TIDAK semua poster filem tempatan menggunakan tagline. Ini satu masalah yang perlu dilihat dengan sebaik-baiknya.
Tagline menurut Kamus Dewan bermaksud slogan / cogan kata / motto, tapi semuanya mirip kata-kata semangat Hari Kebangsaan. Istilah Indonesia khabarnya ‘baris tera’ atau ‘wara jenama’, tapi kalau saya gunakan sekarang, ia mungkin akan menjadi seperti penggunaan perkataan ‘ketimbang.’ Jadi untuk artikel ini, izinkan saya gunakan tagline saja.
Tagline yang terbaik harus ringkas, padat dan mudah diingati. Sebagai salah satu elemen promosi (diletak dalam poster dan treler) ia mesti ada daya pemikat.
Dalam arena antarabangsa, antara tagline terkenal adalah Alien (Ridley Scott, 1979) (“In space no one can hear you scream”) dan Jaws 2 (Jeannot Szwarc,1978) (“Just when you thought it was safe to go back in the water…”). Saya amat tertarik kepada tagline The Commitments (Alan Parker, 1991) sebab saya jadikannya sebagai panduan hidup: “They had absolutely nothing. But they were willing to risk it all.”
Dalam era pasca-studio Malaysia, berikut adalah beberapa tagline tempatan yang saya rasa menarik. Besar kemungkinan setiap pengarah ada input tentang tagline mereka:
Untuk filem Amok (Adman Salleh,1995) taglinenya “Apabila dia bukan dia lagi…” Walaupun tajuk filem itu boleh dikatakan spoiler besar (“Apa agaknya akan terjadi kepada lelaki itu? Mungkinkan dia akan … mengamuk??”), tagline dia memberi satu sisi misteri dan juga kelembutan, di samping pembayangan yang sesuatu akan bertukar ganas.
Sepet (Yasmin Ahmad, 2005) menggunakan “One Chinese boy. One Malay girl. One unforgettable love story.” Ini pun seolah ringkasan cerita tapi ia berjaya mencuit kerana fokus kepada ‘orang kecil’ – seakan berlawanan dengan “Kisah Cinta Agung” iaitu tagline Puteri Gunung Ledang (Saw Teong Hin, 2004) yang keluar hanya beberapa bulan sebelumnya.
Pasangan Effendee Mazlan & Fariza Azlina Isahak baru hasilkan dua filem tapi kedua-duanya bertagline gempak. Kami (2008) menggunakan “Hidup ini memang palat, tapi esok masih ada”. Jukstaposisi kata kasar palat (yang ditapis di poster) dan tajuk melodrama klasikal Jins Shamsuddin Esok Masih Ada (yakni stereotaip ‘filem selamat’) memberi impak rebel yang sesuai dengan temanya.
Filem mereka yang kedua Songlap (2011) juga mempertaruhkan perkataan tabu, tapi ia tak ditapis sebab ia bukan kata kesat pun: “Kerja kotor, sapu bersih.” Perlu diingatkan, himpunan kedua Bersih baru berlangsung pada Julai 2011 di ibu kota iaitu lima bulan sebelum filem ini ditayang. Konotasi “Bersih” dengan elemen anti-penguasa sudah tersemat dalam ingatan penonton pada masa itu. Ini tagline cemerlang!
Filem-Filem 2024
Sepanjang 2024, lebih 60 filem cereka tempatan ditayang di pawagam, dalam pelbagai bahasa: Melayu, Cina, Tamil, Dusun dan Kelabit. Yang agak menyedihkan pada diri saya (terjemahan: orang lain tak peduli pun) adalah tak sampai 20 filem yang ada tagline.
Tagline untuk Raintown (Tunku Mona Riza) hanya muncul di poster awal, dan ditiadakan dalam poster akhir yang lebih ceria.


“A Moment of Deep Grief is More than a Lifetime of Shallow Pleasures” berbunyi terlalu ‘mengajar’ dan tidak kena dengan tona filemnya yang tidaklah terlalu murung sebenarnya. Jadi keputusan untuk gunakan poster lebih ceria lebih tepat; tapi sepatutnya sertakanlah tagline baru juga.
Filem pertama arahan Awie, berjudul Rebel menggunakan “Berontak untuk Berotak”. Ia juga terlalu ‘ingin mengajar’ dan tak sekuat tagline untuk filem pertamanya sebagai pelakon: Sembilu (Yusof Haslam, 1994), tagline yang menjadikan tajuknya sebagai pelengkap: Antara cinta, nafsu dan dendam menghiris bagai ….

Tampil sederhana, tiada unsur sensasi, sekurang-kurangnya tagline filem Tamil Vijay LLB (M. Mathialagan) iaitu “A Path to Justice” memberi gambaran jelas tentang genre yang dibawa iaitu drama kamar mahkamah.

Dua filem biaya besar yang gunakan pendekatan sensasi adalah The Experts (Andrew Chiew & Nazim Shah) dan Gold (Adrian Teh).
“Satu Rompakan Keluarga Terbesar!” merupakan tagline dan juga logline yang cekap dan lebih berkesan daripada tajuk filemnya sendiri yang kekok. Cuba bandingan dengan tajuk filem heist Indonesia Mencuri Raden Saleh (2022) dan dapatlah dilihat negara mana yang miskin jati diri.
Gold menggunakan tagline yang cuba buat kami bangun dari kerusi dan bersorak: “Dia buktikan, selagi kita percaya kemenangan milik kita, Kita Pasti Boleh!” Malangnya rakyat Malaysia tidaklah ada mood untuk bersorak untuk negara ini; sepanjang 2024 kami boleh dianggap agak pesimis dan kelam terutamanya bila memikirkan politik negara dan dunia. Jadi cubaan Gold tewas di gelanggang.


