‘‘Walaupun seseorang ingin membuat karya seni tentang bergaul dengan orang ramai, jauh di dalam hati aku tahu ini semua tentang orang yang sunyi di tempat yang sunyi.’’
Benar kata orang, semakin dewasa, lingkaran pergaulan mulai menyempit, dan dunia akhirnya tentang diri sendiri. Rutin harian: Makan, tidur dan bekerja diulangi sehingga hancur luluh tubuh dan tapak kasut. Fasa kanak-kanak seperti baru kelmarin dinikmati. Walaupun sebentar, tetapi lebih membahagiakan berbanding kenyataan masa kini yang terasa dikurung dan melelahkan. Seakan-akan sedang melangkah menuju ke hujung lapisan kehidupan yang lebih gelap dan misteri. Perasaan mudah rapuh, fikiran menjurus ke dasar hati nurani, bak kata Brian Greene, dari buku Until The End of Time, merenung asal usul kehidupan, kosmologi, lubang hitam, dan betapa menggerunkan bahawa setiap makhluk ciptaan Tuhan, semuanya bergerak ke alam kematian yang tidak dapat dielakkan oleh sains dan William Shakespeare.
Demikian lebih kurang nuansa intipati dalam Ruang Liminal karya Saat Omar. Sebuah novel cetakan tahun 2024 yang diusahakan oleh Terbitan Jilid. Sebuah naskhah yang jika dilihat dari permukaan, bertekstur ringan, santai, sederhana dan tiada keistimewaan. Setebal 125 halaman. Ia bukan karya eksperimental yang rumit, malahan realisme konvensional. Mudah dibaca dan diikuti sepanjang jalan penulisannya yang lurus. Namun andai diselami ke dalam jantung persoalannya, terlihat simpulan urat-urat fitrah kehidupan, tentang apa tujuan hidup sesungguhnya, selain memenuhi keperluan jasmaniah? Aspek-aspek yang menghampiri dimensi metafizik itu, mengingatkan saya pada novel karangan Albert Camus, The Outsider.
Sebulan sebelum September, Amri, penulis novel kanak-kanak, ketika sedang duduk menenangkan diri di bangku tepi Taman Tasik Shah Alam, telah dihampiri seorang lelaki misteri. Identitinya nanti diketahui juga oleh Amri. Lima hari sebelumnya, Amri menulis surat untuk berhenti kerja. Kononnya ingin meneroka hal-hal baharu. Hidup bebas tanpa mengikut arahan dan kerenah birokrasi. Lebih kurang setengah jam kemudian ketika menyerap keheningan persekitaran, tidak diduga sama sekali, lelaki entah muncul dari alam mana, memaklumkan jangka hayatnya di muka bumi, hanya bersisa tiga puluh hari. Tiga puluh hari bukan tempoh yang lama. Gelap seketika pandangan Amri. Ibarat durasi filem dipotong separuh. Tidak sampai ke babak akhirnya. Hari yang sepatutnya dilalui dengan tenang, muncul suatu beban secara mendadak hingga menyesakkan saluran pernafasan Amri.
Kebanyakan intro dalam karya sastera yang menarik, selalunya dimulai dengan pembukaan yang segera memancing minat pembaca. Atau apa yang dipanggil, ayat troll. Dalam kes Ruang Liminal, Saat Omar mempraktikkan kaedah klasik itu. Ia akses yang mendorong rutin kehidupan protagonisnya menjadi lebih akrab kepada diri. Alangkah menyedihkan, hidupnya selama ini bersawang, kosong terbiar, monotonous dan begitu-begitu sahaja. Bersendirian di dunia. Balik dari pejabat, terpuruk dalam bilik di flat pinggir bandar. Dengan kemunculan lelaki misteri itu, baharulah Amri menjenguk ke dalam dirinya sendiri. Pintu masuk ke jiwa nuraninya diketuk. Luas tidak terjangkau. Bagai otak (akal). Betapa ajaib dan kompleksnya ruang lingkup dunia dalaman diri, sebagaimana dimetaforakan oleh Will Durrant. Mati hari ini atau sebulan kelak, setiap saat amat bernilai.
