“Kamu mungkin kenal aku sebagai pelukis dan juga penulis yang penuh satira.
Tetapi kamu tidak tahu yang aku sebenarnya pernah membunuh orang.
Agaknya semua orang ada rahsia dan ini adalah sisi yang tidak pernah diketahui orang perihal diri aku.
Jangan bimbang, ini bukan novel alam misteri atau pun kisah angker yang kamu suka itu.
Ini juga bukan juga kisah rumah tangga tunggang langgang yang kamu semua suka jadikan sebagai panduan hidup itu.
Ini adalah sebuah memoir yang membuka pekung.
Aku akan cuba untuk menceritakan semuanya dengan sekuat ingatan dan aku harap kamu yang membaca kisah ini akan memaafkan jika ada mana-mana bahagian hidup aku yang kebetulan bertembung dengan hidup kamu semua.
Dengan usia, aku selalu keliru dengan apa yang aku ingat dan juga apa yang sebenarnya berlaku.
Misalnya, dalam ingatan aku selalu berkata yang aku pernah dua kali tinggal lama di Selatan Thai, namun Abu Yusof mengatakan yang kami berdua hanya sekali tinggal lama disana.
Kami tinggal di kawasan Bannang Sata selama sebulan dalam bulan puasa.

Yang paling aku ingat ialah bagaimana seorang pakcik menyambut kami dengan menyembelih seekor itik dan pakcik itu juga akan memberitahu penduduk kampung mengenai masih berbaki berapa lama lagikah sehingga waktu untuk memulakan puasa.
Bermula jam 12 tengah malam dia akan mengumumkan melalui pembesar suara masjid.
“Sekarang pukul 12 tengah malam, kita ada 5 jam lagi sehingga waktu sahur” kata dia dengan penuh bertenaga.
Dan kami sangka hanya sekali itu pengumuman tersebut dibuat. Kami silap kerana dia akan berbuat demikian setiap jam sehingga waktu subuh dan kami tidak boleh tidur dengan aman.
Kerana itu juga, selama di sana adalah masa yang paling banyak aku lihat Abu habiskan untuk membaca Al-Quran serta bersembahyang tahajud.
Aku juga tidak henti-henti bersembahyang hajat supaya pakcik tersebut menghentikan perbuatan yang tidak bermoral itu. Namun selama di sana, doa aku belum dimakbulkan Tuhan.
Di sana aku juga mengenal beberapa orang dari Kumpulan tentera pembebasan PULO (Patani United Liberation Organisation). Kumpulan ini sudah dibubarkan jika tidak silap, ramai di antara anggotanya menerima suaka politik di Sweden.
Mungkin berita ini belum menjadi tular tetapi sejak sekian lama penduduk Sweden adalah penggemar sup Tom Yam ketiga paling tegar setelah Thailand dan Malaya.
Sweden juga terkenal sebagai pengimport serai (dipanggil citrongräs) terbesar dunia selepas dua negara yang aku sebut diatas tadi.

Dalam hutan tebal itu juga aku belajar untuk tidak bercakap sembarangan. Lebih-lebih lagi jika sudah hampir tengah malam dan kamu pula sedang duduk diantara dua alam yakni alam ngantuk dan alam jaga.
Ini adalah waktu dimana kamu akan mula menceritakan hal paling dalam pada kain yang kamu pakai. Kerana itu juga aku akan sentiasa tidur awal jika kebetulan duduk beramai-ramai dengan sesiapa pun.
Mungkin kerana itu aku ini dikenali sebagai orang yang tidur dahulu sebelum orang lain dan mungkin kerana itu juga rahsia aku membunuh orang itu kekal sehingga hari ini.
Atau jika aku mahu berkata benar, hanya Husain seorang saja yang tahu akan hal tersebut.
Husain ialah lelaki yang kamu lihat akan berjalan mundar mandir dengan mendepang kain pelikat jika kamu ke Tanjong Api.
Nanti aku akan ceritakan hal tersebut dengan perincian yang lebih dalam bab bab yang lain.
Sewaktu duduk dengan anggota PULO, ada diantara kami secara bergurau mengatakan yang dia ingin membeli sepucuk pistol kepada ahli kumpulan tersebut dan diambil serius.
Selang beberapa malam, anggota tersebut datang dengan sepucuk pistol. Menggeletar tubuh sahabat kami itu. Ini adalah pertama kali aku melihat sepucuk pistol secara dekat.
Tidak seorang pun diantara kami yang berani memegang senjata berkenaan dan setelah berbasa basi dan meminta maaf, pistol itu kemudian disimpan.
Anggota PULO tersebut bagaimanapun merasa tidak berpuas hati dipermainkan sebegitu rupa, dia bingkas bangun lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara, maka bergema seluruh kawasan tersebut dengan bentrokan kemarahannya. Sahabat yang memesan pistol tadi hampir terkencing ketakutan.
Seorang sahabat yang lain pula menyatakan hasrat untuk membeli sejumlah ganja dan seperti yang diduga dia telah ‘dihadiahkan’ sejumlah besar madat tersebut.
Ada khabar angin yang mengatakan bahawa banyak Gerakan yang mengambil nama kebebasan dan juga Islam menjadikan madat sebagai sumber utama kewangan mereka.
Selain PULO, GAM di Aceh dan juga sebilangan Gerakan Taliban di Afghanistan juga melakukan perkara yang sama, dimana kebenaran dakwaan tersebut tidak pula dapat dipastikan.
Sahabat kami yang ini juga agak kaget melihat apa yang ada di depan matanya, hampir penuh paket beras siam lima kilogram yang biasa diseludup masuk ke Malaya itu.
Aku tidak akan menceritakan apa yang berlaku kepada madat tersebut namun secara am nya, aku dan Abu merasa sangat ‘gumbira’, tenang dan selalu tersenyum sendirian sepanjang kami berada di wilayah Yala tersebut.

