“Ini lah teater!” kata Aloy Paradoks. Matanya menjegil kami dan sambil ditarik oleh seorang peminat, dia menjeling benci kepada kami. Kemudian dia datang lagi dan berkata “inilah TEATER!!” sambil menggenggam kedua belah jari tangan seperti mahu bertumbuk dan pergi lagi kerana ditarik peminat lain untuk diajak berfoto. Mungkin kerana tidak puas hati, dia datang lagi kepada kami dan dalam suara yang seolah menjerit dia berkata “INI LAH TEATER!!!”. Dan sebagai seorang yang terkenal berhemah, kami hanya senyum-senyum walaupun dipermalukan begitu di depan ramai orang.
Kami pergi menonton teater ‘Persiapan Seorang Aktor’. Bukan mahu sangat melihat pekerjaan yang jarang menjadi amalan ahli sorga itu tetapi kerana kebetulan.
Hari itu kami mahu ke Balai Seni Negara untuk melihat pameran Orang Timur. Katanya ini pameran terbaik yang pernah diadakan oleh institusi tersebut. Namun selepas separuh perjalanan, kami teringat janji untuk bertemu dengan Nizar dan Abang Din di Perkampungan Kraf Jalan Conlay. Lalu setelah ke sana dan selesai, sewaktu mahu pulang kami jadi teringat kepada Sinaganaga yang terkenal itu. Ada beberapa foto terbaru yang kami lihat di internet dan dia kelihatan agak kurus dari biasa. Kerana bimbang dia mungkin sakit lalu kami pun membuat keputusan untuk ke Rumah PENA.
Jika dilihat dari gaya dia memarahi kami hari itu, kami pun senang hati kerana terbukti masih sihat walafiat. Memang begitu pun jika kami ke Rumah PENA, jika tidak dimarahi oleh Naga, Abang Mat di atas bukit itu pula yang akan memarahi kami. Entah apalah kesalahan yang kami lakukan sehingga dimusuhi sebegitu rupa.

Berbalik kepada menonton ‘Persiapan Seorang Aktor’. Memang kami ada sedikit kecenderungan untuk menonton teater tersebut dan ada mengemail editor portal ini mengenai hal tersebut. Namun entah mengapa editor portal ini juga memarahi kami kerana tidak tahu bila dan di mana teater tersebut diadakan. Lalu semasa di Rumah PENA, Naga bertanya samada kami mahu menonton dan kami pun setuju.
Naga menghubungi editor tersebut dan bergeraklah kami berlima ke PJPAC. Dengan berlima kami maksudkan, editor portal ini, Naga, Im ‘Tuala Good Morning’ dan juga seorang wartawan muda yang jika kami ini ada sejuta anak perempuan dan dia adalah satu-satunya lelaki yang ada sekali pun tidak akan kami jadikan dia sebagai menantu. Wartawan tersebut adalah pempengaruh muzik indie yang langsung tidak ada manfaat untuk dunia atau akhirat. Kami tidak ingin menyebutnya namanya di sini tetapi nama dia ialah Ku Syafiq Ku Fozi. Dia mengaku orang Perak tapi mana ada orang Perak pakai KU. Lain lah kalau nama dia Raja Syafiq. Kami syak dia orang Kelantan tapi malu mengaku. Jenis indie tapi tak Kelantan. Walhal semua orang tahu yang orang Kelantan adalah bapa kepada semua indie di dunia.
Mengenai ‘Persiapan Seorang Aktor’, kami membaca naskah tersebut sebagai kisah kasih seorang isteri. Sebelum kami pergi lebih jauh, cuba kamu perhatikan bagaimana kami menggunakan perkataan ‘naskah’ itu. Perkataan ini biasanya digunakan oleh orang teater bagi menggambarkan apa yang mereka buat yakni persembahan teater adalah sesuatu yang lebih tinggi darjatnya jika dibandingkan dengan seni persembahan yang lain. Walhal kita semua tahu tidak ada beza besar mana pun antara teater dengan lawak Wak Sir dan Pok Ya satu masa dulu. Dua-dua menagih perhatian penonton dan dua-duanya dibayar murah.
Dan kami menggunakan perkataan ‘naskah’ juga untuk memberitahu Aloy yang kami ini ada juga sedikit cerdiknya. Semasa kami bertanya kepada dia adakah kami dibenarkan untuk merokok semasa persembahan tersebut, dia dengan jengkelnya menjawab “ini show orang pandai! Mana boleh merokok!!”. Atau lebih kurang begitu katanya. Kami tidak membaca penuh pesanan yang dia hantar kepada editor portal ini yang menjadi pengantara pertanyaan kami itu.
Sesuatu yang sangat baik pada mata kami adalah lakonan Aloy dan Fazleena Hishamuddin sebagai suami isteri. Walaupun mereka banyak melakukan maksiat di atas pentas, namun jika kamu mahu mengambil semua yang mereka lakukan sebagai lakonan, ia adalah satu persembahan yang mesti diraikan. Mereka mungkin sudah dinobatkan sebagai calon pelakon terbaik atau yang sewaktu dengannya pada BOH Cameronian Arts Awards pada tahun sudah namun tidak ada salahnya jika mereka sekali lagi disenaraikan.

