Apabila seseorang menaiki LRT dari stesen KL Sentral ke stesen Pasar Seni, dia akan dapat melihat bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang memancar putih. Bangunan itu baru saja dicat semula dan dalam proses baik pulih.
Bangunan ikonik yang sezaman dengan stesen keretapi ini, iaitu Sultan Abdul Samad telah pun dibaik pulih dan dibuka pada orang ramai. Ia berfungsi sebagai galeri mercu tanda yang merakam sejarah Kuala Lumpur.

Satu lagi bangunan yang juga ikonik ialah Ibu Pejabat KTM Berhad yang pastinya lambat laun akan dibaik pulih dan dijadikan bangunan warisan yang dibuka untuk orang ramai seperti Bangunan Sultan Abdul Samad.
Stesen Keretapi Kuala Lumpur dibuka pada tahun 1910. Ia beroperasi sebagai stesen keretapi bagi Kuala Lumpur sehinggalah tahun 2001 apabila stesen KL Sentral dibuka secara rasmi.
KL Sentral pada masa itu bukan saja menjadi stesen bagi keretapi KTM tetapi LRT yang pada masa itu hanya menghubungi Gombak dam Kelana Jaya. Laluan ERL ke KLIA 1 dibuka pada tahun 2002. Sementara Monorel hanya beroperasi pada tahun 2003. MRT belum dirancang ketika itu.
Pada mula operasi, sebagai pemberita, saya diundang oleh pihak pengurusan untuk melawat KL Sentral dan mendengar taklimat mengenai hub pengangkutan terbaru Kuala Lumpur. Pada masa itu Nu Sentral belum dibina dan KL Sentral dirasakan begitu kecil.
Walaupun tanggapan saya tentang KL Sentral sebagai hub pengangkutan awam adalah positif memandangkan Malaysia merdeka telah melangkah jauh dalam pembangunan keretapi berbanding ketika pentadbiran kolonial. Begitu jauh masa berjalan dari tahun 1910 ketika Kuala Lumpur adalah ibu kota Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) terdiri daripada Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak kepada tahun 2001.

Begitu juga senibina bangunan negara juga telah berkembang dari seni bina kolonial kepada senibina modenis dan pasca modenis.
Bangunan KL Sentral disifatkan sebagai seni bina pasca moden, kontemporari dengan elemen desain futuristik, fungsional dan bioiklim. Ia direkabentuk oleh arkitek Jepun, Kisho Kurokawa. Stesen ini berkonsepkan hub “kota dalam kota” merangkumi elemen teknologi tinggi dan lestari beserta motif Islamik yang halus.
Kurokawa yang meninggal dunia pada tahun 2007 juga mereka bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangunan Nakagin Capsule Tower, Tokyo, Pusat Seni Nasional Tokyo dan Muzium Seni Bandar Raya Nagoya.

Falsafah Kurokawa berasaskan pada simbiosis dan metabolisme dengan menyasarkan imbangan antara teknologi dan kemanusiaan.
Beliau adalah salah seorang pengasas Pergerakan Metabolisme, ditubuhkan pada tahun 1960. Metabolisme satu fahaman seni bina yang menggabungkan elemen-elemen organik dan warisan Asia. Sebab mengharvai beliaulah terdapat papan-papan tana bahasa Jepun di KLIIA dan KL Sentral.

Sementara stesen Keretapi Kuala Lumpur direkabentuk dan dibina oleh arkitek British pula Arthur Benison Hubback dengan gaya Indo-Saracenic Revival yang juga disebut sebagai Neo-Moorish/Mughal yang bercirikan seni bina yang mempunyai chhatris, iaitu astaka-astaka berkubah, gerbang-gerbang dan fasad putih penuh. Pembinaan bangunan stesen keretapi iti adalah sebahagian daripada projek menaikkan taraf kemudahan perkhidmatan keretapi yang melibatkan juga bangunan ibupejabat FMS Railway (Kemudian menjadi Malayan Railway, Keretapi Tanah Melayu dan kini KTM Berhad).
Hubback yang meninggal dunia pada tahun 1948 merupakan Ketua Arkitek Kerajaan bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1901. Beliau mereka bentuk 25 bangunan di Malaya. Selain Stesen Keretapi Kuala Lumpur, beliau membina
Masjid Jamek Jamek Kuala Lumpur (1909) kini dikenali sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi Ipoh (2017), Pejabat-pejabat Keretapi Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1905), kini menjadi Muzium Tekstil Negara, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, kini Panggung Bandaraya, White House Klang (1909), kini adalah Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Pada tahun lalu saya meninjau bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Masa itu saya menaiki komuter menuju Batu Caves dan turun di stesen bersejarah itu. Hanya perkhidmatan KTM seperti komuter dan ETS yang menggunakan stesen itu.
Ketika berjalan di platformnya tentulah timbul perasaan nostalgia bagi seseorang yang menggunakannya sewaktu kecil. Pertama kali stesen itu muncul dalam ingatan saya ialah ketika saya berusia enam tahun apabila keluarga pindah dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur. Kami menaiki keretapi dari stesen Kluang.
Sejak itu, saya sering menggunakan stesen keretapi hampir setiap tahun, antaranya pergi ke Singapura bermula pada tahun 1986. Apabila sudah berkeluarga saya menggunakan stesen itu untuk ke Bukit Mertajam. Paling akhir saya menggunakan stesen keretapi itu untuk perjalanan jauh ialah pada tahun 1992.
Dari patform, saya berjalan melalui laluan bawah tanah untuk ke pintu depan bangunan tersebut. Kelihatan dinding-dindingnya sudah buruk dan tidak terjaga. Apabila sampai di ruang demam, suasana adalah sunyi. Ada sebuah klinik untuk kakitangan KTMB dan kaunter jualan tiket.
Pada zaman kegemilangannya, stesen keretapi ini meriah dengan kopitiam berada di hujung dan kedai akhbar dan majalah yang menjadi tumpuan penumpang untuk membelk bahan bacaan ringan sebelum menaiki keretapi untuk perjalanan jauh.
Saya keluar dari pintu besar. Di atas ada Hotel Station yang sudah tidak beroperasi adalah juga nostalgik. Kini di bawah ada tempat hentian bagi bas ekspres. Sebuah kafe di situ sudah tutup. Saya berjalan keluar dan pergi ke sebuah kedai mamak Restoran Heritage One Station yang ada banyak pelanggan.

