Ludwig Wittgenstein (1889–1951) merupakan ahli falsafah paling berwibawa pada abad ke-20, terkenal dengan sumbangannya dalam bidang falsafah bahasa dan logik, malah menjadi tokoh yang dikagumi oleh para pemikir Lingkaran Vienna (Vienna Circle), yang tersohor dengan aliran ‘Positivisme Logik’ (iaitu suatu aliran falsafah yang berpendapat bahawa hanya kenyataan yang dapat dibuktikan secara logik, sama ada melalui matematik atau logik formal, atau melalui pengalaman deria sahaja yang dianggap bermakna dan boleh diterima sebagai kebenaran mutlak).
Walaupun Wittgenstein tidak membahaskan persoalan seni secara sistematik seperti yang dilakukan oleh pendahulunya, sama ada Immanuel Kant mahupun Hegel, aliran pemikirannya tetap menyediakan ruang yang menginspirasi bagi bidang kesenian dan estetika untuk berkembang.
Wittgenstein aktif berbincang mengenai perkara berkaitan seni, khususnya ketika menyampaikan syarahan dan dalam perbualannya bersama para mahasiswa Cambridge serta sahabat-sahabat terdekat, seperti yang dicatatkan dalam karya berjudul Lectures and Conversations on Aesthetics, Psychology and Religious Belief (1966).
Lanjutan daripada hal yang disebutkan, tulisan ini cuba meneliti bagaimana Wittgenstein memandang seni bukan sebagai sesuatu yang boleh ditentukan secara objektif melalui definisi, tetapi sebagai suatu fenomena yang bersifat kontekstual, bernuansa linguistik, dan terletak dalam setiap gerak hidup manusia.
Kritikan terhadap Pendekatan ‘Makna’ dalam Bidang Kesenian
Sumbangan kritikal Wittgenstein ketika membicarakan tentang estetika ialah penolakannya terhadap usaha untuk mendefinisikan seni secara mutlak dan seragam. Semangat ini dapat diperhatikan apabila kita meneliti karya agungnya Penyiasatan Falsafah (Philosophical Investigations) yang diterbitkan pada tahun 1953, dengan satu analisis bahawa tidak ada satu pun definisi tunggal terhadap konsep seperti ‘seni’ atau ‘keindahan’.
Wittgenstein mengemukakan alasan ini berdasarkan hujah bahawa makna sesuatu perkataan, secara hakikatnya, tetap bergantung kepada bagaimana ia digunakan dalam pelbagai konteks sosial. Menurut ahli falsafah tersebut, istilah ‘seni’ sebenarnya serupa dengan konsep-konsep lain yang tidak mempunyai batas dan sempadan yang mutlak, sebaliknya lebih menghampiri pendekatan ‘keluarga persamaan’, iaitu wujudnya persamaan yang berulang antara pelbagai contoh yang dikemukakan, tanpa perlu kesemuanya berkongsi satu ciri yang sama.
Kritikan ini, justeru, membawa kesan yang drastik dalam teori estetika kerana ia menolak sebarang usaha untuk mengklasifikasikan seni mengikut sifat-sifatnya yang tetap, seperti tafsiran-tafsiran yang kaku terhadap istilah seperti ‘mimetik’, ‘ekspresif’, atau ‘formalistik’.
Estetika sebagai Tindak Balas dan Amalan
Menerusi syarahan-syarahannya yang menghiburkan, lucu namun sarat dengan makna, Wittgenstein mengemukakan hujah bahawa kenyataan estetika bukanlah bersifat fakta, sebaliknya lebih merupakan reaksi peribadi atau kebiasaan terhadap sesuatu pengalaman. Contohnya, apabila seseorang berkata, “Lukisan ini indah”, ia bukanlah satu kenyataan objektif tentang sesuatu objek, tetapi mencerminkan suatu penilaian atau kedudukan dalam sistem nilai seseorang penikmat seni.
Pada pandangan Wittgenstein, aspek utama dalam ungkapan seni bukanlah bergantung kepada pemahaman teori, tetapi melalui cara kita memberi reaksi terhadap sesuatu karya seni, menghayatinya, malah memiliki ‘kekuatan’ untuk berbicara mengenainya. Oleh itu, beliau melihat seni dan estetika bukanlah suatu wilayah yang boleh diselesaikan melalui teori positivisme, metafizik mahupun psikologi, tetapi lebih mendasar sebagai suatu kepekaan terhadap penggunaan bahasa dalam konteks budaya tertentu. Seni itu ‘menghidupi’ dan menjadi sebahagian daripada norma kemanusiaan.