Begitu hebat lakonan mereka sehingga kami yang menonton adegan mereka berkelahi jadi amat bimbang jika Sadiq Saufi tiba-tiba akan menempeleng si Nina, sang isteri yang rela segala itu. Seperti yang kami katakan tadi, kami membaca teater ini pada sudut kebaktian seorang isteri pada apa saja kegilaan suaminya. Nina adalah contoh isteri yang taat, setia dan mahu melayan segala apa yang gila pada suaminya itu.
Dua orang ini yakni Aloy dan Fazleena adalah gabungan pelakon yang sangat menarik jika kami mahu membuang apa saja keburukan dan khabar hina yang kami simpan perihal Aloy itu. Kami tidak ada apa-apa yang tidak baik mahu diperkatakan tentang Fazleena.
Mengenai larangan menghisap rokok di dalam panggung teater, nyaris kami bangun dan memaki Nam Ron sebaik dia masuk ke pentas. Kamu bayangkan, setelah hampir satu jam menunggu wataknya, dia dengan rasa tidak berdosanya muncul dengan pipa di bibir. Dengan gaya seorang perengus dia masuk dan menghembus asap tembakau ke dalam dewan. Kami yang sudah lebih satu jam tidak merokok merasa seperti diejek. Tekak kami menjadi kering dan telinga pun berdesing. Jika tidak kerana didikan agama semasa di sekolah rendah dulu dan juga bimbang dimalukan seperti apa yang berlaku kepada mamat toncet bergerak solo itu, sudah pasti kami hamburkan kata-kata nista kepada pelakon asal Perlis tersebut.
Dan sebenarnya, kami jadi teruja untuk menonton teater ini ialah kerana kehadiran Nam Ron. Kamu harus faham bahawa kami sudah tahu dan terbiasa dengan kekuatan Aloy dan Fazleena lalu tidak terdapat sebarang kemusykilan jika tidak datang untuk mereka berdua. Ini tidak berlaku kepada Nam Ron. Kami pernah menonton sebuah filem di mana dia membawa watak seorang penyiasat dan kami lupa judul filem berkenaan. Dan kerana tidak menghabiskan filem berkenaan, kami tidak tahu kekuatan lakonannya. Tentu saja lebih afdal untuk kami melihat sendiri secara terus tanpa sekatan layar bagi lebih menghargai apa-apa watak yang dia bawa.
Dalam persembahan malam pertama, Nam Ron muncul sedikit gugup pada minit-minit awal. Suaranya juga agak tenggelam pada minit-minit berkenaan. Namun sejurus memaki Sadiq Saufi, dia membuktikan mengapa dia harus dihormati sebagai seorang pelakon. Terkejut juga bila mendengar orang Perlis memaki-maki. Maklumlah mereka wahabi.
Kami tidak puas menikmati lakonan Nam Ron. Wataknya hanya muncul tidak berapa lama dan pergi. Kami berjanji kepada diri sendiri untuk pergi lagi jika dia terlibat dalam mana-mana persembahan pentas. Dan kami juga waktu itu, berjanji untuk mengucapkan tahniah kepada lakonannya setelah habis persembahan.

Kami tunggu dan bertemu dengan dia namun kami kecewa. Baru kami mahu membuka mulut mahu mengucapkan kata-kata bina, dia pun tergesa-gesa pergi dan memeluk erat pempengaruh seluar dan baju tebal tapi pakai dalam iklim khatulistiwa itu. Katanya mereka berasal dari negeri yang sama. Jenis assabiyah tidak habis-habis.
Pempengaruh seluar dan baju tebal tapi pakai dalam iklim khatulistiwa itu kami lihat dari sebelum pementasan bermula. Berjalan sendirian dan terasing. Tampaknya dia seperti sehelai jeans yang kehilangan kepala kain. Dan dari situ kami pelajari satu perkara yakni, mereka yang nampak gagah dalam kumpulan biasanya adalah Arnab dalam sarang serigala. Terkebil-kebil minta kasihan sebelum dibaham. Mujur ada pelakon berwajah petani (kata Aloy) Han Zalini yang menyambut kesepian budak seluar jeans 40 oz itu. Setelah dipeluk Nam Ron dan dihiburkan oleh Han Zalini, dia pun membetulkan jaket dan nampak lebih selesa.
Kami ingin nasihatkan dia supaya membawa bersama kumpulan boria nya jika mahu kemana-mana. Boria kami maksudkan adalah kumpulan seluar dan baju tebal pakai siang dan pakai malam itu.
Secara peribadi kami samakan kumpulan mereka ini dengan mereka yang ralit dengan fesyen 70-an dan 80-an serta juga kumpulan mat rempit dan basikal lajak. Mereka semua ada satu persamaan iaitu insan sepi yang hanya menjadi gagah dan megah bila bersama.
Satu perkara yang kami tidak faham mengenai teater ialah syarat wajibnya mesti ada watak yang pakai ponco. Berjalan perlahan dan menyeramkan. Sepertinya jika tidak ada manusia-manusia begini maka itu bukan teater. Ini hukum teater nombor berapa?
Dan ‘Persiapan Seorang Aktor’ sedikit cacat dengan kehadiran bunyi latar seperti bunyi kereta, siren dan sebagainya yang agak kami adalah untuk menggambarkan suasana. Lebih baik sebetulnya jika bunyi-bunyian itu ditiadakan. Sebut fasal bunyi, kalau celo itu ditukar dengan rebana ubi tak jadi Hamlet ke?
Dan kami rasa adegan mandi dalam kolah itu sebenarnya adalah fantasi sensual mereka yang dibelakang tabir. Mereka yang terbabit itu ahli eHati ke?
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang kini bercita-cita untuk berlakon teater bersama Nadia Brian.
