanan, aksara timbul berwarna hijau gelap dipadatkan sehingga tulisan hadir juga sebagai medan tekstur yang tidak mudah dibaca.
Imej buku memberi audiens titik masuk yang dapat dikenal pasti, tetapi pengenalan terhadap tokoh tidak dengan sendirinya membuka makna tulisan di sebelahnya.
Judul karya mengundang renungan tentang diri dan keakuan; namun, hubungan artistik antara kedua-dua medan tidak selesai sebagai ilustrasi kepada pesan judul.
Potret tidak menerangkan aksara, dan aksara tidak menjadi kapsyen kepada potret.
Karya ini memperlihatkan bagaimana akses visual boleh diberikan serentak dengan penangguhan kefahaman: audiens mempunyai cukup pegangan untuk memulakan inferens, tetapi masih perlu menghadapi jarak antara mengenali suatu rujukan dengan memahami pengetahuan yang dihadirkannya.

Pertemuan antara bahan bercetak dengan unsur visual lain turut muncul dalam Asas Kebudayaan Kebangsaan (2024), tetapi dengan akibat yang berbeza.
Berbeza daripada karya dua panel yang dibincangkan tadi, karya kanvas tunggal ini menyerapkan struktur kulit buku rasmi penerbitan “Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia” ke seluruh satah visual, lengkap dengan tipografi kuning ikonik tajuknya di atas latar ungu pekat.
Namun, susunan formal dokumen dasar ini diganggu oleh imej kupu-kupu yang diletakkan melintasi tajuk dan garisan binaan, disertai percikan cat serta titisan cecair yang tersebar merentasi permukaan.
Kupu-kupu tidak disusun mengikut grid atau susunan geometri atlas, sebaliknya kelihatan bertaburan di atas teks, menggagalkan fungsi dokumen tersebut sebagai permukaan maklumat yang kemas dan berwibawa.
Teks memberikan akses terus kepada sebuah wacana sejarah, tetapi orientasi imej dan gangguan material pada permukaan kanvas menghalang karya ini daripada dibaca sebagai sekadar bahan ilustrasi dasar.

Dalam kelima-lima karya ini, bahasa bukan sekadar pembawa mesej dan imej bukan sekadar ilustrasi.
Kedua-duanya dijadikan sistem yang mempunyai keterbatasan masing-masing: tulisan boleh hadir tetapi sukar dibaca; imej dan teks dokumen boleh dikenal pasti, tetapi pengenalannya belum menyelesaikan hubungan antara unsur dalam karya.
Apa yang bersedimentasi dalam praktik Ahmad Shukri bukan sekadar repertori imej, tetapi suatu tatabahasa keputusan.
Dalam karya-karya ini, medan visual dibelah atau susunan pengetahuan yang sedia ada diganggu, sistem tanda yang berlainan dipertemukan, dan hubungan antara kedua-duanya dibiarkan terbuka tanpa menjadi arbitrari.
Motif berubah daripada hutan kepada buah tropika, aksara Jawi, imej peristiwa, kulit buku biografi, serta teks dasar kebudayaan, tetapi ketegangan antara keterlihatan, keterbacaan, dan pengetahuan terus dapat dikenali.
Perbezaannya ialah tatabahasa keputusan tidak diberikan terlebih dahulu sebagai tema yang perlu ditemui dalam karya. Ia dirumuskan selepas hubungan yang berulang pada permukaan karya dapat dikenali.
Oleh itu, istilah ini berfungsi sebagai deskripsi terhadap operasi yang diperhatikan, bukan sebagai tuntutan yang mendahului pemerhatian.
Pemeriksaan terhadap karya-karya ini menuntut kita membezakan secara tegas antara ilmu dan petua. Ilmu ialah pengetahuan yang dapat dihuraikan dan dipindahkan. Seseorang boleh mempelajari teori warna, teknik kolaj, sifat material, atau sejarah simbol.
Dalam persekitaran semasa, sistem kecerdasan buatan dapat mengolah data, mengenal pola, dan menghasilkan variasi dalam skala yang besar. Namun, apa yang disebut sebagai petua bukan semata-mata kecekapan memilih.
Petua terbentuk apabila keputusan terdahulu meninggalkan akibat yang perlu ditanggung, diingati, dan digunakan untuk mengehadkan keputusan berikutnya.
Dalam pengertian ini, perbezaannya bukan antara manusia yang memiliki pengetahuan dengan mesin yang tidak mengetahui, melainkan antara pemprosesan kemungkinan dengan sejarah keputusan yang ditanggung sebagai praktik.
Namun demikian, tempoh praktik yang panjang tidak dengan sendirinya menghasilkan peradaban artistik; ia mungkin hanya mengukuhkan formula pasaran atau pengulangan gaya.
Istilah gaya mula menjadi tidak mencukupi hanya apabila keputusan yang berulang membentuk tatabahasa hubungan, menyimpan memori dalaman, dan terus menghasilkan kemungkinan baharu tanpa kehilangan sejarah praktiknya.
Penggunaan istilah peradaban di sini tidak merujuk kepada peradaban dalam pengertian sosiologi makro, melainkan merujuk kepada aturan mikro dalam praktik seniman yang menyimpan memori keputusan, mengatur hubungan antara unsur, dan membolehkan dunia artistik itu mereproduksi serta mengubah dirinya merentasi masa.
Sesebuah praktik mencapai taraf peradaban artistik apabila ia memenuhi sekurang- kurangnya empat kriteria. Pertama, ia memiliki tatabahasa hubungan yang di dalamnya motif tidak lagi berdiri sebagai objek terpencil.
