Daripada lebih 70 filem Malaysia yang ditayang di pawagam tahun lepas, 25 ada ‘tagline’ di poster. Namun ini peningkatan daripada tahun 2024, di mana jumlah ‘tagline’ tak sampai 20.
Dalam dunia ideal, ‘tagline’ berfungsi sebagai salah satu elemen dalam jentera promosi untuk menggalakkan orang untuk beli tiket. Tapi perlu diakui, ketiadaan ‘tagline’ bukanlah faktor yang terbukti merencatkan kutipan box-office.
Daripada 10 filem tempatan yang paling laris tahun lepas, 5 tiada ‘tagline’ langsung: Ejen Ali The Movie 2, Papa Zola The Movie, Magik Rompak, Keluang Man dan Soloz Game of Life. Ini merupakan peluang yang tercicir. Mungkin Ejen Ali dan Papa Zola lebih menumpukan kepada kanak-kanak yang tak ambil ‘port’ pasal elemen poster selain tajuk jenama terkenal dan imej warna-warni yang menjanjikan keseronokan. Malah, filem animasi yang paling berjaya di dunia tahun lepas iaitu Ne Zha 2 (China) danZootopia 2 (USA) pun tiada ‘tagline’.
Tapi untuk filem seperti Magik Rompak, Keluang Man dan Soloz Game of Life yang juga menyasarkan penonton dewasa, ‘tagline’ yang kukuh dapat membantu perkenalkannya kepada umum. (Tapi menurut komen nakal netizen, ‘tagline’ Magik Rompak seharusnya seperti “Sekarang Kau Nampak Aku.”) Saya sendiri perlukan motivasi tambahan untuk tonton Soloz sebab saya bukan ‘gamer’ dan tak kenal tokoh yang dijadikan protagonis filem itu.
Sebelum kita mula kaji kesemua 25 ‘tagline’ tahun lepas, izinkan saya memetik ‘tagline’ terburuk dalam sejarah sinema Malaysia. Ia digunakan untuk filem Gemencheh Boys (2023) dan berbunyi “Can 6 FELDA ‘rascals’ win gold at cricket?” Kegagalan utama ‘tagline’ ini adalah ia dalam Bahasa Inggeris (yang bernuansa old skool) sedangkan filemnya bukan sahaja dalam Bahasa Melayu tapi loghat Negeri Sembilan. Bayangkan berapa ramai orang yang tak jadi tengok filem ini sebab tajuk dan tagline seolah-olah sasarkan geng yang suka lepak di Selangor Club dan bercuti setiap Krismas di London. Tagline filem kanak-kanak ini sepatutnya seperti “Apo lak kito kono main kriket?” Yang lebih pelik, syarikat terbitan dan edaran filem ini bukanlah kompeni cikai tapi Astro Shaw.
KIta mulakan jelajah ‘tagline’ 2025 dengan melihat 5 yang dalam genre seram. Semua boleh dikatakan berjaya sebab menimbulkan rasa angker, gerun, kelam, tabu, dan seangkatan dengannya. Azimat (arahan Kayzee Cortez Karim) menggunakan“Nasib menyebelahi kegelapan”, Citra Apartment (Amor Rizan) pertaruhkan “Sumpah darah keturunan”, Malam Terlarang (Nurhanisham Muhammad) memberi“Bila bertuhankan nafsu”, Laknat (Saw Teong Hin) persembahkan “Taat dalam derhaka” dan Tembuni Berdarah (Ahmad Idham) pula “Setiap kelahiran…menuntut korban.”


Semuanya tagline yang cekap dalam membina mood, walaupun tiada elemen yang terlalu unik. Semua masih berpusar kepada elemen “Jaga-jaga! Jangan kena tipu Iblis uols!” yang kita biasa lihat pada poster seram.
Mungkin markah tambahan boleh diberi kepada Laknat sebab ditulis dengan tanda baca atas dan bawah seolah petikan Quran walaupun dalam aksara rumi. Tapi kalau tak nak beri markah tambahan pun, tak apa.
Satu-satunya pengarah dengan dua filem dalam senarai ini adalah Sun-J Perumal. Walaupun filem pertamanya Jagat (2015) tiada tagline, dua filem seterusnya ada. Macai tampil lebih memikat dengan “Simple job. Dirty exit.” Ia mengingatkan kita tentang tagline filem Songlap (2011) dulu: “Kerja kotor. Sapu bersih.” Ia menandakan genre jenayah yang ‘ada stail’.

Filemnya yang lagi satu, Blues, menggunakan “Aku. Sinema. Dia.” Ini lebih kelihatan ‘emo’ dan dengan imej tengah poster seolah-olah merujuk kepada pengakhiran filem klasik Perancis The 400 Blows, ia menawarkan pengalaman art berat kepada mereka yang berani cuba.
Tema cinta sekarang jarang diangkat di pawagam (ia lebih sebati dengan TV), tapi tema keluarga makin popular. Contoh tagline yang menjanjikan sentuhan emosi adalah 3 Hajat (Zul Huzaimy) dengan “Satu Peluang Terakhir”, Badak (M. Raihan Halim) dengan “Bila kasih tak kedengaran … hati bersuara” danYou Are My Son (Jimz Lee). “There is no road warmer than the road home.”

