ARTIKEL ini berasal dari catatanku awal tahun 2014. (sebelum serangan strok) Aku buat semakan, baiki mana perlu dan hantar untuk terbitan atas rasa ia tetap relevan dengan kehidupan kita hari ini.
Hari ini aku bertukang. Sikit saja; tapi sepanjang petang itu pula aku merungut-rungut. Ada saja benda atau perkara yang tidak memuaskan hati. Aku ‘membaiki’ sebuah easel. Easel itu asalnya kepunyaan Mastura – easel keduanya, tapi diberinya kepadaku apabila diberitahu yang aku perlukan sebuah easel lukisan.
Easel itu dibeli dari iklan di Facebook beberapa bulan dulu. Harganya RM200. Atas dasar sokongan kepada usaha sendiri anak-anak muda, maka kami setujulah membelinya.
Aku sudah mula tidak puas hati sejak kali pertama melihatnya ketika ia tiba di studio. Buatannya mudah dan strukturnya sangat tidak kuat: bergoyang dari bawah sampai ke atas. Ia tidak kukuh untuk memegang catan Mastura. Betapa foto mudah ‘menipu’ penglihatan.
Aku ‘matikan’ struktur easel: tidak payah bergerak lagi kecuali bahagian pemegang papan lukisan yang boleh dinaik-turun. Membaikinya tidaklah susah: potong kayu ikut ukuran dan pakukannya ke atas struktur asal – walaupun sebenarnya masih senget lagi!
Aku simpulkan:
1. Kayu beluti 1 x 2” berketam yang digunakan tidak lurus. Kedai hardware menjual kayu lurus yang tidak lurus!
2. Teknik bertukang yang sangat mudah atau jalan singkat: sambungan tidak bertanggam. Orang yang membuat tidak mempunyai kesedaran ilmu pertukangan.
Pelajaran atau perkara berbangkit:
1. Kebanyakan kedai hardware menjual barang, perkakas dan alatan yang berkualiti rendah. Pengguna tidak banyak pilihan.
2. Teknik pertukangan yang betul diabaikan – ambil jalan mudah atau potong dan paku sahaja!
3. Kepandaian bertukang tidak bergantung kepada ‘power-tools’. Kecekapan tangan dan fikiran penting untuk kemasan kerja.
4. Terfikir tentang rekaan atau ‘design’ para ‘product-designer’ dan ‘industrial-design’ kita – di manakah ia? Kenapa rata-rata perkakas atau alatan yang dijual sangat rendah kualitinya – tidak tahan lama? Dan yang berkualiti pula sangatlah mahal harganya.(diimpot dari Eroipah atau Amerika).
5. Teringat kepada buku teks ‘Industrial Arts’ semasa di Tingkatan 1 tahun 1974. Aku sangat gembira melihat ilustrasi alatan bertukang yang terdapat di dalamnya.
6. Terkenangkan disiplin bertukang yang diasuh Almarhum bapaku. Tidak mudah: tangan kita sendirilah yang membuat apa pun dari daya fikir.
7. Tidak rugi membeli beberapa perkakas atau alatan asas yang baik untuk hasil yang baik lagi kemas buatannya..
Seorang tukang adalah seorang pejuang bangsa. Dia memberi keselesaan kepada kehidupan berbudaya.
– TENGKU SABRI IBRAHIM merupakan seorang pelukis dan penulis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis. Ia tidak mencerminkan pandangan dan pendirian sidang redaksi Senimalaya.