Kedua, ia mempunyai memori dalaman yang membolehkan karya baharu mengaktifkan semula, menyaring, atau mengubah keputusan yang pernah muncul dalam praktik terdahulu.
Ketiga, ia memperlihatkan ketahanan kontrafaktual, iaitu dunianya kekal dapat dikenali walaupun beberapa motif tandatangan diganti atau disingkirkan.
Keempat, ia mempunyai kuasa penjanaan, iaitu aturan yang terbentuk bukan sekadar mengulang motif terdahulu, tetapi membolehkan hubungan baharu muncul dan mengubah syarat bagi karya berikutnya.
Dalam esei ini, peradaban Ahmad Shukri Mohamed dicadangkan sebagai nama bagi dunia artistik yang terbentuk daripada sedimentasi pengetahuan, material, tanda, dan petua.
Lima karya yang diperiksa tidak membuktikan keseluruhan sejarah dunia tersebut, tetapi menyediakan petunjuk operasional tentang tatabahasa hubungan yang menopangnya.
Seorang seniman membawa puluhan tahun pengalaman ke dalam studio, manakala audiens berdiri di hadapan sebuah karya tertentu.
Perbezaan ini menghasilkan lompangan pengetahuan: ketidaksetaraan antara sejarah keputusan yang bersedimentasi dalam praktik, hubungan yang dimaterialkan oleh karya, dan horizon pembacaan yang tersedia kepada audiens.
Dari sinilah muncul jarak epistemik. Jarak epistemik ini tidak dengan sendirinya bermaksud adab.
Jarak ini hanya menjadi persoalan adab apabila kita bergerak ke aras pemerhatian kedua untuk menilai bagaimana hubungan itu diatur.
Dimensi adab dalam hubungan karya–audiens boleh dinilai melalui tiga kriteria.
Pertama, kebolehmasukan, iaitu sama ada karya menyediakan pintu masuk material dan visual yang membolehkan pembacaan bermula tanpa bergantung sepenuhnya kepada alibi wacana pengiring.
Kedua, produktiviti jarak, iaitu sama ada apa yang tidak disediakan secara langsung oleh karya mengaktifkan inferens audiens ke arah pemikiran baharu, atau hanya menghasilkan ketidakjelasan secara arbitrari.
Ketiga, ketahanan tanpa alibi, iaitu sama ada tuntutan artistik karya masih dapat dikenal pasti melalui hubungan yang dihasilkannya apabila fungsi legitimatif tajuk dan wacana pengiring digantung.
Penggunaan adab di sini tidak dimaksudkan sebagai definisi menyeluruh yang menggantikan pengertian teologi, etika atau falsafahnya, tetapi sebagai pembatasan analitik terhadap cara hubungan antara karya dan audiens diatur.
Istilah adab diperlukan pada aras ini kerana persoalannya bukan sekadar sejauh mana karya dapat ditafsirkan, tetapi bagaimana karya mengatur kedudukan audiens: apakah audiens dianggap penerima yang perlu diarahkan, penafsir yang dibiarkan tanpa pegangan, atau pemerhati yang diberikan syarat mencukupi untuk membentuk inferensnya sendiri.
Adab menamakan mutu pengaturan hubungan tersebut, bukan kandungan moral yang diwakili oleh karya.
Penerangan menjadi bentuk ketidakpercayaan terhadap audiens bukan semata-mata kerana panjangnya teks yang disediakan, tetapi apabila ia menutup ruang inferens atau diminta melakukan kerja artistik yang tidak dilakukan oleh karya itu sendiri.
Hubungan yang dapat dinilai sebagai beradab tidak menyerahkan segala-galanya kepada audiens, tetapi juga tidak menyerahkan kekosongan.
Adab tidak terletak pada simbol tertentu atau pada niat moral yang dinyatakan oleh tajuk.
Ia muncul sebagai kategori pemerhatian terhadap cara karya memberikan akses tanpa menjanjikan penguasaan penuh, tidak memberikan segala-galanya tanpa menghasilkan kekosongan, dan membuka inferens tanpa memaksa satu kesimpulan.
Adab bukan operasi karya; adab ialah cara kita memerhatikan bagaimana karya beroperasi.
Tindakan awal meruntuhkan kerangka IlmuAdab ternyata tidak memusnahkan konsep tersebut.
Sebaliknya, dengan menggantung sementara autoritinya, kita membebaskan adab daripada sekadar menjadi tajuk atau label interpretif.
Yang bertahan selepas kerangka pengiring itu digantung bukan sekadar gaya peribadi, melainkan sedimentasi praktik yang telah menghasilkan petua dan membentuk asas kepada suatu peradaban artistik.
Pameran ini tidak lagi perlu dibaca sebagai sekumpulan karya yang sekadar mewakili ilmu dan adab.
Sebaliknya, pameran ini menjadi titik terkini dalam perjalanan bagaimana pengetahuan diuji melalui pengalaman, pengalaman disaring oleh praktik, dan hasil penyaringan tersebut sama ada mengeras menjadi formula atau berkembang menjadi tatabahasa hubungan yang terus menjana kemungkinan baharu.
Hanya dalam keadaan kedua inilah petua menyumbang kepada pembentukan suatu peradaban artistik.
Apabila IlmuAdab diruntuhkan sebagai arahan pembacaan, yang tinggal bukan ketiadaan nilai, melainkan kemungkinan untuk menemui persoalan adab melalui cara karya mengatur hubungan, tanpa terlebih dahulu diberitahu bahawa itulah yang sedang kita cari.
Badrolhisham Mohamad Tahir merupakan kurator, pengkritik, pensyarah dan juga ahli akademik. Beliau diiktiraf diatas kerjanya dalam mendokumentasi serta menulis kritikan berkaitan seni visual kontemporari.