Mood pesimisme dan kelam berjaya sebagai teras filem Sheriff: Narko Integriti (Syafiq Yusof, 2024), filem tempatan dengan kutipan tertinggi tahun ni. Malangnya posternya tiada tagline, biarpun dialog “Ini Malaysia, Naz. Perdana Menteri pun boleh masuk penjara” digunakan dengan sangat bergaya di treler. Moga sekuel filem ini (2026) ada tagline.
Antara semua filem seram Melayu 2024, hanya dua ada tagline. Waruga: Kutukan Ilmu Hitam (Mohd Azaromi bin Mohd Ghozali) menawarkan “Tunggu langit malam bertukar warna” yang terlalu low-key buat diri saya, tak cukup angker.
Dan untuk Anak Perjanjian Syaitan 2 (Ahmad Idham), saya anggap “Masanya sudah tiba” sebagai tagline biarpun muncul hanya sebagai tanda pagar di bawah. Kalau benar, ia terlalu generik dalam memberi dampak seram.


Tagline filem seramdi (seram komedi) Don Dukun (Wan Hafiz) lebih berjaya daripada dua tagline seramtu (seram tulen) tadi, kerana “Kecut Perut Pecah Perut” memberi gambaran jelas tentang genre filem tersebut.

Cerita thriller Lubuk (Mark Lee See Teck) berjaya cipta gambaran lebih seram dalam taglinenya “Tidur, Jangan Tak Tidur” berbanding filem seramtu. Bila kita baca tagline itu kita seakan mendengar bisikan suara seseorang yang bukan Yusuf Taiyoob. Saya percaya ini disengajakan sebagai penarik biarpun ia bulan filem hantu. Pengarah sama juga menghasilkan dokumentari The Story of TARCians tahun ini tapi malangnya tanpa tagline.

Sebagai salah satu penonton yang telah mengeluarkan wang untuk menonton di panggung wayang, saya sahkan tagline untuk Oppa (Denil Choong Lin Loong) merupakan tepat, sahih dan benar iaitu “1st Scam Movie in Malaysia.” Sebab saya turut rasa seperti mangsa scam setelah kredit akhir (yang diselangi video making-of) filem ini berakhir. Filem paling jelik untuk 2024.

Tagline adaptasi novel Memoir Seorang Guru (Kyoll Hamzah) adalah “Ini kisah nyata. Ini kisah kita”. Tidak teruk, tapi juga tiada apa yang membezakannya dengan mana-mana cerita yang berlatar masyarakat. Saya akan lagi suka kalau taglinenya ada kaitan yang lebih jelas dengan kerjaya guru itu sendiri.

Filem aksi biaya sederhana Janna Endoro (Sham Jr.) unik kerana ada protagonis (dan juga antagonis utama) perempuan, dan bertempat sepenuhnya di Kelantan dengan bahasa Kelate, tapi mensia-siakan dua keunikan ini dengan tagline sekadar “Hidup tiada jaminan, melainkan satu peluang” yang lebih mirip filem inspirasi. (Mungkin lebih sesuai untuk Gold?) Sepatutnya cuba sesuatu seperti “Sek tino jange pecoh!” mungkin.

Filem paling ‘muhibbah’ Curry Mee (Kash Villanz) (dialog dalam Bahasa Tamil, Cina dan Melayu) lebih tahu keunikannya, dan memanfaatkannya dalam tagline “A Pure Taste of Malaysian Movie.” Tagline yang comel (walaupun filemnya agak ganas!) sebab gabungkan bukan saja elemen muhibbah tapi juga makanan dalam tajuk.

Filem seram bahasa Cina Cheongsam Merah Darah (Meng Lee Wee) menggunakan banyak babak imbas kembali, jadi taglinenya yang bermaksud “Eternal Resentment, Endless Slaughter” amat sesuai. Jadi inilah tagline seram Malaysia terbaik untuk 2024.

Filem Cina Malaysia yang saya paling suka tahun ini, All In (Matt Lai) merupakan komedi mengenai perjudian. Tagline bermaksud “Truth and falsehood are hard to distinguish, The affairs of the world are difficult to discern” dan berjaya beri elemen cerita tentang penipuan dan kelicikan. Mungkin agak berjela bila diterjemah, tapi dalam bahasa asal pastinya padu dan ada unsur lawak.

Kini tiba masa untuk dua tagline terbaik tahun ini.
Salah satunya untuk filem Tamil C4 Cinta (Karthik Shaamalan) yang bermaksud “Sebuah Kisah Kaathal (Cinta) Hingga Kalyaanam (Perkahwinan).” Tagline yang memberi gambaran jelas tentang genre dan budaya serta ada daya pemikat yang kuat sebab merujuk kepada siri Astro popular (genre saifai cinta) oleh pengarah sama, cuma yang itu versi terbalik (Kalyaanam 2 Kaathal / Perkahwinan 2 Cinta”).

Dan satu lagi yang terbaik adalah untuk filem Babah (Mohd Shah Faizul). Mungkin tanpa tagline, posternya akan nampak mirip filem seram, terutama sekali untuk orang yang trauma dengan Pennywise. Tapi dengan penambahan “Kenapa Babah tak sama macam Babah lain?” kami boleh rasa sentimen keluarga dan kasih sayang yang ingin ditonjolkan. Belum tengok filem pun dah boleh menitik air mata jantan beb— inilah kuasa tagline berkesan.

– AMIR MUHAMMAD merupakan seorang penerbit buku dan filem.
— Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Senimalaya.