Pembukaan novel Ruang Liminal, karya Saat Omar, sekali gus mengingatkan saya dengan suasana subliminal pada cerpen The Other, tulisan Jorge Luis Borges. Bagaimana respons Amri Darus jika diberitahu oleh individu tidak dikenali akan ketibaan tarikh kematiannya? Pasrah, berpura-pura mengawal diri agar tidak gelabah atau terus terjun ke Taman Tasik Shah Alam? Rosak kedamaian dalam jiwa Amri. Mungkin lelaki itu, namanya dikenali sebagai Nik, sewel, sekadar menyakat. Tidak mungkin lelaki itu jelmaan malaikat. Pada mulanya Amri tidak mengendahkan kata-kata yang menyeramkan itu. Tetapi sungguh menjengkelkan, sebaik sahaja merebahkan tubuh di atas katil, fikiran dan perasaannya kencang bergelombang. Terngiang-ngiang kembali butiran amaran daripada lelaki tidak diundang itu ke telinganya. Jelas. Mustahil hal begitu menimpa ke atasnya? Cukupkah masanya untuk bertaubat, sembahyang tahjud, berzikir pagi petang, selain merayau-rayau dalam pusat membeli-belah di Kuala Lumpur? Naskhah kehidupan sebenar tidak sama dengan filem. Bukan seumpama The Adjustment Bureau.
Siapa sesungguhnya lelaki itu? Siapa yang mengutusnya? Demikian kesan kemunculan lelaki asing itu melemaskan Amri dari dalam. Seluruh fikiran dan perasaan Amri terbius oleh amaran daripada lelaki asing itu. Bagaimana seandainya apa yang dinyatakan lelaki aneh itu benar dan dia tiada lagi di alam kehidupan bermula dari detik itu? Kesemua persoalan abstraks itu mencair sebaik sahaja Amri dihubungi kawan lama, iaitu Ijan (nanti muncul pula gadis bernama X). Ijan, penulis sajak dan penerbit buku indie yang kental. Sejak detik itu, hidup Amri kembali terisi, sehingga terlupa tentang hari-harinya dijangkakan berakhir. Hidup bukannya tentang diri sahaja. Juga bukanlah segelap dan sunyi sebagaimana yang dibayangkan.
Dicadangkan untuk mengambil cuti oleh majikannya, Amri bagai burung yang baharu sahaja dibenarkan keluar dari sangkar. Dia melakukan apa yang sebelum ini segan dilaksanakan. Berfoya-foya dari sebuah pusat membeli-beli sehingga terjerumus dalam bilik karaoke dan menyanyikan lagu-lagu popular wanita tempatan dengan suara sumbangnya. Kesihatan Amri OK, tiada penyakit serius, demikian kata doktor muda yang dikunjunginya. Sesekali Amri pulang ke kampung, menjenguk ibunya yang digerogot usia dan mengenangkan hakikat itu hanya tambah menghimpit emosinya – siapakah yang dahulu menghadapi Illahi? Terlempar ke masa kecil, membelek-belek album dan tenggelam pada larutan nostalgia pada cinta pertama waktu persekolahan. Amri sedar, dia bukan lagi kanak-kanak, malahan seorang lelaki berusia melebihi tiga dekad. Sebeginikah saja pencapaian dalam hidup? Solo, tidak sekaya menteri atau pegawai menteri dan hanya penulis buku binatang yang dianggap belum mencapai status sasterawan serius, seperti Zaen Kasturi, misalnya. Masa tidak boleh dilipat ke bahagian permulaan, tidak seperti halaman novel.
Sama ada drama bersiri di televisyen, kadang-kadang karya fiksyen bertulis, memerlukan kaedah kebetulan untuk mengikat benang ceritanya. Hal itu berlaku dalam Ruang Liminal. Seorang gadis yang turut duduk di bangku tepi Taman Tasik Shah Alam, konon namanya X, peminat tulisan buku-buku cerita binatang tulisan Amri, dipertemukan lagi dengan Amri selesai sahaja acara sastera di Annexe Pasar Seni. Terima kasih Ijan dan puisi. Api asmaradana berkelip-kelip dalam hidup Amri. Bersama-sama di samping X (dalam hospital dan kereta), bagaikan pucuk dipinta, ulam mendatang. Seolah-olah berdengung lagu nyanyian kumpulan Sting, Dalam Diam Aku Mencintaimu sebagai latar yang paling manis untuk menampung adegan itu. X berjaya (biarpun untuk sementara) mengubah lensa kabur dan kotor dalam perspektif Amri tentang landskap kehidupan secara keseluruhan (big picture).