Setiap satu seolah mengajak kita bersyukur dan menghargai ibu atau ayah kita sementara mereka masih hidup. Bukan satu sentimen yang tak popular, tapi rasanya tiada yang bangkitkan rasa penasaran setanding tagline filem Babah (2024): “Kenapa Babah tak macam Babah lain?”
Filem tema keluarga Mom’s Big News (Ernest Chong) pula menekankan unsur komedi, di mana sinopsisnya muncul dengan jelas dalam tagline: “On the first day of Chinese New Year, my mom is pregnant again.” Setelah melihat poster dan tagline ini, hanya penonton yang paling bengap akan tertanya: “Filem ni pasal apa ek?”
Sebuah lagi filem keluarga, Ninavau (Bebbra Mailin) menggunakan“Rahsia Kita, Cerita Semua.” ‘Tagline’ ini sedikit aneh sebab ia tidak memancing emosi tapi seolah mengajak kita untuk teka apa yang dirahsiakan. Dengan gandingan visual dua sumandak di situ, kami mungkin akan teka mereka dua ini bermadu atau dalam hubungan terlarang. ‘Tagline’ seperti ditulis kabur untuk tingkatkan unsur misteri, tapi ia bukan filem misteri.

Filem keluarga bernuansa komedi gelap, Angkat (Feisal Azizuddin) menggunakan “Hidup ini berakhir dengan perpisahan.” Malangnya elemen komedi (baik gelap mahupun terang) tiada langsung dalam tagline. Sepatutnya ia lebih segar dan provokatif, seperti dialog Madu 3: “Hidup pun susah, mati pun susah.”
Tagline komedi yang lebih berjaya adalah 6 JIlake (Aziz M. Osman) iaitu “Mereka dah lama rancang. Kita yang lalai.” Penggunaan frasa kontemporari yang popular berjaya mencuit kita untuk tahu apa kaitannya dengan latar filem ini.
Frasa paling tradisional antara semua ‘tagline’ 2025 adalah pepatah “Membujur lalu, melintang patah” untuk Gayong (Faisal Ishak) Sangat kena dengan tema seni bela diri tradisional. Kalau ia gunakan tagline 6 Jilake, ia akan terus dianggap sebagai komedi.

Sebuah lagi filem tentang seni tradisional, Denu (Ahmad Tamimi Siregar) menggunakan “Antara seni, janji dan cinta.” Tak buruk, tapi terlalu generik untuk gambarkan tema dan latar cerita berkenaan. Sebab banyak juga filem yang boleh gunakan ‘tagline’ sama, contohnya Dirty Dancing. Tajuk Denu unik sebab berani gunakan istilah Kelantan, seharusnya ‘tagline’ pun unik.
Satu-satunya filem ‘kaiju’ dalam senarai, Abu Si Raksasa (Ramdan Che Hassan) memberi “Dia juga mahu hidup.” Tagline yang sangat jelas bahawa kita sepatutnya bersimpati dan bukannya takut dengan monster itu. Walaupun tajuk sendiri kurang jelas (atau mungkin pada saya seorang) sebab ada kemungkinan raksaka itu telah dibakar menjadi abu, dan bukannya bernama Abu.

Dua filem jenayah yang maskulin gunakan tagline tangkas yang menjanjikan pengkhianatan dan plot twists. Behind the Shadows (Jonathan Li & Choy Man-yu ) memberi “Like a shadow following you wherever you go” dan filem paling laku 2025Blood Brothers (Syafiq Yusof & Abhilash Chandra) tawarkan “Dulu ditindas. Sekarang di atas.” Baca dua tagline ini pun, kita boleh rasa adrenalin kita merembes.

Filem jenayah yang gunakan gaya James Bond tapi dengan bajet rendah, Killmaster (Julian Cheah) menggunakan “Stealth, seduction, and a mission impossible to resist.” Hiperbola yang sangat kena dengan gaya filemnya yang agak unik dalam landskap Malaysia.
Sebuah lagi komedi jenayahKlepet (Indra Putra) menggunakan “Sana situ sini maknanya?” Berjaya gambarkan elemen serabut dan mungkin plot gila-gila akibat salah faham.
Tagline yang paling versatil adalah 8 Bucks Tycoon (Katak Chua), sebab “What the Huat?” dalam Bahasa Inggeris dan kemudian “Siapa akan jadi kaya?” dalam bahasa Cina.


Kini tiba masa untuk tiga tagline terbaik 2025
Tempat ketiga adalah Simple Manusan (Haran & Shobaan) iaitu “DOB 18.02.94, Caste: NA, Salary: 3500, Edu: Diploma, Skin: Dark.” Format seolah pengenalan diri dalam ‘App’ cari jodoh ini memikat sebab ada elemen ‘kasta’ dan ‘kulit gelap’ yang memberi hint kepada gaya bersahaja komedi romantik ini. Ia bukan cerita kosong tapi ada elemen yang berakar dalam sosiologi masyarakat yang dipapar.
Tempat kedua adalahSyurga Dalam Botol (Ebi Kornelis).Tagline“Impian itu… seluas buih di lautan” menjadi elemen penting yang kukuhkan poster. Walaupun ia bukan plot spoiler, ia mengangkat imej yang kita lihat kepada suatu sisi manusiawi yang lebih mendalam dan penuh harapan rapuh.
Tempat pertama adalah komedi jenayah Money Games (Matt Lai). Filem tentang scammer ini gunakan tagline yang bukannya hendak‘mengajar’ tapi memberi imej yang amat khusus tentang kelicikan: “Aku kasi kau setengah kati, tapi aku ambik balik 100 tahil.” (Kalau nak terjemah ke skala metrik, “Aku kasi kau 0.3kg tapi aku ambik balik 3.8kg”). Kita dapat rasa keseronokan orang yang sedang menipu itu, dan kita juga dapat jangkakan yang filem ini akan membuat kita rasa seronok: Bagaimana si penipu ini dapat ditumpaskan? Itulah kejayaan tagline ini.

AMIR MUHAMMAD merupakan seorang penerbit buku, pengarah dan penerbit filem.
– Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Senimalaya.