Berhampiran kedai itu, kelihatan kontraktor pembaik pulih sedang sibuk bekerja. Sememangmya rancangan membaik pulih sedang rancak dikalsanakan dan kesannya baru dapat dilihat pada tahun ini dengan bangunan itu selesai dicat putih semula. Tetapi kerja-kerja pemulihan belum selesai.
Pada zaman kolonial, terdapat tiga bangunan ikonik stesen keretapi ikonik. Selain Kuala Lumpur, bangunan yang lain adalah di Tanjung Pagar, Singapura dan Ipoh. Singapura adalah ibu kota British Malaya. Ipoh pada mulanya dicadangkan untuk menjadi ibu kota FMS. Stesen keretapi di Ipoh juga sedang dibaik pulih. Di Singapura kini, bangunan stesen itu menjadi sebahagian daripada taman awam, Station Green.
Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada bangunan-bangunan yang bukan saja memberi identiti Kuala Lumpur tetapi juga Malaya. Ia dibina pada zaman sebelum Perang Dunia Pertama dan mencerminkan aspirasi Empayar British untuk mengukuhkan kedudukan geopolitiknya.
Seni bina yang diamalkan di Malaya itu adalah sebahagian daripada siri bangunan kolonial yang turut dibina di India terutamanya di Calcutta, kini disebut Kolkata yang pernah menjadi ibu kota British India yang mana pentadbirannya turut merangkumi Malaya.
Mercu tanda di Calcutta yang berupa reka bentuk Indo-Saracen atau Neo-Moghul ialah Victoria Memorial oleh William Emerson, Raj Bhavan (Government House) oleh Charles Wyatt dan Indian Museum oleh Walter Granville.
Tetapi gereja utama Calcutta, St. Paul Cathedral dibina dalam reka bentuk yang dipanggil Gothic Revival. Reka bentuk ini adalah mengembalikan seni bina Gothic yang biasa dibangunkan di Eropah pada Zaman Pertengahan atau Medieval. Maka Gothic Revival ini adalah usaha mengembalikan reka bentuk Gothic tetapi dicanggihkan dengan idea dan bahan baharu.

Tetapi gereja utama Kuala Lumpur iaitu St John Cathedral di Bukit Nanas mempunyai reka bentuk yang dipanggil Spanish-Grecian atau Sepanyol-Greek yang turut menjadi senibina sekolah St. John’s Institution di sebelahnya.
Pembinaan bangunan senibina kolonial British berakhir apabila Jepun menakluk dan menduduki Malaya. British kembali menguasai Malaya tetapi mula merancang untuk memberikan kemerdekaan apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Sejak itu, binaan kerajaan yang dibina adalah pada reka bentuk modenis. Contohnya Rumah Persekutuan yang dibina pada tahun 1954 dan dibuka pada tahun 1957.
Senibina modernis ini mempunyai era berbeza menurut Perdana Menteri yang mentadbir. Umpamanya Tunku Abdul Rahman yang senibinanya terdapat pada Masjid Negara dan Bangunan Parlimen. Pada era Tun Razak dan Hussein Onn, seni binanya tetap modenis.
Tetapi masa era Dr Mahathir Mohamad, seni bina telah berkembang pada pasca modenisme. Aliran ini yang mula timbul di Barat pada tahun 1960-an merupakan pemberontakan kepada modenisme. Di Malaysia ia ditandai dengan bangunan-bangunan 1980-an dan 1990-an seperti Dayabumi, tentunya KLCC, Masjid Wilayah Persekutuan, pelbagai bangunan di Putrajaya dan juga KLIA dan KL Sentral.

Bangunan-bangujan yang dibina pada era Dr Mahathir mempunyai keindahan tersendiri termasuk karya Kurokawa.
Secara peribadi, saya adalah peminat reka bentuk modenis, baik yang beraliran metabolis ataupun brutalis yang muncul di Soviet Union dan Eropah Timur. Begitu juga saya teruja dengan bangunan-bangunan pasca modenis yang mempunyai elemen minimalis.
Tetapi apabila dibandingkan antara Stesen Keretapi Kuala Lumpur dengan KL Sentral, maka dengan serta merta pasti saya menyatakan bahawa bangunan kolonial itu lebih cantik daripada bangunan pasca modenis.
Adakah gaya Indo-Saracen dan neo-Moorish itu mempunyai estetika lebih tinggi daripada pasca modernis bermotifkan Islam? KL Sentral bukanlah wakil utama desain pasca modenis-Islamik. Wakil utama gaya ini fi Malaysia adalah KLCC dan juga KLIA.
Adalah sukar untik meninggalkan gaya Islamik, sama ada neo-Moorish, neo-Moghul atau Islamic Revival bagi melahirkan bangunan yang indah. Pada era pasca modenis, Masjid Wilayah Persekutuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Masjid Putra, Putrajaya dan Istana Kehakiman tetap menggayakan seni bina era Islamik.