Lelaki misteri yang muncul mengejutkan di Taman Tasik Shah Alam, sama ada sememangnya delusional atau tiada pekerjaan dan matlamat hidup, tidak lagi menjadi segenggam pasir dalam kasut Amri. Amri menemui dunia yang sebelum ini tertutup oleh tirai tebal. Dia menyelak tabir dan berjalan masuk ke dunia yang sepatutnya dihampiri. Sebagai penulis buku kanak-kanak, tentu banyak inspirasi dan ilham boleh ditemui ketika berada dalam lingkungan insan-insan seni. Sebagaimana watak protagonis dalam novel Open City, tulisan Teju Cole, Amri menjelajah ke segenap ruang dan topik kehidupan manusia era moden atau pasca-moden. Juzuk perbualan yang bertaut tentang seni, cita rasa, intelektual dan cubaan untuk memusnahkan tanggapan umum selama ini. Bagus atau sampah, yang selama ini mendominasi tolok ukur mengenai kualiti dan kasta sesebuah karya seni. Apa jurang kualiti yang membezakan tulisan Dag Solstad (Norway) dan Juan Emar (Chile) serta SN Anwar Ridhwan (Malaysia)? Filem jenis apa sepatutnya disanjung oleh audien dan contoh buku yang wajar dijual di kedai buku dalam Terminal di Lapangan Terbang?
Kesempatan bermalam dalam Kinokuniya di KLCC, Amri tanpa segan silu meluahkan perasaan kepada X. Atas alasan hari kematiannya kian mendekat. Segala-galanya bagai diatur dengan sempurna. Jika bukan sekarang, bila lagi? Tidak mungkin X belum mengerti bahasa tubuhnya sejak bersama-sama? Tetapi lonjakan cinta yang melilit dalam perasaan Amri, tidak mendapat reaksi positif yang diharap-harapkan. Bagi X, Amri hanyalahlah lelaki tipikal. Mudah dipengaruhi raut kecantikan. Kata-kata itu bagaikan meruntuhkan KLCC. Menjelang keesokan pagi, X sudah pun memenuhi bakulnya dengan buku-buku, manakala Amri membawa bakul kosong, seumpama perasaannya. Entah apalah difikirkan oleh Amri ketika tidur bersendirian dalam Kinokuniya yang sepatutnya menjadi taman tema fantastik. Tetapi menjadi tempat seram yang menyeksakan. Malu, terkilan dan keliru berbaur dalam emosi Amri. Memang benar, hidup tidak seindah yang ditunjukkan dalam filem-filem romantik.
Tidak salah apa yang dikatakan X mengenai acara-cara seni. Kecil atau bertaraf mega, wacananya masih sama, seperti apa yang dibicarakan dari dulu-dulu lagi. Generasi muda mahukan ruang yang seluasnya dan para pengarang veteran meminta anugerah itu-ini. Tajuk-tajuk perbincangan dikitar semula: Ke manakah arah sastera kebangsaan? Wadah sastera harus merakam kenyataan hidup masyarakat. Karya pengarang tempatan wajar diterjemahkan. Tajuk-tajuk perbincangan sedemikian akan diulang-ulang. Bayangkan pada tahun 2025, masih juga orang-orang sastera (sama ada dalam dewan seminar atau di warung kopi) bercakap hal-hal sebegitu lagi. Tidak berengsot ke mana-mana. Memang membosankan, tetapi, apa boleh buat, jika tiada acara sastera, maka, para pengarangnya akan terbenam dalam dunia masing-masing, terperuk dalam bilik menulis sedaya-upaya sebuah mahakarya dengan harapan memenangi hadiah utama sayembara. Buku-buku karangan penulis tempatan, wajar disokong dengan membeli sekurangnya satu naskhah. Walaupun sekadar dipamerkan dalam Instagram, disusun dalam kotak atau rak buku dan tidak dibaca. Penerbit dan pengarang tempatan amat menagih bantuan moral daripada para pembeli, jika tidak, apalah maknanya baca Puisi di Rumah PENA, PBAKL dan KLAB didilaksanakan setiap tahun?
Amri? Apa yang terjadi kepadanya? Apakah yang dicarinya sudah dijumpai? Dua bab terakhir dalam Ruang Liminal, Amri ditiadakan. Adakah X akan menghancurkan perasaan Ijan juga nantinya? Amri kembali kepada hidupnya semula. Kosong, bersawang dan tidak juga kaya atau terkenal seperti SM Zakir, misalnya dalam bidang penulisan. Mungkin pengarang menamatkan hayatnya? Mungkin Amri telah sedar usahanya untuk menakluk cinta X hanyalah bertepuk sebelah tangan. Atau bersiap-sedia dengan penghujung hidupnya setelah mengecapi kebahagiaan yang rupa-rupanya sekadar fatamorgana belaka. Sungguh menyesalnya rasa membina istana pasir di pinggir laut. X bukanlah gadis biasa yang mudah dipengaruhi oleh bakat sastera seseorang pengarang. Amri terpukul oleh gelombang buatannya sendiri. Terlantar hanyut kelukaan dalam bilik di flat bertingkat lima belas, berbaring merenung siling, merintih sendirian, dan kemudiannya menangis bagai anak kecil dengan harapan didengari oleh semua penduduk di muka bumi.