Permainan Bahasa
Konsep ‘permainan bahasa’ (language-games), yang menjadi nadi kekuatan Wittgenstein dalam naskhah Risalah Logik-Falsafah (Tractatus Logico-Philosophicus), merupakan salah satu kerangka penting dalam memahami pendekatannya terhadap estetika. Setiap ‘makna’ berasal daripada penggunaannya dalam kehidupan seharian (permainan bahasa). Oleh itu, setiap pernyataan seni atau penilaian estetika berfungsi dalam konteks permainan bahasa tertentu, yang boleh kita misalkan sebagai segala bentuk aktiviti sosial, di mana makna terbentuk melalui penggunaan bersama dalam sesebuah komuniti.
Satu contoh mudah yang boleh difahami tentang ‘permainan bahasa’ Wittgenstein ialah apabila kita menyebut, “ini adalah karya agung”, makna ungkapan ini hanya dapat difahami dalam konteks budaya atau sejarah tertentu. Maka, untuk memahami estetika, kita seharusnya meneliti bagaimana istilah ini digunakan, dalam situasi bagaimana ia diucapkan, dan kepada siapa ia ditujukan. Pendekatan ini menjadi hujah kukuh untuk menolak idea bahawa keindahan atau nilai seni boleh dirumuskan kepada formula objektif atau teori-teori yang bersifat sejagat.
Salah satu aspek menarik dalam pendekatan Wittgenstein terhadap estetika ialah penolakannya terhadap teori agung (grand theory). Beliau percaya bahawa keindahan, makna, dan nilai seni tidak dapat difahami melalui teori yang kaku, tetapi dapat didekati melalui pengamatan terhadap perincian kehidupan. Wittgenstein mengukuhkan hujahnya dengan berani apabila secara terang-terangan mendakwa bahawa ‘Teori Estetika’ sebenarnya tidak wujud dalam erti kata yang sebenar, sebaliknya hanyalah sebuah ‘penghuraian tentang bagaimana sesuatu itu berfungsi’.
Pendekatan ini bersandarkan kepada kenyataan bahawa pemahaman terhadap seni memerlukan kepekaan terhadap gaya, irama, konvensyen budaya, dan juga ekspresi artistik. Sebagai pelengkap, Wittgenstein menyarankan agar para ahli falsafah atau pengkritik seni menjadi pemerhati bahasa yang kritis, sensitif dan halus jiwanya, yang tidak hanya bercita-cita untuk merumuskan teori agung atau aturan-aturan yang megah.
Pengaruh Terhadap Ilmu Seni dan Estetika
Pemikiran Wittgenstein tetap mempunyai implikasi besar terhadap bidang ilmu seni dan estetika. Jika nilai seni terletak pada penggunaan dan pemahaman sosialnya, maka pengajian seni sepatutnya memberi tumpuan kepada pelbagai tafsiran kontekstual, renungan pengalaman peribadi, serta memperkasa kepekaan estetika, bukan sekadar menjadi penghafal teori-teori klasik yang kadangkala sudah lapuk dimamah zaman. Dalam situasi dunia moden abad ke-21 yang sarat dengan nuansa pluralistik, pandangan Wittgenstein seharusnya dijadikan pedoman untuk mengelakkan penilaian yang terlalu normatif serta membuka ruang kepada pelbagai bentuk ekspresi seni.
Sekilas Renungan
Walaupun Ludwig Wittgenstein tidak mengembangkan teori estetika secara formal, hujah-hujah falsafah dan logik beliau ‘menafaskan’ sebuah sudut pandang reflektif dalam usaha kita memahami seni sebagai ‘zat’ yang merangkumi persoalan bahasa, budaya, sosial, dan dinamika kehidupan manusia. Sebarang usaha untuk mendefinisikan seni secara kaku dan pasif merupakan satu kemunduran. Yang lebih baik adalah melihat bagaimana bahasa estetika digunakan dalam konteks sebenar. Takrif seni, menurut pemerhatian Wittgenstein, bukanlah masalah logik atau teori, tetapi cara dan aturan manusia untuk menumbuhkan kepekaan, nilai, serta makna hidup.
Rujukan
Wittgenstein, L. (1953). Philosophical Investigations (G. E. M. Anscombe, Trans.). Oxford: Blackwell.
Wittgenstein, L. (1966). Lectures and Conversations on Aesthetics, Psychology and Religious Belief (C. Barrett, Ed.). Oxford: Basil Blackwell.
Wittgenstein, L. (1999). Tractatus Logico-Philosophicus. New York: Dover
Zangeneh, H. R., & Miri, S. J. (2014). Ludwig Wittgenstein and the Philosophy of Art: Rethinking Aesthetics from an Islamic Perspective. International Journal of Islamic Thought, 6, 33–42.