Aku ingat dengan tepat akan perjalanan kami yang bermula di bulan puasa itu kerana yang turut serta pada waktu itu ialah Fairuz dan juga Fitri.
Kami memulakan perjalanan dari Kuantan dengan menaiki kereta. Aku lupa kereta siapa namun aku ingat yang kereta tersebut telah rosak beberapa kali. Kami semua juga terpaksa bermalam di sebuah masjid di Rantau Abang di Terengganu dan beberapa tempat lagi.
Waktu itu bukan semua diantara kami yang mempunyai wang yang banyak lalu bila berlaku kerosakan, ini tentu saja menganggu perbelanjaan kami semua.
Kami tiba di Kota Bharu pada hari pertama puasa dan sebelum ke masjid untuk maghrib kami terlebih dulu berbuka puasa di sebuah gerai.
Setelah sembahyang tarawih atau mungkin juga setelah subuh keesokkannya, kami bergerak ke Rantau Panjang untuk menyeberang ke pekan Golok di Thailand.
Diatas adalah petikan novel yang sedang kami tulis. Kami kata ‘sedang’ tetapi kami telah menulis dua muka surat di atas lebih setahun lalu dan berhenti, maka dalam firasat kami akan habis hingga di situlah impian kami untuk menulis novel tersebut.
Rasanya jika kami memberikan tumpuan, novel berkenaan boleh disiapkan, semua rangkanya sudah ada di kepala kami, namun untuk duduk menulis terus menerus dan menyiapkannya, buat masa ini kami belum mampu.
Kamu doakan kami diberi kekuatan dan mungkin jika ada penerbit yang sanggup membayar pendahuluan, sebagai dorongan, kami akan berusaha menghabiskan penulisannya. (uhuk!)
Sebut tentang novel, hari itu kami ke Rumah PENA. Kami bukanlah ahli PENA, walaupun ada juga impian untuk menjadi anggota persatuan tersebut, namun kami diberitahu bahawa yuran keahliannya adalah sebanyak seratus ringgit.
Maka nanti, bila mana wang saku yang kami kumpul berdikit-dikit itu sudah mencukupi jumlah mahar yuran tersebut, maka akan bersegeralah kami laksana menyahut Titir Canang Pemanggil jua lah layaknya; seperti si capik datang bertongkat, yang buta beraba-raba, lalu yang tuli leka bertanya, maka yang kecil terambin lintang, serta yang jarak bertolak-tolakan untuk kami bergegas untuk mendaftar diri.
Biasanya kami kesana untuk bertemu Azalan, sahabat kami, dan juga sahabat Namron, yang kesepian dan mencintainya itu.

Kami katakan begitu kerana kami bertemu dua orang yang menganggap sepi sebagai bonus kehidupan.
Satu, Norlisham Selamat semasa memberi ucapan pembukaan pamerannya di NeMA, Negeri Sembilan. Pameran tersebut masih berlangsung sehingga artikel ini ditulis dan sudah tamat sewaktu artikel ini diterbitkan. (Baser punya editor).
Dan yang keduanya Si Semut yang kami temui di Kebun Puisi milik YB Budiman yang banyak pencen itu.
Norlisham dan Semut sangat meraikan kesunyian dan kami mengandaikan yang Azalan juga demikian. Cuma ada sedikit perbezaan diantara Norlisham, Semut dan Azalan.
Norlisham akan menjemput ‘suara-suara’ asing datang kepadanya dengan upacara ‘pengasapan’ manakala Semut pula memang mendengar suara-suara ghaib secara semula jadi, manakala Azalan pula adalah yang paling tenang diantara mereka, dia tidak mendengar apa-apa suara, tenang dan damai begitu.
Selain Azalan, kami juga mengharapkan untuk bertemu dengan penulis skrip yang agak baik di negara kita ini, kami bukanlah rapat dengan Aloy Paradoks, malah ada kalanya dia amat benci kepada kami, namun kami suka duduk di studio tempat dia menulis skrip bersama kumpulannya.
Kami suka melihat proses kumpulan penulis skrip ini bekerja.

Alas, yang ada di Rumah PENA hari itu cuma Si Jasad dan juga Farhanah. Kami selalu tersasul memanggil Jasad sebagai Sajat. Farhanah adalah penulis dan pelukis buku kanak-kanak yang baru kami kenali dan kepada dia kami katakan bahawa ‘cinta sesama manusia adalah falasi’.
Menurut Jasad, Azalan dalam perjalanan dan sementara menunggu, kami diberitahu tentang cerita gangguan seksual yang sedang menghentam dunia sastera.
Sambil mendengar, kami secara diam-diam menjeling kepada Jasad dan dalam hati kami mengatakan “Takkan ada orang yang sampai hati berbuat tidak senonoh kepada budak ni..”. Dan memang menurut Jasad, dia bukanlah mangsa. Syukur.
Ralit juga kami mendengar cerita si Jasad dan di akhirnya kami berkata kepada diri sendiri bahawa lelaki miang dan perempuan birah ada dimana-mana.
Tidak ada apa yang boleh kita lakukan kecuali berdoa yang kita tidak pergi kesana. Dan seperti yang kami katakan tadi, jika kamu tidak menikmati kesepian maka miang dan birah akan menguasai kamu.
Disamping itu kami juga berdoa yang si Rosman bukan pemangsanya. Jasad kemudian mengesahkan yang Rosman tidak terlibat dan kami bersyukur sekali lagi.
Kami tidak lah mahu bercerita mengenai gangguan tersebut sementelah pula satu laporan polis sudah dibuat. Maka elok jika semua orang membiarkan pihak berkuasa melakukan siasatan.
Namun begitu, satu kekecewaan besar telah datang kepada kami hasil dari sketsa dunia sastera tersebut.
Dengan rasa ingin tahu, kami telah membuat sedikit carian di internet dan telah menemui apa yang dikatakan sebagai ‘gangguan seksual’ tersebut dan kami pun jadi panas hati.
Tak kan laaa….awok orang sastera. Pewaris bahasa paling puitis di dunia. Abu Lahab yang jahat itu juga adalah ahli sastera dan kalaulah dia tahu bahasa sastera yang kamu gunakan untuk mengganggu, pasti dan pasti dia akan teramat kecewa, dan agaknya, mengecewakan Abu Lahab mungkin boleh dianggap sebagai satu dosa.
Kamu bayangkan, seorang ahli bahasa, ahli sajak dan puisi menulis ’emuaaaah’ sebagai gangguan seksual. Tak seksual langsung. Memalukan. Lebih dari kesalahan mengganggu, pemangsa itu sepatutnya ditangkap oleh polis bahasa.
Ini adalah kejahatan sastera yang jauh lebih jahat dari apa-apa pun jenis gangguan.
Kalau beginilah kedudukan sastera kita, padan berebut SEA Write Awards sajalah gamaknya.
Kita boleh lupakan tentang memenangi Hadiah Nobel kerana kalau itu dikatakan sebagai gangguan maka setelah dua kali kiamat pun kita tak bakal memenanginya.
Mari kami ajar kamu bagaimana menulis puisi gangguan seksual:
Susumu
Dahagaku
Berdenyut.
Hah! Sekarang kamu katakan kepada kami yang kamu yang mengganggu dan juga diganggu tidak err… berdenyut hanya dengan membaca puisi di atas.
Begitu, ini tidak, buat gangguan seksual tapi tak seksual langsung.
Jika disiasat, maka pelbagai tafsiran jahat boleh dibawa dari puisi tiga baris tersebut namun kamu memilih hanya ‘emuaaaahh’ dan foto dengan tuala mandi. Baser.
Sayugia diingat, jika kamu bukan Saharil Hasrin Sanin, tak payah lah kamu menghantar gambar kamu berlenggeng dengan tuala kepada sesiapa pun jua. Ini cuma akan membuat semua orang merasa sangat berkecil hati jika kamu melakukannya.
Abdullahjones merupakan seorang pelukis dan penulis serta bakal pemenang hadiah Nobel Sastera erotik kategori ‘Mona Gersang’ Awards.
